Catatan: Pos lama, tapi relevan dengan perbincangan sekarang. Disiarkan semula untuk difikirkan
Pendahuluan
Pada umumnya, para sasterawan, pengkritik dan penilai karya sastera mengalu-alukan pembaharuan dalam karya kreatif, yang mereka panggil “eksperimen”. Tidak kira bagaimana bentuk dan matlamat “eksperimen” itu, setiap “eksperimen” dianggap suatu kemajuan yang perlu dihargai dan diberi pujian. Walaupun apa yang disebut sebagai “eksperimen” itu lebih tepat dipanggil “peniruan” dalam bentuk ciplakan langsung atau tidak langsung, namun kerana setiap “eksperimen” telah diberi nilai yang tinggi, maka “peniruan” atau ciplakan yang langsung atau tidak langsung itu diterima dengan baik oleh para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera. Tetapi mereka tidak dapat menerima apa-apa juga “pembaharuan” dalam aspek penilaian dan analisis karya kreatif, kerana menurut mereka sastera Melayu moden telah mempunyai beberapa bakul teori kritikan dan teori sastera dari Barat yang boleh digunakan dengan berkesan untuk menilai karya-karya “eksperimen” itu. Semua teori itu mempunyai istilah dan konsep yang begitu mantap, kata mereka, sehingga tidak perlu lagi dikemukakan “teori’ baru yang berbeza daripada teori Barat yang mereka sudah biasa gunakan dan sudah pun diketahui (walaupun tidak mendalam).
Bisu Tanpa Teori Barat
Tetapi pada waktu yang sama, mereka sering bercakap tentang perlunya “anjakan paradigma” supaya sastera Melayu moden terus dinamik. Maksud mereka dengan “anjakan paradigma” itu ialah penggunaan teori-teori Barat yang baru yang belum dicuba, walaupun sudah lama muncul di Barat. Jika kita melihat buku-buku sastera yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang membicarakan tentang kritikan, kita akan bertemu dengan banyaknya teori baru dalam konteks “anjakan paradigma” itu. Namun masih kedengaran suara-suara lantang seolah-olah menolak “teori” kritikan Barat, seperti yang pernah diucapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya, tetapi suara itu lenyap begitu saja kerana mereka sendiri masih terus menggunakan teori Barat dengan selesa dalam kerja-kerja akademik mereka. Mereka juga menentang sebarang “pembaharuan” dalam kritikan dan pendekatan yang menyimpang dari asas kebaratan yang mereka senangi itu. Jika perilaku ini boleh dipanggil “dolak-dalik” yang bertaraf picisan, maka “dolak-dalik” itu berasaskan keperluan akademik tersendiri, iaitu untuk menguatkan lagi cengkaman pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden. Tanpa Barat, mereka akan jadi bisu, tidak boleh berbicara tentang sastera. Adakah ini bererti mereka adalah kumpulan yang pada dasarnya berusaha gigih untuk mempertahankan sifat sekular dan liberal sastera Melayu moden, dengan itu menentang sebarang pembaharuan yang akan membawa kesusasteraan Melayu moden kepada tradisi Islam yang menjadi asas persuratan Melayu selama berabad itu?
Pertahan Pengaruh Barat
Jawapan kepada soalan penting di atas boleh dilihat dalam perkembangan terbaru tentang perkara ini. Pada waktu ini terdapat usaha untuk mempertahankan pengaruh Barat dan nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden, dengan alasan bahawa sastera Melayu dilahirkan daripada pengaruh Barat tadi. Kata mereka, tanpa pengaruh Barat, tidak mungkin wujud novel Melayu moden, sajak-sajak moden, drama dan kritikan sastera itu sendiri. Oleh itu, kata mereka, pengaruh Barat telah memberi warna baru kepada sastera Melayu moden, yang menjadi aras tanda dalam kemajuan mencipta karya kreatif yang berbentuk moden. Berasaskan pandangan ini, kritikan terhadap nilai-nilai Barat dan pengaruh Barat semakin jarang disuarakan, malah pengaruh itu dipertahankan supaya, kata mereka, sastera Melayu tidak akan berundur ke belakang untuk berada dalam bentuk tradisional dan jumud. Sekarang terdapat usaha untuk memperkukuh kedudukan pengaruh Barat dan memastikan sastera Melayu terus berada dalam paradigma Barat, yang dulunya cuba diubah. Adakah ini satu kontradiksi? Cuba kita lihat persoalan ini dari sudut lain.
Kekeliruan Tentang Kebebasan Berkarya
Salah satu prinsip sastera moden, kata para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, ialah konsep kebebasan berkarya. Kata mereka, kebebasan itu menjadi teras perkembangan sastera moden, oleh itu tanpa kebebasan, sastera akan menjadi lumpuh dan tidak mungkin menjadi maju seperti yang terjadi dalam sastera dunia. Inilah asas yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana (juga pengkritik) sastera di Indonesia, yang menjadi ikutan para sasterawan Melayu/Malaysia sendiri. Berasaskan prinsip ini, H.B. Jassin mempertahankan cerita pendek yang menghina Allah yang ditulis oleh seorang sasterawan Kristian. Inilah juga prinsip yang digunakan apabila karya lucah dipilih untuk menerima hadiah utama di Indonesia, dipilih oleh tokoh penting sasterawan Indonesia sendiri yang melihat dalam karya lucah itu terdapat keberanian untuk membicarakan soal-soal yang menjadi tabu dalam masyarakat beragama di Indonesia.
Kelencongan Kreatif
Di Malaysia sendiri hal yang sama juga terjadi, dengan sedikit kelencongan kreatif dengan menyelitkan kononnya “nilai Islam” dalam novel seperti TIVI oleh sasterawan negara Shahnon Ahmad. Mempermainkan nilai Islam dalam karya para sasterawan/penulis Melayu Islam telah menjadi kebiasaan dan dipertahankan kelangsungannya berasaskan konsep kebebasan berkarya tadi. Prof. Madya Dr. Noritah Omar dan Dr. Washima Che Dan telah menulis tentang perkara ini dalam tulisan mereka yang termuat dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ed. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, 2010). Para penulis/sasterawan ini percaya bahawa konsep kebebasan yang dilihat dalam konteks realisme Barat menurut fahaman mereka, membenarkan mereka mempermainkan apa yang mereka sebut sebagai “nilai-nilai Islam” untuk menggambarkan “realiti” yang berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang. Tetapi adakah mereka tidak keliru dan silap besar dalam memahami konsep kebebasan berasaskan realisme Barat itu?
Kekeliruan Berpanjangan
Kekeliruan ini hanya dapat dilihat jika konsep kebebasan itu dihuraikan daripada perspektif Islam. Dalam Islam, seseorang hanya bebas secara mutlak untuk melakukan kebaikan, dan berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan itu. Tetapi ini pun masih terikat kepada prinsip-prinsip amal salih, yang tidak menerima perbuatan riak, atau yang melampau (misalnya: puasa setiap hari, kerana yang diajar di dalam Sunah puasa berselang hari seperti yang dilakukan Nabi Daud ‘a.s.). Tidak ada kebebasan untuk melakukan kejahatan dalam bentuk apa sekali pun. Prinsipnya ialah: menyuruh berbuat baik (makruf), mencegah daripada perbuatan mungkar. Prinsip ini sebenarnya telah diterima oleh seluruh tamadun dunia, kerana manusia secara tabii tahu dan kenal apakah yang boleh diterima oleh masyarakat mereka dan apakah pula yang wajib ditolak. Hakikat ini diketahui juga oleh manusia liar di hutan Amazon, tetapi telah ditolak dalam masyarakat moden yang menjadi teras masyarakat Barat kini. Para sasterawan menerima hakikat ini dan menulisnya dalam karya mereka, seperti dalam cerita pendek Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” yang mendapat pujian Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut para sasterawan Melayu dan pengkritik serta sarjana sastera, keseluruhan karya sastera Melayu moden adalah mencerminkan prinsip “amar makruf nahi mungkar” itu, kerana menurut mereka tidak seorang pun sasterawan Melayu menggalakkan kejahatan. Mereka hanya mengambil kejahatan sebagai tema penting dalam konteks realisme yang mereka fahami, kerana di situlah, menurut mereka, terdapat nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan murni! Contoh paling klasik yang mereka berikan ialah novel Salina, yang menurut mereka amat kaya dengan nilai-nilai kemanusiaan yang murni, hatta daripada seorang pelacur sekali pun.
Kekeliruan Ditolak Dalam Islam
Kekeliruan ini telah dihujahkan dengan jelas dan mendalam oleh Zulkarnain Muhammad yang membicarakan novel Najib Mahfuz dan Mohd Shahrizal Nasir yang membicarakan novel Najib al-Kilani dalam tulisan mereka yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu dan Kesusasteraan. Hujah-hujah mereka menolak sama sekali kekeliruan para sasterawan Melayu dalam memahami prinsip “amar makruf nahi mungkar” yang mereka hujahkan menjadi teras dalam sastera Melayu moden, yang terdapat dalam karya picisan seperti Salina atau TIVI. Jika apa yang para sasterawan dan sarjana sastera katakan itu betul, dan para sasterawan Melayu memang menulis dalam konteks “amar makruf nahi mungkar”, mengapa mereka terus berpegang kepada nilai-nilai sastera yang dipraktikkan dalam sastera Barat? Adakah mereka ingin berkata bahawa teori sastera Barat lebih jelas dan lebih tepat membicarakan konsep “amar makruf nahi mungkar” itu daripada yang terdapat dalam Islam sendiri? (Walau pun itulah ajaran Islam).
Meneruskan Kekusutan Berfikir
Paling baik yang mereka dapat katakan ialah kesusasteraan melihat prinsip “amar makruf nahi mungkar” itu dalam konteks seni sastera, bukan dalam konteks Islam, apatah lagi dalam konteks teologi Islam! Itulah cara terbaik untuk mereka mengusutkan lagi kekusutan yang mereka alami, dengan seterusnya berhujah (?) “kita tidak dapat menerima hanya sejenis karya sastera, misalnya karya persuratan yang berteraskan Islam”, kerana kehidupan manusia itu beraneka ragam. Semakin jauh mereka mengusutkan diri mereka dengan kesimpulan yang karut seumpama itu, tanpa menyedari bahawa yang mereka lakukan selama ini ialah menyodorkan hanya satu jenis konsep sastera, iaitu konsep sastera yang difahami dan dipraktikkan di Barat. Inilah jalan yang diambil, secara rasmi, oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka tidak dapat melihat betapa karutnya pendirian mereka kerana pengalaman seni mereka amat terbatas, sempit, dan crude (penggunaan perkataan Inggeris disengajakan untuk menyerlahkan sifat crude itu!).
Pengalaman Intelektual Yang Sempit dan Crude
Jika anda mahu lihat bertapa crude-nya fahaman seni mereka, anda analisis dengan kritis fahaman mereka tentang konsep keindahan dalam penulisan. Anda perlu membaca tulisan-tulisan Shahnon Ahmad, Azizi Hj. Abdullah, Usman Awang dan lain-lain sasterawan untuk melihat sendiri bagaimana mereka memahami konsep keindahan bahasa dalam seni mengarang. Jika anda tidak dapat menganalisis dengan kritis kaedah yang mereka pakai, jangan anda tersinggung jika anda sendiri juga mempunyai sifat crude itu dalam memahami keindahan seni mengarang. Tetapi dengan berfikir dan merenung dengan mendalam aspek ini, jika diperlukan dengan bantuan kefahaman yang mencukupi tentang gagasan Persuratan Baru, anda mungkin sedar betapa kita semua telah tertipu oleh faham sastera yang crude itu. Berselindung di sebalik “keindahan”, padahal yang diperlihatkan hanya sejenis pandirisme yang crude sahaja!
Pengalaman intelektual yang sempit, cetek dan crude ini dapat dilihat dengan jelas dalam cara sarjana kita memahami psikologi manusia menurut Freud, Lacan dan lain-lain tokoh yang serumpun dengan Freud. Saya telah memberi contoh dari pandangan Prof. Rahman Shaari, dan lama dulu contoh dari Prof. Hashim Awang. Kedua-duanya sangat terpesona dengan ajaran Freud. Apakah yang membuat mereka terpesona? Sebab yang paling jelas ialah kerana mereka tidak memahami ajaran Freud dengan jelas, dan kerana itulah saja sumber psikologi yang mereka ketahui. Mereka tidak membaca psikologi Ibn Sina, tidak juga psikologi manusia yang dihuraikan oleh Imam Ghazali. Mereka tidak melihat psikologi itu dalam konteks hakikat insan yang dijelaskan oleh al-Quran dan Sunah. Ini terjadi kerana mereka tidak menerima epistemologi Islam, tetapi terpesona dengan epistemologi palsu dari Barat. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka yang suatu ketika tidak berapa lama dahulu mengadakan sejenis program tentang kritikan yang mereka namakan Akademi Sastera, mereka menetapkan antara ajaran yang diwajibkan untuk digunakan dalam analisis ialah pandangan Jacques Lacan (kritikan berasaskan ajaran Lacan). Pilihan ini sangat aneh kerana Lacan telah diterima di Barat sebagai orang gila yang terlalu percaya kepada kebolehannya, padahal yang diluahkannya tidak lebih daripada angan-angan kosong semata. Perhatikan satu peristiwa yang menggelikan hati ini. Dalam tahun 1975, Lacan melawat Amerika Syarikat, menyatakan hasratnya hendak melawat Metropolitan Opera House (MOH), tetapi kerana tidak dikenali, orang yang membawanya ke Amerika berbohong kepada pengarah MOH bahawa Jean-Paul Sartre akan melawat MOH; dan Lacan yang tidak dikenali itu sangat gembira menerima sambutan yang begitu baik. Tetapi yang paling menarik ialah apabila beliau melawat MIT, menjawab satu soalan daripada Noam Chomsky tentang pemikiran. Kata Lacan: “We think we think with our brains. But personally I think with my feet. That’s the only way I really come into contact with anything solid. I do occasionally think with my forehead, when I bang into something. But I have seen enough electroencephalograms to know there’s not the slightest trace of a thought in the brain.” Bila Chomsky mendengar jawapan itu, katanya orang itu benar-benar seorang gila. (Richard Webster dalam New Statesman, July 1997; dalam blognya www.richardwebster.net).
Bagaimanakah kita boleh menggunakan “pemikiran” gila begini? Pertama sekali, kita harus mengetahui sumbernya. Kedua, kita harus melihatnya secara kritis berasaskan epistemologi Islam. Dari segi sumber, Freud menggunakan mitos Yunani dan Romawi untuk dijadikan asas psikologinya. Seperti yang kita tahu, dalam mitos itu para dewa dan dewi yang dijadikan sumber itu sepanjang hayatnya berbohong. Pembohongan adalah prinsip utama dalam sistem mitos dewa dewi itu, yang dijadikan model oleh Freud, dan diikuti oleh Jacques Lacan. Yang dicerakin oleh Freud dan para pengikutnya ialah hawa nafsu manusia, dengan menggunakan kelakuan dewa dewi itu. Tidak kena mengena dengan jiwa manusia, apatah lagi dengan aspek kerohanian manusia yang tidak dapat tidak mesti dikaitkan dengan Allah Ta’ala. Kerana itu manusia yang menghadapi masalah “kejiwaan” itu tidak ada jalan keluar, kerana tidak ada tempat untuk mereka bertaubat atau menyesal dan memohon ampun, kerana konsep dosa dan pahala tidak ada dalam sistem psikologi itu. Manusia yang liar sekali pun, seperti beberapa pertemuan baru di hutan Amazon, mempunyai perasaan itu. Tetapi tidak manusia dalam sistem yang diajarkan oleh Freud dan dikuti oleh Lacan. Adakah sarjana Melayu tidak tahu perkara ini? Mereka tahu. Tetapi mengapa mereka masih menerimanya untuk dijadikan asas analisis dan model penulisan kreatif seperti yang disebut oleh A. Samad Said? Saya tidak mahu menjawabnya; biarkanlah mereka sendiri menjawabnya. Saya hanya ingin menegaskan bahawa mereka boleh menggunakannya dalam analisis mereka; tetapi dengan memberikan penjelasan yang tepat dilihat dari sudut psikologi Islam yang dihuraikan, terutamanya, oleh Imam Ghazali. Dengan begitu mereka sendiri tidak tersesat; dan para pembaca yang tidak tahu menahu tentang perkara ini tidak akan diheret sama dalam kesasatan itu. Perbuatan para sarjana ini mengajar pelajar mereka menggunakan “pemikiran” sesat dan gila Jacques Lacan ini benar-benar menghina penggunaan akal sihat yang dianjurkan dalam Islam. Mengapa kita harus menentang penggunaan akal sihat dalam dunia akademik kita? Mungkin kerana mereka ini berfikir dengan kaki, seperti yang ditegaskan oleh Lacan. Sekarang kita sampai kepada peranan Iblis dan syaitan dalam pemikiran manusia.
Peranan Iblis dan Syaitan
Siapakah yang paling bebas di antara makhluk Allah? Syaitan. Iblis. Dan suku sakat mereka. Tentu saja para sasterawan Malaysia tidak mungkin (?) berada dalam kumpulan ini, walaupun mereka menjeritkan betapa pentingnya “kebebasan” itu diberikan kepada mereka sebagai “seniman”. Perhatikan satu peristiwa, untuk melihat bagaimana empat orang sasterawan negara memberi makna kepada konsep “kebebasan”. Huraian tentang peranan Iblis dan syaitan ini sangat penting difahami dalam konteks ilmu yang difahami dalam Islam, kerana jika persoalan ini tidak beres dan meragukan para penulis atau sasterawan Islam, maka mereka akan menerima dengan bangga faham yang karut, salah dan menyeleweng yang mereka dapat dari pembacaan cetek mereka tentang sastera. Contoh paling jelas ialah apabila terdapat pendapat tidak akademik, yang agak liar dari segi akademik, yang mengatakan karya sastera itu lahir dari keinginan yang meluap-luap yang timbul dalam benak seorang sasterawan yang meruntunnya untuk menulis. Pendapat ini diasaskan kepada psikologi Freud, yang dengan bangga dijadikan panduan oleh sasterawan dan sarjana yang berbicara tentang sastera. Pendapat yang karut dan menyeleweng ini harus ditentang hasbis-habisan kerana inilah salah satu contoh bagaimana pengaruh Iblis dan syaitan itu meresap dalam faham sastera yang kini menjadi ikutan para sasterawan. Kerana itu, dalam gagasan Persuratan Baru ditekankan betapa pentingnya difahami konsep insan dan peranan taklif dalam kehidupan manusia (yakni manusia keseluruhannya, secara universal), supaya pandangan yang karut dan salah ini tidak berterusan dalam faham sastera yang dianuti oleh para sasterawan Malaysia.
Konsep Kebebasan Para Sasterawan Negara
Sekarang kita lihat kutipan ini: “Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walaupun berlainan, masih diperlukan di negara demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” Inilah pandangan empat orang sasterawan negara: Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, Dr. Anwar Ridhwan, dan Noordin Hassan. Suara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sangat jelas di sini. Mereka berempat ini mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Mac 2011 untuk membela karya Abdullah Hussein yang sedang diserang dan dikutuk oleh orang India kerana Abdullah Hussein menggunakan istilah “paria” untuk menggambarkan sistem sosial pendatang India ke Tanah Melayu untuk menjadi kuli di estet, kepunyaan orang Inggeris. Apakah maksud “kebebasan” dan ungkapan “membaca sastera dari pendekatan sastera”? Dalam konteks yang difahami dan dipakai oleh para sasterawan, juga yang dipegang oleh Panel Anugerah Sastera Negara, “kebebasan” bermaksud membenarkan para sasterawan menulis tentang apa juga tema yang mereka suka dalam konteks realisme yang mereka fahami.
Kejahatan Sebagai Tema Utama
Hasilnya seperti yang kita lihat dalam karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad dan lain-lain, yang menjadikan kejahatan manusia sebagai tema utama dalam karya mereka, kerana mereka terikat kepada fahaman yang keliru tentang realisme yang menjadikan keburukan dalam masyarakat manusia sebagai kenyataan kehidupan yang perlu ditonjolkan sementah mungkin. Mentah kerana tidak terdapat analisis dan penghujahan konkrit berasaskan pemikiran yang teratur ketika menulis tentang keruntuhan moral seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam TIVI, atau tentang “kezaliman” perang dalam Salina oleh A. Samad Said. Kejahatan itulah realiti, menurut Shahnon Ahmad, oleh itu menjadi kewajipan sasterawan untuk menyerlahkan realiti itu. Tetapi apakah sebenarnya yang mereka maksudkan dengan “realiti”? Dalam keseluruhan karya para sasterawan ini, kita lihat yang mereka maksudkan dengan “realiti” itu ialah “realiti semu”, realiti palsu yang kelihatan di mata kasar, bukan realiti hakiki dari segi makna realiti yang sebenarnya. Untuk memahami dua perkara ini, anda perlu memahami kisah Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disebut dalam al-Quran. Saya biarkan anda mencarinya sendiri, atau bertanya orang yang lebih tahu tentangnya. Saya sendiri menjadikan peristiwa ini sebagai asas dalam gagasan Persuratan Baru, dengan itu dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2009). Lihat di sana untuk mendapat penjelasan. Anda akan mengerti mengapa saya mengkritik sajak “Pulang Si Tenggang”, yang menyerlahkan kepalsuan tafsiran pensajak tentang sebuah legenda Melayu, tanpa sentuhan pemikiran yang jelas. Inilah yang saya meksudkan dengan “realiti semu”, yang menjadi pegangan dan kebanggaan para sasterawan.
Keliru Tentang Makna Realisme
Panel Anugerah Sastera Negara berhujah bahawa karya-karya sasterawan negara adalah karya yang menggambarkan realisme dalam kehidupan manusia, iaitu manusia yang miskin, tertindas, dizalimi, ditipu dan sebagainya. Tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada “realisme”, oleh itu bukan realiti sebenarnya. Itu hanya realiti semu, tetapi manusia lekas tertipu dengan realiti semu ini, seperti yang ditunjukkan oleh Al-Quran dalam kisah Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. Realiti semu ini menjadi mainan ahli sihir Firaun. Tetapi apabila hakikat realiti ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s. dengan melemparkan tongkatnya setelah diwahyukan oleh Allah Ta’ala, maka ahli sihir yang handalan itu segera melihat hakikat realiti itu dan terus tunduk menyerah, lalu menerima ajaran wahyu yang dibawa oleh Nabi Musa ‘a.s. Dalam konteks kita di Malaysia, para sasterawan, sarjana dan sebagainya itu belum lagi sampai ke taraf profesional yang tinggi yang dipunyai oleh ahli sihir Firaun, oleh itu mereka terus lena dalam realiti semu, tidak mahu menerima hakikat realiti ajaran tauhid dan konsep taklif yang menjadi asas untuk mengenal ilmu yang benar. Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara sebagai golongan profesional sudah sampai ke peringkat profesionalisme yang tinggi yang dimiliki oleh ahli sihir Firaun, maka mereka tidak dapat tidak akan menerima hakikat realiti dan menolak realiti semu dalam konsep realisme yang mereka pegang. Dalam konteks inilah mereka memperagakan sikap anti-ilmu mereka. Sesiapa juga yang ingin menyanggah kesimpulan ini harus terlebih dahulu memahami konteksnya dan hujah yang dikemukakan.
Karya Sastera Yang Autonomous
Dalam konteks inilah kita harus memahami ungkapan “membaca sastera dari pendekatan sastera”. Anda akan melihat kelucuan ungkapan ini jika anda fahami konsep “realiti semu” yang dibicarakan tadi. Ungkapan itu sebenarnya diambil daripada pendirian Kritikan Baru (New Criticism) yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan para sarjana Amerika Syarikat, tetapi kini telah diketepikan kerana disedari tidak relevan lagi. Kritikan Baru menegaskan bahawa karya sastera itu mempunyai autonomy tersendiri, tidak bergantung pada apa juga pengaruh yang berada di luarnya. Kedudukan ini kemudiannya diserlahkan dengan megahnya dalam teori Derrida, teori dekonstruksi yang kalut (dan karut dilihat dari konsep ilmu yang benar) itu. Menurut Derrida, karya sastera tidak bermakna apa-apa, kecuali makna yang diberikan oleh pembaca. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang terpesona dengan dekonstruksi, menganjurkan supaya para sarjana Malaysia menggunakan teori Derrida ini, tetapi sebaik saja karya beliau sendiri dinilai dari perspektif dekonstruksi, beliau menjadi marah kerana menurutnya maksud beliau tidak seperti yang difahami oleh pembaca.
Ahli Sihir Firaun
Di sinilah kelucuan itu menonjolkan wajah buruknya: karya sastera itu autonomous, oleh itu harus dinilai dalam konteks karya itu sendiri. Apakah konteks itu? Konteks itu ... (Tergantung: Sasterawan sendiri tidak tahu!) Di sinilah hebatnya ahli sihir Firaun yang benar-benar profesional dalam kemahiran sihir mereka: sebaik saja mereka melihat realiti hakiki yang ditunjukkan oleh Nabi Musa ‘a.s., mereka menerima realiti hakiki itu dan terus berpegang kepada ajaran tauhid. Tetapi apa yang terjadi kepada para sasterawan? Mereka terus degil berpegang kepada realiti semu mereka, terus percaya karya sastera itu autonomous, tetapi tidak boleh ditafsirkan kerana semua tafsiran tidak tepat dengan makna yang berada di dalam kepala para sasterawan sendiri. Kalau begitu, karya sastera adalah kepunyaan mutlak penulisnya, tidak boleh ditafsirkan kerana semua tafsiran tetap salah! Kata seorang sarjana yang pakar dalam sastera, bernama Prof. Rahman Shaari, karya sastera lahir kerana desakan dari dalam diri seseorang yang mempunyai bakat kreatif, desakan yang tidak boleh ditahan-tahan lagi, lalu terciptalah karya sastera! Jadi dengan itu karya itu kepunyaan peribadi penulis kreatif, oleh itu hanya dia saja yang berhak memberi tafsirannya kerana dia sajalah yang tahu maksud karya itu ditulis dan tentang apa. Oleh itu karya sastera tidak boleh dibaca dengan kritis; hanya boleh dipuji saja. Inilah kedudukan yang menjadi pegangan para sasterawan, yang diarus-perdanakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam pembinaan mitos mereka terhadap para sasterawan negara yang mereka nilai. Adakah ini puncak kesiumanan akal manusia, atau lelucon yang paling unggul?
Gagasan Persuratan Baru Beri Jalan Keluar
Dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru menghulurkan tangan untuk membantu golongan yang keliru ini keluar dari kekeliruan mereka, dengan mengajak mereka melihat kembali kedudukan mereka berasaskan konsep ilmu yang benar sebagai ukuran utama. Tetapi mereka tidak mahu dibantu, walaupun mereka sedar mereka meraba-raba mencari kepastian yang tepat tentang konsep kreatif dan hasilnya; mereka juga tahu mereka berada dalam kegelapan akal dan kekeliruan tentang konsep ilmu. Kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (beberapa kali jadi ahli Panel): “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14). Adakah kesalahan yang dimaksudkan itu termasuk yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri salah seorang anggotanya?
Sebenarnya pengakuan profesor ini adalah kritikan tajam terhadap kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara secara total menggunakan kaedah dan teori sastera Barat. Perhatikan baik-baik, apabila profesor ini berkata, “kita dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula”, beliau harus menjelaskan, bahawa “watak yang khusus” itu merujuk kepada sifat bahasa Melayu yang sudah diterima sebagai salah satu bahasa peradaban Islam, oleh itu wajah Islam itu sangat ketara dalam perwatakan bahasa Melayu. Sehinggalah dimusnahkan oleh para sasterawan, yang mencabut watak Islam itu dengan menggantikannya dengan watak pinjaman dan ciplakan dari Barat apabila sastera Melayu moden disekularisasikan sepenuhnya oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan, tetapi tidak dapat disembunyikan kerana watak sekular itu terlalu ketara dalam faham sastera Melayu moden yang menjadi ikutan para sasterawan.
Kejujuran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak jujur secara akademik apabila beliau menegaskan “teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” Kesimpulan ini tidak termasuk kedudukan gagasan Persuratan Baru, yang tidak diketahui oleh profesor sastera ini. Sebagai seorang sarjana sastera bertaraf dunia kelas satu, amatlah aneh apabila beliau tidak tahu menahu apa yang berlaku di kalangan pemikir sastera di Malaysia, padahal ada di antara hasil pemikiran itu sudah diiktiraf di peringkat antara bangsa, sepanjang mengenai gagasan Persuratan Baru. (Rujuk Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 150). Bagi seorang sarjana yang kini sudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara oleh teman-temannya, sikap negatif yang bersifat “masa bodoh” tokoh ini amat memalukan, dari segi akademik. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah mengejek Mohd. Affandi Hassan belajar menulis kritikan sastera daripada Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Ramli Isin (muridnya sendiri); tidakkah kini beliau sendiri harus belajar daripada Mohd. Affandi Hassan untuk memahami gagasan Persuratan Baru? Sebelum beliau, secara akademik, boleh membuat kesimpulan seperti di atas, beliau harus membahaskan dengan mendalam terlebih dahulu gagasan Persuratan Baru, kerana pada waktu beliau membuat kesimpulannya, gagasan Persuratan Baru sudah pun wujud dan digunakan dalam analisis dan dalam penilaian karya sastera, termasuk karya antarabangsa. Andainya, beliau ingin menonjolkan keangkuhan intelektual (keangkuhan akademik) dengan tidak mengiktiraf kewujudan gagasan Persuratan Baru, beliau tidak ada pilihan lain daripada membicarakannya kerana hanya dengan berbuat demikian saja beliau boleh mempertahankan kewibawaan akademiknya. Jika sebaliknya, beliau telah merendahkan darjat akademik beliau sendiri, apatah lagi sesudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara. Demikianlah, makna dan maksud kutipan di atas harus dibaca dalam konteks ini, kerana gagasan Persuratan Baru secara persis telah memberi jawapan kepada masalah yang beliau timbulkan, andainya beliau faham maksud atau implikasi ucapan beliau sendiri.
Peranan Gagasan Persuratan Baru Dalam Abad 21
Dalam masa seratus tahun ini, gagasan Persuratan Baru akan menjadi landasan utama perkembangan persuratan Melayu, dengan memberi dinamika baru kepada bidang kreatif dan bidang analisis dan penilaian karya kreatif. Sesebuah karya kreatif tidak lagi dibaca untuk mendapat cerita semata-mata, tetapi dibaca untuk menilai isian ilmu melalui wacana kreatif yang dipakai oleh seorang pengarang, terutama sekali melalui caranya menjalin wacana dengan cerita dengan menggunakan kaedah stylization of ideas dalam membina karyanya. Dalam jalinan itu, penggunaan ruang naratif menjadi ukuran penting bagaimana canggihnya cara berfikir dan cara membina struktur karya seseorang pengarang. Konsep plot tidak lagi menjadi ukuran penting, kerana plot dalam pengertian yang biasa diberikan oleh pengkritik dan penilai karya kreatif sebagai cara pengarang membina struktur karyanya (inilah pengertian yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara) tidak dapat membantu penganalisis melihat kecanggihan pemikiran seseorang pengarang, seperti yang dapat dilihat dengan jelas dari caranya menggunakan ruang naratif untuk membina wacana ilmiah dalam karyanya. Dengan memberi penekanan kepada aspek wacana dan pemikiran, seperti yang ditekankan dalam gagasan Persuratan Baru, penciptaan karya kreatif akan lebih terkawal, ekonomis, dan tepat memberikan makna yang ingin dicapai dalam karya berkenaan, di samping dapat menyerlahkan keindahannya melalui stylization of ideas dengan melandaskan keindahan itu kepada konsep ihsan dalam penulisan (lihat penjelasan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Semua ini, jika difahami secara keseluruhan sebagai satu sistem, akan memberikan kepada kita cara yang berkesan untuk menulis karya kreatif dan kaedah yang tepat untuk menilai apa juga jenis karya kreatif. Inilah maksud “Persuratan Baru merombak kaedah lama dalam analisis dan penilaian karya kreatif” dan juga dalam penulisan karya kreatif.
Kesimpulan
Sesiapa juga yang menentang gagasan Persuatan Baru akan hanya melestarikan kelesuan berfikir dalam sastera Melayu. Medan untuk berfikir dengan canggih dan betul-betul akademik dalam sastera Melayu moden terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Ini bukan lagi pilihan anda, tetapi menjadi kewajipan anda untuk melaksanakannya. Hanya dalam konteks itu saja anda diberi kebebasan penuh untuk melakukan kebaikan dan menghindarkan diri anda daripada pengaruh Iblis dan syaitan, seperti yang dijelaskan dalam al-Quran. (Untuk itu sila rujuk Fathi Osman, Concepts of the Quran: A Topical Reading (ABIM, 1997; terutama halaman 162-183). Semoga para penulis Islam memilih petunjuk al-Quran untuk mencapai kebebasan mutlak itu, bukan terpengaruh dengan hujah-hujah Iblis dan syaitan yang matlamatnya hanya untuk menghancurkan manusia. Persuratan dan seni mengrang dalam Islam tidak dicipta untuk menyesatkan manusia dengan menerima sebagai landasan berfikir dan mencipta kebebasan yang ditawarkan oleh Iblis dan syaitan untuk menghancurkan manusia sendiri. Jika ahli sihir Firaun dapat melihat hakikat ini, mengapa pula para sasterawan dan sarjana Islam tidak dapat melihatnya?
Mohd. Affandi Hassan, 2/9/2011.
No comments:
Post a Comment