Entri tentang “ingkar ilmu” ini mendapat
sambutan yang amat luar biasa, jika dilihat dari jumlah pageviews yang direkodkan
seluruh dunia, bukan di Malaysia sahaja. Memang ramai peminatnya. Oleh itu saya perlu memberi
sedikit lagi catatan mengenainya.
Yang
saya maksudkan dengan kesan positif dan negatif itu bukan merujuk kepada ingkar ilmu sebagai satu konsep, tetapi
merujuk kepada kefahaman dan penerimaan para penulis atau sarjana dan
masyarakat secara umum. Adakah ingkar ilmu satu konsep atau satu ungkapan?
Kedua-duanya. Sebagai konsep ia merujuk kepada cara kita
melihat sesuatu masalah, yang kita sedar atau tidak sedar, yang membolehkan
kita meneliti masalah itu dengan cermat dan melihat keadaan sebenarnya masalah
itu dan keadaan kita sendiri, sama ada kita menghadapi masalah itu atau
pura-pura tidak menghadapinya atau memang tidak tahu apa-apa. Di mana anda
berada? Saya tidak tahu, yang tahu anda sendiri. Adakah itu penting bagi anda?
Ini pun terpulang kepada cara anda meneliti sesuatu masalah. Katalah anda
memang tidak bermasalah dengan ilmu, dan bagi anda belajar bukan untuk mendapat
ilmu, tetapi hanya untuk mendapat maklumat (sekadarnya saja) dan sedikit
kemahiran, apa juga jenis kemahiran itu. Adakah sikap ini sikap orang yang
cerdik, yang tahu menggunakan otak dan akalnya? Bagi saya tidak. Inilah sikap
Pak Pandir. Katalah anda belajar hanya sekadar untuk mendapat maklumat, apakah
jenis maklumat itu? Anda perlu tahu sumbernya, betul atau tidak, tepat atau
tidak. Adakah sumber itu authentik? Nah, kalau anda mula berfikir sejauh itu,
anda sudah bermula menjadi orang yang mahu mencari ilmu. Ini tidak terjadi
dalam sastera Melayu moden. Para sarjana dan pengkritik sastera tidak mempunyai
maklumat yang menepati ciri-ciri yang saya sebutkan itu. Anda boleh tahu semua
ini jika anda membaca tulisan mereka dengan kritis, DAN kreatif. Untuk berlaku
kritis, anda perlu mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang anda, dapat
menempatkan di mana duduknya tulisan yang anda baca itu, jenis yang benar-benar
akademik atau hanya penuh dengan pretensi intelektual semata-mata. Anda tidak
dapat ini dalam tulisan para sarjana yang menulis tentang sasterawan negara. Tidak
percaya? Bacalah makalah mereka tentang “pemikiran sasterawan negara”. Anda
akan tahu, dan dapat melihat dengan jelas, kualiti “pemikiran” dan analisis
mereka sendiri, yang sangat jelas dalam kesimpulan yang mereka dapat dari bukan
penelitian mereka, tetapi dari andaian mereka. Satu lagi, setiap maklumat adalah
amat berguna untuk anda berkomunikasi. Perhatikan bagaimana para pakar kita
bercakap dalam temu ramah di TV misalnya? Atau jika kita mendengar ceramah para
ustaz dan ahli politik. Kita akan berasa kasihan kepada diri kita sendiri kerana
terpaksa mendengar “rubbish” disogok
dengan begitu bangga. Jarang kita boleh mendengar orang berilmu bercakap,
mereka tidak diketahui dan jika diketahui pun tidak dijemput kerana takutkan
kebenaran yang akan mereka ucapkan. Ini masalah kebebasan yang setiap orang di
Malaysia mesti peka, oleh itu dia amat selesa berbohong atau pura-pura bercakap
benar. Misalnya, apabila ada orang bercakap-cakap tentang “maqasid syariah”,
dia hanya memasukkan perkara-perkara yang ingin didengar oleh ahli politik dan
kerajaan. Tidak ada seorang pun bercakap tentang kedudukan 1MDB dalam konteks “maqasid syariah” ini. Semua
orang jadi takut, takut tak boleh keluar TV, takut dimarahi orang politik,
takut macam-macam. Begitu juga apabila orang politik bercakap tentang bantuan
dan segala macam insentif (perkataan ini sangat mulia dan popular di Malaysia),
mereka tidak mahu bezakan aspek korupsi dan bukan korupsi. Sebab? Mereka tahu
apa yang mereka buat itu amat jelas ciri korupsinya. Di sinilah konsep ilmu itu
penting, kerana jika hanya maklumat yang kita cari, kita akan dapati ada teori
pembangunan ekonomi yang menegaskan korupsi adalah suatu amalan yang diperlukan
dalam menjana pembagunan, tetapi diberi istilah dan nama-nama yang sesuai yang
menutup hakikat sebenarnya. Dua perkara yang saya sebut di sini, maklumat dan
komunikasi, gagal diberikan oleh kebanyakan sarjana dan sasterawan. Anda tentu
dapat agak sebabnya.
Sekarang
saya beralih kepada ingkar ilmu sebagai ungkapan
yang perlu dibiasakan supaya dapat didengar dan diketahui oleh masyarakat.
Sebagai ungkapan, ingkar ilmu menyerlahkan sikap anda terhadap kebenaran, terhadap
ilmu, dan terhadap kejujuran anda sendiri. Anda tidak mahu mendengarnya kerana
anda, sebenarnya, tahu di mana anda berada. Mahukah anda ingkar? Tentu saja
tidak mahu, oleh itu tidak perlu disebut kerana ini akan membuat anda rasa
benci kepada yang menyebutnya dan benci kepada diri anda sendiri yang rendah
maruahnya (low in self esteem). Ini melahirkan
sejenis keangkuhan yang luar biasa, yang anda lemparkan kepada orang lain, “Ehh,
dia ingat dia baik sangat.” Ada tidak anda pernah mengucapkan ayat itu? Saya
biasa dengar, walaupun saya diberitahu tidak ada orang yang pernah mengucapkannya!
Sama
ada sebagai konsep, mahu pun sebagai ungkapan, “ingkar ilmu” akan membawa anda kepada sikap dan konsep anda
terhadap ilmu. Dan kalau anda sebagai seorang yang beriman dan iman itu tulen, maka
anda tahu di mana tempat anda di akhirat. Ini satu malapetaka besar yang jarang disedari
oleh orang Islam sendiri. Inilah kegagalan
dalam memahami konsep ilmu, yang menjadikan anda ingkar ilmu. Saya berhenti di sini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22/10/2016.
No comments:
Post a Comment