Saturday, February 18, 2017

Al-Farabi, Kanun, Umm Kulthum, dan Musik Malaysia

Catatan:  Entah macam mana, ketika saya merindui Umm Kulthum dan lagu/musik Rubayat al-Khayam oleh Al-Suntabi pemusik yang hebat itu, saya bertemu tulisan ini ketika merayau-rayau melihat fail lama. Saya siarkan tulisan lama oleh Arslan Zamin Ambar ini untuk anda fikirkan, kerana isunya sama saja dengan beberapa entri terbaru saya. Yakni, memberi makna intelektual setiap usaha kita membina persuratan atau apa juga kesenian. Rubayat al-Khayam kira-kira 30 minit, sanggup saya tunggu selama itu hanya untuk mendengar satu ayat terakhir yang diucapkan oleh Umm Kulthum hanya sekali saja, di akhir lagu yang hebat itu.  Cubalah dengar, sekiranya anda mahu tahu mengapa saya begitu terpesona dengan satu ayat yang disebut seperti satu cantasan pedang samurai yang tajam, yang membuat anda tegamam kagum. Seni yang tinggi, itulah dia. Kata-kata dan pedang itu, dan ucapan seorang SENIMAN sebenarnya.  Kehebatan hanya kepunyaan para genius!

Al-Farabi, Kanun, Umm Kulthum, dan Musik Malaysia

Oleh Arslan Zamin Ambar

Ketika saya menulis rencana ini, pada 4 Mei 2002, tarikh lahir Umm Kulthum, Saluran 5 ART (ASTRO) telah menyiarkan 27 siri daripada 37 siri riwayat hidup Umm Kulthum (1904-1975), yang digelar oleh orang Arab “Kaukab al-Sharq” (Bintang Kejora atau Bintang Timur). Siri ini memakan masa dua tahun untuk difilemkan, dengan belanja yang besar. Kita tidak tahu berapa ramaikah penonton Malaysia memilih saluran 5 jam 5.00 petang tiap-tiap Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat untuk menonton siri yang hebat ini, tetapi kita pasti bahawa Umm Kulthum masih ada peminatnya di Malaysia, kerana sejak awal 1930-an beliau menjadi pujaan para qari dan qariah Malaysia. Puan Hajjah Che Yam, ibu kepada Hajjah Faridah, terkenal di Kelantan kerana suaranya yang hampir sama dengan suara Umm Kulthum ketika mendendangkan lagu “Ala Baladi Mahbub” yang terkenal itu. Di Kelantan juga terdapat seorang seniman buta yang digelar Abdul Rahman Ala Baladi. Rasanya cukuplah dua contoh untuk meletakkan kedudukan Umm Kulthum di Malaysia.

Tetapi tujuan saya menulis ini untuk membicarakan perkara lain, walaupun ada kaitannya dengan Umm Kulthum. Saya ingin memberitahu ahli musik dan peminat musik di Malaysia bahawa orang Arab mempunyai tradisi musik yang sangat lama, terukir dalam syair-syair mereka sejak zaman Jahiliah lagi. Tetapi selepas Islamlah musik menjadi ilmu khusus, diceburi sebagai pakar oleh ahli falsafah, ahli nahu, ahli matematik, dan ahli bahasa. Yang menjadi asas kepada musik Islam dan Arab ialah ilmu tajwid, ilmu membaca Quran dengan betul. Pendeknya, Umm Kulthum dan Muhammad Abdul Wahab, dengan bangga memberitahu kita bahawa mereka berdua adalah penyanyi paling baik dan berwibawa kerana kedua-duanya terlatih dalam ilmu tajwid. Dalam satu perbincangan di ART tidak berapa lama dahulu, seorang ahli panel, seorang profesor musik perempuan, ditanya mana satukah antara Umm Kulthum dan Asmahan yang lebih baik. Beliau menegaskan Umm Kulthum kerana beliau menguasai ilmu tajwid. Di Malaysia, di kalangan ahli musik ghazal di Johor, pelajaran tajwid ini terlebih dahulu diajarkan sebelum seseorang menjadi penyanyi ghazal. Ini pernah ditegaskan oleh Fauziah Idris dalam satu temuramah di TV3 tak lama dulu. Nah, kita telah melihat bagaimana eratnya agama (Islam) dengan musik dalam tamadun Islam, hatta yang dipraktikkan di Malaysia sekalipun. Adakah ini satu tradisi yang perlu kita pertahankan atau hanyutkan sahaja di laut musik moden untuk ditenggelam oleh musik Barat yang hedonistik sepenuhnya? Hanya ahli musik Malaysia saja yang layak memberi jawapannya.

            Saya menyebut al-Farabi, ahli falsafah Islam yang terkenal dengan gelaran “Al-Mu’allim Thani” (Guru Yang Kedua, selepas Aristotle yang digelar Guru Pertama), kerana beliaulah yang mencipta alat musik kanun, sejenis alat musik bertali yang mempunyai 81 tali, dimainkan dengan meribanya atau diletakkan di atas meja kecil, dipetik dengan jari. Bezanya dengan santur ialah kerana santur menjadi kebanggaan Iran, dimainkan dengan mengetuk tali khusus. Pada prinsipnya kedua-dua alat musik ini anak-beranak. Kanun mengiringi setiap nyanyian Umm Kulthum, yang secra tidak langsung memberi makna bahawa di belakangnya berdiri ahli falsafah Islam yang besar dan berpengaruh di Eropah pada Zaman Pertentangahan. Dan ini memang benar, kerana antara lagu-lagu Umm Kulthum yang terkenal ialah syair-syair penyair besar Islam, termasuk syair Muhammad Iqbal (lagunya "Hadith al-Ruh” yang indah senikatanya dan indah pula lagunya), rubaiyyat Umar Khayam (diterjemahkan oleh Ahmad Rami ke dalam bahasa Arab dengan judul “Rubaiyyat al-Khayam”, yang menurut saya adalah lagu terindah Umm Kulthum, ciptaan Riad Al-Sunbati. Cara Umm Kulthum mengakhiri lagu ini amat indah dan berkesan, satu pengalaman seni dan intelektual yang menakjubkan). Adalah menjadi kemegahan Umm Kulthum untuk didampingi oleh penyair-penyair Mesir terkenal seperti Shawqi, Ahmad Rami dan lain-lain, di samping pencipta lagu terkenal seperti Zakariya Ahmad, Muhammad al-Qasabji, Riad al-Sunbati, Muhammad Abdul Wahab dan lain-lain. Umm Kulthum yang berasal dari desa, tidak berpelajaran tinggi, akhirnya menjadi seorang seniman Mesir yang fasih dengan syair-syair Arab, seorang wanita yang sofistikated, witty, dan keras hati. Pendeknya, seorang penyanyi yang terpelajar  di samping bakat semulajadinya yang mencapai taraf genius. Muhammad Abdul Wahab, yang digelar oleh orang Arab “Piramid Keempat”, mencipta sepuluh buah lagu khusus untuk Umm Kulthum. Keberuntungan begini belum lagi singgah di kalangan penyanyi kita, kecuali secara kecil-kecilan dan sederhana oleh P. Ramlee. Jikalau kita melihat keistimewaan P. Ramlee, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa beliau didampingi oleh penulis lirik yang berbakat seperti Jamil Sulung dan Rohaizat, di kekelilingi oleh pemusik terkenal seperti Ahmad Wan Yet, Yusuf B, Zubir Said dan lain-lain. Tokoh-tokoh yang saya sebut ini bertapak dalam tradisi Melayu, walaupun mereka memainkan dan mencipta musik moden. Yang terjadi di Malaysia, apabila saja ada seseorang yang berbakat muncul, maka banyaklah skandal dan fitnah ditabur di sekeliling pinggangnya, untuk meruntuhkannya supaya beliau tidak dapat naik setinggi-tingginya. Dalam aspek ini, contoh yang diberikan oleh Umm Kulthum barangkali patut kita bangunkan dalam pembinaan budaya kita. Sukarkah melakukannya? Atau sudah menjadi tabiat orang Melayu selalu iri hati, hasad, dan cemburu apabila melihat seseorang yang agak istimewa muncul dalam bidang masing-masing? P. Ramlee, ketika hidupnya, hanya menjadi pujaan di kalangan peminatnya, tetapi tidak dihargai  seperti ketika dia sudah meninggal dunia berpuluh tahun. Dalam budaya begini, tidak mungkin kita melahirkan Umm Kulthum atau Muhammad Abdul Wahab. Malah untuk mendapat ganti P. Ramlee pun amat sukar. Pada fikiran saya, kebanyakan orang Melayu adalah munafik besar, terikut-ikut memuji seseorang apabila orang itu diberi pengiktirafan, padahal sebelumnya tidak dipandang pun. Budaya munafik adalah budaya masyarakat yang berjiwa kecil, yang rendah harga dirinya (low self-esteem),  yang angkuh, sombong, dan suka berkhianat. Adakah gambaran ini adil, atau kerana sudah dibudayakan, kita lekas tersinggung apabila  hakikat ini diketarakan?
           
Saya tidak bermaksud hendak mengutuk bangsa  Melayu dengan menyebut kelemahan-kelemahan ini. Saya hanya ingin menarik perhatian bahawa dalam apa juga kegiatan seni yang ingin diceburi oleh orang Melayu, paksi keagamaan itu tidak boleh ditinggalkan. Setelah itu selesai, maka aspek intelektualnya juga perlu diberi perhatian. Kita akan malu besar apabila anak-anak kita menyanyikan lagu-lagu yang senikatanya begitu rendah kualiti ilmu dan tatabahasanya, begitu pincang sebutannya, dan begitu lekeh pula peribadi yang membawanya. Tidakkah boleh kita tingkatkan sedikit kualiti seni musik kita? Saya harap ASTRO, dengan gesaan rakyat Malaysia, dan terutama sekali dengan gesaan Utusan Melayu, akan menyiarkan semula siri riwayat hidup Umm Kulthum dengan sari kata dalam bahasa Melayu. Jika dapat dialihbahasa tentu lebih baik, tetapi ini hendaklah dibuat dengan sungguh-sungguh, untuk melahirkan hasil yang berkualiti. Janganlah kualiti yang ditunjukkan oleh Umm Kulthum dan mutu penerbitan sirinya itu kita persetankan, jika andainya kita mahu bikin sari kata atau alihbahasa terhadap siri ini. Saya fikir sesuatu harus dilakukan, untuk dipelajari oleh para seniman kita. Saya serahkan tugas ini kepada Utusan Melayu dan ASTRO.

Petaling Jaya,
4 Mei 2002.
           


            


No comments:

Post a Comment