Sukar untuk
sesiapa yang berminat dengan PB jika tidak membaca dengan teliti Pujangga Melayu, lebih-lebih lagi jika
dia mahu menulis karya persuratan. Yang
pertama harus dibuatnya ialah memahami apakah yang dimaksudkan dengan karya
persuratan, dan perbezaannya dengan karya sastera. Jika dua perkara ini tidak
difahami, anda tidak mungkin menulis karya persuratan seperti yang
dikonsepsikan oleh PB. Kini Pujangga Melayu boleh dibaca dengan
lebih mudah kerana edisi baru oleh Klasika Media mempunyai Indeks yang boleh
membantu anda mengenal pasti tajuk-tajuk utama tentang PB. Saya diberitahu sudah terdapat penulis yang
berminat dengan penulisan karya persuratan. Bagi saya ini suatu perubahan dan
kesedaran yang sangat positif. Tetapi
ini tidak bermakna seseorang yang kurang cekap berenang boleh terus terjun ke
dalam sungai yang dia tidak tahu dalam ceteknya dan bahaya yang ada di dalam
sungai itu, yang tidak semestinya buaya yang sedang menunggu kealpaan anda,
tetapi juga kehadiran pelbagai objek yang boleh mencederakan. Ini adalah
bayangan yang mudah untuk menarik perhatian anda bahawa persediaan yang
bersifat mental (menguasai ilmu) dan keselamatan badani (tekun mencari bahan
yang sesuai) serta ketahanan semangat untuk meneruskan usaha itu. Untuk menulis
Pujangga Melayu, saya mengumpul bahan
dan membina strukturnya selama 20 tahun, masih tidak dapat menulisnya sehingga
saya bertemu Ratu Balqis di dalam Quran ketika mengadap Nabi Sulaiman
‘a.s. Di situlah saya kenal makna
realiti semu dan realiti hakiki; dan ketika itulah saya tahu dengan pasti
bagaimana hendak menulis Pujangga Melayu.
Sebelum itu hanya longgokan bahan yang bersepah di dalam kepala, sukar disusun
dan diberi tempat yang sesuai dengan bahan itu.
Semuanya kerana belum mantap memahami konsep ilmu yang benar itu, dari
mana sumbernya, dan bagaimana sumber hakiki itu membantu untuk memahami sumber
empirikal yang berasaskan pengalaman hidup kita sendiri sebagai manusia yang
berfikir. Ini memaksa saya menulis satu
teori, Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid. Jika anda
berminat tentang PB, tetapi tidak membaca buku ini, anda tidak akan dapat
memahami PB dengan wajar. Oleh itu buku
ini perlu ditelaah terlebih dahulu, dibaca dan difikirkan dengan mendalam
matlamat yang ingin dicapai oleh buku itu, yang boleh disimpulkan dengan cukup
mudah tetapi tidak semudah itu memahaminya. Buku itu menegaskan karya
persuratan hanya mempunyai dua ciri, dua matlamat, yang mudah dibaca tetapi
agak sukar untuk difahami, iaitu karya persuratan itu mestilah indah dan bermakna. Apakah maksudnya?
Itulah yang cuba dicapai dalam Pujangga
Melayu. Sesiapa yang membaca blog ini dan meminati perspektif PB dalam
penulisan, tentu telah membaca sedikit penjelasan tentang aspek keindahan dan
makna ini. Tentu saja saya tidak akan
mengulangnya, kerana semuanya sudah dibahaskan di sana sini, sama ada di dalam
blog atau pun di dalam buku. Pujangga Melayu adalah penjelmaan
daripada idea yang mudah itu, tetapi amat sukar dicapai jika tidak difahami
dengan mendalam. Jika boleh saya
ringkaskan, untuk menjadi permulaan kepada kefahaman yang mendalam itu, keindahan itu dicapai melalui penggunaan
bahasa berasaskan konsep ihsan, dan yang mesti dijalin dengan konsep ilmu yang benar dan sumbernya
yang akan memberi makna kepada
sesuatu penulisan. Sekali lagi, Pujangga
Melayu boleh dijadikan panduan bagaimana semua ini boleh dicapai dalam
karya persuratan.
Sekiranya
anda memahami penjelasan ini, anda tentu tidak akan menuduh saya angkuh dan
mengada-ada apabila saya berkata Pujangga Melayu adalah karya kreatif
terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu moden, mengatasi semua karya
para sasterawan negara. Anda tidak harus menerima begitu saja kesimpulan ini.
Anda perlu membahaskannya dan mengemukakan contoh yang konkrit daripada karya
para sasterawan negara untuk menolak kesimpulan saya itu. Kalau anda pemalas
dan bukan jenis orang yang berfikir, maka anda akan menderita sakit jiwa
ciptaan anda sendiri yang timbul dari keangkuhan sebenar yang anda warisi dari
Iblis yang enggan tunduk kepada kebenaran. Semudah itu isunya.
Mengapa anda
perlu menulis karya persuratan, bukan lagi karya sastera? Soalan yang mudah ini sebenarnya sangat
penting difahami dalam konteksnya. Menulis karya persuratan bererti menulis
suatu karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar; menulis karya sastera
bererti menulis karya untuk bercerita dan cerita itu disampaikan dengan penuh
sensasi, seperti yang anda boleh baca dalam karya sastera para sasterawan
negara. Dua perkara ini pun sudah saya
jelaskan dengan agak mencukupi untuk memahaminya, dimuat dalam blog ini. Sila
rujuk daftar tajuk entri untuk mengesan tajuk-tajuk yang sesuai yang
membicarakan aspek ini. Anda boleh dapat tajuk itu dalam entri bertarikh 16 April 2016.
Perkara yang
paling sukar dalam menulis karya persuratan ialah memahami konsep ilmu yang
benar, aspek pemikiran dan penyerlahan idea dalam karya persuratan, konsep
stylization of ideas, makna wacana dan cerita dalam karya, konsep ruang
naratif, dan perwatakan. Semua ini sudah dijelaskan di sana sini sama ada dalam
blog ini atau di dalam buku-buku mengenai Persuratan Baru. Anda tidak mempunyai
pilihan melainkan merujuk kepada sumber-sumber itu. Sekali lagi, contoh yang
diberikan dalam Pujangga Melayu boleh
membantu. Saya menegaskan hal ini
berkali-kali kerana ingin menekankan kepada anda bahawa Pujangga Melayu tidak boleh ditinggalkan jika anda benar-benar mahu
menulis karya persuratan.
Sekadar
memberi sedikit gambaran. Jika anda membaca Pujangga
Melayu, anda akan dapat begitu banyak sisipan digunakan sebagai salah satu
teknik penulisan dan pengolahan. Adakah sisipan itu perlu? Bagi saya perlu kerana melalui sisipan itu
saya boleh meringkaskan novel yang sudah sedia tebal itu. Melalui sisipan itu
saya menyelitkan beberapa idea yang jika tidak digunakan sisipan, akan
menjadikan karya itu terlalu kering dan membosankan. Menyelitkan sisipan itu mudah bagi saya
kerana saya mempunyai banyak bahan yang boleh saya gunakan untuk memperkuat,
dan meringkaskan hujah atau cerita yang disampaikan. Sering kali sisipan itu
merujuk kepada bahan yang jika diikuti, atau dibaca, akan menambah ilmu
pengetahuan anda sendiri dan anda akan berasa senang dibawa ke sana sini oleh
seorang tourist guide dalam dunia
ilmu yang amat memberi manfaat kepada anda.
Andalah yang menjadi tourist guide
itu. Adakah ini perlu? Bagi saya perlu kerana anda sekarang berada dalam dunia
ilmu, yang membicarakan beberapa aspek falsafah dalam tajuk-tajuk tertentu,
seperti yang anda boleh dapat dengan mudah melihat Indeks Pujangga Melayu. Tetapi jika
anda didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk (seperti yang dilakukan oleh
S. Othman Kelantan dalam novel beliau), atau Abdullah Hussein dalam Imam, atau Fatimah Busu dalam Salam Maria, maka apa yang anda buat
hanya menampalkan sesuatu yang tidak membantu memberi makna yang mendalam
kepada karya anda, dan tidak pula menyerlahkan keindahan bahasa berasaskan
konsep ihsan tadi.
Pada umumnya
PB belum lagi serasi dengan sarjana dan sasterawan. Mereka lebih senang
menerima kaedah Barat kerana bagi mereka mendekati pendekatan Barat mempunyai
“prestij” tertentu, yang memberi semacam kepuasan kerana termasuk ke dalam
golongan para sarjana dunia yang berpengaruh.
Saya tidak menolak teori sastera Barat. Saya cuba memahaminya seberapa
mendalam dari segi prinsip, bukan setiap teori. Pada umumnya teori Barat
berkisar kepada pengarang, karya, dan pembaca. Masing-masing ada gelaran
tersendiri, yang memang diketahui oleh sesiapa juga yang tahu tentang teori sastera
Barat. Yang missing di situ ialah apakah sumber ilmu yang mereka pakai. Di sinilah mereka mula menjadi keliru, dan
akhirnya boleh menyesatkan sesiapa juga di kalangan sarjana Islam yang tidak
sedar matlamat teori Barat itu, iaitu menolak sumber ilmu dari yang
mengurniakan konsep ilmu itu sendiri. Di
sinilah PB menjadi pengantara yang kritis antara yang Barat dan yang
berdasarkan sumber Islam. Kedua-duanya mesti difahami dengan mendalam, dengan
memberi keutamaan kepada yang bersumber Islam itu. Inilah yang tidak mahu
diterima oleh para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia. Selamatlah mereka
dalam kekeliruan mereka!
Di kalangan
sarjana (ciritan) sebahagian besarnya tidak dapat membezakan antara makna (meaning) dengan tafsiran (interpretation). Makna tidak berubah, yang berubah tafsiran.
Kekeliruan dalam memahami konsep-konsep ini melahirkan satu pandangan yang amat
mengelirukan yang digelar “anjakan makna”. Berasaskan kekeliruan ini maka
mereka tafsirkan Si Tanggang oleh Muhammad Haji Salleh sudah mengalami “anjakan
makna”. Bullshit! Pengamal bullshit perlu membaca dengan mendalam karya mengenai dekonstruksi,
untuk melihat dengan jelas apakah masalah yang dihadapi oleh kritikan Barat
dalam semua teori kritikan mereka. Asasnya tidak ada konsep ilmu, tidak jelas
tentang sumber ilmu, tidak dapat membezakan antara ilmu dengan maklumat.
Kekeliruan inilah yang diwarisi dengan bangga oleh para sarjana (ciritan) dan
sasterawan (picisan) Malaysia. Dalam
bahasa ilmu yang dipakai dalam Islam, mereka ini adalah kumpulan yang
kehilangan adab, oleh itu tidak dapat membezakan konsep keadilan dan kezaliman
dalam memahami ilmu, lantas mereka tidak dapat melihat perbezaan antara ilmu
dengan maklumat. Adakah mereka ini sebodoh itu? Mereka telah diberitahu dan buku-buku
mengenainya sudah banyak ditulis. Mengapa mereka masih memilih untuk menjadi
keliru?. Inilah pengaruh Iblis dalam epistemologi, yang kemudiannya melahirkan
apa yang disebut “anjakan makna” itu. Yang disebut “anjakan makna” itu
sebenarnya bersumber dari gagasan Iblis ketika menolak untuk tunduk hormat
kepada Nabi Adam ‘a.s. Sila lihat dan baca tafsir Quran untuk memahami aspek
penting ini supaya anda tidak tergila-gila menerima “anjakan makna” yang memang
diilhamkan oleh Iblis untuk memesongkan manusia seluruhnya, termasuk orang
Islam yang buta agamanya sendiri. Anda tidak mungkin menulis karya persuratan
jika aspek ini tidak difahami dengan jelas. Bereskan
dulu konsep ilmu anda sebelum cuba menulis karya persuratan.
Untuk yang
berminat menulis karya persuratan, saya senaraikan beberapa konsep yang perlu
difahami terlebih dahulu. Selamat mencuba!
1. Konsep ilmu dan ilmu yang benar
2. Amal
3. Fungsi sastera
4. Konsep insan
5. Keindahan kreatif
6. Indah dan bermakna
7. Ihsan (keindahan berdasarkan konsep ihsan)
8. Wacana
9. Cerita
10. Pretensi
intelektual
11.
Fatamorgana bahasa
12.
Pandirisme (mesti baca bukunya, Pandirisme
dalam Komuniti Dunia)
13. Stail
14.
Stylization of ideas
15. Siratan
makna
16.
Persuratan Baru (genuine literature)
17. Mod
bacaan intelektual
18. Mod
bacaan cerita
19. Paksi
naratif
20. Ruang
naratif
21. Karya
persuratan/novel persuratan
22. Karya
sastera
23. Karya
picisan
24. Konsep
picisan
25. Tiga
kategori karya
26. Sensasi
27. Tragedi
Semua
konsep/istilah/teknik dan pendekatan yang disenaraikan itu boleh anda dapat
penjelasannya dalam buku-buku berikut:
1. Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua (UKM
2014)
2. Ilmu
Teras Persuratan Melayu (UKM 2016)
3. Islam
dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016)
Ketiga-tiga
buah buku disunting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 15 April 2017.
No comments:
Post a Comment