Apakah
yang menyebabkan para sarjana (ciritan), para sasterawan (picisan) dan para
pengkritik (yang cetek meraba-raba) memperbodoh diri mereka sendiri untuk
memusuhi PB? Saya diberitahu oleh beberapa pelajar sastera, mereka takut
dimarahi oleh para sasterawan negara dan sarjana sastera, dengan risiko akan
dikeluarkan dari Mutual Admiration Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus
Muhammad Haji Salleh dengan bantuan para sarjana seperti Dr. Salleh Rahamad,
Dr. Rahman Napiah, dan lain-lain doktor sastera dan para sasterawan negara
sendiri. Kekal dalam Mutual Admiration
Club adalah satu tuntutan yang mesti diberi perhatian serius, supaya mereka
dapat dan diterima dengan baik untuk menghadiri segala jenis jemputan sastera
dari DBP, ITBM, universiti dan badan-badan penulis. Kata para pelajar itu, “Kami
tak pernah lihat Tuan dalam perhimpunan dan majlis besar-besar. Tuan tak
dijemput?” Sambil ketawa kecil, saya
bergurau, “Bagaimana kalau student jemput saya...” Nampaknya mereka, secara jujur menurut
pemerhatian saya, tidak mahu mengambil risiko akan dipulaukan. Habis di situ
saja.
Saya
terus menulis mengenai perkara ini kerana saya fikir masyarakat sastera rugi
besar tidak mahu mendekati dengan kritis PB, belajar sesuatu daripada gagasan
itu. Gagasan itu dikonsepsikan untuk
mereka menjadi cerdik dan kritis dengan memperkenalkan beberapa konsep penting
yang akan membolehkan mereka melihat sudut lain dalam penilaian karya kreatif
dan dalam penulisan kreatif. Saya yakin mereka rugi besar jika memusuhi ilmu
yang cuba diterapkan dengan sistematis dalam PB, yang nantinya akan membolehkan
mereka membaca dengan kritis dan kreatif semua karya sastera, terutama sekali
karya para sasterawan negara. Mereka akan melihat dengan jelas kemampuan
kreatif dan keupayaan intelektual para sasterawan ini, yang tersirat (?) dalam
karya mereka. Mereka juga akan dapat menilai dengan kritis segala pandangan
para sarjana terhadap para sasterawan negara yang ditulis oleh para sarjana
ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Lebih-lebih lagi, mereka
akan sedar betapa mereka telah diperbodohkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menulis laporan mereka. Anda
boleh baca kritikan saya dalam banyak entri dalam blog ini. Sampai berapa lama lagi kita akan terus
diperbodohkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini? Kalau kita serius dalam
bidang kritikan, kita harus membaca dengan kritis laporan mereka; dari situ
kita akan melihat mereka sebenarnya telah “mempermainkan” para sasterawan
negara ini dengan memberi ukuran yang amat lemah. Sekiranya penilaian mereka
dinilai dengan kritis, anda akan melihat betapa mereka tidak mempunyai hujah.
Mereka hanya melemparkan “kenyataan” (statements)
yang umum. Bacalah dengan kritis dan teliti penilaian mereka terhadap Samad
Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Anwar Ridhwan dan lain-lain. Laporan mereka adalah sejenis penglipur lara
dalam penilaian sastera, tidak boleh dijadikan pegangan dan sandaran kerana
sebaik saja penilaian mereka dicabar, semua penilaian mereka akan bertaburan
seperti manik Dayak Iban yang putus tali. Ini pun telah saya bincang dalam
beberapa entri dalam blog ini. Mengapa kritikan ini penting? Saya ingin anda
sendiri menjawabnya, dengan misalnya menyanggah semua pendapat saya berasaskan
hujah dan bukti daripada karya para sasterawan negara sendiri. Saya kira
permintaan ini sangat wajar, untuk mengelak anda terus berada dalam gua Plato.
Tentu anda tahu maksud saya.
Saya
fikir masyarakat sastera tidak memberi penghormatan yang wajar dan setimpal
dengan kedudukan para sasterawan negara ini, dengan tidak memberikan mereka
gelaran Tan Sri, dengan itu semua majlis yang mereka hadiri akan berseri-seri
dan kedudukan mereka pun akan benar-benar setimpal dengan gelaran mereka
sebagai sasterawan negara. Saya berasa amat aneh bagaimana seorang bekas
wartawan seperti Johan Jaafar diberi gelaran Tan Sri, dan mendapat pujian pula
daripada pensajak dan sasterawan terkenal Leo AWS. Menurut beliau, dalam catatannya
ketika menjadi tamu di rumah Tan Sri Johan Jaafar: “Dari rumah istana TS Johan
di Btk Gasing PJ yang dapat melihat masjid berwarna warni di bawah sana; Teringat
para seniman penulis di pelancaran buku karya TS Jj yang membawa ke majlis yang
julung2 kali dek kemeriahan tertentu.”
Walaupun catatan ini sukar difahami (ini style Leo AWS sedia kala),
namun jelas bahawa pensajak tersohor ini sangat kagum dengan karya Tan Sri
Johan Jaafar. Adakah karya beliau lebih bermutu daripada karya para sasterawan
negara? Saya tidak fikir karya para sasterawan negara ini lebih rendah mutunya
daripada karya Tan Sri Johan Jaafar; oleh itu mereka pun layak diberi gelaran
Tan Sri. Apakah yang menghalang mereka daripada diberi gelaran yang amat
prestij itu? Para peminat mereka tentu amat gembira memanggil mereka Tan Sri
anu anu bila bertemu mereka, dan pengerusi majlis yang mereka diberi tugas
menyampaikan “ucaputama” akan bangga menyebut gelaran berprestij itu, sama seperti
Leo AWS kagum terhadap Tan Sri Johan Jaafar.
Sekiranya kita dapat menerima saranan YAB Timbalan PM, Zahid Hamidi,
supaya Malaysia mencontohi Donald Trump (orang Amerika ada yang panggil Donald
Duck!) dalam strategi politik, maka saranan yang baik itu wajar diikuti oleh
para sasterawan negara dan para pengikut mereka supaya mereka semua berhimpun
di DBP dengan membawa sepanduk yang sesuai untuk mendesak DBP memperjuangkan
gelaran Tan Sri kepada para sasterawan negara ini. Dalam budaya baru di Malaysia yang
mementingkan gelaran, cadangan ini amat munasabah dan perlu diberi perhatian
serius. Kita harap PENA atau GAPENA mengambil inisiatif dalam usaha mulia ini.
Jika cadangan ini berhasil, agaknya akan terbelalah sedikit kedudukan PB dalam
sastera Melayu.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23/1/2017.
No comments:
Post a Comment