Dalam
perbincangan mengenai Naratif Ogonshoto
dan Pujangga Melayu, saya menggunakan
pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof. Pogadaev dari Russia sebagai
panduan. Profesor inilah yang menterjemahkan novel agung ini ke bahasa Russia
dengan judul (terjemahan Melayu oleh beliau sendiri) Cerita yang Benar dan
Khayalan daripada Kepulauan Ogonshoto
(2006) ditaja oleh DBP dan dua buah organisasi Russia. Makalah Dr. Saleeh
berjudul “Naratif Ogonshoto: Ibarat
Madu Lewat Saringan” (Dewan Sastera,
September 2005, hal. 74-80), yang juga disiarkan Jurnal Pengajian Media Malaysia, jilid 7 no. 1 2005, hal. 91-99.
Makalah ini penting kerana telah diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia
2004-2005. Dalam kajian ilmiah tentang
novel agung ini, makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah yang paling lucu
yang pernah saya baca. Saya akan jelaskan nanti.
Malaysia
beruntung telah mempunyai novel terbesar sepanjang zaman karya Dr. Anwar
Ridhwan, seorang sasterawan negara. Novel ini sudah dijadikan buku teks, oleh
itu telah masuk bilik darjah untuk dipuji oleh para pelajar dan guru-guru
sastera. Novel agung ini mendapat pujian tinggi daripada Panel Anugerah Sastera
Negara seperti tertulis dalam laporan mereka. Kata Panel: “Akhir kata,
novel-novel Anwar Ridhwan, sama ada yang bersifat eksperimental atau konvensional,
tidak dapat dibaca dan difahami secara mudah. Karyanya mempunyai sistem makna
yang berlapis-lapis, dan menuntut renungan serta pentafsiran yang juga
berlapis-lapis. Bahasa yang digunakannya padat dengan irama dan puisi,
personifikasi, lambang dan ciri-ciri abstrak yang kadang-kadang sukar dikecapi
rasa dan difahami akal. Usaha mencari makna kadang-kadang berdepan dengan
bayang-bayang yang teramat asing dan penuh misteri. Pembaca dibawa melihat permasalahan
sosial dan manusiawi dalam satu pencarian intelektual, secara meluas, mendalam
dan melepasi sempadan hal-hal peribadi. Pada akhir pencarian itu, pembaca akan
merasa puas, faham dan sedar.” (kesimpulan, halaman 36-37.)
Kesimpulan
ini ditulis dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan perkataan Melayu (bukan
bahasa Melayu). Inilah bahasa yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara,
iaitu suatu jenis penglipur lara akademik yang boleh disesuaikan dengan karya
Anwar Ridhwan yang memang diakui termasuk jenis penglipur lara. Sifat penglipur
lara karya Anwar Ridhwan digambarkan seperti berikut oleh Panel Anugerah
Sastera Negara: “Dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir,
firasat, mitos dan simbolisme itu masih berakar pada realiti dunia. … Kesannya
ialah ciptaan sebuah dunia yang separa-nyata dan separa-magis”. (hal. 33).
Apakah kesimpulan anda bila membaca kesimpulan ini? Inilah dunia
penglipur lara yang tidak ada unsur Islamnya, dunia animisme yang diberi nama
baru sebagai magic realism (bahasa
Melayu: realisme magis) dalam sastera Barat. Oleh itu tidak hairan jika Seminar
“Pemikiran” sasterawan negara Anwar Ridhwan bertemakan “Memperbaharu Tradisi ke
Pentas Global”. Yang dimaksudkan dengan
“tradisi” itu ialah tradisi penglipur lara, bukan tradisi persuratan yang
bercorak Islam. Ini ditegaskan oleh Panel dalam kutipan di atas.
Kalau
kesimpulan Panel tepat, maka apakah yang istimewa tentang novel agung ini?
Kalau hanya sekadar ditulis untuk menyambung dunia penglipur lara dengan dunia
moden, maka perlukah ditulis novel agung ini? Membawa kembali dunia animisme
setelah Melayu itu dididik untuk menjadi cerdik melalui ajaran tauhid, maka
bagaimana pula dikatakan sasterawan negara ini membawa kemajuan baru dalam
bentuk eksperimen dan innovation
dalam penulisan kreatif, jika matlamat akhir karya itu untuk menyesatkan suatu
bangsa yang sudah menerima kebenaran tauhid?
Semua kesimpulan ini tidak lebih dari bullshit, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof.
Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit;
dan dalam buku yang ditulis dalam bahasa Melayu, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Sekiranya sesebuah karya seperti Naratif Ogonshoto ini hanya sejenis bullshit, tidak mungkin novel ini boleh
diberi kedudukan sebagai novel agung dalam sastera Melayu. Ada sesuatu yang
tidak kena di sini, dan hal ini dijelaskan dengan mendalam oleh Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad dalam tulisannya. Kita lihat tulisan beliau sekarang.
Dalam
makalah yang menerima Hadiah Sastera
Perdana Malaysia 2004-2005 itu, ada satu perkataan yang disebut berulang-ulang
dalam makalah yang berprestij ini, iaitu perkataan “kerancuan”, yang diberi
kedudukan istimewa sebagai tajuk penting dalam perbincangan, “Kerancuan Bentuk
dan Makna.” Kata Kamus Dewan, rancu
tidak teratur, campur aduk, kacau (bahasa);
kerancuan keadaan rancu
(tidak teratur dan sebagai); kekacauan (kekeliruan penggunaannya hanya akan
meningkatkan kadar kerancuan kita berbahasa). Kita lihat pula Kamus Besar Bahasa Indonesia. rancu
tidak teratur; campur aduk; kacau (tentang berfikir, bahasa dan sebagainya); kerancuan hal rancu; kekacauan; kerincuan.
Bagi Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad, “kerancuan” adalah satu konsep penting yang
mempengaruhi kualiti sesebuah karya cereka. Semakin rendang kerancuannya, semakin tinggi kualiti
novel penglipur lara; dengan itu kerancuan adalah faktor penting dalam
penulisan novel, sehingga menjadi ukuran yang akan menentukan kualiti sesebuah
novel. Betapa pentingnya kerancuan
itu dalam Naratif Ogonshoto dianalisis dengan terperinci oleh Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia
itu. Dr. Saleeh membuktikan dalam tulisannya itu betapa Anwar Ridhwan
menggunakan aspek kerancuan itu secara maksimum, sehingga novel agungnya itu
bolehlah digelar “novel kerancuan agung Malaysia”.
Apakah yang
mendorong Anwar Ridhwan menulis karya berasaskan konsep kerancuan ini? Mengikut
Dr. Saleeh, tujuannya ialah untuk menghidupkan kembali penglipur lara dalam
bentuk moden, sehingga menjadi genre global.
Kesimpulan ini penting, kerana tanpa disedari oleh beliau, nampaknya
beliau menerima kesimpulan saya selama ini bahawa Anwar Ridhwan adalah seorang
penglipur lara moden, mengambil tempat Pak Hassan yang gagal menghidupkan
kembali penglipur lara dalam Hari-hari Terakhir
Seorang Seniman. Kegagalan Pak
Hassan adalah kerana beliau bukan seorang seniman yang berfikir dan sanggup
bertindak dengan tegas menghadapi cabaran dunia moden yang tidak berminat lagi
kepada penglipur lara. Anwar Ridhwan
mengambil tempat itu, dan berjaya, menurut Dr.
Saleeh Rahamad, meletakkan penglipur lara ke taraf global. Kata Dr.
Saleeh, “Naratif Ogonshoto muncul
sebagai teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai teks pascamoden
multiwacana – pascakolonialiti (walaupun pascakolonialiti juga termasuk dalam
kategori pascamoden), tekstualisme baru, dan realisme magis. Tiga unsur yang
menjadi pasak teks ini – strukturnya Sejarah
Melayu, ceritanya bercorak cerita rakyat, dan pemikirannya yang bersifat political dimension – mengeluarkannya
daripada kelompok karya parokial, jumud, klise, dan mediocre. Karya ini berjarak jauh daripada persoalan setempat
tetapi tetap mempunyai signifikasinya dalam penerimaan tempatan kerana nilai
kesejagatan yang dikemukakannya. Oleh yang demikian, kedudukannya dapat
dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia.”
Itulah
permulaan tulisan beliau, yang juga menjadi kesimpulan beliau dalam penilaian
beliau terhadap novel agung sastera Melayu ini. Kemudian di bawah tajuk, “Kerancuan
Bentuk dan Makna”, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan, “Sebagai hasil seni, Naratif Ogonshoto tidak memberikan makna
yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan
lantaran kompleksitinya. Naratif
Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun dikisahkan menurut
aturan naratif yang tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang tersirat di
bawah lapisan naratif ala cerita rakyat yang tampak mudah ini.” Kemudian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memetik
Anwar Ridhwan, “… kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata
terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna
berlapis-lapis serta perlambangan” (muka surat 119 edisi 2001). Di sini Anwar
Ridhwan bercakap dalam teka teki seorang resi tua dalam cerpen “Pentafsir”.
Timbulnya istilah cerpen itu kerana menurut Anwar Ridhwan sendiri Naratif Ogonshoto adalah sebuah antologi
cerpen, yang dirangkaikan menjadi sebuah “novel”. Itulah inovasi beliau, yang
telah dijadikan genre oleh para pendeta Buddha beribu tahun dahulu dalam
cerita-cerita berbingkai yang memang disukai oleh orang Melayu, seperti
misalnya Hikayat Singa dengan Lembu.
Membaca
huraian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengenai “kompleksiti” novel cerita pendek
ini memberi kita gambaran yang jelas tentang makna “kerancuan” yang beliau
pakai. Jika kita menerima definisi “kerancuan” yang diberikan oleh Kamus Besar Bahasa Indonesia bahawa
“kerancuan” dalam konteks pemikiran dan penggunaan bahasa bererti “kekacauan”
berfikir dan kelemahan menggunakan bahasa yang tepat, maka memang tepat novel
agung ini menyerlahkan aspek yang disebut oleh kamus itu. Sekarang bermulalah simpang siur penghujahan
seorang sarjana sastera yang dari segi gaya mirip sekali dengan gaya “mat
rempit” yang berkeliaran di jalan-jalan raya Malaysia. Perkataan “mat” adalah kependekan daripada
“mati” kerana ramai sekali pemuda Melayu yang “merempit” itu “mati” gara-gara
dadah “merempit”, sejenis penyakit psikologi yang belum lagi dihuraikan dengan
mendalam oleh para psikologis Melayu. “Merempit” adalah sejenis dadah perilaku
yang digemari pemuda Melayu, samalah seperti gaya sensasi digemari oleh para
sasterawan dan diberi sanjungan tinggi oleh para sarjana (ciritan) sastera. Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya
sensasi yang menjadikan sensasi sebagai gaya penulisan yang amat digemari oleh
para sasterawan negara dan para pengikut mereka. Kejayaan terbesar Naratif Ogonshoto bukan kerana
“pemikiran”, yang tidak ada; tetapi kerana gaya sensasi yang sungguh hebat
memenuhi ruang naratif novel agung ini.
Novel sensasi ini mengemukakan contoh “pemikiran” dalam konteks
“kerancuan” yang diberi definisi oleh Kamus
Besar Bahasa Indonesia itu, yang turut diperagakan oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad dalam tulisannya yang diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pemilihan juri untuk memberi hadiah
“berprestij” itu sendiri adalah penyerlahan aspek “kerancuan” dalam penilaian
sastera di kalangan para juri, yang telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian
Sebuah Pemenang Sayembara” (Bab 10, Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, UKM 2016).
Adalah
sesuatu yang amat ironis apabila “istilah” kerancuan
yang dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makna yang diberikan oleh Kamus Besar Bahasa Indonesia itu menjadi ciri dan sifat penulisan akademik yang
bersimpang siur dengan penghujahan yang saling bertentangan dan saling
menafikan. Misalnya, sarjana ini mengatakan Naratif
Ogonshoto itu sebuah karya penglipur lara, tetapi pada waktu yang sama dia
menegaskan inilah sebuah karya moden yang menggunakan teknik penulisan moden
sehingga menjadikannya sebuah karya pascamoden kerana menolak adanya nilai
mutlak dalam karya seni, sesuai dengan faham pascamodernisme itu sendiri yang
tidak menerima kedudukan nilai mutlak yang diajarkan oleh agama. Bagaimana hal
ini boleh terjadi amatlah menghairankan bagi yang tidak familiar dengan cara para sarjana kita yang begitu kuat dipengaruhi
teori sastera Barat cuba berlagak sebagai sarjana yang tahu segala-galanya,
seperti yang diperlihatkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya
ini. Risiko menjadikan diri anda tahu
segala-galanya ini ialah anda akan berada dalam kontradiksi yang anda tidak
sedar. Contoh dari tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Menurut beliau, “Anwar Ridhwan memang pakar
bercerita sama seperti pakarnya watak
penglipur lara Pak Hassan dalam novelnya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Dengan mewarisi kebebasan
penglipur lara itu Anwar hanya berperanan sebagai penyampai cerita dalam penyamaran
modennya tanpa menghadirkan peringatan yang didaktis secara superficial. Cerita-ceritanya
berlangsung seperti yang kononnya berlaku sahaja dan terpulang kepada pembaca
untuk menangkap maksud yang tersirat di sebalik setiap episod tersebut. Anwar
seolah-olah ingin berlepas tangan daripada kritikan yang tersirat dalam Naratif Ogonshoto walaupun pada bahagian
awal ditegaskan hak cipta miliknya.” Untuk klaim hak cipta miliknya (Anwar)
adalah praktik yang wajar menurut undang-undang, tak perlu diberi komen apa-apa
untuk tidak kelihatan pelik (saya hampir mengatakan bodoh!). Yang ingin kita persoalkan, benarkah Pak
Hassan seorang pakar bercerita? Jelas tidak, malah dia amat bodoh kerana tidak
dapat memahami situasi yang telah berubah. Dia masih berada dalam dunia khayal
dan angan-angan tukang cerita murahan. Adakah inilah juga kedudukan Anwar
Ridhwan sendiri? Nampaknya begitulah, jika kita membaca kesimpulan Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad sebagai seorang sarjana yang teliti. Dengan membuat kesimpulan
bahawa Anwar Ridhwan “hanya berperanan sebagai penyampai cerita dalam
penyamaran modennya tanpa menghadirkan peringatan yang didaktis secara superficial,” maka jelaslah Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad tidak membaca Naratif
Ogonshoto sebagai seorang sarjana yang teliti and smart. Mana boleh dia
membuat kesimpulan yang begitu naif dan kebudakan, padahal Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya didaktik yang seratus persen
mengarah kepada kepercayaan karut yang ditegaskan sendiri oleh Dr. Saleeh dan
kemudiannya diikuti dan disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara bahawa
inilah sebuah karya yang “berdiri sebagai sebuah teks yang lengkap teradun
pelbagai unsur daripada pelbagai sumber, dan teks ini terhasil sebagai karya
yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada
sumber yang pelbagai.” Tidakkah itu amat jelas unsur didaktiknya? Jelaslah jika
anda seorang penulis, anda akan tetap mahu menyampaikan sesuatu yang dinamakan
unsur didaktik itu, sekiranya anda seorang penulis yang bertanggungjawab. Buat
apa menulis jika tidak ada perutusan tertentu? Itulah yang dinamakan unsur
didaktik itu. Saya menekankan soal remeh ini untuk memulai perbincangan tentang
Pujangga Melayu, yang seratus peratus
sebuah karya didaktik yang ditulis dengan indah
dan bermakna, satu slogan didaktisisme yang jelas bahawa itulah yang
menjadi matlamat penulisan novel persuratan itu.
Pujangga Melayu adalah sebuah karya didaktik yang
ditulis dengan teliti oleh seorang pemikir yang tahu dengan jelas dan pasti apa
yang ditulisnya itu akan berupaya memberi pendidikan kepada pembacanya untuk
menjadi lebih cerdik dan lebih terbuka kepada ilmu. Semua unsur ini tidak ada di dalam Naratif Ogonshoto, menurut Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad. Kalau begitu, memang benarlah kesimpulan saya bahawa Naratif Ogonshoto tidak wajar dan tidak
perlu ditulis kerana tidak memberikan kita apa-apa yang berguna, maka dengan
itu juga karya ini tidak layak dijadikan salah satu landasan untuk memberi
gelaran sasterawan negara kepada penulisnya kerana tidak mempunyai apa-apa
makna kepada bangsa dan negara, selain hanya untuk bercerita yang kaya dengan
sensasi dan sifat sadistik yang terlalu melampau, seperti yang diakui oleh Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad ketika beliau menyebut beberapa contoh, umpamanya cerita
pendek “Hering”. Sarjana ini memuji
tinggi karya Anwar Ridhwan ini, tetapi pada waktu yang sama beliau menolaknya
dalam kontradiksi yang terlalu jelas, jika anda membaca makalah beliau dengan
kritis. Apakah yang ingin disampaikan
beliau? Mungkin beliau pun mahu lari
dari sifat yang dikatakannya didaktik dan superficial itu, dengan menghasilkan sebuah tulisan yang memang
didaktik dan superficial. Izinkan
saya menggunakan istilah Prof. Frankfurt yang terkenal, bullshit. Inilah tulisan bullshit untuk memuji sebuah karya bullshit! Atau dalam bahasa yang lebih lunak dan lebih
enak didengar, inilah karya yang menayangkan wajah huduh pandirisme dalam sastera Melayu.
Sekarang anda boleh gunakan istilah yang sama untuk menilai Pujangga Melayu, untuk membuktikan
bahawa anda juga termasuk di dalam golongan bullshit
itu. Saya telah menulis sebuah buku
untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan pandirisme, berjudul Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.
Sekarang anda mendapat peluang yang amat baik untuk menggunakan konsep
pandirisme itu untuk menilai Pujangga
Melayu dan Naratif Ogonshoto,
satu perbandingan yang akan membuat anda terbelalak biji mata setelah dapat
melihat dengan jelas kedudukan sebenar Naratif
Ogonshoto dalam persuratan Melayu. Inilah antara cabaran yang anda perlu
lakukan untuk mengangkat Naratif
Ogonshoto dan menolak Pujangga Melayu
sebagai sebuah karya yang tidak mempunyai kualiti, kecuali sifat didaktiknya
yang terlalu menitikberatkan aspek ilmu yang benar, padahal menurut para
sarjana dan sasterawan, konsep ilmu tidak diperlukan dalam penulisan yang
berkualiti seperti yang ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam Naratif Ogonshoto. Jika anda suka, anda boleh gunakan pandangan
saya dalam entri bertarikh 15/4/2017 untuk menilai dua buah “buku cerita” ini;
atau anda boleh saja menggunakan mana-mana teori Barat yang anda faham
(mestilah faham betul-betul, bukan memakai nama saja tetapi tidak tahu dengan
mendalam isinya). Sama ada anda gagal
atau berjaya mempertahankan Naratif
Ogonshoto sebagai karya terbesar dan teragung dalam sastera Melayu, sangat
bergantung pada kefahaman anda tentang konsep ilmu, sama ada mengikut acuan
Barat atau acuan Islam yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Cabaran
ini sangat wajar dan tidak berat sebelah, kerana seperti yang anda ketahui dan
yang menjadi pegangan anda sebagai seorang sarjana, maruah akademik anda
memerlukan anda mempertahankannya dengan kegigihan seorang ahli ilmu, bukan
sebagai pengguna teori yang superficial!
Sifat superficial makalah Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad ini boleh dilihat dengan jelas, dan mengejutkan, apabila beliau menulis
begini: “Dalam Naratif Ogonshoto,
kepercayaan superstitious yang
berlegar di kalangan masyarakat Melayu, kisah bahtera Nabi Nuh daripada
al-Quran, kisah Si Tenggang, ciptaan teropong ajaib dalam novel Putera Gunung Tahan … diolah semula
dengan gaya yang tersendiri tanpa
dipaliti gejala plagiat. … Dalam bab “Bahtera” juga kisah pembinaan bahtera
oleh nakhoda yang percaya akan berlakunya gempa bumi merupakan peminjaman
daripada kisah Nabi Nuh yang membina bahtera besar bagi menyelamatkan kaumnya
daripada banjir besar.” Kebenaran
al-Quran dicampur-adukkan dengan mitos dan kepercayaan karut. Yang melakukannya
Anwar Ridhwan; diterima dengan baik dan pujian oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,
seolah-olah mereka berdua ini tidak pernah masuk masjid dan tidak pernah dengar
azan dan tidak tahu wujudnya al-Quran untuk memberi bimbingan kepada semua umat
manusia. Bagaimana al-Quran boleh disetarafkan dengan kepercayaan karut
masyarakat Melayu? Perlukan penjelasan …
Kesimpulan Penting
Tajuk yang
menjadi perbahasan saya kali ini sangat
penting. Pertama sekali, dalam mana-mana penilaian sekalipun, yang layak
mempertahankan diri hanya karya itu sendiri, bukan penulisnya, tidak juga para
penyokong penulis karya itu. Beri peluang kepada karya itu sendiri mempertahankan
dirinya sebagai sebuah karya yang bermutu tinggi dan layak diberi perhatian
serius. Kedua, anda boleh menggunakan
apa juga teori yang anda mahu, atau yang anda rasa selesa, dengan syarat anda
tidak menolak konsep ilmu yang benar sekiranya anda seorang sarjana Islam. Jika
anda bukan sarjana Islam sekali pun anda masih boleh menggunakan Gagasan Persuratan Baru, samalah seperti anda
yang Islam menggunakan teori Barat yang ditulis oleh seorang mulhid (atheist). Tetapi di Malaysia hampir semua sarjana dan
pengkritik sastera (dengan beberapa pengecualian yang kecil jumlahnya) dan para
sasterawan menolak konsep ilmu yang benar, walaupun mereka beragama Islam.
Mereka sangat takut karya mereka akan masuk tong sampah (kata-kata ini pernah
diucapkan oleh seorang ahli Panel anugerah sastera) sekiranya Gagasan
Persuratan Baru, atau secara umumnya teori yang berpaksikan tauhid, digunakan untuk menilai karya mereka. Kalau
sudah begitu bagus, mengapa takut dinilai daripada perspektif mana sekali pun?
Ini membuktikan karya anda tidak sebaik yang anda fikirkan dan yang anda
diberitahu oleh orang-orang yang belum tentu
berilmu dan ikhlas memuji anda.
Saya
cadangkan, ITBM dan DBP mengadakan satu diskusi ilmiah untuk membincangkan
perkara ini, jika anda semua serius tentang persoalan yang kita bincangkan ini.
Biar Naratif Ogonshoto dan Pujangga Melayu mempertahankan diri
masing-masing ketika menghadapi kritikan daripada sesiapa sekalipun.
Catatan kecil: Terdapat beberapa poin penting yang
saya tidak sebut dalam entri ini, yang akan saya bincang sekiranya perlu.
Rasanya yang ada ini sudah mencukupi buat sementara waktu. Matlamat saya hanya
untuk membuat anda berfikir dengan serius, dan membahaskan dengan kritis dan
akademik persoalan yang saya timbulkan di sini.
Terima kasih.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 19/4/2017.
No comments:
Post a Comment