Panggilan novel mini ensiklopedia itu khusus untuk
Pujangga Melayu, yang cakupannya
begitu luas, seperti yang saya telah sebut beberapa kali dalam beberapa entri
dalam blog ini. Sepanjang pembacaan dan
penelitian saya tentang novel-novel Melayu, belum ada lagi sebuah novel yang
begitu luas cakupannya. Di Barat sudah banyak novel yang seperti itu, misalnya
yang ketara yang kita selalu sebut ialah karya Tolstoy, War and Peace. Juga karya Thomas Mann, misalnya The Magic Mountain. Juga karya James
Joyce yang terkenal itu. Dan lain-lain, termasuk yang ditulis oleh John Steinback
antara yang terkenal di Amerika Syarikat. Di Indonesia kita dapat karya Pramoedya
Ananta Toer. Di Malaysia kedudukan Pujangga Melayu amat istimewa, kerana
inilah satu-satunya karya yang terpisah sama sekali daripada kebiasaan
penulisan novel dalam sastera Melayu.
Karya persuratan tidak semestinya seluas cakupan Pujangga Melayu. Hikayat
Buyung Lurus juga sebuah karya
persuratan; demikian juga Balai Maqamat. Tujuan memberi gelar novel mini ensiklopedia
itu mudah saja, iaitu untuk menarik perhatian pembaca bahawa yang mereka baca
itu perlu dibaca dengan kritis dan kreatif. Dua konsep ini telah saya jelaskan
maknanya. Penekanan kepada aspek kritis dan kreatif itu tidak boleh dikenakan
kepada novel-novel biasa yang ditulis oleh para sasterawan negara. Ketika
membicarakan Hari-Hari Terakhir Seorang
Seniman, saya telah menekankan
bagaimana wajah novel ini jika dibaca dengan kritis dan kreatif. Demikian juga
sewaktu membaca dan membicarakan Naratif
Ogonshoto. Oleh sebab para pembaca,
pengkritik sastera, dan sarjana sastera tidak melihat dalam konteks ini, maka
penilaian mereka jauh tersasar daripada kualiti sebenar novel yang mereka
teliti. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, ketika mempertahankan keunggulan Naratif Ogonshoto, cuba mengaitkannya
dengan Sejarah Melayu. Bagi saya ini nonsense, sengaja diada-adakan hanya
untuk menaik-taraf novel yang secara keseluruhan, jika dibaca dalam konteks
Persuratan Baru, adalah sebuah novel picisan baik dari segi “pemikirannya” mahu
pun daripada segi tekniknya. Tidak
terdapat sebuah novel pun yang sekomprehensif Pujangga Melayu. Anda
dijemput untuk memberi pendapat anda yang sehabis kritis untuk menolak
kesimpulan ini, dan mengemukakan contoh sebuah novel (sebuah pun jadilah) yang
mencapai taraf novel mini ensiklopedia seperti
Pujangga Melayu. Kalau anda serius sebagai seorang pengkritik
dan sarjana yang worth your salt,
anda perlu membantu para peminat novel dan kritikan untuk sama ada mengemukakan
novel jenis ini selain Pujangga Melayu;
atau menolak sama sekali konsep novel mini ensiklopedia itu, dengan memberi
alasan yang bukan picisan, tetapi yang diasaskan kepada sesuatu prinsip yang
tegas dan jelas seperti yang anda dapat dalam PB. Barulah pendapat anda ada
standard, jika tidak anda hanya merayau dalam khayalan murahan. Jenis tulisan merayau
dalam khayalan ini kita boleh dapati dengan banyak dalam kertas kerja yang
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Kerana persoalan ini telah
saya ulas banyak kali dalam blog ini, saya tidak perlu membuang masa mengulangi
penjelasan saya.
Tujuan saya
memperkenalkan konsep novel mini ensiklopedia ini ialah untuk membantu anda
mengkritik novel ini dengan lebih mudah.
Dengan terbitnya edisi baru 2017, matlamat ke arah itu lebih mudah anda
capai dengan adanya Indeks yang memperlihatkan kandungan novel ini secara
persis dan mudah diikuti. Semua ini diperlukan kerana cara membaca, cara
menilai, dan cara menganalisis karya kreatif yang dilakukan oleh para sarjana
dan pengkritik sastera di Malaysia masih bersifat elementary, tidak berupaya meneroka selok-belok pemikiran yang
serius seperti yang cuba diserlahkan dalam Pujangga
Melayu. Untuk membicarakan karya
yang cetek dan bercelaru seperti novel-novel sasterawan negara, pendekatan pada
taraf picisan yang anda pakai mungkin boleh memenuhi kepuasan cetek anda
sendiri; tetapi ternyata tidak mencapai tingkat sophistication orang seperti saya yang jauh terkedepan daripada
anda semua dalam memahami aspek penulisan kreatif ini, seperti yang saya
jelaskan dalam PB.
Ketika anda masih bercakaran tentang soal-soal remeh
temeh yang sudah menjadi klise seperti konsep novel yang memerlukan plot, latar
belakang, sudut pandangan, perwatakan dan sebagainya, saya telah jauh
meninggalkan anda untuk berbicara tentang perkara yang lebih utama dalam
penulisan, iaitu bagaimana menyerlahkan pemikiran dan wacana dalam penulisan
kreatif. Ambil saja aspek perwatakan
dalam cereka, saya telah memberi makna dan penekanan baru sama sekali daripada
yang anda pernah fahami dalam penulisan novel. Saya bercakap tentang kejadian
manusia dan peranannya seperti yang dihuraikan di dalam al-Quran, sebagai hamba
dan khalifah. Perhatikan kontras dua konsep ini: betapa konsep hamba Allah itu
lebih utama daripada peranannya sebagai khalifah. Dalam penelitian saya,
kedua-dua konsep al-Quran ini menjadi sesuatu yang seronok disebut-sebut untuk
kononnya memberi wajah Islamik, tetapi dalam pengertiannya lebih cenderung
kepada wajah Iblis. Misalnya, apakah jenis “perwatakan” di dalam Naratif Ogonshoto? Adakah para watak itu
manusia yang menanggung dua peranan tadi, atau siapa? Sekiranya aspek ini tidak
penting, kerana yang penting hanya untuk, kononnya, berbicara tentang
kezaliman, adakah anda faham maksud kezaliman itu sendiri, terutama dalam
penulisan cereka? Konsep kezaliman tidak boleh dipisahkan daripada konsep
keadilan, kerana makna yang terkandung dalam kedua-duanya kembali kepada konsep insan dan peranan manusia yang
menanggung dua peranan tadi. Keadilan, dalam makna hakikinya ialah tahu
menempatkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai, yang memerlukan ilmu untuk
dapat berbuat seperti itu; manakala kezaliman adalah puncak kejahilan dalam
kehidupan manusia yang menolak adanya konsep ilmu yang benar. Oleh itu, apabila
para pembicara novel Naratif Ogonshoto
berbicara tentang kezaliman pemimpin politik, mereka melihat semua itu dalam
konteks tindakan pemimpin yang zalim tadi, yang membunuh dan menipu, pendeknya
“bertidak” zalim; walaupun dia, sang tokoh, dikatakan mempunyai kemahiran
tertentu dan “ilmu” yang dipelajarinya daripada ajaran Machiavelli yang korup
(kerana dalam perbincangan tentang falsafah atau pemikiran Machiavelli, yang
lebih utama ialah pemikiran beliau, bukan kejahatan yang dituduhkan ke atas
beliau). Jadi jika dalam konteks yang begitu elementary pun sudah penuh
dengan kekacauan, dan salah baca tentang seorang tokoh seperti Machiavelli yang
dikatakan dijadikan contoh oleh Presiden, maka yang terjadi hanya
kemaharajalelaan perwatakan yang penuh sensasi yang dicari-cari untuk kononnya
menarik minat pembaca semata-mata, tidak sedikit pun memberi warna dan bau
kebijaksanaan dalam perwatakan ini, padahal dalam hidupnya Machiavelli yang
real memang mempunyai dua ciri tadi.
Kalau begitu, novel seumpama ini tidak perlu ditulis, jika hanya untuk
merayakan aspek sensasi dalam cereka.
Anda tidak akan dapat melihat semua kekurangan dan kelemahan ini tanpa menggunakan kerangka
analisis berasaskan PB. Para pengkritik dan sarjana sastera sedar akan hal ini, maka
itulah sebabnya mereka menentang habis-habisan PB untuk menyelamatkan Naratif Ogonshoto. Dengan itu menyelamatkan kedudukan Anwar
Ridhwan sebagai sasterawan negara. Itulah sebenarnya yang terjadi, jika anda
faham maksud saya. Tetapi di sini akan timbul masalah maruah dan moral yang
berteraskan nilai-nilai murni, yang sering disebut-sebut sesungguhnya semua
sasterawan negara adalah pembina nilai-nilai murni dan memancarkan nilai-nilai
murni dalam karya mereka. Saya telah menolak andaian karut ini, kerana teks
menyatakan sebaliknya. Semua ini memang disedari oleh Panel Anugerah Sastera
Negara dalam laporan mereka. Sebenarnya bagi mereka konsep nilai murni itu
tidak wujud dalam karya sastera, oleh it tidak relevan untuk dijadikan
sebahagian daripada faktor penilaian. Pembohongan ini dinafikan oleh juri yang
menilai Pendidikan Estetika daripada
Pendekatan Tauhid, yang menolak buku itu kerana bahagian awal lagi tidak
menunjukkan tiadanya nilai-nilai murni apabila buku itu mengkritik para pemuka
sastera Islam sebagai manusia yang memakai ketayap sambil memakai baju kot! Itu
satu penghinaan, kata mereka, kerana tidak ada rasa hormat kepada pejuang
sastera Islam seperti yang tercatat dalam komen itu. Jelaslah para juri tidak
boleh menerima kritikan jika kritikan itu tidak mencerminkan penghormatan kepada mereka dan teman-teman
mereka. Bagaimana ini dikaitkan dengan ketayap dan baju kot hanya boleh
difahami jika anda bersetuju dengan mereka bahawa memakai baju kot adalah sebahagian daripada
kebudayaan Melayu moden, sama juga dengan menggunakan teori sastera Barat untuk
menilai karya sastera Melayu adalah sebahagian daripada syarat penting dalam
definisi sastera Melayu moden.
Saya harap
penjelasan ringkas ini memberi sedikit kesedaran kepada anda mengapa kehadiran
novel mini ensiklopedia itu penting
dalam sastera Melayu. Kita tidak lagi bercakap hanya tentang sebuah cerita, tetapi tentang kehidupan manusia dari
segi hakikat kejadiannya. Kerana itu, jika anda membaca sebagai seorang pembaca
yang cerdik, anda akan dapati Pengurus Besar yang ditugaskan untuk membina Universiti
Islam itu didapati korup, tetapi tidak
dihukum seperti yang kita selalu dapat dalam cereka. Ini tidak bererti korupsi
diberi pembelaan, tetapi manusia yang tersalah langkah itu masih lagi seorang
manusia yang mempunyai potensi untuk berubah, maka dia dihukum dengan membuang
kerja, tetapi rumah yang didudukinya daripada wang pinjaman syarikat dan sebuah
kereta Mercedes Benz 230 dan beberapa peralatan rumah yang sudah dipakai
dihadiahkan oleh syarikat kerana jasa-jasanya kepada syarikat tetap dihargai,
oleh itu barang-barang itu disedekahkan syarikat kepadanya, dengan sejumlah
wang sagu hati mengenang jasanya kepada syarikat. Pada mulanya jawatan kuasa membantah, tetapi
apabila Pengerusi memujuk ahli jawatankuasa supaya tidak terlalu keras dalam
membuat keputusan, dan tidak membuat keputusan berasaskan perasaan marah atau
dendam, sebaliknya, “Berilah keputusan yang adil, yang sekali gus menghukum dan
mengajar,” maka sebulat suara keputusan dipersetujui.
Contoh yang
saya berikan itu penting kerana contoh ini memperlihatkan bagaimana perwatakan
dalam Pujangga Melayu dibina
berasaskan kesedaran kepada hakikat insan yang tidak sempurna, tetapi
kesempurnaan itu diperolehi dari tindakan yang sesuai seperti yang ditunjukkan
oleh Pengerusi Majlis Universiti ketika mengambil tindakan ke atas pekerja yang
korup itu untuk menghukum dan sekali gus mengajar. Mengapa aspek ini tidak ada di dalam
perwatakan Naratif Ogonshoto, padahal
novel itu telah diisytiharkan sebagai novel teragung dalam sastera Melayu.
Apakah ciri yang menjadi faktor kagungan novel itu? Faktor ini pun tidak ada.
Oleh itu, bagaimana ditentukan keagungan sebuah karya picisan dari perspektif
PB menjadi sebuah novel terbaik sepanjang zaman dalam sastera Melayu? Nampaknya
kita sedang berdepan dengan para pelawak sastera (literary jokers) yang
saya gelar sarjana ciritan itu. Pelawak
sastera ini sudah lama menguasai sastera Melayu, sehingga melumpuhkan cara
berfikir, cara mengajar dan belajar, dan cara menilai karya sastera. Dengan
terpilihnya beberapa orang pelawak sastera ini menjadi sasterawan negara dan
gelaran mereka digembar-gemburkan, wajib disebut di sana sini, maka tabiat
pelawak itu tidak dapat diselindungi lagi apabila ada yang memanjat bumbung
kilang besi berkarat untuk mendapat ilham untuk menulis. Inikah jenis manusia
yang diberi penghormatan sebagai pembina tamadun negara bangsa? Kalau sudah
jenis pelawak, di mana pun mereka berada tabiat pelawak itu tetap timbul. Dalam
bahasa Kelantan, “pelawak” tidak ditujukan kepada orang yang suka melawak,
tetapi ditujukan kepada manusia yang suka berbohong. Memang sifat pelawak
seluruh dunia adalah “pelawak” dalam loghat Kelantan, kerana setiap lawak tidak
akan menjadi lawak jika tidak diasaskan kepada pembohongan. Anda boleh lihat
ini dalam pertandingan Raja Lawak di TV.
Stesen TV yang menganjurkan pertandingan ini adalah pembohong besar
dalam seni menipu. Pembohongan mencerna
wang, oleh itu pembohongan akan terus menjadi program utama dalam hiburan; dan
ini pun sama juga dalam sastera. Sekiranya anda tidak sensitif kepada aspek ini
dalam kesusasteraan Melayu, maka anda dengan gembira menyertai para pembohong
ini untuk membina tamadun pembohongan negara.
Kita boleh seminarkan persoalan ini untuk menolak apa juga jenis pembohongan
ilmu dalam karya sastera, terutama sekali dalam karya para sasterawan negara. Supaya anda tahu dan sedar tentang perkara
ini, baca dengan kritis sajak “Pulang Si Tanggang” oleh Muhammad Haji Salleh;
novel Raja Novelis Malaysia, Shahnon Ahmad berjudul TIVI yang dia isytiharkan sebagai karya sufi dan sebuah karya
mithali sastera Islam versi beliau, menggunakan ayat-ayat Quran untuk
menjadikan pembohongannya satu kebenaran.
Contoh yang paling klasik ialah novel Naratif Ogonshoto, yang diisytiharkan sebagai karya terbesar
sastera Melayu sepanjang zaman! Lihat bagaimana pembohongan itu dijadikan nilai
tertinggi dalam karya sastera, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mawar Shafei
dalam bukunya; dan betapa pornografi diisytiharkan sebagai pembaharuan dalam
karya wanita Indonesia dan Melayu oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya.
Ini hanya beberapa contoh yang mudah didapati. Dalam hal ini, saya suka
menyebut kesedaran A. Samad Said yang menegaskan dia tidak mahu masuk neraka
kerana menggunakan teknik realisme magis dalam novelnya Hujan Pagi. (Dewan Sastera,
Julai 1997, hal. 52). Pengakuan ini ditujukannya kepada Shahnon sebagai satu
kritikan kerana orang itu menuduhnya hilang akidah kerana menggunakan teknik
itu. Teruklah mereka ini, para sasterawan negara ini! Adakah mereka ini jahil atau memang begitulah
tabiat mereka yang sentiasa angkuh menonjolkan kejahilan mereka? Inilah yang kita panggil sasterawan negara…
Dalam
pelajaran sastera di universiti, pembohongan ini dijadikan nilai murni untuk
membina peribadi maju dan geramkan kekayaan di kalangan para pelajar dengan
menjadikan Si Tanggang sebagai contoh manusia Melayu yang berjaya menjadi kaya
raya kerana berusaha. Nilai derhaka kepada ibu dihilangkan atau paling tidak
diperkecilkan supaya sanjungan terhadap kegigihan Si Tanggang menjadi ikutan
para pelajar untuk maju. Apabila pembohongan tafsiran dalam sastera dijadikan
kelebihan dalam pengajaran sastera, maka ke mana lagi hendak hantuk kepala anda
supaya sedar? Anda boleh baca huraian tentang persoalan ini dalam kertas kerja
Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.
Kritikan
saya sejak 1981 mengenai pembohongan ini ternyata benar. Sebuah cerita pendek
saya mengenai perkara ini diterbitkan oleh DBP dalam Pura Bujangga (DBP 1990,
hal. 173-180). Adakah nasi sudah menjadi
bubur? Tidak saja menjadi bubur, tetapi sudah menjadi bubur yang basi dan
ditolak oleh ayam dan itik sekalipun. Saya bernasib baik kerana masyarakat,
terutama para sarjana dan sasterawan,
masih tetap degil menerima pembohongan intelektual ini sebagai asas pembinaan
negara bangsa. Mengapa bernasib baik?
Dengan latar belakang yang ringkas ini, anda yang mengikuti perkembangan
sastera Melayu kini diberi peringatan bahawa sastera Melayu moden tidaklah
seindah yang anda bayangkan. Dengan
latar belakang ini, saya harap akan tampil para penulis yang benar-benar competent akan menulis perkembangan
sebenar dalam sastera Melayu moden yang dinilai daripada dua perspektif: satu
yang berlatar belakang Islam untuk melihat sejauh mana sastera Melayu hanyut
dalam ambiguiti nilai yang ditonjolkan oleh para sasterawan dan disokong oleh
para sarjana. Perspektif kedua, yang lebih dominan, ialah untuk melihat betapa
kuatnya pengaruh teori sastera Barat dalam perkembangan sastera Melayu moden
sehingga timbul sikap anti-ilmu, lebih tepat ingkar ilmu, yang menjadi pegangan
para sasterawan dan penyokong mereka para sarjana sastera. Dua perspektif ini perlu diambil kira untuk
melihat makna perkembangan itu dalam sejarah intelektual Malaysia. Dengan itu
kita boleh membuat kesimpulan sama ada akan meneruskan perkembangan yang hanyut
dengan ambiguiti ini atau memulai perkembangan baru dengan kembali kepada
persuratan Melayu. Dalam konteks inilah Pujangga Melayu memainkan peranan yang paling positif sebagai pemberi
alternatif yang paling mudah dilaksanakan dengan kembali kepada konsep
persuratan. Usaha Klasika Media
menerbitkan Siri Novel Persuratan adalah satu usaha ke arah kegemilangan
persuratan Melayu, dengan itu menyediakan gelanggang kepada para penulis
generasi baru untuk memberi sumbangan mereka sebagai penulis yang berilmu dan
jelas pula konsep ilmu mereka, tetapi tidak menolak segala perkembangan yang berlaku di Barat, malah memahaminya
dengan mendalam untuk dijadikan perbandingan betapa usaha manusia yang menolak
agama akan sia-sia dan hanya akan melahirkan generasi angst seperti yang dialami di Barat. Kini golongan yang menghadapi masalah ini
sudah wujud di kalangan para sasterawan negara sendiri, seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang lepas.
Dalam
beberapa entri yang lepas saya telah memberi penjelasan mengapa kita perlu
mendekati dengan lebih serius sumbangan pemikiran Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas dan para muridnya yang saya sebut beberapa nama untuk makluman anda
bahawa sumbangan Prof. Al-Attas dalam perkembangan ilmu tiada tandingannya di
Malaysia, tetapi ini ditolak bulat-bulat oleh golongan sarjana ciritan dan
sasterawan negara, padahal sumbangan mereka sendiri hanya berjaya melahirkan
kumpulan yang menghadapi penyakit sasau jiwa yang disebut angst itu. Acap kali juga saya ditanya mengapa mereka ini menolak
sesuatu yang baik, tetapi gagal memberikan yang lebih baik, malah penolakan itu
sendiri menjadi bukti bahawa mereka ini amat negatif, angkuh dan hasad terhadap
pencapaian orang lain yang mereka musuhi. Maka itulah dalam kesimpulan dalam
entri yang lepas, saya menutup entri itu dengan kata-kata ini: Menerima sesuatu
yang baik adalah tanda orang berilmu. Menolaknya kerana keangkuhan dan hasad
adalah sifat Iblis. Hakikat ini telah dicatat di dalam al-Quran dan Sunnah.
Jika anda lebih selesa berada dalam kumpulan kedua, teruskanlah.” Inilah yang terjadi kepada para sarjana dan
sasterawan negara, sebagai bukti bahawa mereka sedang menderita sasau jiwa yang
disebut oleh Heidegger angst, hasil
dari sikap angkuh dan hasad terhadap pencapaian orang lain yang lebih baik
daripada mereka. Dilihat dalam konteks ini, jelaslah mereka, para sasterawan
negara ini, tidak relevan dan tidak diperlukan oleh negara.
Dalam
konteks yang bagaimana sekali pun, para sasterawan negara ini tidak boleh
dipertahankan dan dikekalkan. Meneruskannya adalah satu perbuatan yang
melanggar kesantunan ilmu kerana tidak seorang pun dari mereka yang boleh
dipanggil ilmuan. Seperti yang telah dibuktikan, karya mereka adalah cetek,
tidak layak dijadikan contoh pemikiran dalam penonjolan idea dan kecanggihan
teknik dalam penulisan kreatif. Di sinilah
saya mengajak semua para sarjana yang mempunyai maruah akademik yang tinggi
untuk menolak kesimpulan ini, dan pada waktu yang sama menilai Pujangga Melayu dari perspektif apa pun
yang mereka mahu, menggunakan teori dari mana sekalipun. Pesan saya kepada anak-anak muda yang
berminat dalam penulisan, habiskanlah masa anda untuk mencerakin kekuatan dan
kelemahan Pujangga Melayu, moga-moga
anda akan mendapat idea yang lebih baik
untuk memulakan tradisi baru dalam penulisan novel, yang berpaksikan ilmu yang
benar. Jadikan ini motivasi untuk anda, kerana saya yakin akan lahir di
kalangan anda para pengarang besar kita yang akan menjadi kebanggaan kita masa
depan. Ibarat seorang nakhoda, bawalah kapal anda ke penjuru dunia yang mana
sekalipun, dengan ilmu yang ada dan
kemahiran yang teruji, anda tidak akan sesat atau tersandung di batu
karang.
Selamat
belayar untuk membawa balik muatan yang berharga, bukan membawa balik Si
Tanggang untuk menjadi penderhaka kepada tradisi dan budaya anda sendiri. Jangan takut untuk gagal, kerana kegagalan
memberi anda peluang untuk berjaya.
Mohd.
Affandi Hassan.
Petaling
Jaya, 3 April 2017.
No comments:
Post a Comment