Gagasan
Persuratan Baru muncul sebagai kaedah dan pendekatan terbaik untuk
sekurang-kurangnnya seratus tahun ini dalam membina kembali persuratan Melayu
yang dikhianati oleh Asas 50 yang membawa dan menjadikan pengaruh Barat, atas
nama realisme sosialis yang seluruhnya menurut ajaran Marx (seorang tokoh Barat
yang amat terkenal dan amat berpengaruh dalam perkembangan intelektual Barat)
sebagai landasan kepada perkembangan sastera Melayu moden yang tidak lagi
mempunyai keterampilan ilmu seperti yang telah diasaskan oleh persuratan
Melayu. Pengkhianatan intelektual yang
dibawa oleh Asas 50 dijadikan teras perkembangan penulisan di Malaysia, yang
diberi sokongan dan kelangsungannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diteruskan
oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, yang kemudiannya melahirkan Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang meneruskan perjuangan Asas 50. Ciri hakiki
gerakan ini ialah sikap mereka yang anti-ilmu. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
2014 diwakili sepenuhnya oleh sisa-sisa Asas 50, dengan menyerlahkan keampuhan
gerakan pandirisme intelektual yang dimulai oleh Asas 50. Pandirisme diberi kedudukan istimewa dalam
SKPM 2014, yang boleh dilihat dengan jelas dalam kertas kerja yang dibentangkan
dan resolusi yang diputuskan. Pembaca yang berminat bolehlah merujuk beberapa entri dalam blog
ini yang membahaskan persoalan ini.
Gagasan Persuratan Baru memberi harapan baru kepada
perkembangan intelektual yang sihat di Malaysia, yang sekian lama dikhianati
oleh para pendukung Asas 50 yang meneruskan dengan gigih sekali sikap anti-ilmu
yang menjadi kebanggaan anggota Asas 50 yang terang-terang menolak tulisan
Jawi, tulisan Melayu yang melahirkan beribu karya persuratan yang dihasilkan
oleh para ulama dan cendekiawan Melayu.
Hakikat ini tidak dapat ditolak oleh sesiapa pun yang mengetahui
perkembangan sebenar dalam sastera Melayu moden. Tepat sekali pencirian yang
diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa mereka inilah
golongan yang cetek meraba-raba, yang tidak mengenal tradisi kebudayaan
sendiri. Pengkhianatan terhadap ilmu dan
kebudayaan ini tidak mempunyai hujah dan bukti yang dapat digunakan untuk
mempertahankan mereka sebagai, kononnya, pelopor sastera Melayu moden. Malah
tanpa disedari, Panel Anugerah Sastera Negara membenarkan kesimpulan ini
melalui laporan mereka yang tidak mempunyai kualiti ilmiah, hanya sekadar
memberi ulasan cetek terhadap karya-karya para sasterawan negara tanpa
mengemukakan ukuran dan penghujahan yang masuk akal. Sila rujuk beberapa entri
dalam blog ini untuk memahami kesimpulan ini. Kualiti yang tidak ada di dalam
karya para sasterawan negara ditonjolkan dengan menggunakan segugus deretan
retorik peragaan yang hanya membuktikan betapa keringnya karya-karya para
sasterawan ini dari segi pemikiran; malah apa yang disebut sebagai realisme di
dalam karya mereka bukanlah realisme dalam konteks perkembangan intelektual,
tetapi hanya deretan kejahatan atau kebodohan watak-watak yang mereka
tonjolkan, yang sebenarnya tidak sedikit pun mencerminkan hakikat peradaban dan
kebudayaan Melayu yang melahirkan tokoh-tokoh pemikir yang handal dalam
membicarakan persoalan bangsa mereka. Siapakah mereka? Ini yang mereka abaikan,
yang mereka tidak kenali. Bagaimana kita boleh membuat kesimpulan, seperti yang
dibuat oleh para sarjana ciritan dalam kertas kerja ketika membicarakan
“pemikiran” para sasterawan negara ini, sekirannya karya mereka hanya penulisan
semula penglipur lara dengan menjiplak beberapa konsep sastera Barat untuk
dijadikan sandaran dan hujah, padahal isinya hanya mencerminkan pandirisme. Semua ini tidak disedari sehinggalah muncul
Gagasan Persuratan Baru yang meneliti kembali dengan cermat sumbangan para
sasterawan ini berasaskan ukuran yang boleh dipastikan ketepatannya melalui
konsep-konsep seperti wacana dan cerita, ruang naratif, stylization of ideas, mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita
(kedua-dua mod bacaan ini memberikan kita teknik bacaan yang tepat dalam
menilai karya kreatif). Para sarjana ciritan mengelak daripada menggunakan
konsep-konsep ini kerana mereka tahu para sasterawan negara ini hanya layak
menjadi contoh bagaimana pandirisme diberi kedudukan istimewa kerana itulah
saja yang dapat ditawarkan oleh para sasterawan negara ini dalam karya mereka. Dalam hal ini kita mempunyai contoh yang amat
menarik, yang akan membuat anda berasa hairan bagaimana contoh ini boleh muncul
dalam sastera Melayu moden yang telah melahirkan para sasterawan negara yang
“jempulan”. Inilah contoh yang
dimaksudkan itu. Dewan Bahasa dan
Pustaka, yang melahirkan para sasterawan negara, berusaha gigih memperkenalkan
kehebatan para sasterawan negara ini dengan memberi mereka peluang memberikan
ucapan penting, yang digelar “ucaputama” apabila diadakan sebarang kegiatan
sastera, terutama sekali ketika mengadakan seminar khas trentang “pemikiran”
para sasterawan negara. Sebagai contoh, Prof. Muhammad Haji Salleh telah diminta
memberikan “ucaputama” seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan; dan beliau dengan
hebat sekali memuji anggota Mutual Admiration Clubnya. Jika anda berminat,
bolehlah baca keseluruhan “ucaputama”, atau membaca komen saya dalam beberapa
entri di blog ini. Tetapi yang lebih
menarik ialah “ucaputama” tokoh besar ini untuk satu seminar Nusantara yang
diadakan di Kuala Lumpur:
“Pertamanya
sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk melihat
diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan
wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam
menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera
kita belum dtuliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau,
DBP2005, hal. 14). Bullshit! Inilah salah satu
jenis bullshit yang saya huraikan
dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Sila lihat takrif bullshit yang diberikan oleh Prof. Frankfurt yang saya salin dalam
buku itu.
Saya
sering menggunakan perkataan bodoh, jahil, cetek, dangkal dan sebagainya dalam
blog ini, kerana inilah peringatan yang diajarkan kepada kita oleh nenek moyang
kita dalam peribahasa mereka. Antaranya yang palig terkenal ialah peribahasa,
“sekali lancung ke ujian, seumur tak percaya.” Sekarang orang Melayu tidak
peduli lagi kepada peribahasa, kerana itu mereka boleh terima dengan lapang
dada projek 1MDB, yang akhirnya mendapat dukungan dan sokongan para ulama
termasuk para mufti yang memberi fatwa 1MDB memenuhi kehendak “maqasid syariah”
oleh itu bukan satu projek rasuah. Dengan itu orang kampung yang dihantar mengerjakan
haji dengan menggunakan dana 1MDB adalah betul mengikut kehendak “maqasid
syariah”. Kita tidak dibenarkan
mengungkit perkara ini lagi kerana semua Mufti sudah membuat fatwa bahawa 1MDB
tidak mempunyai unsur rasuah. So what?
Bagaimana jika kita memakai, sekali sekala, beberapa peribahasa nenek moyang
kita, termasuk yang berbunyi, “sekali lancung ke ujian, selamanya tidak
percaya.” Seumur hidup tidak percaya?
Mana boleh, kerana manusia boleh berubah; oleh itu tugas kita memaafkan mereka
walaupun mereka telah menipu kita. Tetapi kita perlu melihat ucapan yang penuh
hikmah ini dengan meletakkannya dalam konteks yang tepat.
Sebelum
ini beliau pernah mengkritik kemunculan Mutual Admiration Club (Seminar Kritik
Sastera, Johor Bahru, 1973). Dengan
munculnyanya sasterawan negara, beliau kini menjadi seorang anggota aktif
Mutual Admiration Club yang dinaikkan taraf menjadi club para sasterawan
negara. Bacalah ucaputama beliau untuk
seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan, anda akan melihat bagaimana versatilenya tokoh besar akademik ini
sebagai pelakon akademik yang hebat, seperti yang ditunjukkan beliau ketika
mengkritik teori sastera Barat dan Mutual Admiration Club. Siapakah yang
melantik beliau sebagai sasterawan negara? Tidak lain dari Panel Anugerah
Sastera Negara, satu Mutual Admiration Club yang telah dirasmikan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka. Panel menggunakan ukuran teori Barat ketika menilai (?)
para sasterawan negara, dengan itu mereka menggunakan teori yang salah untuk
dipadankan dengan karya Melayu yang berbeza, seperti yang ditegaskan oleh
Muhammad Haji Salleh dalam kutipan di atas. Jika benarlah pandangan Muhammad
Haji Salleh tentang teori sastera Barat, sudah jelas bahawa Panel telah
melakukan kesilapan besar menggunakan teori Barat untuk menilai karya Muhammad
Haji Salleh, oleh itu penilaian mereka salah. Dengan itu, dari segi logik budak
sekolah yang baru celik huruf, lantikan itu batal kerana tidak memenuhi syarat
Muhammad Haji Salleh sendiri. Saya harap bacaan saya salah, untuk menyelamatkan
Panel dan sasterawan negara ini sekali gus.
Inilah sandiwara akademik yang amat memualkan, tetapi menjadi hidangan
lazat anggota Mutual Admiration Club. Adakah kita telah tertipu atau ditipu?
Belum ada lagi mana-mana sarjana berani memberi jawapan, kerana mereka sendiri
adalah anggota Mutual Admiration Club itu.
Tetapi dengan kemenangan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat,
Mutual Admiration Club telah dijadikan mercu tanda kejayaan dalam apa juga
kegiatan manusia untuk mendapat apa-apa yang mereka mahu. Oleh itu, kita tidak
seharusnya mengutuk Mutual Admiration Club ini. Biarlah Muhammad Haji Salleh
seorang sahaja yang mengutuknya dalam tahun 1973 di Johor Bahru. Dia sendiri
tahu betapa perlunya Mutual Admiration Club itu untuk dirinya sendiri. Cubalah
jenguk buku mengenai beliau yang seluruhnya ditulis oleh penulis luar, dalam
bahasa Inggeris. Ke mana pun beliau pergi, ketergantungannya kepada Barat dan
teori sastera Barat sangat kuat. Inilah yang membuat kita sangat hairan mengapa
beliau mengutuk teori sastera Barat yang telah memberinya laluan untuk dilantik
sebagai sasterawan negara. Dalam kes ini, apakah yang tidak beres:
pengkritiknya atau teori Barat itu? Kita semua menunggu jawapannya daripada
para pengkritik sastera dan tokoh-tokoh akademik yang berbicara tentang
sastera. Adakah anda semua hanya pemain sandiwara belaka?
Sama
ada disedari atau tidak, kumpulan anti-ilmu ini telah mengkhianati perkembangan
intelektual dalam kesusasteraan Melayu dengan meremehkan konsep ilmu yang
benar, padahal konsep itu bersumber daripada al-Quran. Apakah yang terjadi?
Jawapannya diberikan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud yang memperkenalkan
konsep “ingkar ilmu” yang bersumber daripada keangkuhan Iblis yang ingkar
perintah supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s. dengan mengemukakan
logiknya sendiri dialah yang lebih mulia daripada manusia kerana dia dijadikan
daripada api. Seperti yang diketahui umum, api adalah punca segala kerosakan
dan kemusnahan; manakala manusia yang berasal daripada tanah menjadi sumber
segala kemakmuran dan pertumbuhan tamadun. Kalau begitu, mengapa para sarjana
dan sasterawan tidak boleh menerima hakikat ini dengan tunduk kepada konsep
ilmu yang benar yang dibawa oleh PB sebagai teras penulisan kreatif? Logik
siapakah yang dipakai oleh para pengkritik, sarjana, dan para sasterawan? Kalau seorang sarjana besar seperti Prof.
Emeritus Muhammad Haji Salleh boleh tersasar begitu jauh dalam kutipan tadi,
maka kita boleh bayangkan apa yang ada di dalam genggaman akademik para sarjana
biasa, yang seolah-olah menyokong pendapat bullshit
sang profesor. Menurut tokoh besar ini,
kita belum ada satu teori kritikan sastera yang lengkap. Pendapat ini amat
hebat kerana dalam penelitian saya, tidak pernah ada di seluruh dunia teori apa
pun yang lengkap; lebih-lebih lagi teori sastera di Barat sekalipun, yang ramai
sarjana cerdik dan tangkas berfikir, tidak berupaya menelurkan teori yang
lengkap itu, kecuali ibu ayam yang memang bertelur lengkap. Kalau kita pakai
logik Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh ini, maka jelaslah ibu ayam jauh
lebih cerdik daripada manusia yang tidak pernah menelurkan sesuatu yang
lengkap. Patutlah orang tua-tua kita mencipta peribahasa, “menunggu kucing
bertanduk” yang tak mungkin terjadi kerana kucing bukan lembu atau kerbau. Saya
sengaja membawa penghujahan bodoh ini kerana memang sangat bodoh jika kita
mengharapkan apa-apa juga yang lengkap. Oleh itu, profesor ini sendiri tidak
dapat berbuat apa-apa untuk melengkapkan puitika sastera Melayu yang beliau
cetuskan, yang sudah mati beragan dan tidak berguna sedikitpun kerana tidak dapat
digunakan untuk menganalisis dan menilai karya sastera. Satu-satunya “teori”
sastera yang lengkap, jika kita mahu menggunakan istilah itu, yang kini
terdapat di Malaysia, ialah Gagasan Persuratan Baru. Profesor ini tidak tahu pun PB sudah wujud
sejak 1992 lagi, apabila buku Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid diterbitkan oleh DBP (ulang cetak 2005,
sudah out of stock). Kemudiannya diikuti dengan buku-buku lain yang diterbitkan
oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. PB mencabar semua teori sastera Barat, dan
dapat mematahkan hujah-hujah mereka seperti kita dapat mematahkan lidi buruk. Apa
jenis profesor sastera yang tidak tahu menahu perkembangan yang begitu penting
dalam pemikiran sastera di Malaysia dengan munculnya PB? Jawapannya diberikan
sendiri oleh beliau dalam tulisannya yang dihasilkan di atas bumbung kilang
berkarat, yang dimuat di dalam buku ITBM, Sastera
Teras Negara Bangsa. Itulah teori sastera
yang lengkap yang beliau maksudkan. Dirgahayu pandirisme!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26 Januari 2017.
No comments:
Post a Comment