Dalam
entri yang lepas, saya akhiri dengan satu kisah benar mengenai seorang tokoh
besar sastera Melayu yang begitu bangga
bercerita dia menulis kertas kerjanya di atas bumbung kilang berkarat. Ini orang yang terkenal dengan keanehannya,
yang paling besar keanehannya bila ini orang menjadikan Si Tenggang sebagai
wira Melayu baru. Semua sarjana dan sasterawan dan pengkritik sastera memuji
keanehan tokoh ini, kecuali sebahagian kecil dari mereka yang lebih kritis dan
kenal makna adab dalam kegiatan intelektual. Ini orang jugalah (yakni pengikut
tokoh besar ini) yang kasi tahu sama kita semua betapa silapnya menggunakan
teori Barat untuk menilai karya berbahasa
Melayu yang mempunyai ciri khas. Tetapi semua ucapan ini tidak bermakna
apa-apa, apabila ini orang terus mahu karyanya dinilai mengikut teori sastera
Barat. Bagusnya pula, dengan pengakuan seumpama ini, maka kritikan saya (sejak
1981) terhadap kemunculan para sasterawan negara dibuktikan oleh mereka sendiri
sebagai tidak perlu dan satu perbuatan yang salah. Ini kerana pemilih mereka,
Panel Anugerah Sastera Negara, menggunakan teori sastera Barat sepenuhnya untuk
memilih para sasterawan negara ini. Kesimpulan seterusnya saya serahkan kepada
anda yang lebih cerdik dan lebih tahu kisah sebenar Naratif Ogonshoto yang menjadi maha karya dalam sastera Melayu itu.
Karya itu berasaskan pengetahuan tentang Machavelli korup .... Ungkapan
“matlamat menghalalkan cara” tidak terdapat dalam tulisan dan ucapan
Machiavelli, tetapi novel agung itu telah menjadikan dirinya sebagai simbol
ungkapan itu seperti yang digunakan oleh
sasterawan Melayu dan diterima oleh para sarjana. Novel agung itu adalah
penjelmaan ungkapan “matlamat meghalalkan cara” dalam sastera Melayu, khususnya
dalam penulisan kreatif. Jika anda membaca laporan Panel tentang Anwar Ridhwan,
anda akan menemui kebenaran ungkapan itu yang memang tertampang dalam karya
Anwar Ridhwan. Baca laporan itu dan faham implikasinya. Saya sudah memberikan
contohnya dalam blog ini. Bolehlah anda korek di mana-mana entri yang anda
suka. Bagi para sasterawan ini, apa juga
cara yang dibuat oleh para sasterawan negara adalah istimewa dan original,
apatah lagi jika melampau seperti yang terdapat dalam Naratif Ogonshoto. Menjadikan kejahatan sebagai tema pokok, dan memberinya
sanjungan sebagai hasil “karya adab” seperti yang ditegaskan oleh Dr. Noriah
Taslim, adalah dua jenis sikap melampau yang hanya mencerminkan kerendahan
maruah intelektual sasterawan dan sarjana.
Semua ini terjadi kerana mereka menolak konsep uswatun hasanah sebagai tidak relevan dalam karya kreatif dan dalam
penilaian karya kreatif. Dengan itu
mereka mengaku slogan “matlamat menghalalkan cara” adalah asas penulisan
kreatif dan penilaiannya. Contoh paling jelas ialah bagaimana Shahnon Ahmad
menjadikan novel lucahnya, TIVI,
sebagai sastera Islam yang murni, malah sebagai sastera sufi! (Dewan Sastera 1997, cari tulisan beliau
di sana.) Pendirian ini disokong oleh
Dr. Rahman Napiah sebagai sesuai dan serasi dengan nilai-nilai postmodernism. Inilah contoh Machiavelli
korup yang dimaksudkan, “matlamat menghalalkan cara” yang tidak pun pernah
disebut oleh Machiavelli sendiri.
Ungkapan ini hanya menjadi kebanggaan sarjana korup dan sasterawan korup
yang mendapat penyakit itu kerana mereka tidak pun kenal siapa sebenarnya
Machiavelli. Kalau anda tidak tahu siapa Machiavelli, anda tidak patut memberi
gambaran yang begitu buruk terhadap tokoh ini, kemudian meniru pula keburukan
itu untuk dibanggakan dalam novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto. Tindakan ini didorong oleh dua jenis penyakit
rohani: rendah harga diri dan hilang
pula maruah intelektual. Semua ini terjadi kerana menolak konsep uswatun hasanah, walaupun semua mereka
beragama Islam yang dituntut untuk menjadikannya panduan. Sebaliknya mereka
memilih Machiavelli korup untuk dijadikan contoh. Dalam konteks inilah ada di
antara mereka yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis makalah
mereka. Seburuk itukah akibat mempercayai Machiavelli korup?
Sepatutnya
mereka menyelamatkan diri mereka dari terjebak dalam keadaan yang mereka alami
dengan menerima peranan ilmu yang benar dalam sastera. Mereka tidak menerimanya
untuk mengelak daripada berdepan dengan Gagasan Persuratan Baru. Lama dulu saya
pernah berkata sastera Melayu hanya membawa nilai-nilai baru yang palsu. Kini
mereka sendiri telah membuktikannya. Adakah ini satu kemenangan bagi mereka?
Yang pasti, sastera Melayu menjadi mundur dan kering dari pemikiran yang
bernas. Sikap anti-ilmu telah menghanyutkan sastera Melayu moden ke dalam
lautan ambiguiti dalam nilai-nilai palsu yang mereka perkenalkan dan
pertahankan. Rujuk tulisan saya dalam Berita
Minggu bertarikh 18/3/2001 mengenai nilai-nilai palsu ini.
Menurut
mereka, Gagasan Persuratan Baru bukanlah teori sastera Islam, hanya sejenis
khayalan intelektual untuk menolak konsep sastera dan pelantikan para
sastrerawan negara. Itu bukan cara Islam, kerana matlamatnya, menurut mereka,
memang berniat jahat. Sebaliknya merekalah pembela nilai-nilai Islam dalam
sastera dengan menggunakan pendekatan teori Barat kerana kemantapan teori
sastera hanya terdapat dalam teori sastera Barat. Kita boleh melihat
“kebenaran” ucapan atau pengakuan mereka dengan membaca makalah mereka ketika
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Semuanya bermodelkan teori
sastera Barat. Mereka percaya mereka berada di sebelah pihak yang benar kerana mereka terpengaruh dengan logik
“bumbung kilang berkarat” yang diketengahkan oleh tokoh besar mereka dan
diterima dengan baik dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Berasaskan
logik “bumbung kilang berkarat” inilah mereka memberi judul buku mereka Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014). Dalam buku itu mereka bercakap tentang
hegemoni sastera sebagai pembentuk nilai-nilai baru dalam masyarakat yang
melancarkan revolusi dalam perkembangan intelektual Malaysia. Atas dasar itulah
mereka menolak Gagasan Persuratan Baru dan sekali gus menolak peranan ilmu yang
benar dalam tulisan kreatif dan penilaian karya kreatif. Belum ada lagi
perbahasan tentang keputusan ini, kerana kuatnya hegemoni sastera yang diwakili
DBP, ITBM dan seluruh badan penulis yang dikepalai oleh GAPENA dan PENA. Dengan mengelak daripada mengadakan
perbahasan ilmiah tentang konsep ilmu, maka mereka berasa bebas untuk
meneruskan kekeliruan mereka sebagai kumpulan pinggiran yang keliru dan cetek
meraba-raba. Itulah kelebihan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera.
Songlap sastera yang dimainkan oleh tokoh-tokoh inilah yang saya gelar pelesit
sastera yang menjadi ikutan sekarang.
Mengapa pelesit sastera muncul dihuraikan dalam entri bertarikh 17/10/2016
mengenai “ingkar ilmu”, yang mencapai pageviews tertinggi sepanjang tulisan
saya di blog ini, terkini 718 pageviews.
Dalam
satu tulisan bertarikh 18/3/2001 yang disiarkan oleh Berita Minggu, saya memberi komen berikut terhadap satu
perbincangan di Pulau Pinang (disiarkan dalam Berita Harian 8/2/2001) mengenai nilai-nilai murni yang dibawa oleh
sasterawan. Inilah komen saya:
“Benarkah
Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh seorang
pemikir sastera? Apakah yang difikirkannya? Apakah hasilnya? Bagi sekumpulan
sarjana yang berbincang di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau adalah “seorang
pemikir teliti lagi kreatif” yang membawa masuk “intelektualisme bagaikan satu
revolusi” dalam puisi Melayu moden. Kesimpulan ini amat menarik, apalagi jika
pujian itu diucapkan dalam satu seminar yang tujuannya, antara lain untuk “menerapkan
nilai murni yang membawa kepada perubahan sikap dan perkembangan mentaliti
generasi muda” dengan menjadikan Muhammad Haji Salleh sebagai tokoh yang patut
dicontohi. Sesuai dengan tujuan besar tadi, saya ingin memberi pandangan yang
kritis supaya “mentaliti generasi muda” tidak terbelenggu dalam kekacauan nilai
dan penilaian yang salah daripada orang yang mendakwa mereka boleh memberi
nilai murni dan mengubah mentaliti
generasi muda.”
Kutipan
ini hendaklah dibaca bersama tulisan tokoh ini yang menulis di atas bumbung kilang
berkarat untuk melihat bagaimana perubahan “mentaliti generasi muda” itu diasuh
secara revolusi intelektual oleh tokoh ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23/2/2017.
No comments:
Post a Comment