Dalam dua
entri yang lepas, saya mempertikaikan analisis dan kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto
sebagai karya novel terpenting dan terbaik dalam sastera Melayu. Saya
mengatakan analisis dan penilaian beliau tidak berasas dari segi penghujahan
akademik, yang bersimpang siur kayak seorang sarjana “mat rempit “ yang
berpusing-pusing di lebuh raya kritikan sastera, merempuh semua tiang teori
Barat yang tidak dikuasainya dengan memuaskan. Contoh terbaik di sini ialah
ketika beliau mengaitkan Naratif
Ogonshoto dengan pascamodenisme, dengan itu meletakkan novel agung ini ke
dalam kelompok karya nihilis. Supaya
anda faham maksud saya, saya turunkan penjelasan tentang nihilism seperti yang
diberikan oleh The Oxford Companion to
Philosophy: “The extreme view that
there is no justification for values and, in particular, no justification for
morality. It is sometimes used to mean
the active rejection of and attack on such values. The word was invented by
Russian novelist Turgenev to describe young rebels in Tsarist Russia. Ever
since, the word has been used to condemn those who refuse to accept certain
preferred prevailing values. Philosophically, ‘nihilism’ is often employed as
an ominous alternative characterization of relativism and other views that deny
the existence of ‘absolute’ moral standards.” Itulah Naratif Ogonshoto, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad. Kini anda tahu novel terbesar
sastera Melayu sepanjang zaman ini adalah sebuah karya nihilis. Dalam bahagian
II saya menegaskan pengarang Naratif
Ogohshoto dan penulis makalah tentangnya menolak konsep “uswatun hasanah”,
yang memang tidak terdapat di dalam novel dan tidak juga terdapat dalam makalah
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Sekarang
kita lihat pula Pujangga Melayu. Edisi kedua novel persuratan ini baru saja
diterbitkan oleh Klasika Media April 2017, lengkap dengan Indeks untuk memudahkan
pembaca mengikuti persoalan yang menjadi isu penting di dalam novel persuratan
ini. Sekiranya Naratif Ogonshoto juga diberi Indeks, nescaya anda akan dapat
melihat dengan jelas sifat nihilis karya ini. Saya harap penerbitnya akan
menyediakan Indeks itu. Ini sesuai dengan kedudukan karya itu sendiri yang
harus mempertahankan dirinya, bukan sasterawan yang menulisnya, tidak juga Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad yang menyanjungnya.
Sebaliknya Pujangga Melayu adalah seratus peratus
bersifat didaktik, diasaskan kepada konsep ilmu yang benar dengan matlamat
semua karya persuratan harus memenuhi prinsip “indah dan bermakna” yang
dijelaskan dalam Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid (1992, 2005: Dewan Bahasa dan Pustaka). Baik
Anwar Ridwan mahu pun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kedua-duanya tidak tahu buku ini sudah diterbitkan sejak
1992, disalin daripada sebuah rencana panjang dalam Dewan Sastera sekitar tahun 1989, dijadikan buku dengan usaha
seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, Puan Rogayah Abdul Hamid.
Terima kasih kepada beliau yang berani menerbitkan rencana pajang itu sebagai
sebuah buku. Usaha beliau tidak sia-sia kerana akhirnya Gagasan Persuratan Baru
mendapat tapak yang kukuh melalui buku itu. Saya tidak pasti sejauh mana Anwar
Ridhwan yang ketika itu seorang pegawai penting, terlibat dalam penerbitan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid ini. Fakta ini penting, tetapi saya tidak mahu kupas mengenainya di
sini.
Sebuah idea
penting tidak akan lahir daripada cerita
pendek, malah cerita pendek itulah kemudiannya lahir untuk memberi makna kepada
idea atau pemikiran itu. Contohnya dalam Balai
Maqamat. Demikian seterusnya dalam genre-genre lain. Pujangga
Melayu lahir di bawah tapak kaki Ratu Balqis, ketika baginda mengangkat pakaiannya
untuk mengelak terkena air di lantai istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang berkilat
seperti air. Lantai itu kelihatan seperti kolam, hasil kerja seni bina yang
amat tinggi kualitinya. Apakah yang anda
dapat daripada peristiwa ini? Anda diberi dua jenis realiti: realiti semu
tentang air yang kelihatan tetapi tidak wujud; realiti hakiki yang juga tidak
kelihatan tetapi wujud. Seorang sasterawan yang tidak dapat membezakan dua
jenis realiti ini, atau dikaburi oleh realiti palsu seperti yang mereka
gelarkan realiti magis, akan menulis
seperti menulisnya sasterawan negara Anwar Ridhwan dan melahirkan karya yang palsu, yang beredar
di permukaan realiti semu sahaja. Apa bila saya mengatakan karya para
sasterawan negara ini hanya picisan, saya dapati semua mereka berada dalam
realiti semu. Tetapi pandai juga mereka menjawab, Kami menulis dalam konteks
realiti empirikal. Mereka tegaskan, maka lahirlah karya seperti Salina, TIVI, Kuala Lumpur Kita Punya
dan lain-lain karya sasterawan negara, termasuk sajak agung realiti semu ini
ciptaan Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Apakah maksud realiti
empirikal. Cuba anda lihat matahari, atau bulan, atau bintang-bintang, anda
lihat sesuatu yang kecil, padahal dari segi realitinya … lain. Bayangkan seluruh cakerawala tunduk sujud
kepada Nabi Yusuf ‘a.s. ketika baginda masih budak-budak, apa yang anda boleh
dapat? Anda hanya akan faham peristiwa ini jika anda tahu makna realiti hakiki
tadi. Tidak terdapat aspek realiti
hakiki dalam mana-mana teori sastera Barat yang anda gunakan dengan sombong dan
angkuh: sombong memperagakan nama-nama teori segala macam; angkuh mengatakan
itulah teori yang universal, walaupun pada hakikatnya palsu. Maka apabila lahir Gagasan Persuratan Baru,
segala-galanya berubah, diberi tempat yang sesuai untuk mereka. Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad dan kawan-kawannya, dan para sasterawan, tidak dapat melihat
semua ini, hanya kerana mereka menolak adanya hakikat ilmu, yakni ilmu yang
benar. Orang-orang yang tidak menerima konsep ilmu yang benar tidaklah pula murtad jika mereka beragama Islam, mereka hanya
jahil dan bangga berada dalam kejahilan. Maka demikianlah lahirnya karya-karya
picisan oleh para sasterawan negara.
Seiring dengan itu lahirlah pula kritikan picisan seperti yang kita baca
yang ditulis oleh para sarjana (ciritan). Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
termasuk dalam kategori mana? Saya tidak boleh tentukan untuk anda; anda
sendirilah menempatkannya dalam kategori mana.
Pujangga Melayu adalah sebuah karya yang amat
berbeza dari yang pernah anda baca. Kalau anda biasa membaca karya dunia, anda
akan dapati tidak sebuah pun daripada karya dunia yang hebat-hebat itu boleh
dibandingkan dengan Pujangga Melayu.
Isunya sangat mudah. Pujangga Melayu
ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Mana ada karya dunia yang
seperti itu? Di Malaysia pun tidak ada karya seperti Pujangga Melayu. Kata para sarjana sastera dan sasterawan, tiada
siapa pun yang mahu menulis sebuah novel seperti Pujangga Melayu yang membosankan dan penuh dengan khutbah didaktik
yang amat sangat membosankan. Tapi saya fikir hanya orang yang kurang adab saja
yang berkata begitu; yang cerdik dan tahu nilai kecerdikan, tidak begitu reaksi
mereka membaca Pujangga Melayu. Mereka
mendapat keseronokan intelektual yang mereka tidak dapat ketika membaca novel
teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto.
Bagus juga jika ada di antara pembaca Naratif
Ogonshoto tampil memberitahu keseronokan mereka membaca novel agung itu.
Ceritalah sedikit tentang kualiti pemikiran yang terdapat di dalam novel agung
itu; dan kalau dapat, beri sedikit pandangan kritis andainya anda juga membaca Pujangga Melayu.
Dalam
percaturan intelektual di mana-mana sekali pun, terdapat hanya dua keadaan.
Pertama, yang bersetuju akan menjelaskan lagi dalam tulisan mereka supaya idea
yang mereka sokong akan mendapat perhatian lebih luas. Yang kedua, jika mereka
tidak bersetuju, mereka akan memberikan pandangan kritis yang cukup objektif, untuk
membuktikan bahawa masih ada ruang untuk membuat perubahan yang lebih membina.
Apa yang dilakukan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah berbeza, dan bagi
saya agak negatif. Dia terlalu boros dengan pujian yang tidak wajar oleh sebab Naratif Ogonshoto yang dipujinya itu
tidak terdaya menanggung beratnya pujian itu yang sebenarnya tidak ada di dalam
karya itu. Sebagai seorang ahli akademik, keengganannya untuk mengikuti perkembangan
baru dalam bidang kritikan, yang jauh lebih bermakna jika beliau menelitinya
dengan kritis dan objektif, seharusnya
sudah membawa beliau mendekati sebuah karya seperti Pujangga Melayu. Dengan
mengkritik Pujangga Melayu yang
memberikan tentangan hebat kepada Naratif
Ogonshoto, beliau mungkin dapat
melihat perkembangan dari segi pemikiran dan teknik yang original yang amat
jelas terserlah dalam Pujangga Melayu,
sekurang-kurangnya dari segi pengolahan idea dan penerokaan teknik yang belum
pernah dilakukan oleh mana-mana penulis Malaysia dengan misalnya menjadikan
sisipan sebagai cara menyampaikan idea dan pemikiran yang teratur dan tersusun
kemas untuk mencapai matlamat indah dan bermakna dalam sebarang karya kreatif
yang mengutamakan pemikiran. Jika dilihat dari perspektif ini, kita akan
melihat dengan jelas betapa kerdilnya Naratif
Ogonshoto yang jelas tidak memberikan idea yang bernas yang dibahaskan dengan rapi
dan jelas. Perbuatan Anwar Ridhwan merangkaikan cerita-cerita pendek sensasi
untuk dijadikan sebuah novel, kononnya, bukanlah satu teknik baru seperti yang
didakwa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Kritikan ini, walaupun agak keras,
adalah tepat dengan kelemahan yang amat jelas yang terdapat dalam karya agung
ini yang tidak dapat mempertahankan dirinya apabila dikritik. Kelemahan ini
tidak ada di dalam Pujangga Melayu,
yang dengan berani dan yakin menyerang kembali para pengkritiknya untuk
membuktikan pendapat mereka tidak objektif
dan tidak bernilai ilmu. Mampukah seorang sarjana seperti Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad mengkritik sebuah novel ilmu seperti Pujangga Melayu? Beliau tidak perlu membuktikannya, kerana
tulisannya memuji Naratif Ogonshoto
memberi bukti yang baik akan kemampuan akademik dan intelektual beliau. Bagi
anda yang pernah membaca perbahasan dalam dunia ilmu di Barat antara Skinner
dengan Chomsky, atau antara Derrida dengan lawan-lawannya seperti John R.
Searle; atau di negara Arab antara Ahmad Amin dengan bekas gurunya dari
Damascus; malah antara Prof Syed Muhammad
Naquib al-Attas dengan Prof. Teeuw tentang asal usul syair Melayu,
tentulah anda akan melihat ketajaman hujah masing-masing, atau keselekehan
hujah seperti yang terbukti dari kesilapan Teeuw yang disangkal dengan mudah
dan tepat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kita mempunyai maklumat
lengkap dan dokumen tercetak untuk semua perbahasan ini. Di mana Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad dan Naratif Ogonshoto
berada? Pertanyaan ini sangat penting, sesuai dengan kedudukan novel ini yang
terbaik dalam sejarah sastera Melayu, sehingga memaksa kita bertindak lebih
cermat untuk menentukan kedudukan sebenar novel ini, supaya apa juga penilaian
yang kita buat benar-benar mantap. Lebih penting ialah para pelajar tidak
diberi maklumat yang salah. Dalam keadaan sekarang, Naratif Ogonshoto belum lagi teruji dari segi akademik. Paling
mudah untuk melakukan hal ini ialah dengan menolak hujah-hujah yang saya
kemukakan mengenai novel yang dalam pandangan saya adalah sebuah karya picisan
yang penuh sensasi dan bersifat sadistic. Saya belum bertemu sanggahan yang meyakinkan.
Apatah lagi jika novel ini dinilai dari perspektif seperti yang saya senaraikan
dalam entri bertarikh 15/4/2017.
Pujangga Melayu, sebuah novel persuratan, saya gelar
novel mini ensiklopedia untuk memberinya kedudukan istimewa sebagai
satu-satunya novel jenis ini yang saya yakin, insha Allah akan ditulis oleh
penulis generasi muda yang terdidik dalam bidang pemikiran dan filsafat. Saya
yakin orangnya sudah ada, menunggu untuk memasuki gelanggang persuratan sahaja.
Ucapan selamat datang kepada mereka.
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 23/4/2017.
No comments:
Post a Comment