Saya
yakin semua orang Melayu pernah tengok bagaimana muka kucing dibawakan lidi.
Begitulah juga muka para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera bila bersua
dengan PB. Sikap mereka benar-benar seperti kucing dibawakan lidi. Walaupun
sarjana sastera, sasterawan, dan pengkritik sastera sangat benci mendengar nama
PB disebut, namun tidak seorang pun di antara mereka yang mampu, dan layak menghadapi PB secara tuntas sebagai
sarjana sastera, sebagai sasterawan dan sebagai pengkritik sastera. Ini memberi
kesan dan imej yang amat buruk kepada mereka, kerana semua usaha mereka untuk
menghalang PB digunakan untuk menilai kedudukan mereka, semuanya sia-sia dan lebih
memburukkan lagi kedudukan mereka.
Persoalan pertama yang dibangkitkan ialah, mengapa PB mesti diburukkan,
jika perbuatan itu merendahkan maruah mereka sendiri? Sepatutnya mereka bangkit beramai-ramai
menentang PB secara ilmiah dengan mengemukakan hujah dan bukti yang memihak
kepada mereka; tetapi ini tidak dapat mereka lakukan kerana tidak ada hujah dan
bukti yang boleh mereka kemukakan untuk memburukkan PB, malah yang berlaku
adalah sebaliknya. Rumusan ini saya kemukakan berasaskan penelitian saya
terhadap beberapa penyelidikan akademik di peringkat sarjana dan kedoktoran,
seperti yang telah saya bentang dalam tiga tulisan saya tentang perkara ini.
Mengapa hal ini penting, sehingga membuat saya keep on repeating perkara yang sama sudah sekian lama? Tujuan dan matlamat saya cukup jelas dan
mudah difahami. Saya ingin menegaskan bahawa golongan yang cetek meraba-raba
ini adalah golongan pengkhianat budaya yang cuba menghalang perkembangan
pemikiran dalam kebudayaan Melayu.
Sekiranya mereka beminat kepada perkembangan sihat dalam perkembangan
pemikiran dan dalam perkembangan intelektual di Malaysia, mereka akan bangkit
dengan gagah menentang PB habis-habisan sekiranya mereka mempunyai hujah dan
bukti. Jika mereka gagal berbuat demikian, maka mereka telah membuka seluar
maruah intelektual mereka dan mendedahkan syahwat hasad mereka seperti yang
digambarkan oleh Isa Kamari ketika menggambarkan syahwat lembu jantan yang
terayun-ayun, seperti yang dinukilkan oleh Siti Aisyah Mohamed Salim dalam
tesis sarjananya (lihat halaman 181: “Kemaluannya
yang besar dan panjang terhayun-hayun ketika ia melangkah di sisi pagar”.) Siti Aisyah memberi komennya seperti ini: “Babak
ini seterusnya dicemari dengan ayat ‘kemaluannya’ (merujuk pada lembu) yang
besar dan panjang terhayun-hayun ketika ia melangkah di sisi pagar.’ Dalam hal ini, kehadiran ayat yang merincikan
kemaluan seekor haiwan ternyata sengaja dihadirkan bagi membangkitkan unsur
sensasi. ... ayat yang sensitif ini langsung tidak menyokong jalan cerita, jauh
sekali membawakan wacana. Maka ia sekadar didatangkan untuk memberikan unsur
hiburan dan sensasi bagi mengejapkan minat pembaca pada novel.” Sekiranya episod itu tidak diperlukan dalam
sebuah novel yang berat, seperti Duka
Tuan Bertakhta, maka demikianlah juga syahwat
hasad yang ditunjukkan oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera
Malaysia tidak diperlukan, kecuali mereka adalah sama setaraf dengan lembu
jantan yang digambarkan Isa Kamari dalam novelnya itu. Adakah peragaan syahwat hasad mereka bertujuan
untuk menunjukkan hegemoni Mohamed Saleeh Rahamad ketika memuji keunggulan para
sasterawan negara seperti Anwar Ridhwan, yang memberikan kita satu episod yang
menggerunkan apabila seorang gadis memotong kemaluan lelaki yang meminatinya
dan melemparkan kamaluan itu untuk disambar burung hering? Bagi Anwar Ridhwan
itu bukan sensasi, tetapi satu cara menggambarkan kehebatan seorang gadis yang
berani! Sebagai sasterawan besar negara
masing-masing, Anwar Ridhwan dan Isa
Kamari memperlihatkan kekuatan imaginasi masing-masing dengan episod yang di
dalam cerita penglipur lara lama pun tidak berani dituturkan oleh penglipur
lara yang mungkin lebih sopan. Yang
menarik ialah kedua-dua tokoh besar sastera Melayu ini telah dinilai
berdasarkan PB, dan hasilnya terangkum dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila
(untuk Anwar Ridhwan) dan tesis Siti Aisyah (untuk Isa Kamari). Rujuk entri
bertarikh 5/2/2017. Perbezaannya ialah
Isa Kamari menerima penilaian berasaskan PB; tetapi tidak Anwar Ridhwan, yang
mempunyai tempat pergantungan yang kuat dalam sejumlah makalah yang memujinya
yang dibentangkan dalam “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan”. Semua makalah itu menggunakan teori sastera
Barat. Mengapa tidak digunakan pendekatan PB? Sasterawan negara dan pemakalah
yang memujinya akan menjadi kucing dibawakan lidi jika pendekatan PB digunakan.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 7/2/2017.
No comments:
Post a Comment