Menjadi editor
adalah suatu kerja yang mulia dalam dunia penerbitan, tetapi amat sukar,
memerlukan ketajaman dan penelitian seekor helang yang boleh nampak anak katak
di padang dari atas gunung. Baru-baru
ini saya baca beberapa bahagian Pujangga Melayu,
edisi kedua (2017), tiba-tiba melompat beberapa kesilapan yang tidak
disangka-sangka. Misalnya: Mak Yam
menjadi Mak Tam (hal. 447); menipu
menjadi mampu (hal. 445). Saya tidak berasa gusar atau kecewa, kerana masih ada
edisi pertama Fajar Bakti 1997, yang saya semak sendiri sebelum ke luar
negeri. Untuk edisi baru ini saya tidak
baca, jadi memang semua kesilapan yang terjadi adalah tanggungjawab saya kerana
tidak menggunakan peluang untuk menyemak tidak saya gunakan sewajarnya. Catatan ini untuk para penyelidik, atau
mungkin juga pengkritik sastera. Jika mereka terjumpa beberapa kesilapan yang
tidak disengajakan, mereka harus kembali kepada edisi 1997 untuk membuat
pembetulan sendiri. Pada umumnya saya
puas hati dengan edisi 2017 ini, terutama kerana adanya Indeks yang boleh
membantu pembaca mengesan dan mengenal isu-isu penting yang dibincangkan dalam
novel persuratan ini. Inilah satu
kemajuan yang bagi saya amat bererti, yang saya kira akan menjadi ikutan secara
spontan satu hari nanti. Hanya sanya, jika Indeks itu dibuat, kelemahan dan
kekuatan sebuah novel akan terserlah,
tidak dapat dielakkan. Itulah sebabnya saya mencadangkan supaya Naratif Ogonshoto ditambah Indeks untuk
membuktikan novel itu adalah yang teragung dalam sastera Melayu, di samping itu
akan memudahkan para pelajar yang menggunakan novel ini mengenal pasti isi dan
isu novel besar yang teragung dalam sastera Melayu ini. Paling penting ialah aspek perwatakan,
bagaimana watak-watak utama digambarkan dalam novel itu. Para pelajar, dan guru sastera, perlu
diberikan kemudahan itu supaya mereka dapat mengenal dengan pasti kehebatan
novel terbaik sastera Malaysia ini. Saya
harap DBP yang menerbitkan novel ini tidak terlalu kedekut, atau takut, untuk
menyerlahkan kehebatan novel teragung sastera Melayu ini.
Dalam teks
sastera lama, kesilapan sering terjadi kerana penyalin daripada teks asal tidak
semestinya tahu betul-betul teks yang disalinnya. Oleh itu mudah saja sebuah
hikayat seperti Hikayat Hang Tuan
mempunyai beberapa versi; dan mengikut Kassim Ahmad yang terbaik dan tepat
ialah teks dari Kelantan. Dalam zaman Internet, kesilapan dilakukan dengan
selamba saja oleh alat penyalin yang buta huruf, tetapi boleh menyalin secara
automatik. Kesilapan yang dilakukan mesin boleh dibetulkan dengan mudah, oleh
itu Pujangga Melayu versi kedua ini tidak
sukar untuk dibuat pembetulan kerana cetakannya dibuat mengikut permintaan,
oleh itu ada masa untuk membuat pembetulan. Ini hanya sekadar cadangan, tidak
semestinya diikuti, seperti saya sebut tadi saya puas hati dengan teks yang ada
di tangan saya. Saya sendiri yang menulis entri dalam blog ini sering kali membuat
kesilapan, dan saya tidak perasan sehingga diberitahu. Membetulkan kesilapan
yang kita lakukan dengan tidak sengaja adalah tanggungjawab kita, no big deal.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 14/4/2017.
No comments:
Post a Comment