Sikap “lembu
kenyang” yang diambil oleh para pelawak sastera (literary jokers) dalam sastera Melayu memang sesuai dan munasabah
dengan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif mereka. Oleh itu mereka ini
cukup cekap menggunakan kedudukan “lembu kenyang” itu untuk mendapat
faedah paling maksimum untuk kumpulan
mereka yakni kumpulan “lembu kenyang” seperti yang mereka tunjukkan dalam
membuat resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang keseluruhannya
dirangka begitu rupa supaya hanya mereka sahaja yang akan mendapat faedahnya.
Sifat mereka yang tamak dan mementingkan diri sangat jelas dalam resolusi itu
(saya sudah salin lengkap untuk rujukan, ketika membicarakan ITBM dan Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia).
Ketika
memperkenalkan ungkapan pelawak sastera
dalam entri lepas, ada satu pandangan saya yang sangat aneh bagi pembaca yang
tidak mengikuti perbincangan saya dengan teliti. Saya mengatakan, novel terbaik
Malaysia oleh Anwar Ridhwan tidak seharusnya ditulis, dilihat dalam konteks
perwatakan yang tidak sedikit pun memberi perhatian kepada konsep insan,
padahal menurut Anwar Ridhwan novel itu adalah sebuah novel yang merayakan
nilai-nilai Islam. Adakah dakwaan ini
benar? Ini satu dakwaan yang aneh, kerana
novel itu tidak sedikit pun berbicara tentang kebaikan. Tetapi ini tidak aneh
sama sekali jika kita memahami tabiat berfikir para sasterawan yang weird ini. Ada yang naik atas bumbung
kilang berkarat untuk menulis, ada yang
melihat pornografi sebagai sebahagian daripada ciri sufi, seperti yang didakwa
oleh Shahnon Ahmad untuk novelnya yang paling biadab pernah ditulis, TIVI.
Yang naik bumbung untuk mencari ilham tidak menghasilkan tulisan yang
bermutu, hanya sejenis idle talk yang
penuh dengan keserabutan berbicara yang terputus-putus tidak tahu ke mana arah
yang dituju . Sekarang kita diberitahu Naratif
Ogonshoto adalah sebuah karya intelektual yang membawa imej Islam. Mengapa
imej Islam digambarkan begitu buruk dan zalim? Pembohongan sastera nampaknya
tidak ada batas, jadi sesuai sekali dengan julukan mereka ini sebagai pelawak sastera. Dalam bahasa Melayu Kelantan, perkataan
“pelawak” itu tidak dimaksudkan dengan kelucuan, tetapi dengan pembohongan.
Saya telah menjelaskannya dalam entri yang lepas. Oleh itu, apabila kita menggunakan konsep
(sekarang saya bercakap tentang konsep, bukan lagi sebagai ungkapan biasa) pelawak sastera, kita sebenarnya
bercakap tentang pembohongan dalam karya sastera dan dalam penilaian karya
sastera. Pembohongan dalam penilaian ini sangat jelas dapat kita lihat dalam
tulisan para sarjana (ciritan) yang memuji Naratif
Ogonshoto hanya kerana novel itu ditulis oleh seorang sasterawan negara,
tanpa mempedulikan kualiti sebenar karya itu. Inilah yang saya maksudkan dengan
pembohongan dalam kritikan sastera. Pembohongan dalam kritikan ini memang
digalakkan dalam kritikan sastera. Misalnya, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh memberi “amaran” berupa gurauan kepada Dr. Siti Hajar supaya menulis
perkara yang baik-baik saja tentang beliau, seperti yang disebut sendiri oleh
Dr. Siti Hajar Che Man dalam kertas kerjanya.
Bagaimana seorang sarjana besar yang diberi pangkat tertinggi dalam
sastera Melayu moden sebagai Sarjana Agung Negara boleh bergurau tentang
kualiti kritikan? Bila beliau memanjat
bumbung kilang besi berkarat untuk mencari ilham menulis kertas kerjanya, maka
“gurauan” tadi boleh difahami, kerana baginya kritikan sastera Melayu hanyalah
satu gurauan budak-budak sekolah. Lihat bagaimana dia menggunakan perkataan
“gasang” untuk menidakkan wujudnya kritikan ilmiah dalam sastera Melayu dengan
menghina sesiapa juga yang tidak
memujinya sebagai pengkritik “gasang”. Perkataan Kelantan ini mempunyai makna
yang amat tajam sindirannya. Hairan
bagaimana Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menggunakan
“perkataan” ini untuk membahasakan dirinya sendiri yang gasang, kerana orang
yang dikritiknya itu saya kira jauh lebih halus dan ilmiah daripada beliau
sendiri. (Nota: Rujuk tulisan beliau dalam Sastera
Teras Negara Bangsa, (ITBM 2014; judul buku itu sendiri dalam pengertian
yang difahami di Kelantan menunjukkan sifat “gasang” yang jelas, sesuai dengan
kandungannya.) Saya teringat bagaimana
beliau memahami “lagu bertabuh” sebagai ajakan untuk bergaduh! Dia tahu satu makna saja perkataan
“bertabuh”, padahal dalam budaya Kelantan “bertabuh” bererti memukul rebana
(geduk) dalam orkestra Wayang Kulit untuk memberitahu penonton bahawa wayang
akan dimulai bila-bila masa saja. Orang Kelantan mula bersiap untuk pergi
menonton Wayang Kulit, bukan untuk bergaduh bila mendengar lagu bertabuh! Memang unsur lawak dalam pengertian biasa
sangat jelas di sini, tetapi terselit juga implikasi “pembohongan” tadi apabila
orang tidak tahu apa yang dibicarakannya itu di luar konteks yang difahami oleh
orang biasa. Sekarang anda faham mengapa
konsep “pelawak sastera” itu penting kerana hal ini dilakukan sepanjang masa
oleh para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) seperti yang kita lihat
dengan jelas dalam novel terbesar Malaysia, Naratif
Ogonshoto itu. Saya ingin menegaskan sekali lagi, dengan penekanan yang sehabis
maksimum, bahawa pujian terhadap novel ini adalah sejenis pembohongan dalam
kritikan, padahal novel ini tidak perlu
ditulis, apatah lagi dipuji begitu tinggi. Tentu saja anda berkewajipan
menolak kesimpulan saya jika kesimpulan itu tidak tepat dan menyeleweng
daripada kualiti sebenar novel yang tidak perlu ditulis itu.
Satu perkara
perlu saya sebut di sini, iaitu mengenai sikap sadis pengarang novel ini. Saya
harap ada sesiapa di antara sarjana sastera boleh menjelaskan mengapa perlunya
perbuatan sadis seperti memotong kemaluan, dilempar kepada burung hering (yang
buat itu seorang gadis Melayu? Sadisnya gadis Melayu sekarang!…), potong jari
dan segala macam perbuatan sadis. Anwar Ridhwan tentu mempunyai alasan
psikologi tertentu mengapa beliau memilih kelakuan sadis itu. Paling mudah kita
boleh berkata, memang watak dalam novel itu semuanya jahat dan biadab, jadi
sesuailah jika mereka begitu sadis. Cuma di sini timbul pertanyaan yang
bersifat estetik yang perlukan penjelasan: Adakah ini sebahagian daripada makna
keindahan dalam sastera Melayu moden? Anda boleh cari contoh dalam sastera
lama, tidak jadi masalah. Yang menjadi masalah, perlukah perkara itu diteruskan
semata-mata kerana terdapat dalam sastera lama? Kita bercakap tentang perubahan
segala macam, apa maknanya jika kita menjadi pewaris kejahatan? Bodoh sangatlah
sasterawan kita jika itulah hujah mereka. Di sini sekali lagi konsep pelawak sastera itu amat relevan,
terutama dalam konteks yang difahami di Kelantan, pelawak dalam makna pembohong.
Adakah ini kontradiksi
biasa dalam sastera? Di Barat perkara
ini tidak menjadi masalah, kerana seluruh kehidupan mereka diasaskan kepada
pembohongan terbesar, apabila mereka menolak Tuhan dan dengan itu meletakkan
diri mereka seolah-olah Tuhan kerana merekalah yang menentukan nilai-nilai.
Anda boleh dapat dan boleh lihat ini dengan jelas dalam kritikan sastera Barat
dan dalam teori sastera Barat. Cuba kita
tanya para sarjana sastera yang gilakan teori Barat ini, adakah mereka sedar
akan hal ini? Kalau mereka tidak sedar, ternyatalah mereka terlalu cetek dalam
memahami teori sastera Barat. Jika mereka sedar, mengapa mereka menjadikan
teori sastera Barat sebagai panduan yang muktamad? Mereka akan ternganga-nganga
mencari alasan, padahal alasannya mudah saja. Kerja mereka dipermudahkan kerana
semuanya sudah tersedia dalam teori sastera Barat itu, hanya tiru dan jiplak
saja, dan perbuatan itu amat dibanggakan kerana kononnya pembacaan dan
pengalaman sastera mereka sangat luas, tahu semua teori yang kini berjumlah
kira-kira 30 (kiraan secara rambang; saya fikir mereka lebih tahu!). Sekali lagi konsep pelawak sastera itu amat
tepat mencirikan kegiatan akademik mereka sebagai peniru yang tidak kritis.
Perlukah saya bagi contoh? Saya mahu biarkan anda sendiri menentukannya, supaya
anda menjadi lebih aktif dan bersedia untuk berhujah sekiranya anda mempunyai
pandangan yang lebih canggih dan tepat.
Kecuali jika anda sendiri adalah anggota pelawak sastera ini, jadi sudah
tentulah anda menafikan sega-galanya, hanya sekadar untuk menafikan saja.
Padahal anda melakukannya setiap hari tanpa sebarang teguran dan
sanggahan. Jangan pandang remeh kepada
pelawak sastera ini, kerana merekalah yang menjadikan sastera Melayu mundur dan
cetek meraba-raba sepanjang masa.
Mereka
berkata, karya sastera tidak perlukan ilmu, tetapi hanya untuk bercerita. Dari
cerita itulah didapat ilmu. Dua perkara perlukan penjelasan. Pertama, jika
sastera tidak mengandungi ilmu, tidak perlukan ilmu, maka apa gunanya kita
bersusah payah menjadikan buku cerita sebagai buku teks? Apa yang hendak kita
sampaikan kepada para pelajar kalau bukan ilmu. Kata para sarjana dan
sasterawan, yang disampaikan ialah pengalaman, nilai-nilai yang baik, keadaan
masyarakat yang menjadi latar belakang sesuatu karya, dan manusia itu sendiri
dengan segala masalahnya. Ini semua adalah andaian yang tidak semestinya betul.
Misalnya, baru-baru ini timbul persoalan apabila sebuah novel yang menjadikan
perogolan oleh seorang doktor di hospital sebagai tema utama karya itu telah
dijadikan buku teks. Alasannya kerana dalam novel itu terdapat nilai-nilai
murni.
Kedua, pendidikan sastera bertujuan mendidik
pelajar menjadi manusia yang bertimbang rasa, cintakan ibu bapa, cintakan alam
sekitar, cintakan kemanusiaan dan cintakan keadilan, itu antara nilai yang
ditonjolkan. Persoalan besar yang perlu
diselesaikan terlebih dulu ialah dari mana munculnya nilai-nilai murni itu? Dari
mana sumber ilmu yang menentukan nilai-nilai murni itu? Perkara ini tidak dibahaskan, malah dengan angkuh diremehkan sebagai tidak
perlu diberi perhatian, kerana memang diketahui oleh para sarjana dan
sasterawan. Andaian seumpama ini hanya
lahir daripada pelawak sastera (literary
jokers) untuk sekadar memberi alasan, walau pun mengarut (nonsense). Kita telah melihat akibat dan kesan daripada
alasan yang mengarut ini dalam penulisan novel Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan, yang sebenarnya tidak perlu
ditulis seperti yang telah dijelaskan di atas.
Kerana tidak mempunyai perspektif yang betul dalam konsep ilmu dan sumber
ilmu, maka lahirlah sebuah novel yang merayakan kejahatan sebagai kejahatan
yang disensasikan begitu rupa untuk mendapat perhatian pembaca dan pujian para
sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan). Kesimpulan ini boleh dibuktikan
dengan mudah dengan membuat Indeks untuk melihat isi novel yang sebenarnya. Jika lebih banyak kejahatan di dalam
Indeks itu, maka novel ini memperlihatkan segi positif mengenai kejahatan,
penipuan, kezaliman dan sebagainya; dengan itu novel ini sebuah novel yang
berjaya dan tepatlah dipanggil novel terbesar Malaysia kerana telah berjaya
memperlihatkan kejahatan sebagai faktor
estetik dalam penulisan. Sebaliknya, jika hanya sedikit saja kebaikan yang
diperlihatkan dalam novel ini, maka sudah jelas novel ini telah berjaya memperlihatkan
kejayaannya dalam estetika tentang kejahatan yang dengan itu membuktikan
kejahatan juga mempunyai daya estetik tersendiri. Ini telah dibuktikan oleh
Shahnon Ahmad dalam TIVI. Inilah
kesimpulan beliau yang klasik dalam sastera Melayu Islam. Kata beliau: “…unsur-unsur
lucah itu perlu wujud kerana itulah realiti pun, dan unsur-unsur itu adalah secondary, dan hanya dijadikan semacam
umpan dalam babak-babak kehidupan kini yang sememangnya serba lucah…” (Dewan Sastera, Oktober 1997, hal. 40). Sebelum itu beliau berkata, sebagai seorang
sasterawan yang berbakat besar (pengakuan ini untuk beliau sendiri?), bahawa
“sejarah dari al-Quran dan realiti yang lucah dalam masyarakat itu distruktur
atau dimetamorfosiskan secara indah bagi memenuhi tuntutan estetika oleh
sasterawan yang berbakat…” Anda fikir
ini sasterawan lebih mengutamakan “sasterawan yang berbakat” daripada etika
penulisan berasaskan ajaran al-Quran? Saya fikir begitu, tanpa disedarinya dia
telah meletakkan kesusasteraan dan sasterawan lebih tinggi daripada ajaran
al-Quran yang tidak membenarkan pornografi dijadikan basahan biasa kehidupan
manusia beragama, seolah-olah para sasterawan dan karya sastera dikecualikan
daripada prinsip etika al-Quran yang mengutuk apa yang disenangi Shahnon Ahmad
dengan menyandarkan kegemarannya kepada pornografi kepada al-Quran. Sebenarnya
ini orang pun tahu untuk menulis sastera Islam unsur pornografi itu tidak saja
tidak perlu langsung, malah dikutuk keras kerana bertentangan dengan etika
Islam. Tetapi Shahnon Ahmad menulis TIVI dalam imej yang disenanginya itu,
malah meletakkan novelnya yang lucah itu sebagai sastera Islam mithali, sebuah
karya sufi! Walaupun pendapat ini gila, tidak siuman, dan bodoh, namun bagi
Shahnon Ahmad itulah realiti pun dalam kehidupan masyarakat Melayu
sekarang. Sesiapa juga yang memberi
perhatian kepada masalah masyarakat ini tidak dapat menerima andaian beliau,
kerana mereka sedar yang menjadi punca ialah faham hedonisme dalam hiburan yang
digalakkan dalam program TV, dengan sokongan pemerintah sendiri. Sepatutnya
inilah yang dianalisis dalam sebuah novel “pemikiran” seperti yang
dikonsepsikan oleh PB; tetapi Shahnon terlalu angkuh untuk menerima pandangan
orang lain yang dikiranya menyekat kebebasan beliau sebagai seorang sasterawan.
Dalam perhitungan saya, beliau bukan seorang pemikir, dan bakat beliau juga
tidak tinggi, tetapi beliau amat popular dalam dunia penulisan yang menjadikan
pandirisme sebagai simbol kejayaan seseorang sasterawan, seperti beliau dan
Anwar Ridhwan. Memberikan pendapat yang
cetek meraba-raba seumpama ini tidak membantu pembaca memahami masalah
masyarakat, tidak juga membantu melonjakkan kreativiti dan penulisan novel yang
berkualiti dari segi pemikiran. Barangkali yang paling aneh, yang tidak
disedari pembaca Malaysia ialah hakikat bahawa Shahnon Ahmad menulis karya
Islam dalam imej teori sastera Barat. Anda perlu baca tulisan beliau mengenai
perkara ini, yang mendapat sokongan begitu gigih daripada Mana Sikana yang
mengatakan, dengan bangga, dalam bukunya yang diterbitkan oleh ITBM, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan,
2015; hal. 38-39), bahawa “aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan
dunia pascamoden terkini… bahawa sastera Islam
Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoritisnya dan selari dengan masyarakat pascamoden dan
hipermoden. …kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan
zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti.” Ini pun sejenis kerancuan sasau
ketika berada di atas bumbung kilang berkarat juga. Sarjana ini tidak tahu
apa-apa tentang konsep pascamodenisme dan kegiatan puak ini yang tidak menerima
adanya nilai-nilai murni dan sangat anti-agama. Bagaimana ini boleh disamakan
dengan Islam dan dijadikan ukuran tentang kesesuaian Islam pada zaman moden?
Kita boleh tidak siuman dalam melontarkan pendapat yang karut, tetapi tentulah
sudah mencapai taraf gila apabila Islam diletakkan di bawah pascamodernisme. Rujukan mudah yang baik tentang
pascamodernisme antaranya yang popular ialah himpunan rencana dalam buku The Iconic Critical Dictionary of Postmodern
Thought, ed. Stuart Sim (Icon Books,
Cambridge, 1998); Stephen R. C.
Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to
Foucault (Scholarly Publishing: New
Bwlin/Milwaukee, 2004). Para pelawak sastera (literary jokers) ini langsung tidak ada maruah dan tak tahu malu
untuk menyalakkan kerancuan sasau mereka.
Kesimpulan
Lawak
Kehadiran
lawak sastera (literary jokers)
adalah penting kerana selama beberapa dekad mereka telah mewarnai sastera
Melayu dengan lagak lawak mereka.
Kemuncak dari lawak itu ialah pelantikan sasterawan negara, yang akhirnya
muncul sebagai raja lawak sastera Melayu.
Saya telah memberi beberapa contoh untuk menyedarkan anda bahawa
kemunculan lawak sastera ini penting kerana merekalah yang telah mewujudkan sastera lawak, yang sampai ke kemuncaknya
dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tentu saja persidangan itu tidak
berfaedah dari segi perkembangan ilmu kerana hawa panas anti-ilmu amat kuat
bahangnya. Walaupun ucaputama Prof. Tan Sri Mohd Kamal Hassan amat jelas
menggesa para penulis kembali kepada jiwa agama dan semangat cintakan ilmu,
namun ucaputama itu tidak dibincangkan. Tidak ada apa-apa bukti bahawa ia
dibincangkan. Tidak dimasukkan dalam resolusi yang amat gigih diperjuangkan
oleh para pelawak sastera ini untuk faedah peribadi mereka. Dalam persidangan
itu terdapat empat orang sasterawan negara, tetapi tidak seorang pun muncul
sebagai “pemikir” sastera yang berupaya membicarakan persoalan yang kita mahu
dengar daripada mereka, sesuai dengan kedudukan istimewa mereka yang mesti
disapa dengan gelaran mereka. Kerana keempat-empat yang hadir itu sarjana
terkenal, kita mahu mereka berbicara tentang peranan sasterawan (penulis) dalam
abad 21, terutama sekali dari aspek kreatif. Adakah kita harus terus meniru
Barat, atau bangkit dengan idea baru yang tersendiri milik kita bersama? Dalam
perbincangan tentang sastera di Barat sendiri, perkara seperti ini
dibangkitkan. Misalnya, mereka bercakap tentang aspek naratif yang bagi mereka
tidak relevan lagi dengan kemajuan intelektual yang mereka miliki. Mereka
bertanya, sejauh mana konsep naratif itu masih berfungsi dalam dunia yang lebih
cenderung kepada pertarungan idea daripada pertarungan cerita (naratif). Coetzee misalnya tidak lagi bercerita dalam
konteks abad ke-19, zaman romantik itu. Dia tidak melontar sepenuhnya aspek
naratif, tetapi menggunakannya sebagai nelayan menggunakan perahu untuk menangkap
ikan. Jika perahu itu naratif, ikan yang ditangkap itulah matlamatnya. Adakah
para sasterawan kita berfikir seperti ini? Kita mahu tahu dari mulut mereka
sendiri, tetapi tidak seorang pun dari mereka mempunyai kemampuan intelektual
yang sewajarnya untuk berbicara tentang wajah sastera masa depan. Mereka lebih
suka kembali ke zaman dahulu kala, kerana semuanya telah tersedia untuk mereka
pakai walaupun sudah menjadi klise. Inilah gaya dan tindakan para pelawak
sastera ini. Mereka inilah yang menggigil ketakutan setiap kali disebut Gagasan
Persuratan Baru, kerana mereka sedar jika PB digunakan untuk menilai karya
mereka, semua ikan yang mereka tangkap selama ini sudah busuk dan jika dibuang ke
laut sekali pun tidak lagi menarik bagi ikan-ikan yang hidup. Ketakutan ini jelas sekali dalam borak
sastera para sasterawan negara ini, yang cakapnya melambung, tetapi gelembung
dengan angin kosong saja. Anda perlu baca tulisan mereka dan baca juga komen
saya dalam blog ini.
Di mana kita
sekarang? Hendak ke mana? Para sasterawan
negara yang kita lantik telah membuktikan mereka bukan sasterawan istimewa
sehingga perlukan gelaran sebagai sasterawan negara. Gelaran itu ibarat gelaran
“peran” dalam Mak Yong, sekadar untuk menghibur dengan jenaka murahan, seperti
yang ditunjukkan oleh para sasterawan negara ini dalam kertas kerja mereka dan
dalam karya mereka. Keangkuhan mereka
menyebabkan mereka tidak berminat untuk berdialog, kerana mereka sangat puas
hati berada dalam kumpulan “lembu kenyang” dalam istilah Kelantan. Mereka sudah
mendapat semua faedah yang mereka tidak layak menerimanya, tetapi ini tidak
penting kerana kedudukan mereka telah menentukan mereka akan mendapat banyak
faedah yang pada hakikatnya mereka tidak layak menerimanya. Itulah yang mereka
perjuangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang mereka masukkan
sebagai resolusi.
Kerana itu
kita sampai kepada soalan kedua, Hendak ke mana kita? Jawapannya diberikan oleh
penerbitan edisi kedua Pujangga Melayu.
Itulah arah yang kita tuju sekarang, meneruskan tradisi persuratan Melayu
dengan mencipta Novel Persuratan. Tidak
lagi novel cerita. Kita telah dihampakan oleh novel cerita ini, seperti yang
saya jelaskan dalam beberapa entri, terutama sekali yang bertajuk “Keunggulan
Yang Cacat”. Dengan seluruh kekuatan
penghujahan yang ada pada saya, dalam entri ini saya mencabar anda semua untuk
menolak tesis saya bahawa karya terbesar novel Malaysia, Naratif Ogonshoto, tidak perlu ditulis dan tidak wajar ditulis.
Inilah masanya anda meruntuhkan semua penghujahan saya tentang era sastera
lawak dalam kemunculan pelawak sastera dalam sastera Melayu moden. Tetapi anda tidak dapat melakukannya tanpa
mendalami konsep Persuratan Baru, yang jika anda lakukan, besar kemungkinan
anda akan berubah dan mula sedar mengapa anda perlukan PB; oleh itu yang
terbaik untuk anda ialah mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”. Anda masih
terus mendapat faedah, walaupun tidak layak mendapatnya. Yang penting,
kedudukan anda tidak terjejas. Selagi pandirisme dijadikan arus perdana, selama
itulah anda mendapat faedahnya. Dirgahayu pandirisme!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 6/4/2017.
No comments:
Post a Comment