Tidak masuk
akal UMNO/BN memerintah lebih 61 tahun bergelumang dengan rasuah? Tidak adakah
pemimpin UMNO/BN yang bersih dari rasuah?
Sebenarnya pertanyaan ini sangat bodoh, tidak masuk akal mengapa mesti ditanyakan
sekarang setelah UMNO dikalahkan dan sudah pula naik kembali ketua UMNO lama
yang pakai parti baru khusus ditubuhkan untuk membersihkan rasuah dalam politik
Malaysia. Apa yang berlaku sekarang adalah gambaran sebenar yang saya bayangkan
dalam Aligupit, sebuah novel
berasaskan stylization of ideas/siratan makna. Kerajaan baru yang
mereka namakan “Pakatan Harapan” adalah penjelmaan Aligupit dalam politik Malaysia.
Perkembangan terbaru dalam politik Malaysia ini sangat menarik apabila
para penganalisis politik (saya fikir yang mediocre
sebenarnya) telah melakukan penipuan intelektual dengan membuat kesimpulan
bahawa kemunculan Pakatan Harapan (PH)
adalah hasil kesedaran anak muda yang memilih PH yang mereka anggap tidak akan
melakukan amalan korupsi politik. Saya
ingin menegaskan, anak-anak muda ini telah tertipu dan menipu diri sendiri
dengan membuat andaian bodoh bahawa PH akan bebas dari rasuah. Soalan pertama
yang mereka perlu tanya ialah: Semua pemimpin PH adalah juga yang memimpin
UMNO/BN atau parti pembangkang yang anti Islam dan anti Melayu… dan seterusnya.
Anak-anak
muda ini juga perlu faham dan bijak menggunakan istilah. Di Malaysia, jika kamu
memperjuangkan hak ketuanan Melayu, yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,
kamu adalah perkauman. Jika bukan Melayu mempersoalkan hak mereka dalam Perlembagaan
yang kata mereka sepatutnya sama rata, maka mereka tidak boleh dituduh
perkauman kerana adalah hak mereka untuk mempersoalkan kewajaran Perlembagaan
Malaysia yang dipersetujui sebagai syarat merdeka. Orang Inggeris telah memberi
keistimewaan yang paling istimewa kepada Cina dan India melalui persetujuan jus soli. Melalui persetujuan ini, yang tidak diketahui
oleh orang Melayu, maka apabila diisytiharkan saja kemerdekaan, berjuta orang
Cina dan lain-lain kaum menjadi rakyat secara automatik. Melayu seperti beruk
tersengih bangga ditipu dalam rundingan kemerdekaan itu. Sekarang mereka yang
bernama Melayu tidak bebas mengkritik bukan Melayu; sedangkan bukan Melayu
boleh kata apa saja kepada Melayu berasaskan konsep kebebasan bersuara dan
kebebasan kewarganegaraan yang kata mereka diungkapkan dalam PBB. Yang paling celaka, orang Melayu sendiri
menentang bahasa Melayu dengan tergagap-gagap bercakap Melayu dalam Dewan
Rakyat; yang bukan Melayu apatah lagi, bahasa Cina pasar pun lebih baik. Memang
betul Melayu itu bodoh dan ikut perintah, oleh itu tiada siapa pun tegur ahli Dewan
Rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu kerana Melayu sendiri pun tidak fasih. Inilah kejayaan Dewan Bahasa dan Pustaka
mengkhianati bahasa sendiri dengan tidak pernah berusaha untuk memberi cadangan
latihan berbicara bagaimana bahasa Melayu itu diucapkan dengan baik dalam Dewan
Rakyat. Demikianlah Melayu menjadi
pengkhianat kepada bahasa Melayu kerana menerima begitu saja penghinaan bahasa
rasmi Malaysia yang tidak boleh diucapkan oleh budak-budak sekolah Cina dan
Tamil dan termasuk juga budak-budak Melayu sendiri. Kalau anda dengar baik-baik
pengucapan para juruhebah Radio dan TV, anda akan dapati yang Melayu sendiri
tidak tahu berbahasa Melayu. Pulau Redang dibaca Redang (e seperti dalam emak), terendak
dibaca terendak (e seperti dalam emak), dan banyak lagi yang gila-gila. Mengapa
DBP membiarkan bahasa Melayu dilucahi oleh orang Melayu sendiri dan bukan
Melayu? Inilah yang saya maksudkan dunia pandirisme. Ahli politik Melayu bersikap betul bendul
dengan melakukan kesalahan yang sama.
Baru saja
seorang ahli akademik yang memegang jawatan VC sebuah universiti di Terengganu
dengan bangga memberi keistimewaan yang tidak wajar kepada SN Samad Said yang
dilantik sebagai Sasterawan Universiti Sultan Zainal Abidin. Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Hassan Basri
Awang Mat Dahan menyatakan hasrat universiti, sebagai menyahut cadangan Menteri
Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, yang mahu universiti awam menempatkan sasterawan
negara di semua universiti. Ini pun sejenis tindakan berasaskan pandirisme
juga. Budak-budak universiti awam sepatutnya dididik untuk mengenal konsep ilmu
yang benar yang diajarkan oleh Islam; tetapi hasrat ini tidak akan tercapai
jika Menteri Pendidikan sendiri dan para Naib Canselor tidak tahu pun maksud
dan konsep ilmu yang benar itu dan mengapa konsep itu penting dalam
pendidikan. Kejanggalan ini sudah pun
disedari oleh USM yang mengadakan satu seminar khas membicarakan aspek ini dan
telah pun menerbitkan buku penting yang tidak dikenal pun oleh para Naib
Canselor. Buku itu berjudul, Decolonising
the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms. eds.
Claude Alvares, Shad Saleem Faruqi (USM2012).
Perhatikan kutipan penting ini untuk renungan bersama: “Reflecting on my
experience of trying to ‘transform’ Universiti Sains Malaysia (USM) where I
have been Vice Chancellor for the last 10 years, I must admit that I am still
uncomfortable with the notion of a ‘university’ as it is generally understood.
I often question whether this is the ‘right’
university that I am leading. … (dan seterusnya, yang perlu dirujuk).
(hal. 8). Bagaimana dengan universiti
lain? Adakah kesedaran ini dirasai juga oleh para Naib Canselor yang ramai itu?
Sejauh mana
para sarjana, sasterawan, pengkritik sastera tertawan kepada pandangan buku
tersebut? Kita tidak tahu dengan pasti,
malah besar kemungkinannya mereka menolak pandangan buku itu, kerana buku itu
mengkritik kiblat sastera yang mereka pakai. Katalah mereka menolak kesimpulan
yang dipaparkan dalam buku itu, maka tepatlah rumusan Pascale Casanova dalam
bukunya, The World Republic of Letters
yang mengatakan terdapat dua kiblat dalam kritikan sastera, sama ada Paris atau
London. Ini sangat menarik kerana mana satu pun yang menjadi pilihan sasterawan
Malaysia, para sarjana dan pengkritik sastera, maka tepatlah kesimpulan PB
bahawa itulah kiblat mereka, salah satu atau kedua-duanya. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika mereka
menolak konsep ilmu yang benar kerana konsep itu berkiblatkan Makkah, tempat
asal al-Quran diwahyukan. Sungguh berani para sasterawan dan sarjana sastera
ini memilih Paris dan London menjadi kiblat sastera mereka, padahal ketika
sembahyang mereka memilih Makkah!
Mereka
terpaksa menerima kesimpulan ini kerana semua karya mereka menyerlahkan arah
kiblat sastera mereka dengan amat jelas, yakni sama ada Paris atau London atau
kedua-duanya sekali; tetapi tidak Makkah.
Jika mereka mengarahkan kiblat sastera mereka ke Makkah, maka mereka
akan menerima konsep ilmu yang benar yang bersumberkan al-Quran; dan mereka
tidak ada hujah langsung untuk mengatakan karya sastera terlepas dari hakikat
ini. Demikianlah bodoh dan dangkalnya hujah para sasterawan dan sarjana yang
membuat pilihan yang tidak saja salah, tetapi juga meletakkan mereka dalam
kesesatan yang nyata. Mari kita dengar hujah mereka, jika mereka mahu atau
berupaya memberikan hujah palsu mereka.
Sekarang saya telah menyebut perkataan palsu, yang memberi makna bahawa karya para sasterawan negara dan
pemilihan para anggota Panel Anugerah Sastera Negara sebenarnya diasaskan kepada
kepalsuan teori sastera Barat, yang menjadi landasan mereka, yang semata-mata
diasaskan kepada pandangan peribadi para sarjana Barat yang secara total
menolak wujudnya ukuran berasaskan konsep ilmu yang benar. Sekiranya anda masih
belum faham kesimpulan ini, anda hanya membuktikan betapa cetek dan
meraba-rabanya kedudukan anda yang begitu gigih mempertahankan para sasterawan
negara dan ukuran yang anda gunakan dalam pemilihan mereka, padahal anda
sendiri tahu asasnya ialah kepalsuan ukuran yang dilontarkan oleh para sarjana
Barat yang menolak agama dan peranan agama dalam kehidupan manusia yang siuman.
Adakah ini bermakna para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera Malaysia
tidak siuman? Kita tunggu jawapan mereka, jika mereka mahu memberikannya. Kalau
tidak, mereka telah membenarkan kesimpulan kita.
Kita tidak
boleh berkompromi dalam perkara ini kerana hasil kreatif menjadi sebahagian
daripada tinggalan budaya kita yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.
Supaya mereka tidak tersesat, kita perlu memberikan mereka kesimpulan yang
tegas bahawa yang mereka terima dan warisi itu adalah karya palsu yang
diasaskan kepada nilai-nilai palsu dalam kehidupan manusia yang siuman. Kesimpulan perlu disanggah oleh para sasterawan
dan sarjana sastera, kerana kita perlu mendengar pendirian sebenar mereka dan
apakah asas-asas yang menjadi pegangan mereka yang sampai kepada kesimpulan
itu. Permintaan ini adalah wajar dan memberi penjelasan yang benar adalah wajib
dilakukan olehy golongan ini, jika mereka benar-benar jujur dalam tindakan
mereka menolak konsep ilmu yang benar itu.
Kalau anda
seorang pembaca yang cerdik, anda mungkin bertanya mengapa tajuk entri ini
seolah-olah seperti membicarakan peranan ahli politik, bukan mengenai sastera.
Kalau anda mempunyai perasaan sebegini, jelaslah anda tidak cerdik, dan tidak
peka kepada keputusan yang dibuat mengenai sastera selama ini. Semuanya
keputusan politik. Yang melantik para sasterawan negara adalah orang politik,
yang memberi arahan kepada Panel untuk memilih siapakah yang mereka anggap
layak digelar sasterawan negara. Tanpa arahan politik, gelaran sasterawan
negara itu tidak bermakna langsung; oleh itu tiadalah imbuhan besar yang
diberikan kepada yang dilantik menjadi sasterawan negara itu. Ungkapan “betul bendul” itu tidak saja
berunsur sindiran, tetapi itulah hakikatnya. Perhatikan contoh mengenai
ketokohan A. Samad Said yang telah bersetuju dijadikan resident writer di Universiti Sultan Zainal Abidin. Idea Menteri
Pendidikan supaya sasterawan negara diberi keistimewaan yang istimewa di
tempat-tempat istimewa (universiti adalah tempat istimewa) dengan memberi
mereka kedudukan istimewa, adalah keputusan politik yang dipaksakan oleh ahli
akademik yang ingin mencari favour
daripada ahli politik. Dia tidak rugi sedikit pun dengan menjadi pelaksana
arahan politik; malah dia mendapat tempat yang amat dihormati di kalangan ahli
politik (secara khusus dalam kes ini Menteri Pendidikan sendiri yang memberi
cadangan supaya para sasterawan negara, terutama sekali A. Samad Said diberi
penghormatan dan kedudukan istimewa. VC universiti berkenaan menggunakan
kesempatan itu untuk “mengambil hati” Menteri Pendidikan yang pada hakikatnya
tidak berminat kepada perkembangan intelektual di kalangan pelajar universiti
dengan memperkenalkan mereka kepada perkembangan terbaru dalam kritikan sastera
dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Menteri Pendidikan ini sangat bangga
kerana dia tidak tahu menahu tentang perkembangan ini, yang dalam perhitungan beliau
akan melahirkan para pelajar yang kritis dan dengan itu kerajaan yang disokongnya
akan dinilai dengan kritis oleh para pelajar yang kritis itu. Tetapi dengan munculnya satu poster sekitar
April 2014 mengenai PB, sesuatu yang positif akan diperjuangkan oleh para
pelajar yang kritis ini setelah Kementerian Pendidikan gagal
melaksanakannya. Pembohongan intelektual
yang diperjuangkan oleh Menteri Pendidikan akan mendapat tentangan hebat dari
para pelajar yang tidak dapat menerima tindakan Kementerian Pendidikan yang
masih terus mahu menyekat kebebasan berfikir di kalangan pelajar seperti yang
pernah dilakukan sebelum ini.
Penjajahan ilmu
dalam masyarakat Malaysia sudah pun disedari dan dibincangkan dalam seminar
yang melahirkan buku yang saya rujuk di atas.
Barat tidak perlu membawa askar dan kapal perang untuk menjajah
pendidikan Malaysia, kerana penjajahan ilmu yang mereka lancarkan itu disambut
baik oleh universiti sendiri, dengan mengambil ukuran yang mereka anjurkan
untuk menilai kemajuan sesebuah universiti
dengan menggunakan ukuran Barat. Kini
semua universiti Malaysia berlumba-lumba menjadi hamba intelektual yang
dianjurkan oleh Barat untuk mengukur kekuatan sesebuah universiti. Penjajahan
akademik ini disambut baik oleh para VC universiti Malaysia, seperti yang kita
lihat dalam kes VC Universiti Sultan Zainal Abidin itu. Saya pernah menulis kepada seorang Ahli Dewan
Rakyat untuk membawa perkara ini di dalam Dewan Rakyat; tetapi sesuai dengan
etika politik Malaysia, surat saya tidak saja tidak berjawab malah segala
dokumen yang saya kemukakan dibakul-sampah saja. Padan muka!!
Kebiadaban
baru yang kini menjadi tunjang Malaysia Kini yang palsu itu dijadikan asas
perkembangan kemajuan yang tidak saja terus menindas rakyat yang bodoh dan
percayakan para pemimpin yang korup dan jahat, malah mereka terus dimaki hamun
sebagai golongan pemalas yang mengharap bantuan sepanjang masa, tanpa sebarang
usaha untuk membaiki kedudukan mereka. Ada orang berkata dengan sinis, tuduhan
itu sebenarnya memberi isyarat kepada mereka untuk bangkit dalam satu revolusi
sosial yang besar untuk menghancurkan segala kepalsuan yang telah mereka lalui
dengan sabar selama hampir 70 tahun. Mujurlah di kalangan orang Melayu tidak
ada sejarah kebangkitan melawan para pemimpin dalam revolusi sosial yang besar,
maka dengan itu mereka akan terus memilih pemimpin mereka yang korup itu kerana
itu saja pilihan yang ada pada mereka. Sebenarnya revolusi itu boleh diwujudkan
dalam pemikiran kritis yang bertunjangkan konsep ilmu yang benar. Di sinilah
peranan besar Gagasan Persuratan Baru, yang dengan gigih cuba ditahan
pengaruhnya oleh para sasterawan dan sarjana. Juga oleh Kementerian Pendidikan
sendiri, yang lebih cenderung untuk mengajar para pelajar terus menjadi bodoh
dan pengikut yang tidak berani bersuara. Telah munculkah golongan pengkhianat
intelektual dalam perkembangan kebudayaan kita?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 4 Mac 2019.
No comments:
Post a Comment