Adakah undang-undang sejenis permainan, sama seperti
politik? Di Malaysia nampaknya begitulah, undang-undang dipermainkan. Misalnya,
Suruhanjaya Klip Video Lingam yang mensabitkan enam orang terkenal Malaysia,
termasuk Dr. Mahathir Mohamed, tidak dilaksanakan sepenuhnya mengikut
undang-undang. Walaupun enam orang itu didapati bersalah oleh satu Suruhanjaya
Diraja, namun mereka tidak didakwa, malah kesalahan mereka adalah sejenis drama
yang seronok dibaca, tetapi penipuan mereka dalam pelantikan hakim-hakim yang
telah disahkan oleh Suruhanjaya Diraja itu tidak berkesan sama sekali dari segi
undang-undang. Baiknya ialah rakyat tahu dengan pasti bahawa terdapat penipuan
dalam pelantikan hakim-hakim, dirancang begitu jahat oleh para pelakon
berkenaan. Hanya itulah saja kesan dari Suruhanjaya Diraja itu. Dari segi
undang-undang tidak bermakna apa-apa, sejenis permainan saja. Malah terdapat kemarahan
yang amat sangat di kalangan segolongan rakyat, terutama sekali dari kumpulan
UMNO/BN, yang tidak boleh terima hakikat para Ketua Hakim dan ketua-ketua UMNO
menipu. Tetapi ini tidak menghalang setengah-setengah rakyat bertanya: Adakah
kita telah ditipu selama setengah abad oleh UMNO? Mereka mengemukakan
pertanyaan ini kerana mereka tidak puas hati tafsiran rasuah yang dipakai oleh
UMNO/BN, yang menjadikan hanya sejenis permainan politik untuk mencapai tujuan
tertentu. Misalya, dalam pemilihan UMNO baru-baru ini, ketua-ketua parti yang
didapati rasuah terus dipilih oleh para perwakilan, sehingga bekas Presiden
UMNO yang bernama Dr. Mahathir Mohamed menegaskan beliau tidak dapat menerima
keadaan ini, oleh itu dia menganggap Kabinet Najib adalah kabinet rasuah. Tidak
ada tindakan dilakukan terhadap Dr. Mahathir Mohamed yang menuduh kerajaan rasuah,
walaupun banyak sekali undang-undang yang boleh digunakan untuk membawa Dr.
Mahathir Mohamed ke muka pengadilan. Jadi sudah jelas undang-undang adalah
sejenis permainan belaka, boleh dimainkan jika menguntungkan dari segi politik,
tidak perlu dimainkan jika tidak menguntungkan. Ini diakui sendiri oleh Tun
Abdullah Badawi, bekas Presiden UMNO dan PM selama sepenggal lebih sedikit.
Beliau memperakukan ISA dihapuskan
kerana kezalimannya. Dia mengaku ketika dia jadi Menteri Dalam Negeri, ramai
orang yang tidak bersalah ditahan dengan menggunakan ISA. Menantu beliau, Ketua
Pemuda UMNO sekarang, menegaskan ISA tidak perlu dihapuskan, hanya perlu dikaji
semula dan dibuat beberapa pindaan yang diperlukan, jika perlu. Tidakkah ini
bukti yang cukup jelas bagaimana undang-undang dipermainkan, dijadikan barang
mainan politik untuk memastikan golongan yang berkuasa terus berkuasa. Kemuncak
daripada permainan undang-undang ini ialah kematian Teo Beng Hock, seorang
budak muda yang menjadi Setiausaha Politik seorang Exco Selangor daripada DAP.
Budak itu didapati mati selepas disoal-siasat oleh SPRM di pejabat SPRM sendiri, tergolek di tepi
bangunan pejabat itu, tidak diketahui bagaimana kejadian itu boleh terjadi.
Bagaimana beliau yang berada di Tingkat 14 tiba-tiba tergolek di Tingkat 5
bangunan Masalam? Kerana desakan rakyat yang begitu marah dengan kejadian ini,
maka kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat apakah cara
soal-siasat yang digunakan oleh SPRM sehingga membolehkan orang yang disoal
terjun bangunan? Kalau tidak terjun, siapa yang menerjunkannya? Tetapi soalan
kedua itu tidak relevan, kerana punca kematian budak itu tidak perlu diketahui,
hanya cukup dengan dapatan pakar forensik yang telah bersetuju dia mati kerana
terjatuh bangunan.
27 Julai 2009.
Catatan: Terjumpa tulisan ini ketika mencari fail lain. Bagus pula, sesuai dengan keadaan politik sekarang. Maka inilah disiarkan. Selamatlah jiwa yang sempurna!
No comments:
Post a Comment