Sekiranya
benar andaian para sarjana, yang disokong oleh para sasterawan sendiri, sastera
Melayu moden tidak wujud tanpa teori sastera Barat, maka timbul kemusykilan: di manakah hebatnya
sastera tiruan Barat itu? Yang lucu, dan kemudiannya menjadi lucah, persoalan
ini tidak pernah ditimbulkan, kerana meniru dan mengambil dari Barat adalah
satu kemajuan yang diakui dengan yakin oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang
memilih para sasterawan negara. Dalam laporan mereka, perihal meniru dan
menjadikan Barat sebagai acuan dan ikutan adalah satu keistimewaan yang tidak
perlu dipersoalkan. Apabila Panel
menggunakan beberapa “istilah” dalam laporan mereka, seperti kelainan,
eksperimen, pembaharuan, teknik dan stail baru, dan lain-lain (anda boleh baca
semua ini dalam laporan Panel), maka tersirat di situ ialah penerimaan yang
penuh dengan kebanggaan bahawa sastera Malayu juga tahu meniru dan pandai juga
menggunakan teknik Barat dalam karya mereka, yang bagi Panel adalah satu “achievement” yang hebat. Jika itulah
keadaannya, dan hakikatnya dalam sastera Melayu, maka bagaimana pula kita boleh
berbicara untuk mengembalikan maruah intelektual mereka? Mereka, para
sasterawan ini, mendapat maruah intelektual mereka dari peniruan yang mereka
banggakan sebagai “achievements” yang
tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa Barat. Kalau begitu, apakah yang hilang
itu, padahal mereka mendapat maruah mereka dari peniruan Barat. Tidak ada apa-apa yang hilang, malah
bertambah tinggi maruah mereka adalah, yang mereka tidak dapat jika mereka
tidak meniru daripada Barat.
Tetapi
jika kita melihat persoalan ini dalam konteks projek-projek yang dicadangkan
dalam entri lepas, kita akan dapati para sasterawan dan sarjana sastera perlu
membuktikan maruah intelektual mereka tidak hilang, dengan mengerjakan
projek-projek penting yang dicadangkan itu. Apa pun juga klaim yang mereka buat
memerlukan pembuktian yang dihujahkan dengan objektif. Itulah maksud projek
yang dicadangkan dalam entri lepas, untuk meyakinkan kita bahawa para
sasterawan dan sarjana ini bertambah tinggi maruah mereka setelah mereka meniru
dan menggunakan teori sastera Barat. Mereka telah memberikan kita sastera baru
yang canggih (?) melalui peniruan dari Barat itu. Tentulah tidak mudah untuk
membuat pengakuan tanpa sebarang pembuktian; dalam konteks inilah kita harus
meneliti semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara, untuk menghilangkan
segala keraguan kita bahawa laporan itu adalah objektif. Tidak ada sebab untuk kita menerima
bulat-bulat laporan itu, apabila pembacaan kita yang kritis dan agak teliti
memberikan cerita lain, kesimpulan yang lain sama sekali. Inilah yang ingin kita bahaskan, demi menjaga
maruah para sasterawan negara sendiri. Jangan hendaknya timbul keraguan bahawa
satu penipuan intelektual telah berlaku dalam pemilihan itu, yang disonglap
dengan agak lihai dalam laporan Panel. Sekarang anda faham mengapa projek yang
dicadangkan dalam entri lepas perlu diusahakan oleh DBP dan ITBM, atau lebih
baik lagi dijadikan salah satu projek penyelidikan sesebuah universiti yang
memilih tajuk-tajuk yang mereka minati.
Sehingga dibuktikan sebaliknya secara akademik, maka kesimpulan yang
popular pada waktu ini bahawa projek sasterawan negara itu tidak boleh
dipertahankan secara akademik jika karya para sasterawan negara dinilai dari
perspektif ilmu yang benar. Ini suatu kesimpulan yang amat memalukan, yang
menegaskan bahawa satu kesilapan besar telah diwujudkan untuk hanya memuaskan
hawa nafsu beberapa orang sasterawan. Keadannya menjadi lain sama sekali jika
kedudukan mereka sama dengan para Brahmin, yang tidak boleh dipersoalkan. Jika
anda faham mengapa mereka terima ini, maka anda akan faham mengapa mereka mempermainkan
kisah Nabi Nuh ‘a.s. dalam al-Quran (lihat tafsiran Dr. Mawar Shafie dalam
“kitabnya” yang membicarakan keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan, terutama Naratif
Ogonshoto). Dalam sastera Melayu
moden, novel ini sudah menjadi pelesit atau hantu pelesit yang menghisap darah
beku di otak mereka (para sarjana dan sasterawan) untuk memberi pujian yang
aneh-aneh yang bukannya timbul dari akal yang sihat. Selain contoh yang diberikan dalam “kitab” Dr.
Mawar Shafie, terdapat contoh lain yang dilaporkan oleh Nur Fatiha Fadila Abu
Bakar dalam tesis sarjana beliau. Anda
perlu melihat kesimpulan beliau dalam konteks yang dibincangkan di sini untuk
melihat bagaimana masalah pelesit dalam karya sastera ini dijelmakan. Inilah
kesimpulan Nur Fatiha Fadila: “Tidak
kurang penting ialah konsep kebebasan berkarya yang terjelma dalam tindakan mengaitkan cerita
fiksyen dalam novel dengan kisah dalam al-Quran, tanpa pemahaman yang jelas dan
mendalam terhadap isi kandungan serta penghormatan yang tinggi terhadap
kedudukan dan kesucian al-Quran sebagai
sumber ilmu yang paling tinggi dalam Islam (dalam Naratif Ogonshoto.) Adalah jelas bahawa cerita dalam novel-novel
yang dikaji didapati cenderung
memperagakan pandangan hidup, konsep, falsafah, tradisi dan kebudayaan yang
bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Hal ini melemahkan lagi novel-novel yang
dikaji, hatta dalam kedudukannya sebagai sebuah cerita.” (hal. 196). Kita lihat contoh yang lain pula, yang
diberikan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan.
Dalam sebuah makalah yang dibentangkannya
dalam seminar enam orang sasterawan negara, yang kemudiannya dibentangkan
sekali lagi dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa, profesor ini membela Si Tanggang dalam sajak
“Pulang Si Tenggang” sebagai seorang tokoh usahawan yang perlu diteladani oleh
para pelajar kerana kegigihannya ingin menjadi orang kaya. Kata Profesor Mokhtar, “Lazimnya, para
peneliti, para pengkaji sastera, mahupu para pelajar ditekankan supaya jangan
menderhakai kedua-dua ibu bapa. Jika derhaka, anak-anak akan mendpat balasannya
seperti yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran
yang ditekankan, kisah Si Tanggang juga memperlihatkan nilai positif. Kerana
kemiskinan, Si Taggang bercita-cita untuk menjadi kaya dan terkenal. Di sini
memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan
terkenal. ...” (hal. 234).
Apakah
mesej yang ingin disampaikan oleh Prof. Mokhtar? Dalam konteks moden, tidak
salah menjadi Si Tanggang, malah kegigihan Si Tanggang wajar diikuti oleh para
pelajar. Sekarang anda menghadapi masalah besar yang menjadi punca segala
masalah masyarakat moden. Anda sekarang diajar untuk menjadi materialistik,
menjadi manusia tamak dan rakus mengejar kemewahan. Inilah nilai baru yang
sedang dipupuk oleh para guru, dan dimasukkan ke dalam karya sastera yang
menjadi bacaan para pelajar. Perubahan nilai ini tidak disedari, sesuai dengan
kemewahan yang dapat dilihat dan mungkin juga dapat diperolehi sekiranya
diusahakan bersungguh-sungguh, seperti Si Tanggang yang positif itu. Adakah ini
yang ingin disampaikan oleh kisah dongeng ini? Tidak. Matlamat cerita itu ialah
memberi pendidikan moral, menyedarkan anak-anak bahawa kekayaan tidak bermakna
sama sekali jika akhirnya menjadi anak derhaka.
Mengapa ajaran penting ini mesti ditinggalkan, dengan memberi penekanan
kepada kemewahan hidup kebendaan? Cara
Prof. Mokhtar membaca kisah ini menimbulkan masalah dalam pendidikan, apabila
unsur ambiguiti nilai dijadikan satu aspek penting. Dari segi pendidikan, ini
merupakan pengkhianatan kepada para
pelajar, yang kini terumbang ambing dalam ambiguiti nilai yang lebih cenderung
kepada kejayaan kebendaan. Jika perkara
ini dilihat daripada perspektif Islam, jelaslah apa yang dilakukan itu bersifat
anti-Islam. Tetapi inilah inti sistem pendidikan kita, yang hanya berminat
hendak melahirkan golongan pekerja, golongan kuli, mengikut peringkat kemahiran
masing-masing. Sistem inilah yang
membenarkan karya seperti “Pulang Si Tanggang” menjadi bacaan dalam pengajaran
sastera. Masalahnya ialah apabila kaedah bacaan dan analisis dalam pengajaran
sastera tidak mencerdikkan pelajar, malah mereka dihumban ke dalam gua kaedah
membaca dan menilai yang menyesakkan, yang tidak memberi mereka peluang
berfikir. Bolehkah seorang pelajar yang cerdik menjawab soalan tentang sajak
“Pulang Si Tanggang” dengan misalnya membaca dan menilainya dari perspektif
ilmu yang benar? Dalam sistem yang diperjuangkan oleh Prof. Mokhtar dan
teman-temannya, pelajar tidak dibenarkan berfikir. Mereka hanya dibenarkan
meluahkan bulat-bulat apa yang telah disediakan dalam buku-buku teks. Mereka diwajibkan memuntahkan kembali maklumat
yang diberikan di dalam buku teks, bukan memahaminya daripada pespektif ilmu.Inilah
yang saya penggil “mengajar menjadi bodoh”.
Ini adalah kesan budaya pandirisme
yang mencengkam kegiatan intelektual di Malaysia, yang melahirkan sikap
anti-ilmu itu. Pandirisme inilah yang digunakan dengan leluasa untuk memastikan
para pelajar terus diajar menjadi bodoh.
Mengajar
menjadi bodoh ini digalakkan di sekolah-sekolah dan juga di universiti. Kesimpulan ini menjadi kebanggaan para
sarjana dan guru sastera, oleh itu dipertahankan mereka dengan menolak sebarang
kaedah yang akan membolehkan pelajar berfikir. Mereka tidak mahu pelajar
berfikir kerana ini menyusahkan mereka yang terpaksa memperkemas pengetahuan
mereka sendiri, suatu beban yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada
mereka. Kesimpulan ini mungkin kedengaran agak aneh bagi yang kurang memberi
perhatian kepada masalah intelektual yang kita hadapi sekarang, yang amat aktif
memberi sanjungan kepada yang tidak layak menerimanya, tetapi sangat kuat
berpegang kepada status quo yang
menguntungkan sekumpulan tertentu, yang dikenali sebagai kumpulan Mutual
Admiration Club. Prof. Mokhtar sendiri
juga berada dalam Mutual Admiration Club ini, oleh itu beliau tidak boleh
menerima adanya perkembangan baru dalam sastera Melayu jika perkembangan itu
dikira boleh menjejaskan status quo
yang mereka pertahankan. Ini jelas boleh
kita lihat dalam reaksi mereka terhadap persoalan ilmu dalam sastera Melayu,
yang mereka kaitkan dengan PB yang bagi mereka hanya membawa malapetaka kepada status quo yang mereka pertahankan itu.
Sikap ini, yang saya panggil syahwat
hasad, telah menapikan para pelajar daripada mandapat manfaat daripada PB
yang disekat oleh guru dan pensyarah mereka supaya tidak sampai kepada mereka.
Prof. Mokhtar sangat teruja dengan apa yang dinamakannya “the scientific study
of literature”, dengan mengambil kutipan pajang daripada sebuah buku yang
membicarakan aspek “baru”. Mengapa
beliau begitu teruja? Jawapnya mudah, iaitu untuk menunjukkan kepada masyarakat
bahawa beliau sentiasa up-to-date,
walaupun yang dianggapnya perkara terbaru itu tidak diperlukan dalam kajian
sastera dan tidak diperlukan dalam membuat penilaian. Kecuali jika beliau
melihat aspek itu daripada perspektif peranan ilmu yang benar, yang memang
ditolaknya supaya dengan itu kehadiran PB dalam sastera Melayu boleh
diketepikan terus. Semua taktik ini amat
jelas, dan dapat dibaca dengan mudah oleh para anggota Mutual Admiration Club. Kehadiran
Mutual Admiration Club inilah yang membawa pelesit sastera yang saya sebut di
atas, yang membuat para anggota Mutual Admiration Club ini benar-benar tidak
siuman bila berdepan dengan PB yang mereka anggap mengangcam status quo mereka.
Inilah
konteks yang perlu difahami jika anda mahu faham mengapa saya mengemukakan
beberapa projek yang perlu kita usahakan untuk memberi dinamika baru kepada
sastera Melayu yang sangat lesu dan amat kuat sikap anti-ilmunya yang
diperjuangkan oleh kumpulan syahwat hasad
itu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 11/2/2017.
No comments:
Post a Comment