Mungkinkah
seorang ahli politik boleh berjaya tanpa pembohongan? Pertanyaan ini bodoh, tetapi itulah yang
terjadi. Di mana-mana pun pembohongan adalah satu senjata politik yang tidak
dapat ditinggalkan, jika anda mahu menjadi seorang ahli politik yang berjaya. Pembohongan adalah senjata ampuh dalam politik. Apakah maksud ampuh? Di sebelah utara, jika
hujan lebat dan padi sedang membesar, para petani sanggup turun ke bendang
untuk membuang air supaya padi yang sedang membesar tidak “lemas” dan
mati! Berlainan sama sekali dengan makna
ampuh dalam politik, yang merujuk kepada keberkesanan politik pembohongan dalam
kerjaya seorang ahli politik yang berjaya. Kejayaan seorang ahli politik hanya
boleh dinilai dari pembohongan politiknya; ini termasuk juga jika anda seorang
yang bergelar “ulama” (atau paling tidak “ustaz”) yang menggunakan Islam
sebagai senjata politik anda. Anda tetap berbohong, malah anda akan berkata
menurut Islam, pembohongan itu wajib jika untuk kepentingan masyarakat. Kerana
itulah satu ketika dulu ada seorang ahli
politik PAS yang mengeluarkan satu petua yang terkenal, “Amanat Haji Hadi”.
Menurut amanat itu, ahli politik yang berbohong dan menolak (?) agama boleh
dibunuh, dan wajib dibunuh! Sekarang
amanat itu tidak kedengaran lagi, kerana pemimpin yang mengeluarkan amanat itu
kini sangat intim dengan anggota dan ketua parti yang disebutnya boleh dibunuh.
Maklumat terbaru yang saya terima menolak kesimpulan di atas; sebaliknya Amanat
Haji Hadi bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya percayakan keunggulan
Islam sebagai alternatif dalam politik. Oleh itu, pilihlah PAS. Saya kira permintaan itu wajar kerana kini
agama memang dikomersialkan, termasuk oleh para ustaz yang memberi ceramah di
TV. Satu perkembangan baru yang menarik, walaupun saya kira ini akan memberi
gambaran salah dan tidak tepat kepada penonton yang memang sedia secara semula
jadi bersifat anti-Islam. Adakah ini
satu aspek dari pembohongan itu? Kita perlukan perbincangan kritis mengenai
persoalan ini.
Dalam politik
Malaysia, terdapat dua orang tokoh besar yang menjadi kebanggaan negara.
Pertama, Ustaz Haji Hadi adalah tokoh politik yang tidak pernah berbohong dalam
karya politiknya. Ini sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang ulama ulung
Nusantara, malah kini sudah mencapai kedudukan istimewa sebagai seorang ulama
sejagat yang bukan saja aktif dalam politik, tetapi juga satu-satunya ahli
politik yang tidak pernah berbohong.
Sebaliknya, Dr. Mahathir Mohamad, sesuai dengan kritikan Perdana Menteri
Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman,
adalah seorang pembohong yang tidak boleh dipercayai. Yang istimewanya, beliau dengan bangga
mengaku bahawa beliau memang berbohong untuk mendapat kemenangan, dengan
memberitahu pengundi bahawa sekiranya PH menang, bayaran tol akan dihapuskan.
Setelah menang, beliau berkata penghapusan tol tidak boleh dibuat, terlalu
mahal dan kerajaannya tidak ada wang setelah harta negara dicuri oleh Perdana
Menteri sebelumnya.
Mungkin anda
tidak percaya bahawa rakyat Malaysia sangat bangga dengan dua orang tokoh besar
ini, yang menjadi contoh bagaimana seseorang yang mahu menjadi ahli politik
yang berjaya mestilah mengikut jejak langkah mereka. Seperti yang saya tegaskan, pembohongan
adalah strategi politik yang paling ampuh dan ini disedari oleh ahli politik
yang berjaya. Sebaliknya pula, kebenaran adalah kebenaran yang tidak boleh
dipinda sesuka hati, tetapi boleh diberi tafsiran baru sesuai dengan kedudukan
dan taraf yang tinggi seseorang ahli politik . Itulah pendirian Ustaz Haji Hadi
sepanjang kerjaya politiknya yang amat dikagumi dalam PAS. Ustaz Haji Hadi membuktikan
semua ini dalam Amanat Haji Hadi yang masyhur itu. Banyak sekali pandangan silap dan serong
mengenai Amanat Agung dalam politik Melayu Islam ini, seolah-olah Amanat ini
dicipta khas untuk mendidik penganut Islam menjadi pejuang gigih dalam menegakkan
Islam di Tanah Melayu yang namanya sudah berubah menjadi Malaysia Baru hasil
desakan dan perjuangan DAP yang menolak apa saja yang bersifat Melayu. Banyak kritikan dilemparkan terhadap Amanat
ini, terutama dari aspek dolak-dalik Ustaz Hadi sendiri ketika membicarakan
Amanat agungnya itu. Suka atau tidak,
inilah dokumen politik paling unggul selepas perisytiharan kemerdekaan. Itulah
kehebatan Amanat ini, yang akan abadi dalam politik Melayu menjadi pendinding
kepada kerenah penipuan dan pembohongan politik kaum bukan Melayu yang berasal dari negeri luar tetapi dibawa
Inggeris untuk dijadikan penghalang kepada kemaraan Melayu dalam politik dan
ekonomi. Inilah yang terjadi. Hingga kini Melayu tidak boleh bangkit melawan
pendatang yang dibawa British ini, dan akan tetap papa kedana di negara mereka
sendiri yang kini bukan lagi Tanah
Melayu tetapi dengan kehendak politik menjadi Malaysia Baru. Menurut Ustaz Dato’ Dr. Haji Mahfodz bin
Mohamed, Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Amanat itu dikeluarkan kerana
pemerintahan Mahathir ketika itu sangat teruk.
Amanat ini dikeluarkan pada 7 April 1981; manakala Mahathir dilantik
jadi PM pada 16 Julai 1981. Ketika Amanat itu dikeluarkan, Mahathir belum lagi
jadi PM. Kita kena tanya PAS macam mana pula
pemerintahan Mahathir teruk padahal beliau belum lagi jadi PM ketika
Amanat itu dikeluarkan. Inilah cara PAS …
Nampaknya PAS dapat “wahyu”. Atau ada penjelasan lain? Saya salin sebahagian daripada Amanat agung
politik Melayu Islam itu:
“Saudara-saudara
sekalian, percayalah, kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita
menentang BN, bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan
perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan
jahiliah. Oleh sebab itulah kita menentang mereka, oleh sebab itulah kita
berjuang melawan mereka. Percayalah saudara-saudara, perjuangan kita adalah
jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita
berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini mati kita
adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi,
kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak
payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir kerana mengatakan, politik suku
Islam suku… “
Sebenarnya
kita perlu membezakan pembohongan daripada pertuduhan yang boleh saja silap. Adakah ini
dibenarkan dalam Islam? Mestilah dibenarkan mengikut versi PAS. Kalau tidak tentulah mereka tidak buat. PAS
tidak pernah mengaku mereka buat silap,
itulah istimewanya parti Islam ini.
Seperti yang ditegaskan oleh Ustaz
Haji Hadi sebagai Ketua Agung PAS, parti itu berjuang untuk menegakkan
kebenaran.
Konsep
pembohongan dalam politik sebenarnya penting dan perlu dikekalkan, supaya
integriti para pemimpin politik selalu dan tetap terjamin dalam keadaan macam
mana pun, termasuk ketika mereka berbohong sekali pun. Dalam konteks inilah pentingnya ucapan Tunku
terhadap Dr. Mahathir sebagai seorang pembohong yang diucapkannya kepada
Menteri Kewangan ketika itu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 16 Mac, 2019.
Kebenaran sesuatu yang tiada siapa dapat menafikan.
ReplyDeleteKebatilan hancur-lebur,binasa jua akhirnya.Setelah melalui tempoh masa tertentu.
Catatan sejarah sebuah bangsa.