Tuesday, January 31, 2017

MANA SATU PENDAPAT YANG BETUL?

Sekarang kita mempunyai dua pendapat, dua pendirian, yang terbuka untuk dipilih oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Untuk memastikan anda membuat pilihan yang paling tepat, pilihan yang terbaik, anda tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk menilai pilihan anda itu berasaskan ilmu. Inilah kedudukan sekarang, setelah anda diberi kata dua oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam dikrinya terhadap kedudukan teori Barat dalam sastera Melayu. Seperti yang anda sudah maklum, menurut beliau menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu adalah satu kesalahan; dengan itu, secara lagik, pelantikan para sasterawan negara (termasuk beliau sendiri) adalah salah dan palsu kerana, menurut penegasan beliau, diasaskan kepada teori sastera Barat. Itulah kedudukan pertama yang menjadi “arus perdana” sekarang. Jika anda menerima pelantikan para sasterawan negara ini berasaskan teori sastera Barat, maka anda berada dalam keadaan yang amat memalukan, iaitu anda telah membuat pilihan yang salah. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menghujahkan pendapat Prof. Emeritus Muhammad Salleh itulah yang salah, bukan Panel Anugerah Sastera Negara yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teori sastera Barat.  Apa salahnya dengan teori sastera Barat?  Pertanyaan ini hanya boleh dijawab oleh para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan sendiri. Mereka tidak perlu bercakap atau menulis panjang lebar untuk membela teori sastera Barat dalam sastera Melayu. Tanpa sastera Barat tidak ada sastera Melayu dan tidak ada pengajian Melayu dan tidak ada kritik sastera. Jika anda menerima hujah ini, maka jelaslah yang bersalah ialah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Tetapi pandangan beliau sangat penting, kerana telah ada kesedaran yang perlu dilayani dengan baik, dengan sikap akademik yang mantap. Walaupun pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh sendiri tidak mantap, beliau telah menyatakan sesuatu yang betul, yang perlu diikuti. Kalau anda tidak mahu menerima pendapat seorang profesor sastera yang sangat handalan dan amat terkenal di Malaysia seperti Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh itu, maka pendapat siapa lagi yang anda boleh terima. Tentu saja bukan pendapat saya, yang tidak mempunyai apa-apa gelaran akademik mahu pun gelaran kreatif. Walaupun saya mungkin mempunyai kekuatan ilmiah yang jauh lebih kuat daripada Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, saya tidak mempunyai bukti seperti beliau. Kesimpulannya, pendapat Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah yang terbaik bagi siapa-siapa yang bersikap anti ilmu, yang menolak wujudnya konsep ilmu yang benar.  Bagi pihak yang menerima konsep ilmu yang benar, pendirian saya adalah yang terbaik dan paling siuman untuk diikuti. Inilah pilihan anda: jika anda memilih pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, maka anda berada dalam keadaan yang selamat kerana itulah pandangan yang dinamakan “arus perdana”, yang menjadi pegangan majoriti dan telah berjaya menegakkan hegemoni (menurut falsafah Dr. Mohamed Salleh Rahamad) dan kumpulan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah pegangan yang sah di Malaysia. Adapun pandangan saya, walaupun kukuh dan tegap perkasa dari segi ilmiah, tidak boleh dipakai, menurut kumpulan majoriti, kerana tidak dapat dilaksanakan. Hanya satu impian, kata mereka. Tidak ada apa-apa untuk dijadikan pegangan.  Walaupun diakui oleh manusia siuman bahawa kebenaran tidak memerlukan suara majoriti, namun kedudukannya berlainan di Malaysia, yang sangat teguh memegang suara majoriti. Bagi mereka, yang majoriti itu tidak mungkin berbuat silap, tidak mungkin membuat salah, kerana mereka ramai. Apakah akibat pandangan seperti ini di Malaysia? Akibat yang paling besar dan paling menonjol ialah pandangan ini melahirkan pandirisme, yang kesannya amat buruk ke atas pemikiran manusia dan ke atas perkembangan sastera Melayu moden. Saya telah jelaskan aspek ini dalam tulisan saya.

Sikap yang mereka ambil ini digelar sikap “lembu kanyang” dalam loghat Kelantan (budaya Kelantan). Lembu kenyang rerus megunyah kerana rumput dibawakan kepada mereka. Inilah keadaan badan-badan penulis di Malaysia, yang mendapat “rumput” daripada kerajaan. Sumbangan badan penulis ini memang jelas apabila tertubuhnya dengan subur Mutual Admiration Club. Dengan  “rumput” yang dibawakan kepada mereka oleh Kerajaan, maka badan-badan penulis ini memperkuat kedudukan mereka dalam Mutual Admiration Club. Tidaklah aneh jika akhirnya Prof. Emeritus, yang dalam tahun 1973 mengutuk Mutual Admiration Club, akhirnya tidak saja menerima Mutual Admiration Club itu penting, tetapi terus menjadi ketua kumpulan itu.  Mengapakah MAC ini penting? Sebabnya cukup mudah.  MAC memberi kekuatan kepada kumpulan ini untuk mengunyah “rumput” yang dibawakan kepada mereka tanpa sebarang rasa bersalah atau terhina kerana maruah mereka sebagai penulis diremehkan oleh Kerajaan yang inginkan sokongan. Sama-sama mahu: yang satu mahu sokongan; yang satu lagi mahu wang.  Kumpulan “lembu kenyang” ini tidak berminat kepada ilmu, kepada dialog, kepada perbahasan. Mereka hanya berminat kepada saling memuji satu sama lain.

Baru-baru ini keluar dalam satu program TV seorang tokoh yang pernah menjadi Ketua Satu Gapena (tak pasti beliau masih lagi Ketua Satu atau tidak) bercakap tentang korupsi dalam kerajaan, politik dan ekonomi. Walaupun beliau dianggap sebagai seorang “intelektual” dan seorang yang terkenal dalam bidang sastera sebagai sarjana, namun pendapat beliau amat cetek dan simplistik. Beliau tidak menghuraikan apakah punca korupsi, dan mengapa punca itu disuburkan.  Punca terbesar ialah kehilangan adab, yang melahirkan pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan manusia. Dalam kesusasteraan Melayu, kehilangan adab ini sangat jelas, telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-buku beliau. Inilah punca korupsi, yang juga berlaku dalam bidang intelektual. Korupsi intelektual lebih besar akibatnya daripada yang lain-lain itu. Korupsi intelektual boleh meruntuhkan satu tamadun sesuatu bangsa. Di Malaysia kita tahu akibatnya, dan telah banyak kali saya bicarakan dalam blog ini. Korupsi intelektual inilah yang menjadi faktor keruntuhan sesuatu tamadun, yang juga berlaku dalam tamadun Melayu. Korupsi intelektal yang menjadi projek Asas 50 telah melumpuhkan sastera Melayu moden, yang tidak lagi mencerminkan kegiatan intelektual berasaskan ilmu, sebaliknya menjadi satu gerakan kebiadaban baru yang berjaya mengusutkan umat Melayu dalam kebudayaan mereka yang dulunya berteraskan ilmu, melalui Asas 50 bertukar menjadi perjuangan nasionalis kiri yang mengetepikan agama dan aspek kerohanian dalam kehidupan manusia. Inilah salah satu faktor yang memudahkan munculnya pandirisme dalam kebudayaan Melayu. Kini pandirisme itu dijadikan arus perdana, diberi nama yang memikat sebagai “hegemoni” yang kononnya menjadikan sastera warisan Asas 50 sebagai teras negara bangsa. Nampaknya bangsa Melayu terus menjadi bodoh kerana mereka diajar oleh sastera  Asas 50 dan pengajaran sastera di sekolah-sekolah yang menjadikan pendekatan Barat sepenuhnya sebagai teknik mempelajari karya sastera.  Teori Barat boleh digunakan, tetapi hendaklah dengan pengetahuan yang agak mendalam mengenai sejarah teori itu dan mengapa sentiasa terjadi perubahan. Pengetahuan seumpama ini penting kerana perubahan itu berkaitan dengan cara tiap-tiap teori mendekati dan membuat tafsiran terhadap sesuatu karya. Di Malaysia teknik yang dipakai telah dimatikan dengan segugus konsep yang tidak berubah sejak berpuluh tahun ini, iaitu konsep-konsep tema, latar belakang, dialog, perwatakan, dan yang sejenis dengannya. Itulah konsep yang dipakai untuk membaca dan menilai sesuatu novel atau cerita pendek, kini sudah menjadi klise yang amat tumpul dari segi pembacaan yang kritis. Inilah konsep-konsep klise yang masih dipakai yang akhirnya melumpuhkan pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Dengan menggunakan klise ini, semua karya adalah bermutu belaka, seperti yang dibuktikan dari penjelasan Kementerian Pelajaran ketika membela sebuah novel yang dijadikan teks yang menimbulkan kontroversi. Kata mereka, novel itu penuh dengan pengajaran dan nilai-nilai murni! Kesimpulan begini adalah jenis kesimpulan klise.  Inilah sikap jahil yang menjahanamkan sastera. Lebih teruk lagi, menjahanamkan pelajar.

Walaupun Panel Anugerah Sastera Negara amat terpesona dengan perubahan dan menjeritkan dengan nyaring kepada para sasterawan supaya melakukan perubahan dalam karya mereka, namun mereka sebenarnya menentang dengan gigih sebarang perubahan yang memberi kedudukan tinggi dan sewajarnya kepada ilmu yang benar dalam kegiatan seni mengarang. Mereka tidak terima perubahan ke arah ini, kerana mereka menjadi menggigil ketakutan bahawa para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara akan menjadi tidak relevan lagi. Kalau benarlah andaian mereka, adakah kesilapan yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh masih perlu diteruskan? Alternatif telah ada, yang penting hanya membuat pilihan. Tetapi Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri tak mahukan perubahan yang dicanangnya. Itulah masalah kita.  Pendirian Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dan Panel Anugerah Sastera Negara disokong oleh GAPENA, PENA dan semua badan penulis seluruh negara. Inilah kesan pandirisme dalam sastera Melayu moden.  Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya 31 Januari 2017.



No comments:

Post a Comment