Dalam
konteks politik Malaysia Baru yang dicanang dengan riuh rendah oleh DAP selepas
menguasai pentadbiran Tanah Melayu melalui PM rekon Tun Dr. Mahathir Mohamed, orang Melayu tidak lagi dikenali
sebagai bangsa Melayu, yang sudah diharamkan penyebutannya dari segi
politik kerana menurut DAP ungkapan itu
bersifat perkauman, sedangkan dalam Malaysia Baru tidak ada lagi dan ditentang
keras perasaan perkauman itu. Yang menentukan ini ialah yang menang besar
sehingga terbentuknya Pakatan Harapan dalam Malaysia Baru, yang sudah
diperjuangkan oleh DAP sejak merdeka, sudah lebih dari 50 tahun, satu idea yang
dicetuskan oleh Lee Kwan Yew dari Singapura, malah nama DAP itu sendiri adalah
versi Tanah Melayu untuk parti PAP (Peoples Action Party) yang dibentuk oleh
Lee Kwan Yew untuk memerintah Tanah Melayu; tetapi hasrat itu digagalkan oleh
Tunku Abdul Rahman yang menendang keluar
Singapura dari Malaysia. Ketika itu belum ada lagi Malaysia Baru, satu ungkapan
yang hanya muncul selepas PRU Mei 2018.
Walaupun Malaysia Baru belum lagi sampai satu tahun, program dan projek
politik DAP itu sudah berjaya memecah-belahkan Melayu dengan membentuk parti
serpihan. Cuba anda bilang Melayu kini berada dalam berapa parti? Jangan-jangan Melayu sendiri tidak sedar
mereka telah dipecah-belahkan!
Idea
sosialisme yang dibawa oleh DAP (Democratic Action Party) sudah pun diterima oleh sebahagian orang
Melayu yang terpelajar yang menjadi anggota DAP dan kini mewakili DAP dalam
pelbagai institusi politik dan ekonomi dan sosial yang bekerja untuk menguatkan
pengaruh politik DAP. Celaka sungguh
menjadi Melayu dalam Malaysia Baru sekiranya mereka tidak terima hegemoni
politik yang dikuasai DAP. Inilah hasil
kegagalan UMNO dan sekutunya yang membiarkan orang Melayu terus miskin merempat
di kampung-kampung, padahal para pemimpin UMNO segenap peringkat hidup senang
melalui sokongan Melayu. Kini DAP sedang mencuba menguasai kampung-kampung Melayu
dengan membawa IT untuk orang kampung, dengan alasan orang kampung tidak boleh
dibiarkan ketinggalan dalam revolusi IT ini.
Semua Melayu menyambut baik program DAP ini. Adakah mereka faham apakah
kesannya kepada mereka? Para ahli akademik Melayu membisu, tidak mahu
membicarakan perkara ini kerana mereka takut jawatan mereka di universiti
tercabut. Untuk pengetahuan para sarjana bodoh dan penakut ini, di Kelantan
dalam tahun 1927 apabila bas mencadangkan supaya dikeluarkan tiket, majalah dan
akhbar yang terbit di KB membahaskan perkara itu. Adakah Melayu sekarang ambil
peduli? Dulu Melayu agak cerdik; tetapi
sekarang sejak dididik oleh UMNO, mereka jadi bodoh dan berjiwa hamba. Inilah kemajuan yang dibanggakan oleh para
pemimpin Melayu. Kita tidak boleh berkata ini merupakan satu pengkhianatan
kepada bangsa Melayu yang sudah hilang aspek “bangsanya” itu.
Sekarang
bangsa tidak penting lagi, kerana konsep dan istilah bangsa itulah yang menjadi
asas perkauman dalam Malaysia Baru.
Itulah kesimpulan DAP yang
dilaungkannya kepada seluruh rakyat Malaysia Baru, dengan restu dan
galakan daripada PM rekon Tun
Mahathir Mohamed. Dalam sejarah
politiknya, orang Melayu tidak pernah mengutuk para pemimpin mereka walau
betapa korup sekali pun. Inilah rahsia
keagungan bangsa Melayu yang kemudiannya kehilangan identitinya tetapi mendapat
pujian daripada musuh politiknya kerana toleransinya yang tinggi untuk menerima
korupsi sebagai cara hidup para pemimpin politik mereka. Konsep korupsi dalam Islam dipanggil perbuatan
fasad, “complete corruption both spiritually and materially”. Dalam Islam, fasad sebagai
korupsi tidak hanya dari segi kewangan, tetapi menyeluruh mengenai cara hidup
yang menolak al-Quran, atau yang menggunakan al-Quran untuk mendapat kuasa. Kedua-kedua
perbuatan ini adalah perbuatan yang korup kerana di situ terdapat dengan jelas
penipuan yang ditutup dengan menggunakan agama padahal yang berlaku adalah
sebaliknya. Apabila agama digunakan
sebagai alat politik untuk mendapat kuasa, maka itu adalah korupsi, jelas dan
tidak dapat diragukan lagi. Ini bererti, sesiapa juga yang menggunakan agama,
terutama untuk menakut-nakutkan penganut
agama Islam untuk mendapat kuasa, maka mereka melakukan fasad dalam pengertian
yang luas. Demikian juga, jika anda
menolak agama sebagai asas kehidupan, maka anda pun melakukan perbuatan fasad
secara umumnya. Cuba anda baca Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu,
untuk mendapat makna fasad dalam Islam.
Sekiranya penjelasan Buyung Lurus tidak betul, sila betulkan; jangan
biarkan kesalahan bertapak dalam masyarakat. Dalam politik, kesalahan
dipertahankan sebagai hujah untuk mempertahankan pembohongan dalam politik.
Anda perlu menjadi cerdik dan bijak untuk memahami perkara ini.
Walau apa
pun tajuk perbincangan saya, satu perkara yang tidak akan saya tinggalkan ialah
peranan ilmu dalam kesusasteraan, dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera.
Untuk memudahkan penulis dan sarjana memahami persoalan ini, saya kemukakan
Gagasan Persuratan Baru. Tetapi yang terjadi adalah sebaliknya, sesuatu yang
sangat lucu bagi saya. Rupanya kemunculan PB meresahkan para sasterawan dan
sarjana kerana sekarang saya mencabar setiap teori Barat yang mereka agungkan.
Ini tidak bererti saya menolak teori Barat. Tidak. Bodohlah jika anda menolak
apa saja yang datang dari Barat. Para penulis dan sarjana mereka sangat kreatif
dan rajin meneliti persoalan dalam bidang kreatif dan penilaian karya kreatif
yang menjadi teori sastera kemudiannya. Kini kita dapat macam-macam teori dalam
sastera Barat. Semuanya mempunyai kekuatan masing-masing. Saya seronok
mengikuti perkembangan ini, tetapi tidak satu pun memuaskan hati saya. Ada
benda penting yang tidak ada dalam teori itu. Teori itu tidak ada ruh, kosong
dari segi makna kehidupan yang kita sebagai orang Islam faham. Inilah yang
mendorong saya mengemukakan Gagasan PB. Yang paling lucu, sasterawan dan
sarjana sastera jadi amat marah apabila dengan menggunakan PB saya mula menilai
kembali kegiatan mereka. Kemarahan mereka bagi saya membenarkan tesis saya
selama ini, bahawa mereka bukanlah golongan pemikir, hanya golongan peniru
saja. Mereka tidak ada pendirian ilmiah yang mantap. Mereka hanya ada sentimen
yang sering kali tidak berasas. Kemuncak dari kemarahan itu ialah apabila saya
buktikan kita TIDAK perlukan sasterawan
negara, malah kemunculan sasterawan negara dalam budaya intelektual Malaysia
adalah satu pengkhianatan kepada perkembangan ilmu. Tentulah mereka sangat
marah, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak ada hujah
untuk menolak tesis saya. Akhirnya yang terjadi ialah mereka berkumpul
beramai-ramai menggunakan segala kemudahan yang ada pada mereka untuk menolak
PB. Sayangnya, semakin kuat tentangan mereka, semakin jelas kebodohan mereka.
Saya tidak boleh berbuat apa-apa, kerana itulah pilihan mereka, bangga menjadi
bodoh dan angkuh mempertahankan kebodohan itu dalam sastera. Tentu saja kata-kata ini amat keras, tetapi
itulah hakikatnya yang mereka terpaksa akui. Sekiranya mereka ada hujah baru
dan pendekatan baru, saya tentu saja bersedia mendengarnya. Dan tentu saja saya
akan letakkan PB di medan perbahasan seperti Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung
untuk … Untuk apa ya? Pertanyaan ini
amat menarik untuk difikirkan dan diberi jawapannya!
Sekarang kemunculan
Gagasan PB tidak dapat diketepikan lagi, tidak dapat ditolak lagi. Sudah banyak
ditulis dan dihuraikan PB dalam buku-buku tebal yang anehnya, tidak pernah
wujud di kalangan para penentang PB. Jadi selama ini mereka bercakap besar
saja, tetapi tidak ada buku “besar” yang menjelaskan kegiatan mereka secara
akademik. Hanya mereka sendirilah yang
tahu mengapa mereka tidak berupaya melahirkan buku-buku besar menjelaskan
kedudukan mereka dalam dunia ilmu dan dunia kreatif. Tentulah sangat
menyedihkan kita semua kerana sudah jelas mereka ini tidak ada kemampuan
intelektual untuk menghasilkan buku-buku yang tinggi daya pemikirannya dan
analisisnya. Saya yakin mereka sedar kelemahan mereka. Saya bersimpati dengan
mereka kerana sudah jelas kemampuan intelektual mereka amat terbatas, lebih
mendekati keadaan yang selalu saya sebut, iaitu mereka ini adalah golongan
picisan, bukan pemikir. Kesimpulan ini
akan berubah jika mereka dapat memberikan satu contoh (satu saja pun sudah
cuku) bahawa kesimpulan saya tidak tepat.
Apa halnya
dari perbincangan politik tiba-tiba saya berpindah kepada perbincangan
intelektual, khususnya tentang karya kreatif dan kritikan sastera. Baguslah jika anda sedar. Jika anda tidak
sedar lagi bagus, kerana ini membuktikan anda adalah orang biasa yang tidak
kritis dan tidak memberi perhatian mengapa sesuatu tulisan, istimewanya tulisan
saya, diberi bentuk seperti yang anda dapat. Saya namakan style ini stylization of ideas, siratan
makna. Anda tidak boleh pegang idea
seperti anda pegang telur ayam atau buah durian (perhatikan mengapa saya beri
contoh seperti ini!). Jika anda berada
di dalam laut, atau air sungai sekali pun , anda tidak boleh berpaut kepada
air. Tetapi anda boleh melakukannya, yakni berpaut kepada air, dengan menggunakan
kuak tangan anda untuk berhanyut sejauh mana yang anda mahu. Anda tidak akan
tenggelam atau lemas, kerana anda diselamatkan oleh tangan anda yang menguak
air sungai. Bagaimana jika air sungai itu deras arusnya? Lebih senang anda
berhanyut tanpa usaha keras untuk timbul. Teknik ini memang dipelajari tanpa
guru oleh penduduk di tepi sungai. Saya sudah boleh melakukan ini sejak
budak-budak lagi. Saya dan kawan-kawan akan berhanyut dibawa arus sambil
berbual dan bercerita. Bila sudah jauh kami kembali ke pangkalan sambil
berenang dan berlumba siapa sampai dulu. Begitulah, bila anda ada kemahiran
tertentu, segala-galanya menjadi mudah. Demikian juga jika anda mempunyai kemahiran berbahasa, menggunakan stylization of ideas, tiada idea yang
tidak boleh anda kemukakan untuk dilihat oleh orang yang tahu membaca dan
boleh berfikir. Kalau anda membaca karya saya, Pujangga Melayu, anda akan bertemu
berbagai-bagai cara saya menyampaikan idea. Cuma, jika anda agak “benak” (orang
Kelantan tahu makna perkataan ini), mungkin sukar memahaminya. Baca baik-baik motto Pujangga Melayu: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan
untuk si pandir.” Prof. Dr. Awang Yusuf memperingatkan Fatimah, anaknya.” Hebat, bukan? (Bila saya tulis ini saya
tertawa kecil…) Begitulah gaya seorang
pujangga, yang memberi perhatian kepada
makna dan matlamat karya; tidak demikian halnya di kalangan ahli politik,
yang menjadikan pembohongan sebagai
teknik untuk mendapat sokongan. Perhatikan baik-baik bagaimana Pakatan Harapan
mendapat “kemenangan” sementara yang kini mereka takut akan kehilangan kuasa
kerana sudah ramai yang tahu pembohongan mereka. Paling klasik, mereka
memberitahu rakyat, memang benar ada
janji untuk menghapuskan tol; tetapi itu diucapkan sebagai umpan kerana mereka
tidak sangka akan menang besar!
Perhatikan bagaimana mereka memberi “makna” janji palsu ini ketika
menghadapi masalah tol ini.
Nampaknya
dalam era Malaysia Baru yang dikuasai DAP dalam semua bidang, termasuk bidang pendidikan dan agama, maka istilah Tanah Melayu diharamkan dari
disebut; dan jika disebut juga maka Melayu
adalah kumpulan yang jelas sifat perkaumannya.
Itulah keputusan DAP untuk orang Melayu. Tetapi jika Cina atau India mengatakan
kemajuan Malaysia hanya mungkin kerana adanya usaha gigih Cina dan India untuk
membangun Malaysia menjadi negara maju,
maka itu bukan perkauman. Tidakkah ini satu kecelakaan sejarah yang perlu
ditentang oleh bangsa Melayu? Jika mereka, bangsa Melayu, sudah menjadi penakut
sekalipun, mereka harus memberanikan diri untuk menentang gerakan perkauman Cina dan India dalam politik
Melayu dengan memecah-belahkan mereka, si Melayu, dalam beberapa parti Melayu
yang menentang satu sama lain. Apa yang anda boleh pelajari dari kedudukan
ini? Sebagai sasterawan dan sarjana,
anda sendiri pun memecah-belahkan sastera Melayu dalam kelompok tertentu dan
menerima hanya kelompok tertentu itu saja sebagai mewakili sastera Melayu.
Itulah caranya anda menolak PB. Mungkin anda tidak sedar, bahawa tindakan anda
itu sangat mirip dengan tindakan DAP dalam politik yang telah berjaya
memecah-belahkan Melayu dalam puak-puak tertentu untuk memudahkan DAP menguasai
gerakan politik Malaysia Baru. Saya
tidak fikir para sasterawan dan sarjana sastera sedar akan perkembangan ini.
Jika mereka sedar, mereka harus menggunakan badan-badan penulis untuk menolak
Malaysia Baru yang merugikan Melayu itu.
Jangan khuatir, anda tidak perlu menerima Gagasan PB untuk mengambil tindakan
ini. Anda boleh terus menyisihkan dan menolak PB. Tidakkah ini yang anda mahu?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Mac 2019.
Hebat orang berfikir berjuang demi memajukan diri,mengisi intelektual bangsa dan meningkatkan kerohanian jiwa bangsanya menghadapi dunia yang penuh pancaroba.
ReplyDeleteMelihat,mengkaji situasi agama,negara dan bangsa tetap istiqamah menyatakan kebenaran tidak bermuka-muka mengambil hati pihak tertentu.
Sekian.Salam hormat.
_20 mac 2019 rabu,putrajaya.