Saturday, April 22, 2017

NARATIF OGONSHOTO DAN PUJANGGA MELAYU: Antara Dunia Penglipur Lara dengan Dunia Ilmu (Bahagian II)

Ada beberapa isu yang masih perlu disebut mengenai tajuk ini. Tajuk ini penting kerana kita perlu tentukan dengan pasti apakah sebenarnya perutusan (message) yang ingin disampaikan kepada masyarakat seluruhnya, yang akan terakam dalam sejarah kebudayaan kita.  Saya dengan tegas mengatakan Naratif Ogonshoto membawa perutusan yang salah dan menyesatkan, oleh itu kita tidak perlukan novel ini diangkat ke taraf novel paling istimewa dan novel terbaik sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Kita perlu menentukan dengan pasti adakah penilaian kita itu betul, dengan itu kita perlu bahaskan standard yang kita pakai dan ciri-ciri penilaian yang kita gunakan. Ketika membincangkan makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, saya dengan tegas menolak penilaian ini diiringi sebab-sebab yang telah saya hujahkan dengan jelas.  Apa juga benda yang ingin kita wariskan, mestilah yang terbaik. Ini sudah diterima umum sebagai standard yang mesti dicapai. Dalam penelitian saya, Naratif Ogonshoto tidak mencapai standard itu.

Dalam makalahnya yang mendapat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 itu tidak terserlah sedikit pun kebaikan novel besar Malaysia ini, terutama jika dilihat dari perspektif yang bersifat ilmu. Walaupun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkali-kali menegaskan bahawa novel itu mempunyai makna yang berlapis-lapis, namun tidak jelas apakah lapis-lapis itu.  Kalau kita boleh hitung (sepatutnya kita hitung), berapa jumlah kebaikan dan berapa pula kejahatannya. Fakta ini menjadi lebih penting lagi kerana novel agung ini sudah dijadikan buku teks. Apakah kebaikan yang akan diterima oleh para pelajar jika seluruh buku ini hanya mengenai penipuan, kezaliman, sadisme, pembohongan dan yang sejenis dengan senarai itu? Sebagai contoh, apakah kebaikan yang kita boleh ajar kepada para pelajar apabila sasterawan negara mengatakan cerita Nabi Nuh ‘a.s. itu satu mitos yang sama kedudukannya dengan kisah Si Tanggang? Ini disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang mendapat Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu. Berapa jenis nilai-nilai murni yang menjadi teras novel agung ini?  Kementerian Pelajaran selalu menekankan aspek ini dalam menentukan sesuai tidaknya sesebuah karya dijadikan buku teks. Nampaknya semua mereka ini – sasterawan, sarjana, pegawai Kementerian, guru-guru sastera dan pelajar – tidak lagi mementingkan nilai-nilai murni itu. Mungkin juga mempertahankan kuasa, seperti yang dibuat oleh Presiden, adalah nilai murni teragung. Nampaknya inilah hakikat politik di Malaysia sendiri. Kalau begitu, memang sesuai novel agung ini dijadikan teks sastera, kerana novel agung ini menyerlahkan dengan tepat kejahatan para pemimpin politik. Ini diakui dengan cantik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kata-kata berikut, “Karya ini telah menampilkan keupayaan karya seni memberikan teguran yang keras tetapi berkias. Dari segi ini, Anwar telah memanipulasi kaedah kritikan cara Melayu yang banyak ditemukan dalam sastera rakyat dan sastera sejarah dengan cara yang sangat halus dan menikam.” Kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini adalah mimpi beliau sendiri yang menjadi igauan seorang sarjana yang sudah begitu keliru dengan segala macam konteks yang dipintalnya sendiri dengan menggunakan beberapa istilah sastera Barat yang tidak satu pun menjurus kepada kebaikan. Apakah kebaikan faham pascamodenisme yang dipuji oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang kononnya menjadi tonggak kekuatan novel agung ini? Sangat aneh dan sungguh pelik apabila beliau sendiri mengaku faham pascamodenisme itu menolak sebarang nilai mutlak, malah nilai, kata sarjana ini, adalah bikinan pembaca sendiri. Inikah ajaran yang dikatakan bertaraf nilai murni itu? Ini bukan lagi masalah cetek meraba-raba yang menjadi aset besar kebanyakan para sarjana dan sasterawan; tetapi inilah hasil dari sikap anti-ilmu, atau ingkar ilmu, yang menjadi pegangan para sarjana dan sasterawan ini. Semua ini jelas dalam karya mereka, tidak usah mereka nafikan sebagai salah tafsir. Yang salah tafsir itu mereka, yang sewenang-wenang menggunakan pendekatan Barat dan idea Barat yang bercampur aduk dengan cerita-cerita penglipur lara Melayu yang kononnya menjadi warisan besar dalam kebudayaan Melayu.

Kesimpulan

Saya ingin mengulang kesimpulan dalam Bahagian I. Kita perlu beri peluang kepada karya itu sendiri mempertahankan dirinya dari segala kritikan dari arah mana sekalipun. Di Malaysia hal ini tidak berlaku. Sarjana dan sasterawan menggigil apabila mereka dicabar untuk kembali kepada konsep ilmu yang bersumberkan al-Quran. Mereka tidak mahu, kerana kata mereka tidak sebuah pun karya sastera Melayu ditulis dalam konteks itu, oleh itu tidak wajar dinilai daripada pendekatan yang mengutamakan konsep ilmu yang benar. Ini satu pandangan yang silap dan amat cetek.  Pertama, anda telah merendahkan martabat sesebuah karya, apatah lagi sebuah karya besar seperti Naratif Ogonshoto, dengan menghalang karya itu berada di tengah-tengah pergolakan ilmu, seperti sebuah kapal di tengah lautan bergelora, untuk menguji dirinya sendiri sejauh mana karya besar seperti Naratif Ogonshoto itu boleh membawa diri dengan selamat ketika dilambung ombak kritikan yang paling sengit sekalipun. Dengan membiarkan karya besar seperti Naratif Ogonshoto itu seolah-olah pondan, anda sendiri telah memondankan (menjadikan seperti pondan) kemampuan intelektual anda yang seolah-olah menjadi kaku apabila diuji dengan serangan ilmiah yang agak keras.  Kedua, dengan mengasingkan diri menjadi seolah-olah kucing kurap dalam dunia kreatif atau dunia akademik, anda telah menjadikan bidang kreatif dan akademik itu begitu lembik dan rapuh boleh dilanyak-lanyak dan dipatah-patah seperti lidi. Sebuah karya besar dan paling ulung, seperti Naratif Ogonshoto, harus berdiri seperti bukit Jabal Tarik (bukit Gibraltar) yang tetap kukuh berdiri gagah walaupun telah didaki dalam satu perjuangan (peperangan)  besar.  Menjadikan karya besar seperti Naratif Ogonshoto hanya sebuah busut kecil adalah tidak wajar dan tidak beradab, walaupun maksudnya untuk menyelamatkan busut itu daripada ditarah rata oleh cangkul kritikan yang kuat menyodok dan menggali Sang Busut yang boleh diratakan begitu mudah untuk dibuat tempat menanam bangkai ayam yang terkena hawar.  Dalam bahasa al-Quran, hanya orang-orang berilmu dan bijak saja yang dapat memahami dan membuat tafsiran terhadap tamsil ibarat.  Apakah tamsil ibarat yang ada di dalam novel besar Naratif Ogonshoto?  Tamsil ibarat yang dimaksudkan oleh al-Quran ialah yang menuju ke arah keselamatan di dunia dan akhirat, bukan cara yang kita lihat dalam Naratif Ogonshoto, misalnya yang diucapkan oleh sang resi tua yang sukar ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan “…kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan”.  Ini ucapan Anwar Ridhwan sendiri, yang dipetik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya.  Apakah yang berlapis-lapis itu? Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak memberi contohnya, oleh itu yang berlapis-lapis itu tidak diketahui oleh sesiapa pun, termasuk sasterawan negara sendiri. Padahal inilah antara tonggak keagungan novel terbaik Malaysia ini. Jika kita ingin memahami maksud berlapis-lapis itu, kita harus melihat konteksnya. Mungkin kejahatan watak utama novel ini mempunyai makna berlapis-lapis ketika melakukan sesuatu atau mengucapkan sesuatu. Jika andaian ini benar, adakah untuk kebaikan umum? Kalau untuk kebaikan umum tidak perlu  ucapan yang maknanya berlapis-lapis itu, kerana tidak difahami oleh masyarakat. Kalau untuk menjaga kepentingan Presiden, maka itu bukan maksud berlapis-lapis tetapi hanya sejenis penipuan yang disembunyikan. Dengan itu “konsep” makna berlapis-lapis itu tidak lain daripada idle talk, atau bullshit yang diucapkan oleh watak penting. Di sinilah pentingnya konsep perwatakan yang bersifat “uswatun hasanah” dijadikan ukuran, kerana hanya di situ saja kita dapat membaca matlamatnya.  Tetapi ini telah ditolak bulat-bulat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Anwar Ridhwan. Menurut mereka, itu sifat nabi SAW, bukan sifat para pengikut Islam. Orang Islam tak perlu tunjuk apa-apa, cukup dengan hanya memakai nama Islam. Saya harap ada ulama beri komen terhadap pendapat ini. Benarkah konsep “uswatun hasanah” itu khusus untuk Nabi SAW saja?  Saya ingin mendapat pandangan Mohd. Shahrizal Nasir atau Dr. Adli Yacob dan lain-lain yang lebih tahu mengenai persoalan ini. Penjelasan itu sagat penting kerana seolah-olah terdapat sejenis kesewenangan untuk menolak konsep-konsep Islam, atau paling tidak mengelirukannya untuk maksud tertentu.  Memang betul dalam karya sastera yang ditulis oleh para sasterawan dan sasterawan negara watak tidak perlu memberi contoh yang baik, kerana terdapat unsur didaktik yang amat dibenci oleh sarjana sastera dan para sasterawan sendiri.  Tersirat dalam pandangan ini ialah konsep watak yang kuat itu tidak semestinya watak yang baik. Watak jahat pun boleh menjadi watak yang kuat dan boleh dijadikan ukuran kejayaan sesebuah novel. Inilah kedudukan Naratif Ogonshoto, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya.  Inilah hujah yang dipakai untuk mewajarkan Naratif Ogonshoto dijadikan buku teks. Menurut pandangan ini, para pelajar perlu didedahkan kepada watak-watak jahat kerana dalam masyarakat sendiri orang-orang jahat itu sangat ramai. Adakah termasuk penulis juga? Atau mereka boleh dikecualikan?.  Kalau kita pakai penghujahan yang dikemukakan dalam Naratif Ogonshoto, seorang resi adalah seorang yang patut dicontohi. Tetapi mengapa resi? Ini pun perlukan penjelasan, kerana dalam Islam ulama itulah yang dijadikan teladan, bukan resi. Mungkin Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh memberi penjelasan kerana penjelasan itu sangat perlu, supaya tidak mengelirukan terutama sekali para pelajar yang menggunakan novel ini.

Banyak lagi perkara yang ingin saya bincang, tetapi sebelum itu diperlukan penjelasan tentang konsep contoh yang baik itu, uswatun hasanah, yang menurut sarjana sastera dan para sasterawan tidak diperlukan dalam karya sastera.  Dengan penolakan ini, Naratif Ogonshoto boleh berdiri gagah mewakili watak-watak jahat dalam sastera Melayu untuk dikagumi oleh pembaca dan para pelajar.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 April 2017.


No comments:

Post a Comment