Friday, April 7, 2017

CATATAN KECIL UNTUK BEBERAPA ENTRI TERPILIH

Saya tidak pasti berapa orang daripada pembaca blog ini yang terkesan bahawa entri terakhir bertarikh  6 April 2017 adalah yang paling keras, tanpa kompromi, yang pernah saya siarkan dalam blog ini.  Bayangkan saya mencabar seluruh sarjana sastera menafikan bahawa novel teragung sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, sebenarnya tidak perlu dan tidak wajar ditulis, apatah lagi diterbitkan. Cabaran ini dengan sendirinya menolak secara total segala pujian para sarjana luar dan dalam negeri terhadap penilaian mereka yang saya anggap hanya sejenis pembohongan intelektual yang mudah diterima oleh sesiapa saja yang tidak mempunyai pendirian ilmiah tersendiri dalam membuat sesuatu penilaian. Saya mengasaskan kesimpulan saya dari perspektif PB.  Jika anda mahu, anda boleh dengan mudah menolak Gagasan Persuratan Baru yang menolak novel itu dengan mempertahankan novel itu menurut pertimbangan akademik yang anda pilih. Jika anda berjaya melakukan ini, anda dikira menang dalam pertarungan ilmiah dan akademik kerana anda berjaya menolak segala ukuran yang diajukan PB sebagai palsu dan tidak berguna untuk sastera Malaysia. Tetapi jika anda gagal, anda akan berada dalam kumpulan pelawak sastera (literary jokers)  yang menjadikan pembohongan ilmiah sebagai hujah, yang tentu saja hujah yang demikian adalah palsu dan tidak boleh dipakai. Tetapi saya yakin tidak ada seorang pun daripada ahli akademik akan menyahut cabaran ini, kerana mereka harus menguasai dua disiplin, iaitu disiplin ilmu-ilmu Islam dan disiplin dalam kritikan sastera Barat. Yang kedua itu belum tentu mereka kuasai, jika anda baca dengan kritis penolakan saya terhadap tesis Mana Sikana yang menyanjung Shahnon Ahmad sebagai pembikin teori (?) sastera Islam pascamodernisme. (Lihat kutipan daripada tulisan beliau dalam entri berkenaan.)  Adalah lebih wajar dan lebih logik bagi mereka bersikap “lembu kenyang” untuk menyelamatkan kedudukan mereka.  Sikap ini pada umumnya telah diterima oleh masyarakat sastera dan dijadikan pandangan arus perdana yang menurut mereka mempunyai hegemoni akademik tertentu.  Kalau begitu biarkanlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Tujuan saya menulis beberapa entri terpilih itu ialah untuk memberi penekanan bahawa kemajuan persuratan Melayu kini berada dalam tangan para penulis dan ahli akademik yang menerima konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif dan penilaian karya kreatif.  Apa bila saya mengajukan Pujangga Melayu sebagai karya terbesar sastera Melayu, maka tujuan saya ialah hendak memberi laluan mudah kepada para penentang konsep ilmu yang benar itu menjadikan Pujangga Melayu sebagai hujah untuk menolak kesimpulan saya tadi.  Dengan itu mereka akan mengemukakan pandangan mereka yang sehabis kritis untuk menolak kesimpulan dan cabaran tadi. Saya fikir mereka boleh melakukannya; tetapi mereka juga sebenarnya cerdik, kerana jika mereka lakukan itu, yang mereka tayangkan kepada masyarakat sastera ialah kedudukan mereka sebagai pelawak sastera (literary jokers). Tentu mereka tidak mahu, kerana ini amat memalukan mereka. Tetapi mereka berada  dalam dilema yang amat pahit: dengan tidak berbuat apa-apa, dengan mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”, mereka sendiri telah menerima kedudukan mereka sebagai pelawak sastera (literary jokers). Itulah kedudukan sebenarnya pada waktu ini.  Itulah sebabnya saya menegaskan konsep pelawak sastera (literary jokers) itu sangat penting dalam sastera Melayu.  Merekalah yang berkeliaran dengan bebas di pusat-pusat pengajian tinggi dan di institusi penerbitan kerajaan dan di Kementerian Pelajaran.  Merekalah yang menentukan bahawa sastera Melayu akan terus mundur dan berada dalam keadaan keliru dalam konsep ilmu dan cetek meraba-raba dalam disiplin akademik kerana terlalu bergantung pada teori sastera Barat. Semua ini sebenarnya merupakan kecelakaan intelektual yang dipaksakan ke atas sastera Melayu.  Mengapa mereka melakukan ini dijawab oleh mereka sendiri melalui buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Inilah karya terbesar, dan paling unggul, hasil “pemikiran” para pelawak sastera (literary jokers) ini.

Tetapi di sini terdapat kontradiksi yang sungguh menyeronokkan pemerhati perilaku manusia, bagaimana mereka ini menggunakan segala kesempatan yang ada untuk mencapai kemahuan peribadi mereka. Inilah yang mereka gambarkan dalam resolusi mereka. Tajuknya “sastera teras negara bangsa”, tetapi matlamatnya  ialah kesempatan memperoleh faedah peribadi melalui cadangan yang mereka kumpul dalam “Resolusi” persidangan.  Bolehkah kita percaya orang-orang seperti ini akan membina negara bangsa berasaskan kemahuan hawa nafsu mereka yang bersifat kebendaan belaka? Katalah anda seorang Islam yang faham makna dan maksud tauhid, adakah anda akan menulis sebuah karya seperti Naratif Ogonshoto? Atau TIVI? Atau Salina?  Atau sajak paling terkenal dalam sastera Melayu, “Pulang Si Tanggang”? Tentu saja anda akan menulis Pujangga Melayu, dan sajak “Al-Andalus”. Dengan melontarkan perbandingan ini, anda akan mula berfikir dengan serius, di mana silapnya Pujangga Melayu dan “al-Andalus”; dan di mana pula hebatnya Naratif Ogonshoto, TIVI, Salina, dan “Pulang Si Tanggang.”  Tetapi hal ini tidak berlaku di kalangan pelawak sastera (literary jokers) yang akan memilih Naratif Ogonshoto, TIVI, Salina dan sajak “Pulang Si Tanggang” kerana semua karya itu ditulis oleh para sasterawan negara. Bagi mereka, konsep tauhid tidak relevan di sini, dan tidak penting. Sekiranya relevan dan penting, tentu saja tidak akan ditulis novel dan sajak kepunyaan para sasterawan negara itu. Sekarang anda akan lebih mudah memahami cabaran kecil yang saya kemukakan, mengapa Naratif Ogonshoto tidak perlu dan tidak wajar ditulis dalam bentuknya yang ada itu. Dan lain-lain karya juga. Sekarang anda boleh lihat dengan lebih mudah bagaimana anda diperbodohkan oleh para pelawak sastera (literary jokers) ini. Akhirnya anda akan sampai kepada kesimpulan yang mungkin anda benci dan marah: kehebatan Pujangga  Melayu dan segala sisipan di dalamnya memang tidak dapat diatasi oleh mana-mana karya para sasterawan negara. Adakah ini bermakna kewujudan para sasterawan negara ini hanya untuk para pelawak sastera (literary jokers) sahaja, oleh itu tidak relevan dalam pembinaan budaya bangsa?  Saya tidak fikir terdapat di kalangan para pelawak sastera (literary jokers) ini seorang tokoh yang berani menjawabnya dengan jujur.


Ringkasan tajuk: pelawak sastera (literary jokers), gagasan persuratan baru, stylization of ideas, wacana, cerita, ruang naratif, mod bacaan intelektual, mod bacaan cerita, paksi naratif, genuine literature,  ilmu yang benar, adab, keliru konsep ilmu, kehilangan adab, Pujangga Melayu, pendekatan tauhid, pendidikan estetika, keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 7/4/2017.

No comments:

Post a Comment