Sunday, November 6, 2016

POWER IS SWEET; SWETENED WITH CORRUPTION

Tajuk entri saya kali ini bolehlah anda anggap, dengan kebiasaan anda menentukan sesuatu keputusan seperti Pak Pandir, bahawa saya sudah berubah menjadi pejuang bahasa Inggeris, seperti yang sedang diusahakan oleh Kerajaan pada waktu ini, dan dengan sokongan DBP pula.  Tetapi jika anda seorang pemikir yang tajam, dan tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman seperti yang anda lakukan ketika menilai karya sastera,  maka anda akan terfikir, saya sebenanya sendang mempertahankan falsafah yang diajar oleh Buyung Lurus: “Kita mesti pertahankan kebenaran (yang haq) di negara kita.”  Tetapi tidak seorang pun pembaca Hikayat Buyung Lurus memberi perhatian kepada ucapan Buyung Lurus ini, jika kita dapat jadikan ukuran apa yang diucapkan dalam majlis pelancaran novel ini satu ketika dulu. Kalau saya menyindir mereka sebagai pemikir sampah, atau penilai sampah, mereka marah. Tetapi apa yang mereka lakukan membuktikan tuduhan saya itu betul. Sebagai contoh, lihat bagaimana tiga orang juri Hadiah Sastera Kebangsaan memberi hujah ketika memilih Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Ginokritik (oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman) untuk memenangi hadiah tahun berkenaan.  Kata mereka (terdiri daripada dua orang profesor madya, Dr. Jelani Harun da Dr. Hashim Ismail, dan Ketua Satu PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad):  “Kekuatan karya dapat dikenal pasti dari segi perbandingan yang menyeluruh terhadap tokoh-tokoh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia. Pengaplikasian teori ginokritik telah menghasilkan perbincangan yang teoretikal dan seimbang antara dua pihak tersebut. Ketelitian perbincangan terbukti melalui paparan data dan analisis yang setara dalam semua aspek dan bagi setiap pengarang. Dengan perbincangan sedemikian, bacaan terhadap kajian ini menimbulkan kesan dari segi keilmiahannya.” (huruf condong dalam original).  Sesiapa juga yang telah membaca, dan mengkaji buku Dr. Norhayati ini, akan jatuh pengsan membaca penilaian tiga orang sarjana ini.  Perhatikan setiap huruf condong dalam penilaian itu: kekuatan buku ini kerana perbandingan yang menyeluruh; iaitu kerana terdapat pengplikasian teori ginokritik; yang menghasilkan ketelitiannya kerana paparan data dan analisis yang setara; maka semua ini menimbulkan kesan dari segi keilmiahannya. Apa jenis retorik peragaan yang mereka gunakan, dengan menderetkan fatamorgana bahasa dalam pretensi intelektual yang kosong.  Dari segi ilmiah, buku ini adalah contoh terbaik dilihat dari segi pretensi intelektualnya, tetapi tidak bermakna apa-apa dari segi ilmu. Yang ada hanya maklumat murahan yang tidak dianalisis berasaskan konsep ilmu, walaupun kononnya digunakan teori ginokritik. Ini bukan teori, ini hanya andaian yang memang biasa dibuat oleh Pak Pandir ketika menilai sesuatu. Kalau anda telah membaca dengan teliti maksud pandirisme yang saya salin untuk makluman anda, maka anda akan faham dengan mudah maksud saya.

Perhatikan bagaimana tukang mas bekerja. Untuk mendapat mas tulen, dia bakar terlebih dulu mas itu; ketika itu keluarlah buih mengalir ke dalam pelimbahan. Tukang mas tidak mengumpul buih itu; dia ambil emas yang ditinggalkan buih. Norhayati mengambil buih itu; dan inilah juga yang diambil oleh para penilai buku ini.   Adakah sumber Dr. Norhayati “emas” dalam sastera? Bahannya ialah novel pornografi, novel lucah dan picisan. Bagaimana dari sumber demikian kita boleh mendapat sesuatu yang diberi penekanan oleh tiga orang penilai buku ini? Maka jadilah penilaian mereka juga picisan. Kasihan kepada para pelajar universiti yang diberi galakan membaca buku ini, seperti permintaan Dr. Norhayati sendiri. Mereka tidak tahu mereka sedang bermain buih, bersama para pensyarah mereka. Begitu teruk sekali kedudukan ilmu dalam pengajian sastera di Malaysia. Begitu meluas penipuan intelektual yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh para sarjana sastera. Inilah contoh korupsi intelektual. Orang yang terlibat dalam kegiatan ini diberi kuasa menentukan sesuatu; dan kuasa itu menjadi amat manis apabila penipuan intelektual, berupa korupsi intelektual, diberi kedudukan tinggi dalam budaya pandirisme.

Apa yang dilakukan oleh para sarjana ini ialah mencontohi ahli politik. Itu saja yang saya mahu sebut dalam bab ini. Semua orang tahu 1MDB.

Abad kita adalah abad kehancuran nilai manusia.  Tepat sekali dengan amaran dan ramalan Sorokin. Saya kutip satu perenggan pendek daripada kesimpulan beliau yang relevan dengan negara kita. Menurut beliau, “Anyone can pile mass upon mass, quantity upon quantity; but only a genius  can achieve (often with the maximum economy of means) a masterpiece.  Hence the inner emptiness  of our biggest creations.  ... Our universities and colleges produce few, if any, authentic geniuses. The art of our Radio Cities and theaters is supremely vulgar and supremely mediocre.” (hal. 72).  Di mana keadaan Malaysia berbeza dengan kesimpulan Sorokin ini? Anda lebih tahu daripada saya.  Adakah beliau bercakap tentang budaya sampah?  Ini jawapan beliau: “The same degeneration is brought about by the tendency of our culture to substitute means for ends, technique for genius.” (huruf condong dalam original).  Beliau bercakap dalam konteks “the sensate culture.” Ada apa-apa imbasan dengan yang kita sering bincang dan lakukan?

Saya kemukakan satu contoh, yang mungkin boleh memberi sedikit gambaran tentang sistem nilai yang kita jadikan panduan pada waktu ini, hasil dari konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana.  Ini mengenai novel Pujangga Melayu.  Novel ini mendapat reaksi yang menarik dari golongan wanita. Golongan yang bersifat dan berciri kebetinaan  menegaskan dengan marah, dan barangkali juga benci, watak wanita dalam novel ini yang menjadi bini Prof. Awang adalah watak yang tidak logik, yang tidak masuk akal, kerana kata mereka tiada wanita yang siuman ingin dan bersedia berkongsi suami dengan wanita lain; apatah lagi sampai empat. Kerana sifat kebetinaan  mereka yang agresif, mereka tidak boleh terima Islam membenarkan poligami. Istilah kebetinaan ini adalah sesuai dengan feminisme yang menjadi gerakan penting dalam budaya hawa nafsu mereka.  Bagi mereka tidak ada masalah kerana dalam budaya mereka wanita hanya layak menjadi hamba atau pemuas nafsu seks lelaki. Tetapi ini tidak benar, jika kita membaca penelitian Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya tentang puitika sastera wanita. Dia memberitahu kita, terutama sekali melalui perbualannya dengan Ayu Utami, bahawa wanita perlu mendapat kepuasan seks sepenuhnya dengan mana-mana lelaki yang dipilihnya. Ayu Utami adalah tokoh kebetinaan  yang tidak alang-kepalang. Bagaimana dengan penulis wanita Malaysia? Nampaknya Dr. Fatimah Buru melalui novelnya yang dipilih Dr. Norhayati seakan-akan mirip dengan Ayu Utami; malah dalam novelnya yang dicanangkan beliau sebagai “novel Islam”, Salam Maria, membuktikan dengan jelas sikap anti-lelaki beliau; sehingga watak-wataknya terpaksa lari ke dalam hutan untuk mendapat kebahagiaan, dalam hutan itulah mereka menerima lelaki yang jahat dan zalim yang ingin membuang anak perempuan mereka.  Adakah semua ini logik, jika dibandingkan dengan perwatakan wanita dalam Pujangga Melayu?  Sekiranya anda berani membuat keputusan berasaskan akal sihat yang siuman, semua ini adalah “longgokan sampah” dalam sastera; kerana itu para sasterawan, dengan sokongan kuat daripada sarjana, berasa amat tersinggung apabila Pujangga Melayu lahir, memberi mereka pilihan dalam bentuk penulisan dan pemikiran, yang mereka tidak sanggup menerimannya kerana keadaan mereka yang cetek meraba-raba. Mereka lebih bersedia menerima dan memberi sanjunga kepada karya sampah, baik yang kreatif mahu pun yang bercorak “akademik”.  Inilah pendirian para juri yang memilih buku Dr. Norhayati Ab.  Rahman. Sekiranya anda masih belum faham, bertanyalah Dr. Polan Cupan atau Buyung Lurus, yang jauh lebih cerdik daripada anda.

Konsep kebetinaan perlu difahami bersama konsep patriaki yang menjadi kemarahan feminisme. Dalam Islam tidak ada patriaki.  Islam menegaskan dengan jelas dalam al-Quran dan dalam hadis sahih bahawa setiap lelaki adalah imam kepada keluarganya, menjadi penjaga isterinya dan anak-anaknya. Tanggungjawab itu amat berat, kerana jika dia menyeleweng, atau tidak menerimanya, dia akan membawa dirinya dan keluarganya ke neraka dan semua amal ibadatnya tidak dikira sah. Itu kedudukannya. Bagaimana jika terdapat sarjana dan sasterawan menekankan konsep patriaki itu dalam keluarga Islam? Sudah jelas perbuatan itu menolak ajaran Islam, membantah  suruhan al-Quran, dan ini sama ada akan menjadikannya munafik atau terus kafir. Hal ini perlu diberi penjelasan supaya tidak ada para pelajar sastera, para sasterawan dan sarjana sastera menyebar ajaran sesat dalam kesusasteraan dan kebudayaan.  Dilihat dalam konteks ini, adakah penilaian tiga orang juri untuk menerima buku Dr. Norhayati Ab. Rahman sebagai buku terbaik dalam kategori buku ilmiah selaras dengan tuntutan al-Quran. Kalau tidak, pemilihan mereka adalah terbatal dan tidak boleh dipakai kerana ini akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat untuk menerima karya yang bertentangan dengan Islam sebagai model keunggulan akademik.  Bagaimana dengan novel Salam Maria, masihkah boleh dianggap sebuah novel berunsur Islam? Soalan ini terpaksa ditanyakan kerana jelas dalam novel itu pengaruh patriaki seperti yang difahami di Barat menjadi ukuran utama bagi pengarang dan watak-watak wanitanya, untuk tidak menerima kaum lelaki sebagai imam dan ketua keluarga.  Kita memerlukan penjelasan, supaya kita tidak menggunakan konsep sewenang-wenangnya sebagai sarjana poyo yang cetek meraba-raba, kalau tidak pun jahil tentang agamannya sendiri. Sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera yang menjadi penilai perlu menunjukkan mereka tidak tenggelam dalam kejahilan yang menjadi pilihan mereka  untuk membuat keputusan yang amat bertentangan dengan kepercayaan, lebih tepat iman, yang menjadi anutan mereka.  Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kesimpulan ini, mereka perlu memberi penjelasan dan sedia berdebat untuk mendapat kepastian daripada perspektif kepercayaan kita. Sarjana tidak boleh berdiam diri apabila mereka melakukan kesilapan besar seumpama ini. Baca dengan cermat kutipan daripada Prof. Jonathan di bawah tentang epistemologi.

Jika kita melihat isu ini dalam konteks hegemoni yang ditekankan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam buku ITBM mahu pun yang disiarkan dalam Dewan Sastera, yang dimaksudkan oleh beliau dengan hegemoni itu ialah kekuasaan golongan Mutual Admiration Club yang dipayungi dan disokong oleh ITBM, DBP dan Panel Anugerah Sastera Negara. Hegemoni itu ialah berkuasanya konsep sastera yang dikaden yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera.  Maka tidaklah mengherankan jika golongan Mutual Admiration Club yang dipilih untuk menilai karya sastera yang disediakan oleh DBP memilih karya yang dikaden jika dilihat daripada perspektif ilmu yang benar, tetapi yang dikaden itulah yang dinamakan mereka kemajuan dan sebagainya seperti yang disenaraikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Konsep dikaden yang menjadi asas hegemoni itu disandarkan kepada kebebasan yang perlu ada pada sasterawan dan sarjana untuk menentukan pilihan mereka sendiri; tetapi sesiapa juga yang bertentangan pendapat dengan mereka tidak diberi kebebasan itu. Inilah korupsi intelektual dalam kesusasteraan Melayu moden.

Hegemoni dalam konteks Foucault yang dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah ajaran Marxist yang mengarah kepada paksaan kepada rakyat untuk menerima kekuasaan golongan Marxist atau pemerintah. Ini bukan ajaran Islam, malah bertentangan dengan ajaran Islam yang mengasaskan nilai dalam bentuk apa juga daripada sumber al-Quran, yang menetapkan betapa pentingnya adab dan ilmu, oleh itu Islam mementingkan keadilan, bukan kekuasaan seperti yang ditekankan oleh konsep hegemoni. Hegemoni dalam maksud wacana (discourse) seperti yang digunakan oleh Foucault  masih lagi berada dalam konteks kekuasaan intelektual yang didominasi oleh golongan tertentu untuk memastikan hanya pandangan dan pendapat mereka saja yang diterima oleh masyarakat. Inilah yang terjadi di Malaysika dalam konteks sastera, dan ini membawa kepada berleluasanya sastera atau karya sampah seperti yang dijelaskan di atas. Mereka tidak membezaksan yang sampah, yang buih daripada yang tulen sebab dalam pandangan mereka tidak perlu kerana semua itu, menurut mereka, hanya kritikan rekaan untuk memburukkan mereka.  Tetapi mereka tidak pernah menjawah hujah pihak yang sebelah lagi, misalnya yang menganggap mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Perbuatan mereka, melalui wacana mereka dalam konteks hegemoni, tidak berupaya menyanggah kritikan ke atas mereka. Akhirnya mereka mengambil sikap sebagai “lembu kenyang.”

Falasafah “lembu kenyang” ini tidak membawa kemajuan dari segi pemikiran, seperti yang telah dibuktikan oleh gagasan Persuratan Baru yang mengkritik kumpulan “lembu kenyang” ini. Dalam konteks inilah konsep “ingkar ilmu” yang dikemukakan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud amat berguna untuk melihat kepalsuan kumpulan “lembu kenyang” ini.  Akhirnya kita boleh melihat dengan jelas sikap kumpulan “lembu kenyang” sebagai penganut faham nihilisme, satu konsep yang diperkenalkan oleh penulis Russia yang terkenal, Turgenev. Konsep ini kemudiannya masuk ke dalam filsafat untuk membongkar kepalsuan manusia yang menganut faham ini secara tidak sedar, seperti yang dilakukan oleh sarjana sastera dan sasterawan Malaysia. Bagi mereka tidak wujud nilai dan moral yang mutlak, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika memuji A. Samad Said dalam laporan mereka, yang di antara yang pernah menjadi  anggotanya ialah Prof. Zawiah Yahya, yang telah mengkritik gagasan Persuratan Baru sebagai pembawa faham “absolutism” dalam kesusasteraan Melayu, oleh itu bertentangan dengan sifat asasi kesusasteraan yang menerima secara terbuka apa juga pandangan dan teori, oleh itu boleh ditafsirkan dalam apa juga cara. Inilah nihilisme yang “absolute” dalam konteks Prof. Zawiah Yahya. (Rujuk buku beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, UKM 2010.)  Jika kita menilai pendapat ini dalam konteks “ingkar ilmu” yang bersumberkan ajaran Iblis, kita dapat menilai dengan mudah kualiti pendapat yang  nihilistik ini.  Nampaknya inilah pendapat dan pendekatan yang betul menurut keyakinan kumpulan “cetek meraba-raba” ini.

Dalam dunia sastera yang berteraskan pandirisme, faedah peribadi lebih penting daripada kualiti. Ini dapat kita lihat dalam resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), yang dengan angkuh memperagakan sifat tamak dan kepentingan peribadi para sasterawan yang meminta itu dan ini dari Kerajaan, termasuk dijadikan anggota perwakilan semua lawatan luar negeri supaya para sasterawsan negara dapat ikut sama memperkenalkan karya mereka kepada dunia.  Barangkali bukti paling baik tentang faedah lebih penting daripada kualiti ialah yang terserlah dalam  kertas kerja yang dibentangkan dalam SKPM. Bacalah kertas kerja empat orang sasterawan negara, yang salah seorangnya naik ke atas bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham. Sungguh tidak ada maruah!  Sasterawan ini sudahlah begitu ghairah bermain dengan kata-kata tidak bermakna dalam sajak-sajaknya; malah dalam menulis kertas kerja pun dia masih bermain-main. Tepat sekali, sastera adalah permainan bahasa, kata para sasterawan, dengan sokongan padu daripada para sarjana. Palsunysa faham ini dibicarakan dengan agak mendalam dalam entri mengenai keindahan bahasa  berdasarkan konsep ihsan.  Selain dari setengah sasterawan yang mengeluh kerana berasa tidak bebas, ramai yang marah kerana membawa masuk konsep agama dalam sastera, kata mereka hanya untuk membataskan kebebasan para sasterawan.

Semua sikap negatif ini muncul akibat dari pengaruh “ingkar ilmu.”  Apakah yang mendorong para sasterawan dan sarjana ingkar ilmu? Pada penelitian saya, kerana mereka tidak memahamai dengan mendalam teori sastera Barat. Jika mereka memahaminya dengan mendalam, mereka akan termuntah-muntah  berasa loya dari segi intelektual. Saya anjurkan mereka ini membaca dengan mendalam After the New Criticism, lepas itu diikuti dengan kefahaman yang mendalam tentang konsep pascamodernisme dan seterusnya tentang sejarah kritikan Barat yang berkembang dari satu fasa kepada fasa lain dengan beberapa perubahan tertenu. Dari pembacaan saya, saya belum lagi bertemu seorang sarjana ciritan yang benar-benar memahami teori sastera Barat dan perkembangan pemikiran dalam sejarah kritikan sastera Barat. Kerana itulah mereka melalak dengan kuat membuat gesaan itu dan ini untuk diri mereka dalam SKPM 2014, bukan untuk ilmu dan pemikiran yang tuntas sebagai ahli akademik. Sungguh amat memalukan tabiat dan kelakuan mereka ini!

Sikap sarjana poyo yang ciritan dan cetek meraba-raba ini menjadi penghalang kepada perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu moden.  Keadaan mereka yang berada dalam kandang “lembu kenyang” ini hanya puas dengan mengunyah maklumat keliru tentang sastera dunia dan terasing pula daripada  tradisi sastera Islam dan sejarah pemikiran dalam Islam.  Inilah sumber ilmu yang agung yang mereka remehkan, dengan itu mereka menjadi penghalang kepada perkembangan persuratan Melayu abad 21 ini.  Mereka bangga dan selesa berada dalam penjara “ingkar ilmu” seolah-olah itulah pilihan terbaik sebagai dalih untuk tidak mendekati gagasan Persuratan Baru.

Apakah yang menakutkan mereka untuk mendekati gagasan Persuratan Baru dengan berwibawa sebagai kumpulan anggota akademik yang berwibawa?  Ketakutan mereka sebenarnya berpunca dari ketidak-upayaan mereka menghadapi gagasan Persuratan Baru kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak bersedia untuk berbicara tentang konsep ilmu dan epistemologi. Tetapi ini sepatutnya tidak menakutkan mereka jika mereka tahu perkembangan pemikiran Barat moden yang menolak epistemologi sebagai tidak relevan, seperti yang ditegaskan dengan yakin oleh Richard Rorty, seorang tokoh yang sering disebut oleh beberapa orang sarjana Malaysia. Sepatutnya mereka boleh bergantung pada tokoh ini untuk menghilangkan rasa takut mereka kepada konsep ilmu yang menjadi  teras gagasan Persuratan Baru.  Tentu mereka tahu bagaimana hendak manfaatkan kritikan Rorty terhadap epistemologi, jadi mudahlah bagi mereka menghujahkan kecacatan, malah kepalsuan gagasan Persuratan Baru.

Sebagai satu sumbangan saya yang ikhlas untuk memudahkan para sarjana dan sasterawan memahami apa bendanya yang dipanggil epistemologi itu menurut pandangan falsafah Barat (pandangan Islam lain), saya turunkan satu kutipan yang termuat dalam The Oxford Companion to Philosophy daripada entri oleh Prof. Jonathan Dancy, hal. 245. Inilah dia:

Epistemology is the study of our right to the beliefs we have.  More generally, we start from what we might call our cognitive stances, and ask whether we do well to have those stances. Cognitive stances include both our beliefs and (what we take to be) our knowings; and in another dimension they include our attitudes towards the various strategies and methods we use to get new beliefs and filter out old ones, as well as the products of those strategies and methods. Epistemology, on this showing, is explicitly normative; it is concerned with whether we have acted well or badly (responsibly or irresponsibly) in forming the beliefs we have.”  (Huruf condong ditambah.)

Definisi ahli falsafah ini sangat cantik dan tepat sekali mencirikan kelakuan dan perangai para sarjana dan sasterawan Melayu. Tetapi ini tentu saja tidak menepati konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam untuk panduan orang Islam yang cerdik dan beriman dan yakin dengan keimanannya. Sila rujuk penjelasan Imam Ghazali tentang konsep ilmu yang benar dalam Islam; atau paling mudah bolehlah rujuk buku-buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan aspek ini dengan mendalam, tetapi sayangnya jarang sarjana dan sasterawan Melayu ingin membacanya kerana mereka berasa sukar untuk memahaminya. Di mana agaknya pendapat Prof. Jonathan yang boleh kita pakai untuk memperihalkan kelakuan para sarjana dan sasterawan ini terhadap Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Adakah ini, maksud saya pertanyaan ini, satu cabaran kognitif atau tentang sikap yang negatif? Mungkin anda boleh menaiki bumbung kilang berkarat untuk memikirkannya dengan mendalam dan penuh keinsafan akademik.  Sekiranya anda menghadapi masalah schizophrenia, nasihat ini mungkin boleh membantu anda untuk menjadi siuman. Tentu anda masih ingat penegasan Buyung Lurus yang boleh dijadikan peringatan kita semua:  “Kita mesti pertahankan kebenaran di negara kita.”  Budaya pandirisme yang kita hadapi dalam semua bidang kehidupan kita menjadikan seruan Buyung Lurus itu sangat relevan.

Setelah membaca tentang konsep ihsan, pandirisme, dan stylization of ideas,  anda mungkin memahami mengapa entri ini ditulis dalam gaya ini. Terima kasih.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  6 November 2016

No comments:

Post a Comment