Dalam
tesis sarjananya, Siti Aisyah binti Mohamed Salim memberi ruang agak besar
kepada aspek sansasi dalam penulisan novel.
Dalam kajiannya, Siti Aisyah memberi penegasan yang agak serius tentang
penggunaan aspek sensasi ini, yang menurutnya telah mencacatkan novel Isa
Kamari yang ditulis untuk membuat tafsiran baru
(altenatif) terhadap sejarah Singapura, yang bertentangan dengan sejarah rasmi
Singapura. Bolehkah kita pisahkan
sensasi dari pada cerita? Salah satu sifat cerita ialah sensasi, oleh itu sensasi
dan cerita berjalan seiring, tidak mungkin dipisahkan. Hakikat ini dibuktikan
dengan jelas dalam analisis Siti Aisyah, malah beliau juga membuktikan sensasi
seringkali bertukar menjadi lucah (vulgar)
dengan memberikan beberapa contoh, yang menurut beliau tidak diperlukan, malah
mengganggu pembacaan. Dalam sastera moden Malaysia, sifat vulgar ini sifat utama karya sasterawan negara Shahnon Ahmad, yang
sudah diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai “gaya Shahnon” yang
hidup dan realistik. Inilah salah satu ciri yang membuat karya Shahnon Ahmad
menyerlahkan realiti kehidupan kampung dengan manusianya yang suka mencarut,
menyumpah, menyeranah, memaki hamun, dan bercakap kasar serta biadab. Dalam
konteks mereka, semua itu terdapat “seni kehidupan” mereka yang menentukan
mereka mempunyai budaya tersendiri. “Orang Kedah memang begitu!”, tegas mereka
dengan bangga. Adakah orang Saingapura juga begitu? Kalau kita melihat kutipan
yang diambil oleh Siti Aisyah, nampaknya gaya ini memang milik manusia yang berbangsa
Melayu, sama ada jenis Jawa, Kedah, Bugis, Minang dan seterusnya. Kalau begitu,
apabila gaya vulgar ini dipakai
dengan selesa oleh Isa Kamari, maka dia hanya meneruskan saja tradisi hidup
kampungan yang agak biadab dan kasar. Cuma dalam konteks Isa Kamari, yang
berazam hendak menulis sejarah alternatif bangsa Melayu Singapura, gaya yang
dipilihnya hanya membuktikan sikap memandang rendah orang Inggeris, Cina dan
India terhadap orang Melayu Singapura adalah cocok dengan tabiat Melayu
sendiri. Persoalan yang timbul ialah:
Adakah Isa Kamari sedar akan hal ini? Nampaknya beliau tidak sedar, kerana
mungkin itulah juga gaya hidupnya sendiri. Semua kelemahan ini, menurut Siti
Aisyah, hanya dapat dikesan jika digunakan pendekatan Gagasan Persuratan Baru
yang memakai konsep dan teknik tertentu dalam penulisan karya persuratan, karya
yang nampaknya dicuba menulisnya oleh Isa Kamari. Dari segi ini, permintaan Isa
Kamari supaya ada yang menganalisis karyanya daripada perpektif PB, menunjukkan
dia ingin menguji sejauh mana dia berjaya melakukan perubahan dalam penulisan
novelnya. Malangnya, Siti Aisyah telah menafikan hasrat Isa Kamari itu dalam
tesisnya. (Rujuk penjelasan Siti Aisyah di halaman 189, dan seluruh Bab 5,
khususnya bahagian 5.5. mulai halaman 179-191).
Sekarang
timbul persoalan lain yang lebih serius. Sekiranya analisis Siti Aisyah yang
berasaskan PB itu betul, maka dia seolah-olah telah menolak sebuah novel
penting dengan menggunakan PB, yang tidak sesuai dengan novel itu. Inilah
persoalan yang paling serius dalam kritikan sastera Melayu. Selama ini kita
lihat tiada seorang pun di antara para sasterawan mempersoalkan kesesuaian
teori dan pendekatan Barat dalam menilai novel Melayu. Yang membuat kacau ialah
PB, yang pandai-pandai meletakkan ukuran
yang berbeza dan berlainan sama sekali dengan yang pernah dinikmati
dengan aman oleh para sasterawan, yakni pendekatan dan teori sastera Barat.
Mari kita bertanya satu soalan yang nakal, tetapi penting ditanyakan kerana
kesannya amat besar dalam cara berfikir kita.
Antara dua kedudukan ini, teori kritikan Barat dan PB, mana satu yang
benar-benar mencerminkan keupayaan intelektual dan keupayaan kreatif seorang
sasterawan? Siti Aisyah dengan tegas mengatakan PB itulah yang seharusnya
digunakan untuk menilai karya kreatif seperti novel dan sebagainya, kerana PB
dapat menghuraikan dengan jelas satu persatu keunggulan sesebuah karya hanya kerana
satu faktor saja, iaitu kerana penilaian PB diasaskan kepada konsep ilmu yang
benar. Saya fikir Isa Kamari juga sedar
akan hal ini, maka itulah dengan ikhlas beliau “mendambakan” karya beliau
dinilai daripada perspektif PB. Itulah kelebihan beliau yang tidak ada pada
para sasterawan Malaysia. Tentu saja
para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera Malaysia akan tertawa girang sambil
bersorak dengan gembira, “Kesimpulan ini gila dan tak masuk akal. Apa halnya
para sasterawan, sarjana dan pengkritik Barat yang terus menggunakan teori
mereka sendiri, adakah mereka juga melakukan kesilapan?” Saya tidak perlu menjawab soalan ini. Cukup
dengan berkata bahawa hanya PB sahaja yang dapat menghadapi teori sastera Barat
sambil memberitahu mereka, anda tidak mempunyai matlamat kecuali untuk mencipta
dan berdebat tidak ada hujungnya; sedangkan kami yang mewakili PB tahu matlamat
kami dan kami juga komited kepada matlamat itu kerana kami menerima satu
hakikat yang kamu tidak terima, yakni kami dijadikan untuk melaksanakan taklif
dalam kehidupan ini. Seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah, taklif itu
mempunyai tiga rahsia: ilmu perngetahuan; keadilan; dan usaha ikhtiar yang
terbaik. Apa salahnya dengan konsep itu? Maksud saya, apa kurangnya konsep
taklif itu dalam epistemologi mana-mana mazhab ilmu sekali pun? Masalah sarjana Melayu, para sasterawan dan
penghkritik sastera, ialah mereka tidak mendalami aspek ini, malah mereka
bersikap angkuh tidak bertempat dengan menolak bulat-bulat konsep ilmu yang
benar sebagai tidak relevan dalam penulisan kreatif. Walaupun mereka tidak mempunyai hujah dan
tidak pula cuba mengemukakan hujah dalam membuat keputusan cetek meraba-raba
yang mereka sanjung itu, mereka tidak
pula bersedia untuk melihat persoalan ini secara serius seperti misalnya dengan
mendekati PB, dan jika mereka benar-benar golonghan intelektual seperti yang
mereka dakwa, mereka sepatutnya sudah lama menangkis PB secara ilmiah. Mereka
anggap usaha itu sia-sia, malah merugikan mereka kerana kini mereka harus
mempertahankan kedudukan mereka sendiri dan kedudukan teori Barat dalam sastera
Melayu. Semua ini membuktikan mereka sebenarnya menjadikan sensasi murahan (vulgarity), sebagai ciri utama penulisan kreatif, seperti yang
dibuktikan oleh Shahnon Ahmad dalam karyanya (semua karyanya, termasuk yang
dipanggilnya sastera Islam), dan oleh Isa Kumari yang juga terjebak dalam dunia
sensasi sehingga menggagalkan usahanya untuk menulis sebuah sejarah alternatif
dalam bentuk cereka, kerana tenggelam dalam dunia sensasi itu. Jika kita melihat persoalan ini dalam konteks
PB, kita akan dapat gambaran yang jelas tentang kelebihan PB yang boleh
mengenal pasti aspek sensasi dan picisan dalam penulisan sastera Melayu.
Dalam
konteks sastera Melayu, yang diperkukuh oleh Panel Anugerah Sastera Negara,
penggunaan unsur sensasi tidak saja wajar, malah diperlukan untuk melahirkan
kesan dramatik dalam penulisan novel atau penulisan cereka secara umum. Oleh itu, kegagalan Isa Kamari menampilkan
sejarah alternatif melalui karya kreatif tidaklah merupakan kegagalan besar,
malah hal ini boleh saja diberi penghargaan sewajarnya bahawa selagi dan selama
para sasterawan masih menulis dalam bayangan teori sastera Barat, dia tidak
akan dapat melonjakkan dirinya untuk keluar dari dunia sensasi itu. Bagi
sasterawan Malaysia, hal ini adalah satu kelebihan. Bagi Isa Kamari, yang
nampaknya sedar akan kekurangan dan kelemahan teknik ajaran teori Barat ini,
masih tidak berupaya mengatasinya kerana kefahamannya tentang masalah ilmu
dalam penulisan masih berada di peringkat primer.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 6 Februari 2017.
No comments:
Post a Comment