Meskipun
saya agak keras mengkritik para sarjana
dan pengkritik ciritan dan para sasterawan picisan yang menghasilkan karya
sampah, seperti yang saya sebut di dalam blog ini, namun saya amat mengagumi
mereka dan menghargai jasa mereka kepada budaya pandirisme yang kini telah
berada di tengah-tengah kita semua memberikan semacam hegemoni kepada
kebudayaan Melayu moden yangh sama sekali berbeza, dan berbeza amat jauh,
dengan budaya ilmu yang dibangunkan dengan megahnya oleh para ulama dan
cendekiawan dan juga para pujangga kita melalui persuratan Melayu yang telah
memberi kita kesedaran ilmu yang amat membanggakan. Kehadiran budaya pandirisme
yang anti-ilmu dan yang dengan bangganya meneruskan sikap “ingkar ilmu” dalam
kegiatan mereka, memberi kita satu pengajaran sejarah yang amat berguna dalam
perkembangan budaya intelektual di negara kita. Kesediaan mereka untuk menerima
kritikan dengan begitu berhemah, dengan sikap cool yang disebut dalam bahasa kiasan Kelantan sebagai “lembu
kenyang”, dan meneruskan maruah mereka yang tidak bermaruah dari segi ilmiah
untuk terus menjadi pejuang yang gigih mempertahankan budaya pandirisme,
memberi kita kesedaran yang amat berguna bahawa kita mempunyai kumpulan yang
sanggup mempertahankan budaya pandirisme mereka dengan menolak bulat-bulat
konsep “ingkar ilmu” tanpa memperdulikan siapakah yang menjadi sumber sikap
“ingkar ilmu” itu. Inilah tahap kemajuan intelektual para sarjana ciritan dan
sasterawan picisan yang kedudukan mereka begitu kuat sehingga mereka boleh
menentukan corak perkembangan intelektual di Malaysia sehingga mendapat
sokongan kepemimpinan tertinggi negara, yang telah memberi derma yang besar
kepada golongan ini.
Peranan
ITBM dan DBP menyokong dan mempertahankan kumpulan pejuang budaya pandirisme
ini membuktikan betapa kuatnya hegemoni pandirisme dalam budaya intelektual
Malaysia. Dalam SKPM 2014 yang dianjurkan oleh ITBM, tokoh terbesar kumpulan
ini, yang telah diberi gelaran paling berprestij
(sebenarnya aku jijik menggunakan perkataan ini kerana bau tengik ketiak Barat
terlalu kuat), iaitu Tokoh Akademik Negara, telah meluahkan keterampilan
intelektual dan keupayaan akademiknya yang sangat tinggai dengan memberi
pendapat yang sangat lucu ketika beliau berbicara tentang kritikan sastera
Malayu moden. Inilah kata-kata hikmah beliau yang lucu itu:
“Kritikan
ialah satu sayap sastera yang sudah
patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang
menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau
hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk
kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga
membantu penulis berkembang. ... Penulis
juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan
Mohamad dan Baha Zain.” (hal. 206, Sastera
Teras Negara Bangsa, ITBM 2014.).
Kata-kata
ini menjadi lucu, dan akhirnya bertukar menjadi lucah secara akademik, apabila
kesimpulan ini berasaskan a complete
ignorance tentang suatu perkembangan dalam kritikan sastera Malaysia sejak
lebih dari 30 tahun yang lalu, setelah munculnya gagasan Persuratan Baru yang
kini mempunyai berlori-lori bukti yang boleh dilihat dengan mudah, hatta oleh
orang yang buta sekali pun. Mengapa Prof. Emeritus ini tidak tahu semua ini?
Apa sudah jadi dengan gelaran beliau itu? Saya amat kasihan kepada sahabat saya
Baha Zain yang digesa oleh Prof. Emeritus ini untuk dijadikan contoh dalam
kritikan, tanpa diketahui oleh beliau
Baha Zain pun sama saja dengan beliau, sudah ketinggalan 30 tahun dan tidak
pernah dengar gagasan Persuratan Baru. Bayangkan dua orang pengkritik agung
Malaysia ini cuba membaca kira-kira 1300 halaman tulisan dalam blog ini yang
membicarakan tentang ilmu dan gagasan Persuratan Baru, tentulah kedua-duanya
tidak akan terdaya melakukannya. Tidakkah ini amat memalukan? Mereka berada
dalam keadaan yang amat serba salah, meneruskan kedegilannya menafikan gagasan Persuratan Baru tidak
mungkin sama sekali; tetapi menerimanya akan menaikkan prestij (aku tidak suka
perkataan ini!) mereka sebagai pengkritik yang bertanggungjawab dan beradab
mulia, seperti yang mereka kehendaki orang lain mempunyainya. Adakah
pengecualian ini “bermoral, beretika, dan bertanggungjawab”? Jika mereka mempunyai maruah intelektual yang
tinggi dan ikhlas, yang tidak bersalut lumpur hasad, mereka akan menangis
mengongoi seperti budak sedang kelaparan. Mereka menghadapi kebuluran ilmu yang
amat dahsyat. Mereka hanya boleh diselamatkan melalui gagasan Persuratan Baru.
Sikap positif mereka terhadap kritikan cara mereka membuat mereka sanggup
kebuluran ilmu dan sanggup pula menghadapi risiko akan diberi catatan dalam
sejarah intelektual Malaysia sebagai tokoh yang anti-ilmu dan menerima sikap
“ingkar ilmu” tanpa mengetahui padahnya. Sebagai panduan, jika mereka berminat
hendak mengkritik gagasan Persuratan Baru, mereka boleh cerakinkan 1300 halaman
itu kepada beberapa tajuk utama (mereka boleh tentukan apa yang mereka mahu),
seperti yang dibuat oleh Randall Collins dalam bukunya, The Sociology of Philosophies: A Global Theory of Intellectual Change,
lihat rajah cerakinan tentang Imam Ghazali di halaman 424 dan tentang Socrates
di halaman 56. Semoga rajah-rajah ini boleh membantu. Cerakinan ini boleh juga
dibuat oleh sesiapa yang ingin tahu apa yang ada dalam 1300 halman entri blog
itu. Anggap ini sebagai satu latihan
berfikir secara sistematik.
Apakah
padahnya? Sebenarnya padah itu tidaklah besar sangat, hanya sekadar mendapat
kutukan mesra daripada para cendekiawan dan sarjana sastera masa depan yang
kasihankan mereka berdua berada dalam keadaan itu, tetapi admire kedegilan mereka berdua untuk terus berada dalam budaya
pandirisme. Tuak pandirisme telah
membuat mereka terhuyung hayang mencari arah pintu untuk keluar, yang entah ke
mana, kerana dalam keadaan mabuk itu mereka tidak boleh membawa kereta besar
mereka. Inilah tragedi yang amat
memilukan kita semua yang sangat kagum dengan dua orang tokoh terbesar kritikan
sastera Melayu ini, lebih-lebih lagi apabila kita tahu mereka tidak mungkin
berupaya membaca 1300 halaman tentang gagasan Persuratan Baru, yang
kewujudannya tidak diketahui mereka pun. Sungguh kasihan kepada para pendukung
sastera dikhianati oleh tokoh besar mereka sendiri yang memilih untuk bersikap
“lembu kenyang,” kata oramg Kelantan.
Satu
tragedi akademik yang mengalahkan semua tragedi Shakespeare yang melucukan itu. Sebuah tragedi intelektual yang amat
melucukan.
Apakah
peranan yang boleh dimainkan oleh ITBM dan DBP untuk membuat pembelaan terhadap
dua orang tokoh besar kritikan sastera Melayu ini? Paling kurang yang mereka
boleh buat ialah dengan menerima kehadiran gagasan Persuratan Baru sebagai
suatu realiti dalam sastera Melayu moden, oleh itu dalam apa juga program
sastera yang mereka anjurkan, satu kertas mengenai gagasan Persuratan Baru
wajar diberi tempat supaya mana-mana sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang
tidak pernah mendengar nama Persuratan Baru boleh mendapat manfaat, supaya
mereka tidak terus berada dalam gelap gelita hegemoni pandirisme yang berusaha
bersungguh-sungguh untuk menutup sebarang perbincangan ilmiah tentang peranan
ilmu yang benar dalam kritikan sastera dan dalam karya kreatif. Sebarang
bangkangan boleh dijadikan isu penting yang boleh dibahaskan dengan ilmiah,
supaya kedua belah pihak boleh mengemukakan hujah masing-masing secara tuntas.
Itulah caranya dalam budaya ilmu Barat sekali pun, yang menjadi ikutan para
sarjana ciritan dan sasterawan picisan sudah sekian lama. Tentulah lebih baik
jika sumbangan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara turut dibincangkan dengan
kritis, supaya sumbangan mereka dalam membina kritikan sastera Melayu moden
terserlah. Apakah idea baru yang mereka kemukakan, sesuai dengan keriuhan
mereka dalam laporan mereka bahawa idea baru itu penting dalam penulisan
kreatif, seperti yang mereka senaraikan dalam laporan mereka. Adakah mereka
sendiri tidak mempunyai idea baru itu? Ini yang perlu kita debatkan dengan
jujur, untuk mengelak dari tuduhan bahawa kita telah dinilai oleh sekumpulan
sarjana yang mandul dari segi idea dan cetek meraba-raba dari segi ilmu.
Kita
perlu uji sejauh mana puak ini serius dengan perubahan, kelainan dan seterusnya
yang kini sudah menjadi klise baru dalam kritikan sastera. Apabila seorang tokoh besar, seorang Profesor
Emeratus berkata bahawa “sudah lama institusi bahasa dan sastera kita tidak
menjadi apa-apa, melainkan bahan ketawa” (hal. 248), maka yang terbayang kepada kita ialah pesta
lawak lakonan para ahli akademik, sarjana
yang bergelar profesor atau profesor madya, yang gagal memberi imej sewajarnya
kepada institusi bahasa dan sastera tempat mereka mencari makan, sama ada yang
berada di universiti mahupun yang di luar universiti. Kalau begitu, dan andainya teguran Profesor
Emeritus ini benar, maka apakah yang
boleh kita harapkan daripada mereka untuk membawa perubahan dan sebagainya? Tepat
sekali mereka ini hanya para pelawak yang tidak saja melawak, tetapi
benar-benar “pelawak” dalam pengertian yang dipakai dalam budaya masyarakat
Kelantan. Inilah contoh kelakuan schizophrenic yang pernah disebut oleh Prof.
Muhammad Haji Salleh tentang dirinya: “I
was a linguistic and cultural schizophrenic .
English colonized me, yet it was my lifeblood.” (hal. 20-21, Critical
Perspectives on Muhammad Haji Salleh, ed. Zawiah Yahya, DBP 2003).
Kalau
begitu, apakah yang boleh kita harapkan daripada sarjana terbesar Malaysia
ini? Beliau telah memberikan kita sebuah
sajak terindah yang memperihalkan sikap schizophrenic
budaya beliau, “Pulang Si Tenggang” berasaskan
bacaan dan tafsiran beliau terhadap legenda seorang penderhaka kepada
nilai-nilai budaya Melayu menjadi seorang wira dalam diri Muhammad Haji Salleh
sendiri. Inilah perubahan nilai yang
diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu, terutama di kalangan sarjana
ciritan dan sasterawan picisan. Apakah
perubahan yang diingini oleh Muhammad Haji Salleh dengan perubahan nilai ini?
Ditegaskannya dengan amat angkuh dalam kata-katanya yang sudah menjadi klasik
dalam kelakuan schizophrenia ini:
“Aku telah belajar, jadi kurang ajar...”
Bandingkan ucapan keramat ini dengan penegasan Buyung Lurus dalam Hikayat
Buyung Lurus: “Kita mesti pertahankan kebenaran di negara kita.” Inilah
yang paling siuman untuk dijadikan panduan dalam kehidupan Melayu moden, bukan
menjadi kurang ajar.
Aku
menulis novel terbesar Malaysia, mengatasi semua novel para sasterawan negara, Hikayat Buyung Lurus, perihal seorang intelektual kampung yang jauh
lebih cerdik dan lebih bijak daripada mana-mana sarjana ciritan dan sasterawan
picisan di Malaysia. Falsafah hidupnuya menjadi ikutanku dalam kerjayaku
sebagai seorang pujangga: “Kita mesti pertahakan kebenaran di negara kita”.
Novel ini diasaskan daripada gaya bertinju Muhammad Ali, suatu kelainan yang
tidak pernah terfikir oleh mana-mana sasterawan negara yang menurut Panel
Anugerah Sastrera Negara banyak membuat kelainan, pembaharuan, eksperimen,
anti-kutbah, anti-ilmu dan lain-laian keistimewaan. Buyung Lurus adalah seorang
watak kreatif yang paling cerdik dan bijak yang pernah dilahirkan dalam karya
kreatif Malaysia. Tentu saja anda dialu-alukan untuk menolak dakwaan ini dengan
pembuktian yang cukup, misalnya dengan mengatakan, jika anda mahu, Pak Hassan
adalah watak terkuat dalam sastera Melayu kerana kecerdikaknya dan kegedilannya
(yang entah apa-apa), atau mungkin juga watak Salina, atau Lahuma. Tentulah
menyeronokkan jika dibuat satu perbandingan dari segi perwatakan dan kecerdikan
watak-watak terpilih yang sudah menjadi tokoh popular dalam novel Melayu,
seperti Lahuma, Salina, Pak Hassan, dan lain-lain yang anda suka hendak jadikan
mereka tokoh popular novel Melayu. Anda nanti akan melihat kehebatan Buyung
Lurus sebagai seorang pemikir, seorang pengkritik sosial, seorang ahli politik
yang jujur, dan seorag yang suka berjenaka tetapi jenakanya cukup serius. Anda
juga akan melihat bagaimana tipu daya politik ditonjolkan sebagai pembelaan
kepada rakyat, dilakukan oleh para pemimpin politik yang mencari kesempatan
untuk menjadi kaya. Di atas segala-galanya, anda akan mengerti makna rasuah
dalam politik dan dalam tindakan anggota masyarakat yang berkepentingan.
Dalam
sebuah tulisan yang saya tulis sekitar 1980-an, tetapi baru diterbitkan dalam Widya 1983 dan 1984, saya telah memberi peringatan kepada para
sasterawan seperti berikut (dipetik oleh editor dijadikan kutipan tersendiri):
“Para
penulis kita nampaknya tidak dapat menerima hakikat bahawa karya yang bermutu
tidak tergugat oleh penilaian, tepat atau tidak penilaian itu. Mereka lebih mengutamakan kehadiran mereka
sebagai penulis daripada kedudukan karya mereka. Yang dipertahankan bukanlah
mutu karya, tetapi kehadiran mereka sebagai penulis.” (Widya, Oktober 1983, hal. 57).
Bandingkan
ini dengan motto di blog ini. Jika para sasterawan negara mempunyai semangat
seperti yang disarankan dalam kutipan di atas, mereka tidak akan berasa
tersinggung jika menerima kritikan keras terhadap karya mereka, kerana mereka
sedar sebuah karya yang baik akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan
penulisnya. Kerana itu tidak akan timbul
isu bahawa Persuratan Baru akan menolak semua karya sasterawan negara sebagai karya sampah jika
dinilai daripada perspektif konsep ilmu yang benar dan stylization of ideas. Ukuran
yang digunakan dalam Persuratan Baru jauh berbeza daripada ukuran biasa yang
klise yang dikenali selama ini, oleh itu penulis dan pembaca serta penilai
jenis lama sepatutnya sedar akan perubahan ini dan cuba memahaminya. Kalau
engkau bercakap banyak tentang perubahan, eksperimen, kelainan, dan sebagainya
yang diajarkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, maka engkau harus bersikap
terbuka apabila sudah ada cara yang berbeza untuk menilai karyamu. Isunya
sangat mudah, jadi tidak perlu kamu semua jadi schizophrenic. Kalau engkau membaca Hikayat Buyung Lurus dengan kritis dan kreatif, engkau akan melihat
teknik dan gayanya tidak lagi seperti yang kamu biasa baca selama ini, dengan
itu kamu harus membaca dalam mod bacaan intelektual, tidak lagi dalam mod
bacaan cerita seperti yang biasa kamu lakukan. Saya telah bercakap tentang
belajar membaca dengan betul ini sudah lama, sejak tahun 1980-an lagi, jadi
bukan perkara baru.
Masalah
sampah dalam kegiatan intelektual juga bukan perkara baru. Ini cerita lama,
paling terkenal sudah dihuraikan oleh Pitirim Sorokin dalam bukunya yang
terkenal, The Crisis of Our Age (terbit 1941). Dalam teori pengurusan Amerika
Syarikat, perihal belantara teori pengurusan ini dan banyaknya sampah dalam
teori pengurusan telah dibincangkan oleh James Lee sejak 1960-an lagi. (Rujuk Medan-medan
Dalam Sistem Persuratan Melayu, hal. 42.) Sekarang sastera sampah
menjadi kemegahan para sarjana ciritan
dan sasterawan picisan, diberi sanjungan dan sokongan oleh ITBM dan DBP. Sejauh mana keadaan ini membawa kemajuan
berfikir dalam masyarakat Malaysia? Yang
berlaku adalah sebaliknya, iaitu apabila konsep ilmu yang benar ditinggalkan
atau diremehkan, maka perkara-perkara aneh yang dibincang dalam entri yang
lepas, mengenai faham pascamodenisme. Kemuncak pascamodernisme ini ialah
apabila mangkuk kencing (urinal)
diangkat oleh Marcel Duchamp sebagai seni, dan kini mendapat harga yang sangat
mahal, berpuluh juta kerana telah diangkat menjadi karya seni di Barat. Persis
inilah yang terjadi dengan karya sastera
sampah yang ini diangkat oleh Mana
Sikana di atas takhta keunggulan, kerana sebab yang sama, iaitu menentang
tradisi ilmu dan mengubah nilai-nilai tradisi, seperti yang dilakukan oleh
Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya, “Pulang Si Tenggang.” Kepalsuan sajak
ini sudah saya bincang dengan agak terperinci dalam sebuah tulisan yang
disiarkan dalam Widya, Januari 1984.
Tulisan itu penting dan perlu dirujuk, kalau anda serius dengan
kecemerlangan pembohongan dalam sastera.
Saya
perlu cerita sedikit tentang Marcel Duchamp, kerana Mana Sikana tidak pernah
dengar namannya, apatah lagi para pengikut beliau terdiri daripada para sarjana
ciritan dan sasterawan picisan, oleh itu mereka tergila-gila seolah-olah tidak
siuman lagi mendewakan faham pascamodernisme yang anti manusia itu (anti-Tuhan
tak usah katalah, memang falsafah mereka untuk menentang kebenaran.) Tidaklah aneh sekiranya kita dapati Shahnon
Ahmad, yang digelar oleh Mana Sikana Raja Novelis Malaysia, dan Profesor
Emeritus Muhammad Haji Salleh, Raja
Pensajak Malaysia (gelaran yang diberikan oleh Mana Sikana juga), menjadi
penyokong Mana Sikana dengan menerima pujian beliau kerana semua karya dan
gerak laku mereka sesuai dan selari dengan pascamodernisme. (Baca kembali
pujian Mana Sikana terhadap Raja Novelis Malaysia.) Apakah keistimewaan faham pascamoderisme ini?
Jawapannya diberikan oleh Marcel Duchamp. Beliau adalah tokoh dan pelopor avant-guarde,
yang selepas itu djadikan ikon pascamodernisme. Sekali peristiwa dalam tahun
1917, sebuah gerakan seni di Amerika Syarikat yang menggelar dirinya American
Society of Independent Artists mengadakan pameran April 1917,dengan slogan “No
jury. No prizes.” Menurut Catherine Belsey dalam bukunya, Poststructuralism: A Very Short Introduction (OUP 2002),
“In order to avoid even the most unintentional hierarchy, Marcel
Duchamp, an influential member of the
Independents, is said to have suggested that the works should be hung in
alphabetical order, starting with a letter drawn from a hat. For his inventive
idea he was elected chair of the hanging committee.) (hal. 84). Perhatikan perkataan hierarchy di situ, yang sangat penting sebagai falsafah avant-garde dan pascamodenisme, tetapi
kemudiannya kita dapati inilah kedudukan yang mereka klaim untuk diri mereka:
mereka adalah yang terbaik dan yang paling bebas di antara seniman. Apakah yang terjadi kemudiannya?
Inilah
seterusnya cerita Marcel Duchamp dan sahabat karibnya Richard Mutt. Sangat lucu, tetapi sekali gus amat
serius. Richard Mutt mengemukakan
karyanya berjudul Fountain, berupa
mangkuk kencing (urinal) untuk
pameran itu, tetapi ditolak oleh Independents. Marcel Duchamp serta-merta
menarik diri dari jawatan Pengerusi
memilih dan menggantung karya yang akan dipamerkan. Karya yang ditolak, Fountain, yang memakai nama Richard Mutt, sebenarnya Marcel Duchamp
sendiri, oleh itu sesuai dengan kedudukan Duchamp, Fountain diiktiraf sebagai “one of the most highly prized works of
the 20th century.” (hal. 85). Yang anehnya, karya itu tidak pernah wujud,
kecuali gambarnya, dan gambar itulah yang dicetak untuk dijual dengan harga
mahal. Fountain, atau bahasa
Melayunya pancutan zakar kencing, mendapat tempat istimewa dalam seni halus
Barat. Seorang ahli falsafah dan ahli
estetiks Eropah, Thierry de Duve, menurut Belsey, “has argued that
Duchamp’s work in general, and Fountain in particular, mark a
turning-point in aesthetics.” (hal. 86).
Pancutan kencing dari zakar “mark a turning-point in aesthetics.”
Kebenaran
pedapat ini telah dibuktikan oleh Shahnon Ahmad, penulis novel Shit (agaknya boleh diterjemahkan
sebagai tahi; tetapi ada yang
terjemahkan atau tafsirkan sebagai Mahathir, seperti Duchamp memanggil pencipta
Fountain Richard Mutt). Novel ini
mendapat sanjung para sasterawan dan pengkritik sastera, yang dianggap oleh
Mana Sikana karya avant-garde dan karya absurd paling unggul di Malaysia, yang
melayakkan penulisnya diletak di atas takhta keunggulan. Apa pun juga pendapat
kita, sama ada jenis gila dan tidak siuman, atau yang khayal dalam angan-angan
pascamodernisme, karya Shahnon Ahmad ini adalah sebuah karya klasik dalam
pascamodernisme Malaysia. Yang menariknya kedua-dua karya besar dunia ini adalah
mengenai najis. Adakah pascemodernisme itu sendiri sejenis najis budaya?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30/10/2016.
No comments:
Post a Comment