Tuesday, November 1, 2016

PASCAMODENISME NAJIS BUDAYA: Antara Shahnon Ahmad dan Marcel Duchamp

Dalam tulisan yang lepas, saya  akhiri dengan satu pertanyaan: Adakah pascamodernisme itu sendiri najis budaya?  Pertanyaan ini timbul dari analisis ringkas tentang sumbangan Shahnon Ahmad dan Marcel Duchamp dalam budaya najis dengan karya masing-masing mengenai najis tahi dan kencing.  Najis inilah yang mendapat pujian seorang tokoh terkenal Malaysia, Raja Pengkritik Malaysia yang memakai nama samaran Mana Sikana (asal bahasa Arab manasik) yang sekali sekala memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Rahman Napiah yang kurang terkenal. Mana Sikana (nama memberi konotasi amal saleh) memuji Shahnon Ahmad kerana karya Islami Shahnon Ahmad adalah selari dengan aliran pascemodernisme, oleh itu beliau adalah salah seorang sasterawan yang layak diletak di atas takhta keunggulan. Sekiranya anda berfikir dengan ibu kaki sekalipun, anda akan berasa aneh bagaimana Islam boleh diserasikan dengan budaya najis pascamodernisme? Demikianlah sastera sampah dan kritikan berciri sampah berpesta dalam temasya pandirisme yang menjadi asas kesusasteraan Melayu moden dan gerakan intelektual sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang kini, melalui ITBM dan DBP, telah merjaya menjadikan pandirisme sebagai aliran rasmi dalam perkembangan intelektual Malaysia.

Kecenderungan sarjana ciritan dan sasterawan picisan kepada gerakan seperti pascamodernisme, avant-garde, absurd dan sebagainya didorong oleh keinginan untuk kelihatan berlainan daripada orang lain, oleh itu mereka akan dianggap istimewa.  Inilah tabiat budak-budak yang tidak matang, yang suka memperagakan permainan baru mereka.  Bila tabiat seperti ini terjadi di kalangan para sasterawan, dan terutama sekali di kalangan sarjana dan pengkritik sastera, maka hasilnya ialah retorik peragaan yang dibumbui dengan pretensi intelektual, seperti yang kita lihat sekarang dalam sastera Melayu.  Seperti yang saya sebut dalam entri bertarikh 25 Oktober 2016,  Panel Anugerah Sastera Negara berlagak seperti budak-budak apabila mereka menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra sebagai bukti betapa global dan internasionalnya Kemala,  seorang pensajak sufi menurut mereka, tanpa mengetahui makna alusi itu dalam kehidupan peribadi Kemala ketika itu, yang saya yakin sedang dilamun cinta berahi. Kalau bukan itu, maka apa gunanya dibawa masuk ke dalam sajaknya dua orang manusia yang tabiatnya diserlahkan oleh Allan Bloom seperti kucing betina dengan kucing jantan? Saya belum lagi bertemu pendapat, yang paling liar sekali pun, yang mengatakan Mark Antony dan Cleopatra dua orang ahli sufi, atau sekurang-kurangnya diiktiraf sebagai tokoh yang cenderung kepada unsur-unsur kerohanian, berbanding seks. Perkara ini disebut lagi di sini untuk memberitahu anda sekali lagi betapa ceteknya para penilai yang memberi kedudukan istimewa kepada sasterawan, padahal gelaran sasterawan negara itu sendiri pun tidak bermakna apa-apa, lebih-lebih lagi apabila karya mereka dinilai dengan kritis dan objektif. Akibatnya, kita membawa masuk karya sampah ke dalam bilik-bilik darjah untuk dibaca oleh pelajar; sementara di universiti pula para pensyarah sastera terhinggut-hinggut dengan kemewahan perilaku untuk menyatakan kepada para pelajar akan kehebatan para sasterawan negara sebagai penulis karya sampah. 

Siapa yang menilai para sasterawan negara ini? Bukan mereka, tetapi teori Barat yang  mereka, para penilai itu sendiri, tidak mendalaminya seperti yang sepatutnya. Kefahaman mereka cetek, seperti yang anda boleh lihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan kertas kerja para sarjana yang menulis tentang “pemikiran” para sasterawan negara.  Sudah banyak sangat contoh yang saya paparkan dalam blog ini; kerana ada di antara sarjana yang saya hormati juga terikut-ikut dengan gaya “cetek meraba-raba” dan keliru dalam konsep ilmu. Saya maksudkan kertas kerja Dr. Noriah Taslim tentang Naratif Ogonshoto.  Bagi seorang sarjana yang terkenal cermat dalam tulisannya, kertas kerja beliau memeranjatkan saya. Lebih banyak ditumpukan kepada kekeliruan daripada memberi penjelasan. Paling menonjol ialah apabila beliau menegaskan, “Tragedi legenda pendosa silam seperti cerita bahtera Nabi Nuh...”  Kisah Banjir Besar itu bukan tragedi, tidak juga legenda, tetapi kisah sebenar yang betul-betul berlaku untuk menjadi ibrah kepada umat manusia seluruhnya tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah SWT untuk kesejahteraan seluruh manusia dan makhluk (binatang, pokok, dan segala macam).  Mana boleh dibandinakan dengan Naratif Ogonshoto, yang kononnya membawa muatan moral politik. Apakah makna moral bagi sarjana ini?  Mana boleh dibandingkan, apatah lagi disamakan, antara kisah benar Nabi Nuh ‘a.s. dengan “falsafah Risi” tentang “kuasa baik akan menguasai kuasa jahat.”  Bagaimana sarjana ini mengatakan Naratif Ogonshoto sebuah karya adab?  Novel ini adalah sebuah novel sensasi yang menjadikan kezaliman dan kejahatan sebagai daya penarik kepada pembaca, dengan perilaku yang pelik-pelik (contoh: potong zakar, potong jari, dan banyak lagi.)  Kelakuan biadab dan luar tabii itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk memuji novel picisan ini. Ada sesuatu yang tidak beres apabila ada pengkritik memberi  pujian melampau yang bertentangan dengan penggunaan ruang naratif dalam novel picisan ini. Tidak ada sebab, tidak ada hujah, untuk mengangkat sebuah karya picisan seperti novel ini. Sila rujuk kutipan tentang pandangan saya mengenai isu  ini dalam entri yang lepas tentang pascamodernisme. (Dari majalah Widya Oktober 1983).

Mengenai Shahnon Ahmad dan Marcel Duchamp ini teori seni di Barat mempunyai pendirian yang agak lucu, yang menjadi ikutan di Malaysia di kalangan sarjana dan sasterawan. Seorang ahli falsafah dan pemikir Amerika Syarikat,  Arthur C.  Danto,  memperkenalkan konsep “the art world,”  apa yang dikatakan seni dan hasil seni ditentukan oleh manusia yang berada dalam “the art world” itu. Itulah yang terjadi kepada mangkuk kencing Marcel Duchamp yang diiktiraf sebagai karya seni yang berharga oleh “the art world”.  Persis inilah yang terjadi kepada Shit karya Shahnon Ahmad, apabila kumpulan yang diberi nama Mutual Admiration Club yang dinaungi oleh Panel Anugerah Sastera Negara menerima novel itu sebagai sebuah karya seni yang bermutu.  Dalam keadaan ini, Mana Sikana berada di pihak yang betul, oleh itu layaklah Shahnon Ahmad diletakkan di atas takhta keunggulan setelah diberi gelaran sasterawan negara. Pelantikan beliau sebagai sasterawan negara itu sendiri meletakkan karyanya sebagai amat bermutu kerana masyarakat telah iktiraf karya itu bermutu. Apa sudah jadi? Tidak ada apa-apa yang terjadi, kecuali pendirian ini membuktikan betapa kuatnya pengarauh teori Barat dalam penilaian karya sastera Melayu. Satu-satunya soalan yang boleh kita kemukakan: Inikah yang kita mahu? Minta pandangan anggota Mutual Admiration Club, para sarjana, sasterawan dan masyarakat.

Dari teori Danto, seorang bernama G. Dickie meminda teori itu menjadi teori institusi. Sesebuah karya menjadi karya seni jika ada institusi memperakukannya begitu. Contoh: DBP telah menerima sasterawan negara yang dibaptiskan oleh Agong sebagai sasterawan negara. Dickie menegaskan, itu tidak bererti karya itu bermutu, baptisme tidak menentukan seseorang “good Christian”.  Lalu timbul lagi teori yang menegaskan sesuatu karya seni dianggap karya seni oleh masyarakat dan penciptanya, hasil buah tangan atau idea Jerrold Levinson. Shahnon Ahmad beritahu kita Ranjau Sepanjang Jalan sebuah karya besar, maka orang ramai (yakni sarjana, sasterawan) terima, maka jadilah novel itu karya besar. Demikian juga Salina, yang pada mulanya tidak dipedulikan, tetapi bila dibaptiskan oleh Teeuw, jadilah karya antarabangsa yang bermutu tinggi!

Cuba anda  fikir sejenak: Apakah erti semuanya ini? Ertinya, semuannya permainan belaka. Kerana itu sasterawan menegaskan keindahan karya sastera kerana permainan bahasa, permainan emosinya, permainan temanya, permainan struktur, permainan gaya!  Adakah yang disebut eksperimen itu sejenis permainan? Dan yang lain-lain, seperti kelainan, pembaharuan, dan seterusnya seperti yang disenaraikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Itulah yang sebenarnya. Itulah yang dilakukan oleh Mana Sikana, yang meletakkan para sasterawan negara di takhta keunggulan, walaupun yang dikatakan takhta itu tong kayu gabus yang diambil di Jalan Chow Kit, seperti Duchamp beli mangkuk kencing dan turunkan tanda tangan sebagai karya seni, atas nama Richard Mutt!

Saya ingin membawa Morris Weitz di sini, seorang ahli falsafah yang amat saya senangi, penulis Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism  (Faber Paperback, 1965).  Weitz menyanggah teori tragedi Aristotle, yang sudah ketinggalan zaman; kerana sekarang watak utama tidak semestinya seorang “tokoh besar” yang bernasib malang. Genre berkembang, oleh itu Arthur Miller menulis tragedinya tentang seorang juru jual, Willie Loman. Ini suatu perkembangan penting yang perlu diketahui oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia, kerana kini sudah berada di depan anda Hikayat Buyung Lurus, sebuah karya yang tidak lagi sama dengan novel biasa sasterawan negara; tetapi mengasaskannya kepada seorang tokoh tinju terkenal, Muhammad Ali untuk menulis sebuah novel intelektual, tentang seorang ahli politik kampung, seorang local genius.  Inilah novel terbaik dalam bahasa Melayu sekarang, menjadi cabaran kepada para sarjana dan pengkritik sastera untuk menafikannya. Boleh?

Apa yang saya bincang dalam entri  ini tentang sastera sampah adalah suatu isu besar, yang tidak tertanggung oleh sesiapa juga yang percayakan agama dan beragama Islam. Dalam Islam yang menentukan nilai ialah Allah, sebagai sumber ilmu. Dalam sastera dan kesenian yang menentukan nilai ialah “the art world” yang dipanggil Mutual Admiration Club dalam konteks Malaysia. Kalau ini boleh membantu anda membuat keputusan, bagus sekali. Tetapi sikap optimis ini palsu, kerana para sarjana, sasterawan dan seniman menerima konsep “the art world” secara terus dari Barat.  Anda pernah dengar sergahan para sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera, yang berkata dengan megah dan yakin, hanya orang sastera saja yang berhak menentukan sesebuah karya itu bermutu atau tidak. Inilah yang dilakukan dengan selesa dan yakin apabila hasil tulisan sampah oleh para sarjana diberi hadiah, begitu juga karya para sasterawan. Adakah isu ini sudah selesai? Tidak.


Jika kita melihat dalam konteks “ingkar ilmu” yang dikemukakan oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, pendirian ini jelas dipengaruhi oleh Iblis, bukan yang disuruh oleh Allah SWT. Siapakah yang memilih nilai Iblis, siapa pula yang memilih nilai daripada Sumber ilmu dan sumber nilai itu sendiri? Satu pertanyaan yang akan membawa anda sama ada ke syurga atau neraka, sekiranya anda percaya kewujudan kedua-duannya. Selamat menuju ke arah yang anda pilih. Jalan 
Si Tenggang, atau jalan Dr. Polan Cupan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1/11/2016.


No comments:

Post a Comment