Sebuah
penerbit yang dikendalikan oleh anak muda progresif sepenuhnya telah
menerbitkan edisi ke-2 novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu (2017).
Terima kasih kepada Klasika Media yang tabah berjuang untuk
mengembalikan semula kegemilangan persuratan Melayu. Novel mini ensiklopedia ini untuk semua
pembaca, tidak hanya untuk peminat karya kreatif seperti selalunya. Novel yang
tebal ini (lebih 700 halaman) membahaskan semua aspek kehidupan bangsa Melayu,
sambil mengajak mereka membaca dengan kritis dan kreatif sebuah karya yang lain
dari yang lain ini. Dengan rendah diri,
tetapi tegas, saya klaim novel mini ensiklopedia ini muncul gagah untuk
mengatasi semua karya para sasterawan negara, yang akan kelihatan amat kerdil
jika dinilai secara perbandingan dengan Pujangga
Melayu. Kesimpulan ini bukan satu
cabaran, tetapi satu kenyataan akademik yang mengajak semua sarjana sastera
tampil mempertahankan karya para sasterawan negara tanpa melupakan maruah
akademik mereka untuk menganalisis dan menilai novel mini ensiklopedia ini
serentak dengan semua karya para sasterawan negara. Satu kerja yang mudah bagi yang tahu
melakukannya dan mempunyai kejujuran akademik untuk melakukannya dengan
objektif.
Prof. Madya
Mohd. Zariat Abdul Rani dari UPM, dalam sebuah tulisannya yang diterbitkan
dalam Pertanika J. Soc. Sci. & Hum. 16(2): 187-201 (2008), bertajuk ‘Wacana’ dan ‘Cerita’ dalam Novel Pujangga Melayu oleh Mohd. Affandi Hassan, telah
membuat rumusan seperti berikut:
RUMUSAN
Dengan
menerapkan PB yang dengan ketara membezakan
antara ‘ilmu’ dan ‘cerita’ sebagai kerangka, analisis ini berhasil menemui beberapa perkara
penting tentang penggemblengan ‘ruang naratif’
Pujangga…. Analisis mendapati bahawa novel
memperlihatkan keprihatinan terhadap kemungkinan-kemungkinan
yang ditawarkan oleh ‘ruang
naratif’ bagi tujuan pengisiannya, iaitu sama
ada untuk ‘isian cerita’, atau ‘isian wacana’. Analisis
juga mendapati bahawa novel telah memanfaatkan
kedua-dua bentuk isian, iaitu ‘isian cerita’
dan ‘isian wacana’ guna mengisi ‘ruang naratif’nya.
Dalam konteks kedudukan antara kedua-dua
jenis isian tersebut, analisis mendapati bahawa
‘isian wacana’ lebih mendominasi ‘ruang
naratif’ Pujangga…, dan ‘isian cerita’ hanya
digembleng untuk tujuan menghadirkan ‘wacana’.
Selain menjelaskan tentang keutamaan novel
terhadap ‘ilmu’, dapatan-dapatan yang diperoleh
di atas dengan sendirinya menyerlahkan komitmen
Mohd. Affandi yang didapati berusaha untuk
merealisasikan seruannya sendiri supaya karya
sastera dimanfaatkan sepenuhnya sebagai wadah
ilmu yang legitimate.”
Rumusan
ini boleh dijadikan asas untuk memulai satu perbincangan akademik mengenai Pujangga Melayu dibandingkan dengan
seluruh karya para sasterawan negara, untuk
melihat sejauh mana novel mini ensiklopedia ini boleh dijadikan asas
untuk membuat penilaian terhadap seluruh karya para sasterawan negara. Tentu saja para sarjana sastera tidak akan
menerima cadangan ini, kerana mereka sudah terikat dan memang mengikatkan diri
mereka untuk hanya menggunakan ukuran menurut teori sastera Barat, untuk
memastikan karya para sasterawan negara
itu selamat. Menurut pandangan para sarjana ini, penilaian berasaskan selain
dari ukuran teori sastera Barat akan menjadikan karya para sasterawan negara
tidak relevan lagi, oleh itu boleh diketepikan.
Saya
pernah menyatakan bahawa kemunculan para sasterawan negara adalah satu jenayah
intelektual yang amat memalukan kita, kerana para sasterawan negara ini
dijadikan begitu istimewa dengan gelaran yang mesti disebut, mengatasi
kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu yang jauh lebih berilmu dan berjasa
kepada perkembangan tamadun Malaysia.
Lebih memalukan kita ialah apabila terdapat di kalangan para sasterawan negara
ini tokoh yang bertindak aneh, dan melucukan, untuk memanjat bumbung kilang
besi berkarat untuk mencari ilham menulis kertas kerja suatu persidangan penulis
seluruh Malaysia. Tidak saja kelakuan ini lucu dan naif, malah telah
menjatuhkan maruah kreatif seluruh sasterawan negara, dengan mengemukakan satu
pertanyaan budak-budak sekolah, “Inikah kelakuan sasterawan negara?” Semua ini terjadi kerana mereka ini keliru
dalam konsep ilmu, tidak tahu dari manakah kita boleh dapat sumber ilmu. Kerana
tidak tahu sumber ilmu, maka tokoh ini menjadikan kilang besi berkarat sebagai
sumber ilmu, atau sekurang-kurangnya percaya bumbung kilang besi berkarat boleh
memberikannya ilham untuk menulis kertas kerja yang bermutu tinggi. Tentu saja
seorang sarjana yang begini sikapnya terhadap ilmu tidak layak tampil untuk
membicarakan sebuah novel yang unik seperti novel mini ensiklopedia itu. Lagi pula golongan ini terlalu angkuh untuk
membicarakan sesuatu karya yang di luar Mutual Admiration Club. Mereka gemar
memuji sesama sendiri dan berasa selesa puji-memuji satu sama lain.
Dengan
adanya indeks disediakan oleh Klasika Media untuk Pujangga Melayu, pembaca akan lebih mudah melihat isian novel ini
yang diperincikan di dalam indeks itu.
Antara teknik yang digunakan novel ini ialah penggunaan sisipan yang
menjadi sebahagian daripada struktur novel, dengan itu sisipan itu tidak boleh
diremehkan begitu saja seperti yang dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari ketika
membicarakan kemantapan sajak Melayu, telah meninggalkan sajak-sajak penting
yang jauh lebih bermutu daripada karya para sasterawan negara sendiri yang
menjadi sisipan dalam novel mini ensiklopedia ini. Novel mini ensiklopedia ini memaksa para
sarjana mengubah persepsi mereka tentang
novel, yang tidak lagi hanya untuk bercerita secara sensasi seperti yang
ditulis oleh para sasterawan negara. Pendekatan
yang dipakai oleh Prof. Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam esei beliau yang
saya rujuk bolehlah dijadikan satu standard dalam analisis novel jenis karya
persuratan seperti Pujangga Melayu.
Satu
kelebihan yang ada pada PB ialah mengenai cara membaca sesuatu karya kreatif.
Dalam teori sastera Barat, terutama yang diwakili oleh Derrida dan Barthes,
masalah besar mereka ialah bagaimana membaca karya kreatif yang mereka kaitkan
dengan tafsiran. Bagi mereka membaca bukan untuk mencari makna, sebaliknya
mereka menolak apa juga maksud penulis yang bagi mereka tidak penting. Sesuatu
teks sentiasa berkecamuk dengan ambiguiti, oleh itu maknanya tidak stabil,
kerana bagi mereka dalam setiap teks terdapat apa yang mereka sebut aporia, yang boleh kita terjemahkan sebagai
“kemaharajalelaan makna”.
Persuratan
Baru menolak aporia kerana teks persuratan mempunyai matlamat untuk
menyerlahkan keindahan dan makna, yakni teks yang indah dan bermakna.
Keindahan tidak saja dalam penggunaan bahasa tetapi juga dari segi
kemampuan mewacanakan idea dan pemikiran, bukan hanya sekadar bercerita. Aspek
ini amat ditekankan dalam PB, oleh itu penggunaan ruang naratif dalam PB diberi
keutamaan dalam konteks menyampaikan wacana, bukan hanya untuk bercerita. Prof.
Madya Mohd. Zariat Abdul Rani telah menjelaskan aspek ini dengan baik dalam
rencana beliau yang dirujuk. Dari segi pemakaian bahasa, diutamakan aspek makna
dalam konteks kesempurnaan bahasa berasaskan konsep ihsan, yakni keindahan
bahasa berasaskan konsep ihsan. (Aspek ini telah dijelaskan beberapa kali dalam
blog ini.) Jika aspek ini diberi
perhatian, maka tidak mungkin terdapat aporia di dalam teks, kerana konsep
ihsan itu sendiri menolak secara total aspek aporia di dalam teks sebagai salah
satu ciri “ingkar ilmu” yang ditekankan oleh Prof. Wan Mohd. Nor. Dalam konteks
ini, aporia adalah teknik yang digunakan Iblis untuk memperdayakan manusia.
Al-Quran menegaskan bahawa sifat iwajan
(crookedness) ditolak sama sekali
oleh al-Quran kerana jika ini berlaku, maka panduan yang diberikan al-Quran
akan penuh dengan ambiguiti dan aporia.
Aspek ini menjadi prinsip penting dalam karya persuratan, oleh itu
perwatakan dalam karya persuratan akan mengarah kepada mencapai kedudukan untuk
menjadi contoh teladan yang terbaik (uswatun
hasanah), dengan itu apa juga jenis sensasi dalam perwatakan ditolak
bulat-bulat. Berasaskan penjelasan
ringkas (tapi sudah mencukupi) yang diberikan di sini, maka bagaimana Pujangga Melayu harus dibaca? Pertanyaan ini saya kemukakan untuk anda yang
akan membaca Pujangga Melayu dengan
kritis dan kreatif.
Apakah
yang dimaksudkan dengan bacaan yang kritis dan kreatif? Sesuatu bacaan menurut PB akan menjadi kritis
apabila diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Dua perkara penting yang
perlukan penjelasan: pertama, makna ilmu yang benar; kedua, sumber ilmu dan
perbezaannya dengan maklumat. Dua aspek ini telah diulang-ulang berkali-kali
dalam blog ini, oleh itu tidak perlu lagi diulang di sini. Memahami konsep ilmu adalah kunci untuk anda
membaca dengan kritis; oleh itu anda akan mengerti mengapa saya menolak
percubaan ITBM dan DBP untuk menjadikan sastera teras negara bangsa. Perbezaan
antara ilmu dan maklumat juga sangat penting, kerana jika kedua-duanya
disamakan, seperti dalam karya Dr. Norhayati
Ab. Rahman dan Dr. Mawar Shafei, maka hasilnya amat mengelirukan dan lebih
mendekati sampah akademik walaupun diberi anugerah segala macam. Hakikat ini
mesti difahami dengan mendalam, supaya anda tidak terpedaya dengan retorik
peragaan dan fatamorgana bahasa yang sering menjadi teknik analisis para
sarjana ciritan dalam tulisan mereka.
Kemunculan Gagasan Persuratan Baru ialah untuk menghapuskan kepalsuan
dan penipuan akademik yang berleluasa dalam sastera Melayu. Beberapa contoh yang dianalisis dengan kemas
telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan beliau.
Antara lain rujuk Gagasan Persuratan Baru,
edisi kedua; dan dua buah lagi: Ilmu
Teras Persuratan Melayu, dan Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan. Para sarjana yang meremehkan buku-buku ini
sebenarnya meremehkan diri mereka sendiri, yang jelas tidak dapat menghasilkan
karya yang lebih bermutu daripada tiga buah rujukan di atas. Sekiranya ada
(saya tidak berjumpa), sila kemukakan kepada khalayak untuk dinilai dengan
objektif dan diberi kedudukan sewajarnya.
Saya
selalu menegaskan, kadang-kadang sambil
bergurau, sesiapa juga yang membaca Pujangga
Melayu dengan kritis dan kreatif akan mendapat faedah yang tidak
terfikirkan oleh mereka selama ini, dan ini akan membuat mereka menjadi lebih
cerdik. Penegasan dan kesimpulan saya cukup kuat hujah dan buktinya di dalam
novel mini ensiklopedia ini, yang banyak membuat rujukan dalam perkembangan
ilmu dan tamadun yang dibina oleh Islam di seluruh dunia. Jika anda menelusuri
rujukan itu, saya pasti anda akan mendapat gambaran yang jelas tentang
kehebatan tamadun Islam. Inilah yang akan membuat seseorang pembaca yang
membaca karya ini dengan kritis dan kreatif menjadi lebih cerdik dan terbuka
kepada ilmu yang menjadi teras tamadun Islam. Saya fikir pembaca muda yang
bukan dari aliran sastera akan mendapat faedah yang lebih besar daripada buku Pujangga Melayu kerana mereka lebih
terbuka kepada ilmu. Pembaca dari aliran sastera telah ditutup kesedaran mereka
kepada ilmu oleh para pensyarah mereka sendiri atau sekurang-kurangnya guru
sastera yang sangat terbatas pengetahuannya tentang peranan ilmu dalam
pembinaan tamadun. Walau bagaimanapun, saya sangat optimis bahawa mereka ini
pun akan sedar bahawa mereka sudah lama dikelirukan oleh guru-guru sastera,
baik di universiti mahu pun di sekolah-sekolah, yang telah menghidangkan
pengajaran sastera yang sudah menjadi klise di kalangan sarjana Barat sekali
pun.
Kesimpulan dan Cabaran
Berapa
lama lagikah para sarjana sastera sanggup memperhambakan diri mereka kepada
teori sastera Barat? Sikap “lembu kenyang”
yang mereka tunjukkan dalam kelakuan akademik mereka membuat kita berasa
hairan bagaimana kumpulan “lembu kenyang” ini sanggup menjadi hamba pemikiran
orang lain yang asing dari segi budaya dan agama, iaitu para sarjana Barat yang
membina teori-teori sastera yang kini menjadi ikutan para sarjana sastera
Malaysia. Apakah yang istimewa dalam teori
sastera Barat itu? Dan jika pun terdapat keistimewaan, adakah para peniru dan
pengekor teori Barat ini juga istimewa? Dari perspektif yang bagaimana mereka,
para pak turut yang berlagak seperti “lembu kenyang” ini, istimewa?
Menjawab
beberapa soalan yang saya kemukakan ini amat penting, kerana dari jawapan
itulah kita dapat menilai sumbangan mereka yang sebenar dalam memajukan
pemikiran dalam bidang kreatif dan akademik yang berkaitan dengan penulisan,
yang kini lebih popular dengan panggilan “sastera”. Seperti yang anda boleh kesan, jika anda
sensitif kepada persoalan ilmu dan pemikiran dalam “sastera” yang saya
bangkitkan dalam beberapa siri tulisan terakhir ini, anda akan dapati dua tema
utama yang ingin saya ketengahkan. Pertama, mengapa begitu kuat sekali sikap
anti-ilmu, atau ingkar ilmu, di kalangan sarjana sastera? Kedua, dan ini saya kira lebih penting,
mengapa mereka tidak mahu para sasterawan negara dinilai berasaskan sumbangan
mereka kepada budaya ilmu dan pemikiran bernas dalam “kesusasteraan”? Mengapa
mereka menolak “pemikiran” sebagai asas penilaian? Jika sesungguhnya para
sasterawan negara ini golongan pemikir yang handal, mengapa mereka takut
dinilai dengan persis dan objektif sumbangan mereka dalam “pemikiran” itu?
Saya
mendapat kesan, mereka ini hanya bercakap kosong tentang “pemikiran”, tetapi
amat bacul dan sekali gus angkuh bila dicabar untuk dinilai dari perspektif
ilmu dengan daya kreatif yang tinggi. Maka itulah saya ajukan satu penyelesaian yang mudah, iaitu dengan memujuk
para sasterawan negara dan para penyokong mereka tampil dengan gagah berani ke
medan akademik untuk menumpaskan Pujangga
Melayu dan Gagasan Persuratan Baru yang memang amat dibenci dan dimusuhi
oleh mereka. Mereka tidak dapat menolak
kenyataan ini, kerana sejak mereka mula menilai peranan ilmu dalam sastera dan
persuratan ketika menilai Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid, mereka telah menunjukkan ketakutan
mereka dengan menolak karya itu kerana pendahuluannya menyebut perkataan
“ketayap” yang dipakai bersama “baju kot”! Mereka mengaku isi buku itu bagus,
tetapi mereka marah dengan perbandingan yang disebut di dalam buku itu. Mereka
bertindak seperti budak-budak ingusan, bukan sebagai sarjana. Hingga sekarang
tidak seorang pun daripada mereka berani tampil dengan kontan menolak buku itu;
lebih-lebih lagi apabila buku kecil itu mendapat penghargaan di luar negeri;
dan berasaskan pemikiran dalam buku itulah lahir beberapa buah buku lagi
membicarakan Gagasan Persuratan Baru.
Manakala pihak yang menentang dan meremehkan pemikiran yang dicabar oleh
buku itu tidak melahirkan apa-apa yang benar-benar hebat dari segi pemikiran
dan sumbangan intelektual yang memang kita harapkan.
Itulah
situasi yang ada, dan masih berleluasa hingga sekarang. Kita berada dalam
situasi anti-ilmu ini sejak 1990-an lagi, malah lebih awal, hingga kini. Apakah
yang menyebabkan hal ini berlanjutan? Jawapan yang mudah yang selalu saya
berikan ialah, mereka amat marah dengan kemunculan PB yang mencabar dengan
kontan kemunculan sasterawan negara dan para penyokong mereka yang terdiri daripada
para sarjana ciritan. Mereka tidak
langsung mempunyai hujah dan bukti untuk menolak PB yang kini sudah menjadi
Jabal Tariq dalam kesusasteraan Melayu, yang mereka tidak berdaya menawannya
kerana mereka bukan pahlawan ilmu seperti Tariq bin Ziad seorang pahlawan. Tetapi cabaran PB tetap mereka akan hadapi
selama-lamanya; maka itulah saya dengan rendah hati mengajak mereka yang berada
dalam Mutual Admiration Club itu tampil dengan lembing ilmiah mereka untuk
mempertahankan karya para sasterawan negara, yang menurut PB tidak satu pun
dapat mengatasi Pujangga Melayu dengan
segala sisipan yang ada di dalamnya.
Menerima
sesuatu yang baik adalah tanda orang berilmu. Menolaknya kerana keangkuhan dan
hasad adalah sifat Iblis. Hakikat ini telah dicatat di dalam al-Quran dan Sunnah.
Jika anda lebih selesa berada dalam kumpulan kedua, teruskanlah.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 29/3/2017.
No comments:
Post a Comment