Pendahuluan
Gagasan
Persuratan Baru yang lahir sebagai buku dengan judul Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992; ulang
cetak 2005; kini tiada stok lagi) agak cepat berkembang dengan usaha dua orang
sarjana yang dikenali ramai, Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir (dari Universiti
Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani (dari Universiti
Putera Malaysia). Kedua-dua mereka mengusahakan penerbitan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM 2008) dan Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasterana: Teori
& Praktis (UKM 2010). Kedua-dua buah buku ini diulang cetak dengan
disusun semula dalam edisi baru, masing-masing berjudul Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua (UKM
2014); manakala Kedudukan Ilmu ... dijadikan dua jilid: Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016) dan Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016). Untuk Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua, Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir menulis satu Pendahuluan yang amat penting diberi
perhatian kerana dalam Pendahuluan itu beliau menghuraikan dan menjelaskan
mengapa PB diperlukan dan apa yang boleh dilakukan oleh PB dalam perkembangan
persuratan Melayu.
Dalam
catatan ringkas ini saya hanya akan menulis tentang beberapa aspek PB untuk
memudahkan para sarjana dan lain-lain memahami kaedah ini dan mengapa PB
diperlukan.
Kelebihan
PB
Ada
dua kelebihan PB yang perlu disedari dan diketahui oleh sasterawan, sarjana
sastera dan pengkritik sastera. Pertama, PB menjadikan konsep ilmu yang benar
sebagai asas pendekatannya. Pilihan ini memberi implikasi besar dalam pemikiran
para penulis. Kini mereka harus memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam
Islam, kemudian menggunakan kefahaman itu dalam penulisan kreatif mereka.
Konsep ilmu tidak saja tidak difahami di kalangan para penulis, malah ditentang
tanpa sebarang hujah kononnya ilmu tidak diperlukan dalam penulisan kreatif. PB
memberi penjelasan yang agak lengkap tentang perkara ini.
Kedua,
PB mencabar semua teori sastera Barat dari segi kesahihannya sebagai asas
penilaian seperti yang cuba digunakan secara meluas dan sewenang-wenang oleh
sarjana sastera Malaysia. Contoh sewenang-wenang itu boleh kita lihat dalam
kegemaran mereka menggunakan istilah pascamodenisme, intertektualiti dan
lain-lain yang boleh dikatakan serumpun, misalnya dekontruksi. Dalam kritikan Barat sendiri amat jelas
terdapat perbezaan yang amat ketara antara satu pendekatan dengan yang lain.
Saya telah bincang persoalan ini dalam banyak tulisan, terutama yang dimuat di
dalam blog saya. Tidak perlu diulang di sini. Yang berminat boleh membuat
rujukan, atau terus mendiamkan diri.
Untuk melihat bagaimana kelamkabutnya pendekatan Barat, sila rujuk, dan baca
dengan teliti dan kritis buku Frank Lentricchia, After the New Criticism (1980). Anda akan melihat tidak ada satu
pendekatan atau teori yang lengkap, semua diasaskan kepada aspek tertentu:
penulis (romantisisme); karya (New Criticisn), dan pembaca (hermeneutik). Kekuatan PB ialah pendekatan ini melihat
secara keseluruhan sesebuah karya. Ini penting kerana ilmu tidak boleh
dipecah-pecah walaupun boleh muncul dalam mazhab yang berbeza, seperti yang
kita lihat dalam tamadun Islam. Dari
aspek inilah PB mencabar semua teori sastera Barat. Tentu saja sarjana Barat
tidak boleh terima dan akan tertawa melihat cabaran itu. Ini sudah terjadi
kepada Rasulullah SAW ketika baginda diejek dan dicabar oleh kaum munafik,
musyrik, jahiliah dan lain-lain.
Sekiranya anda mengetahui dengan agak mendalam teori sastera Barat, dan
memahami pula PB, anda akan melihat bagaimana PB memberi jalan keluar kepada kontradiksi yang cukup
jelas dalam teori sastera Barat. Jika anda tidak dapat mengesan dan melihat
kontradiksi ini, yang cukup jelas, bererti anda sebenarnya tidak mempunyai kefahaman
yang mendalam tentangnya. PB boleh membantu anda memahami teori Barat dengan
mudah.
Masa
Depan Yang Cemerlang
Satu
kelebihan yang tidak ada dalam pendekatan Barat yang sering digunakan untuk
membuat penyelidikan ilmiah atau kritikan dan penilaian karya kreatif, ialah PB
memberikan penilaian yang lebih tepat kepada karya kreatif apabila digunakan PB
sebagai rujukan. Ini telah ditunjukkan dengan tepat sekali dalam beberapa
kajian di peringkat sarjana dan kedoktoran yang dilakukan oleh para sarjana. Antara
contoh awal yang penting ialah tesis sarjana oleh seorang pengkaji bukan Islam,
R. Sharatha a/p Ramasamy (Universiti
Malaya, 2007), bertajuk “Pujangga Melayu:
Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, di bawah seliaan Prof. Madya Dr.
Hashim Ismail. Tesis ini penting kerana
ia membuktikan PB boleh difahami dengan baik oleh seorang pengkaji bukan Islam
sekalipun, dengan itu menolak andaian bahawa PB hanya untuk orang Islam.
Sungguh baik sekali jika tesis ini diterbitkan.
Seterusnya, kita lihat sesuatu
yang cukup menarik dalam tesis sarjana oleh Siti Aisyah binti Mohamed Salim
yang menulis dengan tajuk, “Sejarah
Alternatif dalam Novel Duka Tuan Bertakhta:
Satu Analisis Menurut Gagasan Persuratan Baru”, (UKM 2014), di bawah seliaan
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Saya
maksudkan yang menarik itu ialah pengakuan pengarang novel itu sendiri, Isa
Kumari, supaya novelnya dianalisis daripada perspektif PB. Siti Aisyah menyalin
nota dalam FB Isa Kumari: “Secara peribadi saya dambakan seseorang menganalisis
Duka Tuan Bertakhta menurut Gagasan Persuratan Baru ... (Facebook 29 Jun
2011). Kita tidak tahu apakah yang
mendorong Isa Kumari demikian; bagi saya yang penting ialah sikapnya yang
positif terhadap PB, sesuatu yang tidak pernah terlintas di kepala para
sasterawan Malaysia yang memang seberapa boleh menghindarkan diri daripada
mendekati PB, dan tidak mahu sekali-kali karya mereka dinilai daripada perspektif
PB. Mereka lebih percayakan teori
sastera Barat, suatu pilihan yang bijak kerana teori sastera Barat yang
digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara memang memihak kepada para
sasterawan dan semua teori sastera Barat, seperti yang ditunjukkan oleh para
sarjana yang menulis tentang “pemikiran” para sasterawan negara, memang memuji
dan mengangkat karya para sasterawan negara ini. Malah saya pernah diberitahu,
terdapat seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negara yang pernah menegaskan,
jika PB digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara, semua karya
mereka hanya layak masuk tong sampah. Yang berkata demikian, menurut maklumat
itu, ialah Prof. Datuk Md. Salleh Yaapar. Saya berharap beliau mengesahkan
maklumat ini, betul atau tidak, untuk kebaikan kita bersama supaya kita dapat
mengelakkan terjadinya fitnah jahat terhadap beliau. Bagi para sasterawan
Malaysia, PB adalah kaedah analisis yang tidak bertanggungjawab, yang hanya
berminat untuk merendahkan kedudukan para sasterawan. Tersirat di sini ialah
kepercayaan yang amat hebat bahawa teori sastera Barat sahaja yang boleh
menjamin pencapaian istimewa para
sasterawan ini. Dalam konteks ini tesis
sarjana Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, berjudul “Intelektualisme Dalam Lima
Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru” (UPM 2014), memberikan gambaran
yang amat berbeza daripada yang disangkakan oleh para sarjana, pengkritik
sastera dan para sasterawan yang memberi sanjungan yang amat tinggi terhadap
karya-kaya Anwar Ridhwan. Antara
kesimpulan beliau yang menarik ialah seperti berikut:
“Merujuk
kepada perakuan para pengkaji di atas, adalah jelas bahawa apa yang diungkapkan
sebagai ‘wacana’ dan ‘intelektual’ itu pada hakikatnya merujuk kepada cerita
yang dipaparkan dalam Naratif Ogonshoto. Ini umpamanya jelas apabila hujah-hujah Awang
Azman, Mawar dan Saleeh tentang adanya wacana dan sifat intelektual Naratif Ogonshoto rata-rat bersandarkan kepada cerita-cerita
tentang kezaliman watak-watak pemimpin politik yang menjadi ruang naratif
novel. ... adalah jelas bahawa apa yang dirujuk oleh para pengkaji di atas sebagai
‘wacana’ dan sifat ‘intelektual’ itu, pada hakikatnya hanya alat-alat
penceritaan seperti watak dan plot, dan bukannya wacana dalam idea-idea ilmiah yang
dibangunkan secara sistematik enerusi aspek penghujahan, analisis dan
pengukuhan. Dengan kata lain, yang diperagakan novel ialah cerita, dan bukannya
wacana.” (hal. 175-176 tesis.)
Kesimpulan
ini mengemukan satu aspek akademik yang amat penting yang perlu dihujahkan atau
paling sedikit dihuraikan. Persoalan akademik itu ialah sama ada konsep-konsep
Barat yang dipakai oleh para sarjana, pengkritik, dan sasterawan, mampu
memberikan analisis dan penilaian yang tepat yang sesuai dengan nilai sebenar
karya itu, atau hanya berada dalam kata-kata pujian semata-mata. Apabila
persoalan ini dilihat daripada perspektif PB, adakah konsep dan istilah yang
dipakai PB gagal memberi gambaran sebenar kualiti novel yang dinilai, atau
sebaliknya. Yakni, berasaskan analisis dan penilaian daripada perspektif PB,
kita melihat kesimpulan yang berbeza sama sekali, seperti yang ditunjukkan oleh
Nur Fatiha Fadila dalam tesisnya. Persoalan akademik ini penting diselesaikan
oleh para sarjana supaya mereka tidak terus berada dalam kesilapan epistemologi
kerana terlalu terpengaruh dan terikat kepada teori Barat yang tidak diuji dari
perspektif ilmu seperti yang ditekankan
dalam PB. Inilah cabaran akademik yang mesti dijawab oleh para sarjana. Sebahagian daripadanya telah diselesaikan
oleh Nur Fatiha Fadila dan Siti Aisyah dalam tesis mereka.
Sebuah
lagi tesis sarjana ditulis oleh Nahari Mastono Arukin (UPM 2008) berjudul, “Analisis
Pemikiran Dalam Espen-espen Mohd. Affandi Hassan” (UPM 2008). Beliau memilih 20 buah “espen” untuk
dianalisis dari segi konsep “pemikiran”. Menurut beliau, “Kajian ini bertolak
daripada pengamatan awal yang mendapati bahawa wujudnya dua kutub pandangan
yang berbeza tentang aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu masa kini. Di
satu pihak, karya-karya sastera Melayu masa kini dianggap menawarkan pemikiran
tertentu yang jelas dan serius. Di pihak yang lain, kehadiran pemikiran dalam
karya-karya sastera Melayu masa kini diragui dan dipertikaikan. Kehadiran dua
kutub pandangan yang saling bertentangan mengundang kajian ini untuk meneliti
secara lebih lanjut tentang aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu.” Seterusnya inilah kesimpulan beliau: “Dalam
konteks kehadiran dan kedudukan antara “idea”/”pemikiran” dan “cerita” dalam
espen-espen yang dikaji, kajian ini dengan jelas dapat mengenal pasti dominasi
“idea”/”pemikiran”, berbanding “cerita” yang diletakkan pada keduduannya yang
subordinat kepada “idea”/”pemikiran” tersebut. Ini dengan sendirinya
menjelaskan keutamaan (prioritik) esp4en-espen yang dikaji terhadap “idea”/”pemikiran”
berbanding “cerita”. Penemuan ini
mendorong kesimpulan penting kajian ini bahawa espen-espen Mohd. Affandi Hassan
yang dikaji adalah menepati tuntutan PB yang menjadikan karya kreatif sebagai
wadah yang sah dalam menyampaikan ilmu. Ini sekali gus menjawab persoalan yang
dibangkitkan pada awal kajian ini, iaitu keupayaan Mohd. Affandi dalam
mereaqlisasikan seruan beliau sendiri. Adalah jelas di sini bahawa sebagai
seorang penulis kreatif, Mohd. Affandi memanfaatkan karya-karya kreatif untuk
menyampaikan idea dan pemikiran yang serius dan bernas. Lanjutan daripada
penemuan dan kesimpulan di atas, adalah menjadi harapan agar usaha kecil ini
dapat mencetuskan kemungkinan-kemungkinan terhadap kajian-kajian ilmiah yang
seterusnya, selain menambahkan korpus penyelidikan tentang pemikiran dalam
kesusasteraan Melayu.” (hal. 232 tesis.) Harapan beliau nampaknya telah
disempurnakan oleh kajian Nur Fatiha Fadila dan Siti Aisyah Mohamed Salim dalam
kajian mereka.
Satu-satunya
tesis Ph.D. yang menjadikan PB sebagai pendekatan, yang saya tahu, ialah tesis
Ph.D. Mohd. Zariat Abdul Rani, “Seksualiti Dalam Novel Melayu” (UKM 2004); yang
kemudiannya diterbitkan dengan judul yang sama dalam tahun 2011 oleh Penerbit
UKM (516 halaman). Mohd. Zariat (kini
Prof. Madya di UPM) memilih 20 buah novel untuk dikaji, termasuk karya para
sasterawan negara. Lihat catatan ringkas dalam blog bertarikh 15 Januari
2012. Kulit belakang buku ini
mengandungi catatan ini:
“Buku
ini bertitik tolak daripada pengamatan yang mengenal pasti kecenderungan
sastera Melayu masa kini terhadap seks dan seksualiti. Lebih signifikan lagi,
kecenderungan ini timbul dalam kalangan sasterawan yang karya-karya mereka
diiktiraf sebagai warisan bangsa yang bermutu tinggi. Mengiringi pengiktirafan
ini ialah perakuan, pujian dan gelaran muluk-muluk, yang kesemuanya mengejapkan
persepsi bahawa karya-karya mereka itu menawarkan ilmu dan pemikiran yang
mendalam dan kritis.
Ini menimbulkan beberapa persoalan penting yang wajar ditangani secara serius.
Pertama, apakah benar karya-karya ini menawarkan ilmu dan pemikiran yang
mendalam dan kritis, sebagaimana yang diperagakan? Sekiranya benar, mengapakah
pula seks dan seksualiti yang menjadi pilihan para sasterawan? Berkaitan dengan
itu, apakah sebenarnya fungsi seks dan seksualiti dalam karya-karya mereka? Dan
apakah pula kerangka penilaian yang mendasari pengiktirafan terhadap
karya-karya itu? Seterusnya, dan dalam konteks yang lebih luas, apakah
kecenderungan dan kerangka penilaian ini didasarkan kepada satu tradisi kesusasteraan
yang berakar teguh, paling bermakna serta dapat berlaku adil terhadap sejarah,
kebudayaan dan tamdun Melayu? Buku ini berusaha merungkaikan
persoalan-persoalan tersebut dengan memberikan perhatian besar terhadap peranan
dan kedudukan epistemologi dalam kesusasteraan.”
Penelitian Prof. Madya Mohd. Zariat Abdul Rani dalam
bukunya ini cuba menjawab persoalan mengapa tema seks dan sekualiti menjadi
tema yang dominan dalam sastera Melayu. Dalam satu tulisan, saya pernah
mencadangkan supaya ahli-ahli psikologi membuat penelitian mengapa persoalan
seks ini begitu diminati oleh para sasterawan Melayu. Sehingga karya mithali
dalam sastera Islam versi Shahnon Ahmad, novel TIVI, diberi definisi berasaskan perilaku seks! Beliau telah
menulis satu analisis yang mendalam tentang persoalan ini. Rujuk tulisan beliau
tentang Terdedah oleh Shahnon Ahmad
dalam Wacana, Vol. 11 No. 1 (April 2009): 159—172: “Between eroticism and social
criticism:
The literariness of Shahnon
Ahmad’s Terdedah (1965)”.
Sumbangan
Kepada Dunia Ilmu
Terdapat
sarjana Melayu yang menyoal kesesuaian teori Barat dalam menilai karya
sasterawan Malaysia, tetapi tidak ada hujah dikemukakan untuk membenarkan
andaian ini. Misalnya, ambil saja mana-mana karya sastera Melayu yang dikira
bermutu tinggi, lalu dinilai dengan menggunakan teori Barat, seperti yang
dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Di mana silapnya penilaian itu? Kita
tidak boleh mengetahuinya jika tidak ada alternatif lain yang akan membolehkan
kita membuat perbandngan. Di sinilah PB diperlukan, supaya persoalan tadi dapat
diletakkan dalam konteks yang tepat dan dari situ dapat dirumus beberapa
kesimpulan berasaskan perbandingan tadi. Hanya dengan itu saja kita dapat
melihat kekuatan teori sastera Barat, atau kelemahannya; dan pada waktu yang
sama, jika PB dijadikan perbandingan, kita pasti akan dapat melihat kekuatan PB
dalam menganalisis dan menilai karya kreatif. Ini sudah dilakukan oleh Prof.
Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam banyak tulisannya; begitu juga oleh Prof. Madya
Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang telah menunjukkan dengan jelas bagaimana novel
al-Adib Abdul Kadir Adabi, Melati Kota
Bharu, telah disalah tafsir dan diberi penilaian yang tidak tepat oleh para
sarjana sastera. Dalam tesis sarjana
oleh Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, penilaian terhadap karya Anwar Ridhwan dibuat
berasaskan PB, yang membuktikan melalui analisis yang cermat bahawa sangkaan
sarjana selama ini bahawa karya Anwar Ridhwan adalah karya intelektual adalah
tidak tepat, malah bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam novel-novel
yang dikaji. Dalam hal ini, saya pernah
mencadangkan supaya novel-novel saya, terutama Pujangga Melayu dan Hikayat
Buyung Lurus, dibaca bersama novel-novel Anwar Ridhwan yang telah dikunci
dengan sanjunghan yang hebat sebagai karya terbesar Malaysia (untuk Naratif Ogonshoto) atau novel
intelektual (untuk Hari-Hari Terakhir
Seorang Seniman). Saya juga pernah mencadangkan sajak “Pulang Si Tenggang”
dibaca bersama sajak “Al-Andalus” untuk melihat kekuatan sajak Si Tenggang itu
dibanding dengan sajak “Al-Andalus”.
Tiada tokoh sarjana yang menyahut cabaran itu, dengan alasan penulisnya
para sasterawan negara, oleh itu tidak layak dibandingkan dengan karya seorang
penulis yang tidak pernah diberi apa-apa anugerah! Kerana itu, karya “agung” para
sasterawan negara ini belum lagi diuji dari segi pemikiran dan stylization of ideas. Jika karya itu boleh saja dinilai dari
perspektif teori Barat, mengapa pula dilarang daripada dinilai daripada
perspektif PB? Inilah cara berfikir “sarjana ciritan” yang tidak bersedia
berdialog secara ilmiah walaupun para sarjana ciritan sering menyebut nama
Bakhtin.
Karya
Persuratan dan Masa Depan Persuratan Melayu Abad 21
PB
memperkenalkan kategori baru sebagai “karya persuratan” yang berteraskan ilmu
yang benar dan menggunakan kaedah stylization
of ideas untuk menyerlahkan wacana yang bersifat intelektual dalam sesebuah
karya kreatif berbentuk cereka, tidak hanya menghidangkan cerita yang sering
kali bersifat sensasi, seperti yang ditunjukkan oleh para sasterawan negara
dalam novel mereka. Saya jemput anda membaca satu entri yang agak panjang yang
membicarakan aspek ini, bertarikh 28 Oktober 2014, dengan judul “Keunggulan Yang Cacat: Satu
Pandangan Kritis Terhadap Sumbangan Sasterawan Negara dari Segi Pemikiran dan
Keupayaan Kreatif.” Entri itu penting kerana disitulah saya membahasksan
kedudukan karya sasterawan negara dari perspektif ilmu yang benar dan juga dari
segi teknik penulisan kreatif yang kaya dengan unsur sensasi, tetapi miskin
dengan pemikiran yang bernas. Entri ini sangat penting, perlu dibaca dengan
kritis oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Entri ini hendaklah dibaca bersama entri
bertarikh 13 Disember 2014.
Untuk
melahirkan karya persuratan, seseorang pengarang harus menguasai dua bidang:
dia perlu menguasai dan memahami dengan mendalam konsep ilmu; di samping itu
dia perlu menunjukkan keupayaan kreatif yang tinggi untuk berfikir secara
kreatif. Pada waktu ini, di kalangan para sasterawan, kedua-dua syarat ini
tidak ada. Oleh itu, sesiapa juga boleh menulis novel, cerita pendek dan sajak
asal dia tahu mengeja bahasa Melayu. Hasilnya karya-karya picisan yang diangkat
menjadi karya popular, atau sajak-sajak celoteh (entri bertarikh 31 Julai 2016)
yang diangkat menjadi “puisi”. Dunia
sastera adalah dunia sensasi, seperti yang dibuktikan dalam karya para
sasterawan negara. Kesimpulan ini tidak
perlu dibahaskan kerana memang tidak ada perkara penting yang patut dibahaskan.
Semua ini saya bincang dalam “Keunggulan yang Cacat”.
Penutup
Sastera
Melayu moden mempunyai banyak “teori” sastera yang hanya diberi nama “teori”,
padahal bukan teori kerana syarat-syarat untuk dijadikan teori tidak ada. Semuanya hanya nama-nama yang diperagakan
sebagai “teori”, tetapi tidak mempunyai sebarang
landasan ilmiah/akademik yang sepatutnya yang menyerlahkan persoalan tertentu yang mesti
dicari jawapan atau penyelesaiannya. Kerana itu apa yang disebut sebagai
“teori” sastera itu mati beragan, kecuali jika yang menelurkannya seorang
pensyarah yang boleh memaksa pelajarnya menggunakan “teori” yang bukan teori
itu. Dengan itu banyak juga latihan
ilmiah (yang tidak ilmiah), tesis sarjana, malah tesis kedoktoran ditulis
dengan kononnya menggunakan “teori” yang bukan teori itu. Sarjana yang
menelurkan “teori” yang bukan teori itu berasa amat bangga memberitahu kita
bahawa sudah ada di antara pelajarnya yang mendapat ijazah kedoktoran dengan
menggunakan “teori”nya sudah bergelar profesor! Siapa mereka kita tidak pasti,
seolah-olah mereka malu-malu kucing untuk menonjolkan diri. Apakah yang sudah
mereka selesaikan melalui “teori” yang mereka pakai? Tidak ada. Sastera Melayu
moden masih terus lesu dan bertambah lesu, walaupun sudah dikelilingi “teori”
yang begitu banyak dan ghairah menagih perhatian. Apakah kesan teori palsu yang sebenarnya
bukan “teori” itu terhadap perkembangan sastera?.
Apakah
yang dimaksud dengan teori? Apakah syarat-syarat yang perlu ada? Saya beri
beberapa contoph mudah yang terkenal. Apabila Newton melihat sebiji epal jatuh,
dia bertanya mengapa buah itu jatuh? Dia memberi jawapannya dalam “the theory
of gravity”. Apabila K.R. Popper melihat taksubnya ahli akademik Barat terhadap
ajaran Marx, Plato, dan Freud, beliau mengemukakan teorinya yang agak aneh:
sesuatu pendapat hanya bersifat sains jika dapat dipalsukan (the theory of
falsification). Ketiga-tiga tokoh itu, kata beliau, hanya pemimpi yang menjadi
ikutan padahal tiada apa pun yang konkrit dalam “pemikiran” mereka. Tidak boleh
diuji secara saintifik. Dalam sastera Barat, teori sastera yang paling terkenal
ialah Kritikan Baru (New Criticism). Mengapa
teori ini diperlukan? Terdapat keyakinan di kalangan beberapa profesor sastera
bahawa hasil sastera mestilah dianggap antunomous, oleh itu diperlukan sebuah
teori untuk membuktikannya. Kini “teori” itu sudah mati, walaupun idea tentang
karya yang bersifat autonomi itu masih terpakai untuk kononnya memberi
kedudukan istimewa kepada karya sastera. Kemudian muncul dekonstruksi, yang
menegaskan sebuah karya sastera tidak mempunyai makna yang tetap, kerana tabiat
bahasa selalu berubah dan oleh itu setiap interpretasi akan berubah, dengan itu
lebih tepat jika dirumuskan setiap interpretasi bukanlah interpretasi, hanya
sejenis bacaan yang boleh berubah. Mana satu di antara deretan senarai “teori”
sastera Melayu itu yang boleh dipanggil “teori”? Tidak ada. Semuanya hanya
nama-nama yang tidak bermakna apa-apa kerana yang dianggap “teori” itu tidak dapat digunakan untuk menganalisis dan
menilai sesebuah karya, hanya dipakai untuk menjadi panduan yang kabur
bagaimana sesebuah karya boleh dibaca. Contoh paling baik ialah kertas kerja
Dr. Kamariah Kamaruddin yang dibentang dalam Seminar 6 Sasterawan Negara
tentang sebuah novel Shahnon Ahmad.
Tidak ada analisis dan penilaian, yang dibuatnya hanya memetik bahagian
tertentu novel dan memadankannya dengan “takmilah” yang sebenarnya bukan teori
sastera, tetapi sekadar panduan umum yang boleh saja diterapkan kepada novel
erotik atau novel picisan, tidak semestinya novel yang bermutu.
Gagasan
Persuratan Baru berada dalam kedudukan yang berbeza. PB adalah satu sistem
penelitian sastera yang agak lengkap kerana mempunyai serangkaian konsep yang
boleh digunakan dengan tepat untuk membaca, menganalisis dan menilai sesebuah
karya. Kelebihan PB telah dinyatakan di atas apabila PB digunakan untuk menilai
karya para sasterawan negara. Dengan adanya kelebihan ini, PB sudah dapat
dianggap sebuah teori sastera yang lengkap yang boleh digunakan tidak saja
untuk menilai karya sastera, tetapi juga untuk menilai teori sastera Barat. Kelemahan terbesar teori sastera Barat, dari
perspektif kita, ialah tidak satu pun teori itu memberi penekanan kepada konsep
ilmu. Inilah sifat yang ditiru oleh sarjana sastera Malaysia, yang
bermati-matian menolak kehadiran ilmu dalam karya kreatif kerana menurut mereka
karya itu akan jadi propaganda, didaktik, penuh dengan khutbah dan sebagainya
yang hanya mencacatkan nilai estetik karya itu. Kerana ini semua tidak perlu,
maka bagi mereka sifat sensasi dan mitos adalah perlu untuk menjadi hiasan
sesebuah karya yang berjaya dan bernilai. Dengan sikap ini, para sasterawan
merayakan kejahatan sebagai tema utama kerana kata mereka itulah realiti
kehidupan manusia. Inilah tema para sasterawan negara pada umumnya. Semua andaian ini ditolak oleh PB kerana karya
yang penuh sensasi dan menjadikan emosi sebagai penentu dalam penilaian adalah
bertentangan dengan kejadian manusia sendiri, terutama dalam Islam, seperti
yang dihuraikan dengan agak terperinci dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.
Kemunculan PB tidak dapat dielakkan setelah
sastera Melayu moden menjadi layu dan pada dasarnya anti-ilmu. Sastera itu
memerlukan satu dinamika baru dalam perkemban seterusnya. Maka munculkah PB
yang akan membawa persuratan Melayu ke suatu era yang cemerlang dalam abad 21
ini, sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita memerlukan dinamika baru
itu. Tentu saja para pendukung sastera
akan berasa cemas dan tercabar, tetapi tidak dapat menghalang kemajuan PB walaupun seluruh
penggiat sastera, terutama yang berada dalam persatuan penulis, cuba
mengekalkan status quo untuk faedah
mereka, bukan untuk faedah ilmu dalam membina tamadun berteraskan ilmu, yang
sejak sedia kala menjadi asas perkembangan ilmu dan kebudayaan di negara ini. Pilihan
terbaik untuk para sarjana dan untuk para pendukung sastera ialah melakukan
perubahan paradigma, yang mereka teriakkan sejak sekian lama, dengan berpindah
kepada PB dan menjadi kumpulan yang berfikir, bukan lagi menjadi pengikut dan peniru
Barat seperti sekarang. Keputusan yang
mereka buat sedemikian adalah untuk memenuhi impian mereka sendiri, yang sudah
sekian lama mengajak dilakukan perubahan paradigma. Inilah masanya untuk kembali menjadi manusia
dengan kembali kepada taklif.
Petaling Jaya, 1 Februari 2017.
No comments:
Post a Comment