Monday, October 17, 2016

KONSEP “INGKAR ILMU”: SATU CATATAN KECIL UNTUK RENUNGAN SERIUS PARA SARJANA

Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, seorang yang banyak menulis tentang konsep ilmu dalam Islam, mengemukakan satu istilah baru, “ingkar ilmu”, untuk menyaingi istilah “anti-ilmu” dan “anti-intelektual” yang kerap dipakai dalam  perbahasan akademik di Barat. Istilah ini penting kerana trerdapat dua prinsip utama yang menjadi tunjangnya: Pertama, istilah ini merujuk kepada makna “ingkar ilmu” itu terus kepada sumber ilmu, yakni al-Quran.  Implikasinya ialah yang “ingkar ilmu” itu ialah Iblis. Kedua, implikasinya yang lain ialah sangat penting dalam hubungannya dengan sikap para sarjana sastera Malaysia yang menerima teori sastera Barat secara tidak kritis, tanpa meperdulikan sumber ilmu yang menjadi asasnya, dengan itu para sarjana ini tidak dapat meletakkan teori Barat itu pada tempatnya seperti yang dikehendaki dalam Islam. Kesannya amat buruk dalam kegiatan ilmiah dan kreatif dalam sastera Melayu. Itulah antara persoalan penting yang dibincang di dalam entri yang lepas (bertarikh 29/9/2016).

Sikap anti-ilmu dan anti-intelektual yang berleluasa dalam kegiatan sastera Malaysia tidak kelihatan dengan jelas sifat dan cirinya kerana pada waktu ini para sarjana dan sasterawan boleh berselindung dalam kepuraan ilmiah dan kepuraan kreatif mereka dengan berkata bahawa mereka tidak menolak konsep ilmu yang benar, tetapi tidak dapat menerimannya seperti yang dikonsepsikan dalam gagasan Persuratan Baru. Jika diterima konsep ilmu yang benar seperti yang dihuraikan dalam Persuratan Baru, sasterawan negara tidak lagi wujud kerana tidak seorang pun di antara mereka menulis dalam konteks yang dibicarakan oleh PB. Kata mereka, ini satu penyelewengan sejarah yang sangat memalukan, yang mesti, tidak dapat tidak, ditolak dengan tuntas hatta sekiranya perlu dengan menolak kosep ilmu yang benar itu sekalipun. Inilah pendirian rasmi para sarjana dan sasterawan Malaysia. Adakah pendirian ini berasaskan kefahaman yang betul atau hanya gambaran pandirisme yang menjadi pegangan mereka yang tidak dapat menghuraikan dengan jelas kedudukan para sasterawan negara yang mereka pertahankan itu.  Selalu ditamsilkan, keadaan seumapama ini adalah situasi  burung unta (kasawari) yang membenamkan kepalanya di dalam pasir, seolah-olah menyembunyikan kepalanya; padahal perbuatannya itu ialah untuk menentukan dari mana sumber bahaya yang dihadapinya supaya dia senang melepaskan dirinya. Tetapi para sarjana dan sasterawan yang menyembunyikan kepala mereka di dalam pasir pandirisme bukan untuk mendapat kepastian tentang bagaimana menyelamatkan diri dari kekeliruan, sebaliknya kekal berada dalam pasir pandirisme mereka. Nampaknya burung unta jauh lebih cerdik daripada para sarjana dan sasterawan ini!

Saya telah mengulang berkali-kali bahawa ini bukanlah isunya; malah saya menegaskan para sasterawan negara ini boleh terus tercokol dalam sastera Melayu moden, tetapi sebagai penulis karya sastera, bukan sebagai penulis karya persuratan. Perbezaan antara karya persuratan dan karya sastera sangat jelas: satu berasaskan ilmu yang benar; yang satu lagi berasaskan fictionality dan emosi serta sentimentaliti.  Dalam konteks dan maksud ingkar ilmu yang difahamkan dalam Islam, sastera seperti yang dikonsepsikan di Barat dan diikuti di Malaysia oleh para sasterawan dan sarjana, sudah jelas berada dalam konteks “ingkar ilmu” itu.  Akibat dari ingkar ilmu maka lahirlah keadaan kehilangan adab dan berleluasanya kekeliruan akibat dari kekeliruan dalam konsep ilmu. Ini menimbulkan keadaan biadab, yang diterjemahkan dalam kegiatan sastera oleh para sasterawan dan sarjana sebagai kegiatan golongan pinggiran yang keliru dari segi kefahaman ilmunya dan akibatnya mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba. Sekarang anda boleh faham dengan mudah, dan jelas, kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhan beliau di UKM tahun 1972, yang terangkum dalam buku beliau Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kesimpulan beliau sehingga kini belum lagi dicabar secara ilmiah oleh mana-mana sarjana sastera. Sudah tiba masanya mereka tampil untuk menolak atau menerima kesimpulan itu, demi menjaga dan mempertahankan maruah akademik dan maruah intelektual mereka. Mereka harus belajar daripada burung unta yang cerdik itu, dengan itu mereka akan dapat mengenal pasti sumber kekeliruan mereka dan terus membetulkannya.  Itulah tindakan yang paling siuman; jikalau mereka menolak sifat siuman ini, maka mereka akan berada dalam dunia schezophrenia yang dibincangkan dalam entri yang lepas.  Kesediaan burung unta menerima rahmat Allah yang memberinya kepandaian membenamkan kepalanya ke dalam pasir untuk menentukan sumber bahaya yang akan dihadapinya, diterima oleh burung unta dengan rasa syukur. Tetapi tidak manusia, yang lebih rela menurut Iblis yang ingkar ilmu untuk membuktikan dialah yang paling unggul dari antara makhluk Allah. Tetapi keunggulan itu dalam  bentuk ingkar ilmu, dan tempatnya telah ditentukan Allah di neraka jahanam. Inikah pilihan sarjana dan sasterawan yang ingkar ilmu?  Nampaknya begitulah, sekiranya kita menerima teksdealisme sebagai teori sastera yang mengagungkan pelanggaran sebagai unsur utama dan penting dalam mencapai keunggulan para sasterawan negara yang membuat mereka berhak berada di atas takhta keunggulan kerana telah melakukan pelanggaran yang sangat hebat dalam karya mereka. Bolehkah akal sihat menerima logik sinting ini? Tetapi kerana para sasterawan dan sarjana sastera mengaku mereka berada dalam kumpulan yang mengalami schizophrenia, maka mereka menerima “ingkar ilmu” sabagai hujah dalam bentuk pelanggaran yang diajarkan oleh Mana Sikana dan diterima dengan baik oleh semua sasterawan negara, para sarjana dan sasterawan lain.


Nota Tambahan

Dalam tahun 2014 ITBM mengadakan satu pertemuan besar dan penting yang dipanggil  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM), dengan penerbitan semua kertas kerja dalam buku berjudul Sastera Teras Negara Bangsa. Apakah yang diberikan oleh buku ini dan oleh para penulis kertas kerja?  Dokumen ini penting kerana ia menjadi bukti betapa karutnya tulisan yang diselaputi dan diselubungi “ingkar ilmu” yang hanya berjaya mengusutkan semua persoalan tentang peranan ilmu dalam perkembangan penulisan (akademik dan kreatif.)  Tidak ada sebuah pun kertas yang secara serius membicarakan konsep ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan tamadun manusia.  Walaupun dokumen ini penting dari segi bukti betapa hanyut dan kelirunya para sarjana dan sasterawan, namun kehadirannya pada waktu ini menjadi bukti kegagalan sastera dalam pembinaan negara bangsa, yakni dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Para penulis kertas kerja dan ITBM sendiri tidak sedar dan tidak dapat melihat kepalsuan projek mereka kerana mereka sudah dibelenggu oleh gerakan “ingkar ilmu” yang menjadi asas perkembangan sastera Melayu moden. Inilah kecelakaan yang kita terima daripada Asas 50 yang melahirkan para sasterawan negara.



Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 16 Oktober 2016. 

No comments:

Post a Comment