Apakah
yang ingin dicapai oleh sastera Melayu moden? Pertanyaan ini berbentuk retorik,
bukan untuk mencari jawapan; kerana jawapan itu sendiri berada dalam pertanyaan
itu. Kemunculan para sasterawan negara
telah gagal memberi arah yang jelas kepada pertanyaan itu, kerana mereka sudah
ditakdiskan oleh para sarjana ciritan dan para sasterawan picisan sebagai
golongan yang paling unggul dalam perkembangan tamadun ilmu Malaysia.
Kesimpulan ini menjadi masalah besar kepada para sarjana ciritan dan sasterawan
negara sendiri, kerana mereka tidak mempunyai hujah sama sekali untuk
mempertahankan kesimpulan mereka. Mereka tidak mahu dinilai semula sekiranya
penilaian itu akan meletakkan mereka bukan di atas takhta keunggulan, tetapi
sebaliknya berada di atas tong kayu gabus yang berselerak di Jalan Chaw Kit,
Kuala Lumpur. Inilah kenyataan yang
tidak dapat mereka tangkis dengan hujah, kerana karya mereka sendiri tidak
berupaya menentang serangan berteraskan
konsep ilmu yang benar yang menjadi pegangan mereka sebagai penulis Islam
tetapi tidak mereka laksanakan. Bagaimana ini boleh berlaku? Mudah. Mereka
menolak konsep ilmu yang benar dengan alasan yang tidak masuk akal bahawa karya
kreatif tidak perlu berlandaskan konsep ilmu, seperti yang dibuktikan dalam
semua karya seluruh dunia. Adakah ini
pandangan yang waras dan betul? Kita ambil satu contoh daripada Thomas Mann,
yang disebut oleh Harold Barrett dalam bukunya Rhetoric and Civility (1991; rujuk halaman 148). Perhatikan dengan
wajar dan siuman kesimpulan Barrett ini: “A willingness to engage with others,
making a willing presence as an active, cooperative, and motivated player in
social interaction is essential to community welfare; the will to help shape
public order. Passivity reduces benefits
and alters the character of an axchange, and withdrawal by one party ends it.
To speak up, to speak out – indeed to speak to any indicated chosen end, may be
an act of civility, for as Thomas Mann said, ‘Speech is civilization it self.
The word, even the most contradictious word, preserves contact – it is silence
which isolates.’” Kutipan dari Thomas
Mann daripada novelnya, The Magic
Mountain. Sangat jelas pentingnya
unsur “ilmu” dalam kutipan yang pendek dan ringkas itu dalam karya penulis
Barat sekali pun. Tetapi kerana sarjana ciritan tidak membaca, maka mereka
dengan bodohnya membuat kesimpulan yang tidak masuk akal bahawa “ilmu” tidak
penting dalam karya kreatif. Berada dalam kebodohan begini hanya boleh
dilanjutkan dengan bersemangat andainya para sarjana ciritan dan sasterawan
picisan ini tidak membaca; yang terjadi mungkin kerana penguasaan bahasa
Inggeris mereka sangat lemah. Nampaknya inilah arah dan matlamat mereka sebagai
sarjana ciritan dan sasterawan picisan. Mereka adalah manusia bacul dari segi
intelektual, oleh itu tidak bersedia untuk berdialog mengenai masalah arah dan
matlamat yang dibincangkan di sini. Padahal
persoalan ini sangat penting, dan keengganaan mereka untuk berdialog seperti
yang dicadangkan oleh Barrett menjadikan sastera Melayu moden bangkut dari segi
intelektual. Ini telah dibuktikan dengan sangat jelas oleh Panel Anugerah
Sastera Negara dalam laporan mereka; dan saya telah mengkritik kebaculan
intelektual ini dalam banyak entri dalam blog ini. Sekarang saya dengan penuh hormat mencabar
mereka untuk menjelaskan mengapa konsep ilmu yang benar itu tidak penting dan
tidak wajar dijadikan teras dalam penulisan kreatif untuk memastikan arah dan
matlamat itu jelas serta menjadi tumpuan dalam penulisan kreatif.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Januari 2017.
No comments:
Post a Comment