Usaha para
sarjana dan sasterawan untuk menjadikan sastera sebagai satu-satunya faktor
penentu dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa telah dicuba oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad dalam sebuah tulisan yang termuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad menggunakan konsep dan istilah hegemoni untuk mencapai maksud bahawa para sasterawanlah, dengan
sokongan padu para sasterawan negara dan sarjana sastera, yang meletakkan asas
tamadun bangsa Melayu moden melalui karya sastera ciptaan mereka. Usaha ini
memberikan kita satu wajah yang sangat buruk dalam perkembangan intelektual di
Malaysia berupa paksaan, atas nama hegemoni, untuk menerima hanya sejenis karya
sastera sahaja yang boleh dijadikan asas negara bangsa. Jenis yang ditulis oleh
para sasterawan dan sasterawan negara. Masalah yang paling besar ialah semua
karya mereka adalah bertaraf picisan, jika dinilai dari perspektif ilmu.
Bagaimana kita boleh menerima sastera sebagai teras negara bangsa jika karya
sastera tidak mempunyai content ilmu?
Saya telah menunjukkan dengan bukti yang hingga kini tidak disanggah secara
akademik, sebuah karya terbesar dan teragung sekalipun, seperti Naratif Ogonshoto, adalah sebuah karya
picisan dilihat dari perspektif ilmu. Dan lebih buruk lagi, karya itu adalah
sebuah karya nihilis, yang melontar semua aspek moral dan keagamaan ke dalam
lautan kezaliman dan penipuan, yang kononnya boleh dijadikan iktibar untuk
mengajar para pelajar menjadi berhemah tinggi, beradab, dan mempunyai moral
yang tinggi. Dengan mengajar mereka bahawa kezaliman dan penipuan adalah juga
penting dikenali dan dipelajari kerana dua aspek kehidupan manusia ini kita
alami sehari-hari. Adakah ini ajaran agama, mana-mana agama sekali pun? Inilah
ajaran kaum nihilis. Apa yang anda perlu
buat sekarang, buktikan novel Naratif Ogonshoto itu bukan sebuah karya
nihilis; anda juga perlu membuat penjelasan mengapa memberi ajaran buruk,
seperti yang ditonjolkan dalam novel itu, sesuatu yang baik, yang sesuai dengan
falsafah pendidikan negara yang mungkin masih dipakai oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia, yang kononnya mengutamakan nilai-nilai murni. Apakah
nilai-nilai murni yang ditonjolkan dalam novel agung Naratif Ogonshoto itu? Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak memberi
apa-apa contoh tentang aspek ini, seolah-olah ini tidak penting, padahal ini
sudah dijadikan polisi pendidikan yang
memberi panduan ketika memilih sesebuah karya untuk dijadikan teks di sekolah-sekolah. Apa yang terjadi di sini ialah semua karya
sasterawan negara tidak perlu dinilai dari aspek moral dan nilai-nilai murni,
kerana kedudukan mereka yang begitu istimewa telah melepaskan diri mereka
daripada dikenakan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai
nilai-nilai murni dan aspek moral.
Adakah pandangan ini bermoral?
Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah, dari perspektif mana pun anda
nilai Naratif Ogonshoto, novel agung
ini tetap sebuah novel picisan yang tidak mementingkan nilai-nilai murni dan
tidak mementingkan aspek moral dalam
kehidupan manusia, sebuah novel picisan dari segi content ilmunya. Bagaimana
kita boleh jadikan karya yang sebegini teras negara bangsa? Tentulah kita tidak
siuman jika kita tidak sedar akan keburukan yang menjadi asas naratif novel
agung ini. Kita menjadi lebih tidak
siuman jika kita menjadikan keburukan sebagai asas tamadun sesuatu bangsa, atau
dalam slogan yang dilaungkan oleh ITBM sastera
teras negara bangsa walaupun karya sastera mengajar keburukan dan
menjadikan keburukan atau kejahatan sebagai tema utama.
Lebih buruk
lagi apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamd menjadikan konsep hegemoni berasaskan sastera yang picisan itu sebagai panduan,
padahal dari segi sejarahnya negara ini dibangunkan dari ajaran Islam yang
menjadi anutan rakyat berbangsa Melayu. Adakah kamu sudah lupa hakikat ini?
Semua kekeliruan besar ini menjadi masalah yang lebih besar sekiranya kita tahu
hegemoni itu adalah ajaran golongan
Marxist yang anti-Tuhan. Bagaimana sesuatu yang bertentangan dengan tamadun
kita sendiri boleh dijadikan asas pembangunan negara? Kekeliruan seumpama ini
memerlukan penjelasan, tidak boleh didiamkan; oleh itu sebuah buku perlu
ditulis dan diterbitkan oleh ITBM untuk membetulkan kesilapan mereka mengenai
perkara ini.
Kita lihat
definisi hegemoni dalam A Dictionary of
Cultural and Critical Theory ed.
Michael Payne (Oxford: Blackwell Publishers, 1997.): “hegemony Derived from the Greek word hegemon (leader, commander, guide,
ruler), hegemony has generally been used (by both Marxist and non-Marxist
thinkers) to refer to either political dominance or leadership. It acquires a
more specific import in the work of Antonio Gramsci, who, developing Marx’s
insights, argues that the economic and political ascendency of a given class is
organically connected with a preparatory achievement of cultural and
intellectual hegemony. The intellectuals
sympathetic to this class have an organizational function: to articulate the world view of the
class, thereby giving it a unity and consciousness if its aims; to help
structure social institutions in accordance with these aims; and to foster an
environment of consent to the ideas of the class.” (hal. 239)
Idea yang
dijelaskan dalam definisi itu nampaknya menjadi pegangan Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad, seperti yang dapat kita lihat dalam makalahnya. Dengan menjadikan sastera sebagai asas
hegemoni dalam pembangunan intelektual dan kebudayaan di Malaysia, beliau telah
meletakkan sastera sebagai nilai tertinggi yang definitif dalam pembangunan
negara. Ini tidak boleh diterima sama sekali, kerana inilah jenis idea
nihilistik yang kita lihat dalam entri yang lalu.
Panel
Anugerah Sastera Negara memang menolak aspek moral ini, yang bagi mereka tidak
relevan dalam karya sastera. Inilah kesimpulan mereka dalam laporan mereka.
Kalau begitu, dengan tiada ragu-ragu lagi kita juga boleh melabelkan Panel
Anugerah Sastera Negara sendiri adalah puak nihilis yang menolak moral sebagai
asas pembinaan tamadun. Kesimpulan ini
bertaburan dalam laporan mereka, dan sudah saya bincang panjang lebar dalam
beberapa entri dalam blog ini. Boleh rujuk senarai entri yang saya rujuk tempoh
hari. Saya juga mengajak anda semua membaca dengan kritis dua buah buku untuk
memberi sedikit gambaran betapa karutnya ajaran yang ditonjolkan dalam karya
sastera para sasterawan negara dan dalam kritikan cetek meraba-raba para
sarjana (ciritan) dan pengkritik picisan. Saya rujuk buku Stephen R. C. Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and
Socialism from Rousseau to Foucault
(New Berlin/Milwaukee, 2004). Sebuah lagi karya Prof. Ernest Gellner, Postmodernism, Reason and Religion (London & New York: Routledge, 1992). Saya salin kesimpulan
beliau: “To the relativists, one can only say – you provide an excellent
account of the manner in which we choose our menu or our wallpaper. As an
account of the realities of our world and a guide to conduct, your position is
laughable. Possibly you may be doing good by encouraging political compromise.
If the ambiguities of your formulations and attitude help ease the situation,
and bringing forth a compromise between the believers and the others, or
between rival believers, you may yet be performing a public service.” (last
page, 96.)
Apa yang
ditulis dalam novel agung Naratif
Ogonshoto dan dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tepat sekali dengan
kesimpulan Gellner, “As an account of the
realities of our world and a guide to conduct, your position is laughable.” Inilah juga kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara. Inikah hegemoni? Inilah maksud hegemoni yang di dalam slogan
ITBM, “sastera teras negara bangsa”.
Seperti yang saya jelaskan, sesiapa juga yang masih siuman tidak boleh
dan tidak akan menerima slogan ini kerana bertentangan dengan sejarah dan kenyataan
yang ada.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 27/4/2017.
No comments:
Post a Comment