Sunday, January 22, 2017

SANGGAHAN TERHADAP GAGASAN PERSURATAN BARU?

Apakah yang hendak disanggah? PB adalah satu sistem, bukan hanya sejenis nama seperti teksdealisme, puitika sastera Melayu dan lain-lain yang sering mendapat pujian daripada rakan-rakan sendiri.  PB menyediakan satu cara analisis dan sekali gus memberi kriteria untuk menilai karya kreatif dan karya akademik. Dari segi kreatif, setahu saya belum ada lagi karya yang bermodelkan PB, mungkin kerana persediaan yang bersifat intelektual agak berat; tidak saja dari segi bakat, malah lebih-lebih lagi dari segi pemikiran yang diperlukan untuk melahirkan karya persuratan seperti yang diharapkan oleh PB.  Tetapi dari segi analisis dan penilaian, sudah terdapat tesis MA dan Ph. D. yang menggunakan kerangka PB untuk menilai karya para sasterawan negara. Hasilnya amat menggalakkan, memberi kelainan analisis dan penilaian yang padat dengan hujah, tidak hanya menggunakan retorik peragaan, atau pretensi intelektual yang kedua-duannya berserabut dengan fatamorgana bahasa yang tidak memberi faedah selain hanya memamirkan pandirisme semata-mata. Istilah pandirisme ini kini sudah menjadi begitu penting kerana dengan menggunakan istilah ini kita boleh terus meneka kualiti pemikiran dan kehandalan intelektual dalam membuat analisis yang mantap. Saya harap sanggahan yang disebut oleh editor DS itu memenuhi ukuran yang saya sebutkan, kerana jika tidak maka sesiapa juga yang kononnya membuat sanggahan itu pastilah tidak berasaskan kefahaman yang mendalam tentang konsep ilmu dan bagaimana ini boleh mempengaruhi analisis yang dilakukan.

Perlukan PB disanggah? Apakah aspek yang hendak disanggah? Adakah sanggahan itu bertujuan untuk membuat pembetulan, atau hanya utuk mencari perhatian yang  tidak menambah apa-apa penjelasan atau koreksi yang memang diperlukan. Aspek ini penting kerana selama ini kita telah banyak membuang masa dan kata-kata  untuk hanya melanjutkan sikap negatif terhadap ilmu. Pengalaman saya membaca perbahasan dalam falsafah Islam atau falsafah Barat, meyakinkan saya bahawa perbezaan pendapat atau pendirian memang tidak dapat dielakkan kerana terdapat perbezaan dari segi tafsiran sesuatu konsep penting dalam ilmu falsafah. Pada waktu ini saya sedang meneliti sebuah buku yang saya kira perlu dibaca oleh semua ahli akademik, terutama yang berlibat dalam kritikan sastera dan pengajaran sastera, yang membicarakan perbezaan pendapat antara Plato dan Aristotle (yang pernah berguru selama 12 tahun dengan Plato).  Saya maksudkan buku  Hans-Georg Gadamar, The Idea of the Good in Platonic-Aristotelian Philosophy (Yale Universiti Press: New Haven dan London, 1986); terjemahan Prof. P. Christopher Smith, yang juga menulis satu Introduction yang cukup menarik membicarakan dua orang gergasi Barat ini dan bagaimana Gadamar membaca mereka. Tentulah saya hanya berangan-angan dalam dunia penglipur lara jika mengharapkan sanggahan terhadap PB yang dimaksudkan itu sampai ke taraf penghujahan Gadamar dalam bukunya ini.  Tetapi itulah harapan saya supaya akan berlaku juga satu masa nanti, mungkin dalam masa 100 tahun yang akan datang.  William Hazlitt pernah menempelak para pengkritik Skakespeare (anda perlu membaca sendiri esei beliau itu). Bagaimana jika yang mengkritik itu seorang Tolstoy atau seorang G. Bernard Shaw? T.S. Eliot pernah mengkritik drama “Hamlet’ yang terkenal itu; dan beliau memberitahu kita bagaimana beliau dikutuk kerana berani memberi pendapat yang kritis. Kita mengalu-alukan pendapat yang kritis itu daripada “tokoh-tokoh besar” kita sendiri. Kita sudah lama menunggu ingin mendengar suara kritis mereka. Tetapi sebelum itu elok  jika diteliti dengan mendalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism, terutama sekali bab mengenai Murray Krieger, yang mula-mula dilantik sebagai Profesor Kritikan Sastera 1974.  Lihat juga buku Morris Weitz yang penting, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism.  Saya merujuk anda kepada buku-buku dan pengarang ini untuk mengelak daripada memberi pendepat yang cetek meraba-raba, tetapi berlagak sebagai seorang sarjana, walaupun hanya sekadar sarjana ciritan.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Januari 2017.

No comments:

Post a Comment