Perbincangan
tentang pascamodernisme dalam sastera Melayu mungkin yang paling lucu dalam
dunia, selain menyerlahkan keunggulan
kecacatan mental yang dipanggil schizophrenia
di kalangan sarjana dan sasterawan. Raja lawaknya ialah Mana Sikana, “peneroka”
pascamodernisme dalam sastera Melayu.
Antara penyokong intimnya ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan
Sasterawan Negara Prof. Emeritus Shahnon Ahmad.
Kedua mereka adalah tokoh besar dalam bidang akademik di Malaysia, oleh
itu jasa mereka berdua mempertahankan pascamodernisme adalah amat memeranjatkan
sarjana Barat yang menolak pembohongan pascamodernisme ini. Kita lihat beberapa contoh daripada tulisan
Mana Sikana. Kita akan lihat bagaimana
persampahan akademik yang diselerakkan oleh sarjana ini telah menjadikan
pengajaran sastera di universiti menjadi beku dan tidak lagi diminati. Kalau ini bukan salah beliau sepenuhnya,
sekurang-kurangnya beliau dan rakan-rakannya memberi sumbangan besar menjadikan
sastera Melayu lumpuh dan bangkut dari segi pemikiran kerana kegiatan kumpulan penyampahan sastera ini
terarah kepada mempertahankan sasterawan negara sebagai pencetus sastera sampah
dalam konteks “ingkar ilmu” yang dibincang dalam tiga entri yang lepas. Oleh sebab isu ini sudah menjadi semakin
serius sekarang, setelah dibangkitkan secara konkrit dengan meletakkan isu ini
dalam konteks “ingkar ilmu” itu, maka kedudukan penilaian sastera perlu dilihat
kembali dengan lebih kritis dan serius.
Mana Sikana adalah wira yang angkuh mempertahankan penyampahan sastera
oleh sasterawan negara ini, yang ditunjukkan oleh beliau dalam tiga buah
bukunya (yang isinya dikitar semula dari tulisan lama beliau): (1) Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu
Pascamoden (ITBM 2013); (2) Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan (ITBM
2015); (3) Penulisan Akademik Sastera
(DBP 2015).
Sejarah
cemerlang kesarjanaan Mana Sikana diberi sorotan agak kritis oleh seorang
penulis bernama K. B. Tan dalam tulisannya, “Antara Ilmu dan Retorik Kosong” (Dewan Sastera, Mei 1997, hal. 56). Saya telah memberi komentar saya terhadap
tulisan ini dalam entri bertarikh 23/10/2012: Saya tertarik membaca ayat pertama beliau:
“Sastera Melayu masih ditukangi penukang sastera yang lemah pemikirannya.”
Kesimpulan K. B. Tan saya kira tepat, dan ini mendorong saya mengumpulkan
beberapa tulisan mengenai tokoh jempulan ini, “Teakdealisme Lambang Pandirisme
Dalam Kritikan Sastera Melayu” (boleh dirujuk di Perpustakaan DBP, UM, UPM, UKM,
USM dan UPSI). Bagi saya inilah contoh bullshit
dalam sastera Melayu, yang saya huraikan lebih mendalam dalam buku saya,
Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.
(Diterbitkan Klasika Media, 2016.)
Ketiga-tiga buah buku Mana Sikana yang saya senaraikan di atas adalah
contoh terbaik antara beberapa contoh terkenal dalam kritikan sastera Melayu
(termasuk kritikan saya terhadap buku Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Dr. Mawar
Shafie.)
Apakah
jenis penyakit yang dihidapi oleh para sarjana ciritan ini? Dalam tiga entri terdahulu, saya telah
menjelaskan bahawa mereka adalah kumpulan yang cetek meraba-raba yang menentang
konsep ilmu yang benar, yang kemudiannya terserlah apabila kegiatan mereka
dinilai daripada perspektif “ingkar ilmu” yang dikemukakan oleh Prof. Wan Mohd.
Nor Wan Daud. Mereka melakukannya dalam
tiga gaya atau teknik yang hebat: menggunakan pretensi intelektual, retorik
peragaan, dan fatamorgana bahasa. Anda boleh membaca mengenai tiga teknik ini
dengan merujuk kepada senarai entri yang saya berikan di hujung entri ini. Sila
rujuk di sana. Ketiga-tiga teknik ini digunakan
secara meluas dengan amat berkesan dalam tulisan Mana Sikana, terutama sekali
dalam buku yang saya senaraikan di atas.
Implikasinya ialah semua penilaian beliau adalah contoh penyampahan
akademik yang membanggakan para sasterawan kerana penuh dengan penilaian yang
bersifat bullshit seperti yang
dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya yang
terkenal, On Bullshit. Dalam caranya yang tersendiri, inilah keistimewaan
Mana Sikana sebagai seorang sarjana terkenal Malaysia. Keistimewaan beliau yang lain ialah
“kegilaannya” kepada gerakan pascamodenisme yang bersifat schizophrenic. Kita lihat keistimewaan ini pula.
Amat
jelas, dari tulisan beliau, Mana Sikana tidak tahu apa-apa tentang gerakan
pascamodenisme ini, kecuali menyebut beberapa perktaaan (istilah?) yang disalin
oleh K. B. Tan seperti berikut: analepsis,
ikonikal, hipogram, reduksi trsnssendental, hogomolistik, idiogrsamatik,
diparadiksiti, endeksikal,diparalelisasikan, konkritisi, plutonikal, purgasi,
sisop0osisi, stikometri, melaforisme, epigramatik, metahistorikgrafik,
genrologi, kutasi, afrodesiatik, rasional seminalis, teksdelaisme, paseigo
debola, gynokritik, doxa, sui generis, per se notum, notum, anatheia. Semua ini ditayangkan olleh Mana Sikana dalam
tulisannya di Utusan Malaysia 1994
melalui tulisannya yang diminta oleh Chief Editor untuk menulisnya. Kita pun
akan dapati perkataan-perkataan ini dalam tiga buah bukunya, dengan beberapa
tambahan baru. Inilah lagak sarjana
besar kritikan sastera Malaysia, yang kini sudah pun diberi gelaran Raja
Pengkritik Malaysia. Kalaulah “sastera” boleh bercakap, dia akan meludah
penutur kata-kata ini kerana menghina sastera serendah itu. Tetapi inilah yang dinamakan pascamodenisme
dari perspektif Mana Sikana!
Satu
perkara yang amat memeranjatkan kita ialah bagaimana seseorang yang siuman
boleh tertarik kepada pacamodenisme.
Apakah istimewanya konsep ini dalam perkembangan intelektual Malaysia? Senarai retorik peragaan dan pretensi
intelektual yang diberikan oleh K. B. Tan yang saya salin menunjukkan kesan yang amat negatif dari segi perkembangan
tamadun berasaskan ilmu yang benar yang menjadi paksi dalam tamadun Islam. Apa
yang diberikan oleh Mana Sikana melalui kegilaannya terhadap pascamodenisme
adalah sensasi yang bertunjangkan sepenuhnya kepada cara hidup dan cara
berfikir hedonistik berasaskan hawa nafsu. Inilah yang mendorongnya membuang
apa juga unsur Islam dalam teksdealisme yang dulunya diakuinya mempunyai
unsur-unsur Islam yang disaring dengan teliti, tetapi dibuang terus dalam
teksdealisme yang dijadikannya asas menilai karya para sasterawan negara,
diganti dengan unsur pascamodenisme yang penuh sensasi. Ini ditunjukkannya dalam pujiannya terhadap Shahnon Ahmad:
“Dalam
konteks teks-teks keislaman Shahnon Ahmad ini, saya cuba hubungkan dengan
konsumer pascamoden, apabila citraan erotis anutan golongan pascamodenis berupa
umpan atau daya tarikan. Teks-teks pastik, kitsch, skizoprenia dan povalensik mempunyai
unsur erotis. Keadaan sedemiian sesuai dengan masyarakat Barat yang segalannysa
nihilistik, namun percikannya dapat dirasakan bertaburan dalam masyarakat kita.
Dengan berpandangan sedemikian, aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari
dengan dunia pascamoden terkini. Malah jika dilihat dalam konteks masa, TIVI itu sendiri mempunyai unsur
teks hipermodenisme, iaitu zaman yang
sedang menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga.
Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hipererealistik,
terutamanya dalam memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam
kalangan keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad
ditandai oleh transparensi sosial.
Dengan
keterangan itu, saya melihat bahawa sastera Islam
Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden dan hipermoden. Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti. Bagaimanapun, saya bersetuju seandainya Shahnon Ahmad tidak membatasinya, tidak mustahil teks-teksnya akan tergelincir kepada dunia keterpesonaan dan erotisme.” (hal. 38-39, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)
Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden dan hipermoden. Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti. Bagaimanapun, saya bersetuju seandainya Shahnon Ahmad tidak membatasinya, tidak mustahil teks-teksnya akan tergelincir kepada dunia keterpesonaan dan erotisme.” (hal. 38-39, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)
Inilah
contoh kesampahan (pure rubbish)
dalam tulisan kritikan sastera yang sepatutnya mempunyai unsur akademik yang
jelas. Inilah contoh bullshit dalam
kritikan sastera. Perhatikan betapa berseleraknya sampah “istilah” yang bukan
istilah, tetapi hanya ciri-ciri yang belum tentu mencerminkan pascamodenisme
ala Malaysia yang menjadi kebanggaan Mana Sikana, tanpa sebarang penjelasan
yang masuk akal. Saya hanya ingin membangkitkan dua isu yang memerlukan
penelitian dan perdebatan: adakah novel TIVI
itu novel Islami? Jika betul, adakah inilah contoh novel Islami yang unggul? Mana
Sikana memberi kredit yang terlalu tinggi kepada kegiatan “sastera Islam”
Shahnon Ahmad, yang pada hakikatnya tidak mencerminkan worldview Islam, tetapi
hanya mengagungkan budaya hawa nafsu yang kononnya inilah keadaan masyarakat
Islam sekarang di Malaysia. Kalau kita menerima bebelan Mana Sikana, kita akan
dapati Malaysia sudah betul-betul sebuah negara Barat seperti Perancis, Jerman,
Amerika Syarikat, Britain kerana memenuhi ciri-ciri pascamodenisme yang disenara000ikannya,
dan semua para sasterawan adalah penganut faham pascamodenisme. Adakah ini
suatu penilaian yang tepat dan siuman?
Satu
perkara yang paling asas, yang tidak dapat tidak kita perlu jelaskan jika kita
menerima novel-novel Shahnon Ahmad itu novel Islami yang unggul, kita perlu
memberi analisis dan panilaian kita yang sekira-kira tepat dan jitu yang
mencerminkan worldview Islam, bukan
yang hanya bermain dengan Islam. Kita perlukan satu pendekatan yang boleh mengarah
kita kepada mendapatkan jawapan yang kita cari itu. Sudah jelas teksdealisme
sama palsunya dengan konsep novel Islami Shahnon Ahmad yang hanya mengutip ayat
Quran dan hadis tetapi tidak mencerminkan worldview
Islam yang berasaskan tauhid dan manusia yang terikat kepada taklif. Adakah
watak-watak dalam novel Shahnon Ahmad watak-watak Islam yang memenuhi dua
prinsip itu? Sudah sampai masanya Mana Sikana dan kawan-kawannya merasa dulu
rasa intelektual Persuratan Baru, selepas itu ludahlah gagasan itu jika tidak
bersetuju dengan selera anda. Jika itu keputusan anda, maka anda telah membuktikan
Persuratan Baru bukanlah pendekatan Islam. Cabaran sudah dilontar kepada anda,
ludahlah semahu anda, tetapi rasa dulu isinya.
Penyakit
sensasi berlebihan yang ditunjukkan Mana Sikana tidak saja membuahkan
kesimpulan yang tidak bertanggungjawab seperti dalam kutipan di atas, tetapi
juga telah melampaui sifat schizophrenia
yang membelenggu kewarasannya. Kita lihat pula pujiannya terhadap sajak-sajak
Kemala. Pensajak ini diberi tempat
kedua oleh Mana Sikana, selepas Muhammad Haji Salleh; yang ketiga ialah Baha
Zain. Inilah tiga orang pensajak agung Malaysia. Masuk akal? Bagi saya
ketiga-tiga mereka tidak dapat mengatasi, dari segi persajakan, T. Alias Taib.
(Lihat entri paling terkemuka dalam blog ini, jika dilihat dari pageviews, bertarikh 30/10/2010, “Sajak
sebagai mantra baru dalam sastera Melayu moden.”). Nampaknya penilaian saya diterima baik, dan
mereka bersetuju T. Alias Taib telah diketepikan dengan tidak adil. Tiga tokoh
besar pensajak Mana Sikana itu kelihatan seperti budak-budak nakal jika
dibandingkan dengan sajak-sajak intelektual, sajak pemikiran, Wan Mohd. Wan
Daud. Jika anda membaca puisi Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas (tidak banyak, tetapi bermutu), anda akan dapati
sajak-sajak tiga tokoh Mana Sikana itu adalah sajak-sajak ingusan. Jangan
terima bulat-bulat penilaian saya; anda perlu menelitinya dengan jujur, dan
sebagai pembaca yang cerdik. Saya tidak ragu-ragu meletakkan Wan Mohd. Nor Wan
Daud sebagai pelopor sajak intelektual Malaysia. Sesiapa juga yang mahu
mencabarnya, silakan. Kita boleh berdebat panjang tentangnya.
Kembali
kepada Mana Sikana dan Kemala. Kedua-duanya memiliki keangkuhan yang luar
biasa. Kata Mana Sikana: “ukuran seorang pengkritik itu dapat dilihat dalam
kemampuannya mengkritik puisi – pengkritik yang tidak pernah mengkritik puisi
sebenarnya belum teruji dan absah
sebagai pengkritik yang asli.” (hal. 240, Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan.) Jika
pendapat Mana Sikana ini benar, jelaslah beliau bukan pengkritik yang absah
itu, bukan asli. Dia barangkali menulis tentang sajak dan memberi pandangan
tentang sajak, tetapi tidak membuat kritikan yang mantap, yang boleh
dipercayai. Padangannya terhadap tiga raja pensajak Malaysia itu terlalu cetek
dan terlalu diada-adakan sesedap hatinya saja. Tetapi keangkuhannya boleh
dilihat dengan amat jelas apabila Mana Sikana berkata: “Tugas mutlak yang
dituntut oleh seorang pengkritik ialah keberaniannya dalam menghukum dan
memberikan kedudukan.” (hal. 241). Dia berlagak sebagai seorang maharaja
yang memberi bintang-bintang kebesaran. Perhatikan perkataan “mutlak” yang dipakainya. Ini
betul-betul gaya budak nakal, bukan gaya seorang sarjana. Seorang ulama pun
tidak berani berkata, “Fatwa aku ini mutlak, tidak boleh ditolak!”
Dengan
sikap yang seangkuh itulah Mana Sikana menulis tentang Kemala dalam tulisannya
yang berjudul, “Tariq al-Islami dalam
sajak-sajak Kemala”. Tajuknya nampak seolah-olah hebat, tetapi setelah kita
membaca pandangannya tentang Kemala, yang kita dapat adalah rubbish and bullshit. Perhatikan ini: “Aroma dan isti’arahnya serta balaghahnya juga memang terasa mistifikasinya, tetapi Kemala
seolah-olah tidak mahu menenggelamkan
dirinya secara mutlak ke lautan madu al-khamriyyat
al-suffiyyah. Kebanyakan puisinya ialah tasawur dan nazariyyah tentang taabuddiyyah
dan taqarrubiyyah seorang hamba kepada
Tuhan-Nya tetapi dengan segala kekhusyukan dan kekhususannya, Kemala telah
berdiri sebagai imam di negerinya itu.”
(hal. 246-247). Beberapa
perkataan Arab yang dipakainya hanyalah perhiasan kosong dalam konteks retorik
peragaan yang penuh dengan pretensi intelektual yang kosong. Tidak sebuah pun contoh sajak Kemala yang
dipilihnya mencerminkan ciri-ciri yang diarabkannya itu. Sebaliknya, yang
kelihatan jelas ialah betapa naifnya Kemala sebagai pensajak yang terlalu
ghairah memuji dirinya. Lihat saja contoh panjang yang diturunkan Mana Sikana: Marilah kita membaca puisinya yang
pertama:/Mim apa yang kau kenangkan Kemala/Mim rasa dalam terbenam di laut
sukma/terpancar pada kata pada bisik/terhampar pada wajah dalam sepi/bagi puisi
diam menarik ingin, lahir penyair/lipatlah sejarah ungu lembaran
sobek/kata-kata kelam oleh titis air mata seniman.... (panjang lagi!).
Adakah
inilah yang dipanggil tariq al-Islami
itu? Di mana pula al-khamriyyat
al-suffiyyahnya? Yang pasti Kemala sedang mabuk memuji dirinya. Inikah
puisi Islam, puisi sufi? Tidak nampak apa-apa yang bersifat sufi dalam
sajak-sajak naif yang mengada-ada ini, yang telah memeningkan kepala para Panel
Anugerah Sastera Negara sehingga telah memutuskan dengan sewenang-wenang dalam
kata-kata bombastik mereka, “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan
kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan
sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” Laporan
11, 2012, hal. 20) Lalu berkatalah Panel, dengan amat celupar dan tidak
bertanggungjawab: “Kemala juga berani
menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony (sic, untuk Antony) dan Cleopatra. Perkara
ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh di kalangan penduduk tempatan,
sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk hukum hidup yang universal dan
lumrah. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair
ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu
dan ajaran Islam.” (hal. 20.) Apakah
yang ingin disampaikan oleh Panel? Pastilah ketika mereka memuji Kemala ketika
mereka menulis laporan ini, mereka sedang mabuk al-khamriyyat al-suffiyyah yang sedang dinikmati oleh Mark Antony
dan Cleopatra, seperti yang disimpulkan oleh Allan Bloom dalam bukunya, Love and Friendship, hal. 304:
“Antony and Cleopatra are enchanted
with each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other
as much as possible.”
Alusi
ini digunakan Kemala bukanlah kerana minum khamar sufi, tetapi kerana khamar
cinta berahi asmara dana!
Kucing
betinaku yang baru lepas mengawan malu tersipu-sipu sambil menjilat bulu
selepas mendengar aku bacakan episod ini. Dia tahu apa makna al-khamriyyat al-suffiyyah yang
dimaksudkan oleh Mana Sikana, yang tidak diketahui oleh Panel Anugerah Sastera
Negara. Yang tahu dan yang tidak tahu kedua-duanya minum tuak pandirisme.
Kesimpulan:
demikianlah penyampahan kritikan sastera Melayu. Kesampahannya melucukan,
tetapi implikasinya sangat serius.
Apakah
kekuatan pascamodenisme? Faham Iblis ini menolak adanya kebenaran (the truth), dengan itu agama tidak ada peranan dalam pascamodenisme.
Seratus peratus menggalakkan budaya hedonisme ke kemuncaknya, tanpa
memperdulikan moral dan apa juga nilai, kecuali nilai kebebasan penuh.
Maksudnya, jika ada manusia ingin menjadi lembu, kambing, kuda, anjing, ikan
paus, kelawar, mereka bebas melakukannya. Teknologi AI sudah ada, boleh buat
semua itu. Sekarang manusia pascamoden mahu menjadi mesin dalam bentuk
manusia. Kata mereka, boleh dilakukan.
Inilah kebudayaan yang ingin dibawa dan dijadikan asas tamadun negara Malaysia
oleh Raja Pengkritik Malaysia, Mana Sikana. Kalau bukan itu maksudnya, buat apa
tergila-gilakan faham pascamodenisme ini? Lagi pula, lihat saja apa jenis
istilah yang dipakai oleh Raja Pengkritik Negara ini dalam tiga buah bukunya
itu. Sangat hebat, tetapi tidak ada ilmu, hanya kepura-puraan intelektual yang
dikenali sebagai pretensi intelektual. Usahanya untuk meletakkan para sasterawan
negara di atas takhta keunggulan gagal seratus peratus, kerana tidak ada ukuran
yang membolehkan mereka dinilai dengan objektif dan jitu. Panel Anugerah Sastera
Negara sendiri memang tidak boleh diharapkan, jika kita mengambil laporan mereka
sebagai dokumen yang penting. Apa ukuran yang mereka pakai? Hanya ukuran hawa nafsu
mereka sendiri. Akhirnya segala-galanya ditentu oleh pandirisme, yang kini menjadi
sejenis hegemoni budaya, iaitu budaya pandirisme.
So sorry for that!
Nota
kecil: saya gunakan istilah kesampahan (contoh:
“kesampahan idea dalam sastera Melayu)
dan penyampahan (contoh: penyampahan penilaian dalam kritikan
sastera.)
Senarai
entri untuk rujukan:
23/10.2012,
“Kecelaruan kognitif dalam pembinaan teori sastera: Kes Dr. Mana Sikana aka Dr.
Abdul Rahman Napiah.”
30/10/2012,
“Diperlukan penjelasan lengkap tentang konsep teori dalam kritikan sastera.”
24/3/2013,
“Retorik peragaan dalam seminar enam orang sasterawan negara.”
28/10/2014,
“Keunggulan yang cacat.”
10/10/2014,
“Pretensi intelektual dalam kritikan sastera Melayu.”
9/9/2014,
“Fatamorgana bahasa dalam kritikan sastera dan penilaian karya.”
14/10/2014,
“Kritikan sastera Melayu antara retorik peragaan dan fatamorgana bahasa:
Pandirisme yang gigih dipertahankan.”
8/9/2014,
“Fatamorgana bahasa dalam karya akademik dan karya kreatif di Malaysia.”
1/6/2015,
“Teksdealisme lambang pandirisme dalam kritikan sastera.”
19/4/2015,
“Mana Sikana penulis Sasterawan Negara di
Takhta Keunggulan: Kegagalan teksdealisme memahami keunggulan sejati.”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 25/10/2016.
No comments:
Post a Comment