Friday, January 27, 2017

KEJUJURAN INTELEKTUAL YANG MERAGUKAN

Catatan:  Entri ini yang terakhir dalam siri perbincangan yang dimulai dengan “Arah dan matlamat masih kabur.”  Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri kerana mewujudkan gred barangan untuk memudahkan pembeli mengenal pasti mana satu produk yang berkualiti mana pula yang rendah kualitinya. Sastera Melayu moden sudah lama sedar tentang penggredan ini, tetapi mereka menjadi amat geram apabila diperkenalkan satu gred baru, karya persuratan. Mereka tidak boleh terima kerana tuntutan gred baru itu, dari  segi kualiti, amat teliti dan ternyata membebankan penulis yang rata-rata cetek meraba-raba dari segi ilmu.  Mereka sangat selesa menggunakan gred yang digunakan di pasar tani.

Entri yang lepas penting sekali diberi perhatian oleh para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Mereka sedang berada dalam sebuah dunia ilmu yang tidak saja keliru, cetek meraba-raba, tetapi juga dalam dunia khayal yang direka-raka untuk membenarkan sesuatu yang salah. Adakah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah bercakap benar dalam kutipan yang anda baca dalam entri lepas? Sekiranya beliau bercakap benar, maka bagaimana kedudukan beliau sebagai sasterawan negara? Dengan menggunakan hujah beliau sendiri, kita dapati beliau tidak layak  dilantik sebagai sasterawan negara kerana Panel Anugerah Sastera Negara telah menggunakan ukuran Barat yang tidak sesuai dengan karya sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu. Sekiranya Prof. Emeritus bercakap benar, maka jelaslah Panel telah menipu kita semua melantik para sasterawan negara dengan menggunakan ukuran yang salah. Katalah ukuran mereka tidak salah, tidak bertentangan dengan keputusan tegas yang dibuat oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam pertemuan yang penting itu, maka jelaslah Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh telah memberikan kita maklumat yang salah, yang tidak tepat. Yang tepat ialah semua sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, termasuk Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh sendiri, memerlukan teori sastera Barat untuk hidup dan kekal dalam dunia khayal mereka.  Inilah yang boleh menyelamatkan Asas 50, yang menjadi ikutan mereka. In i juga yang boleh menyelamatkan Panel Anugerah Sastrera Negara. Dan inilah satu-satunya tempat bergantung para sasterawan negara.

Tentu anda sudah dapat melihat betapa hebatnya keputusan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh menolak teori sastera Barat, satu revolusi dalam sastera Melayu moden yang mesti dipertahankan sekiranya kita mahu semua karya para sasterawan negara masih tetap relevan, dan kehadiran para sasterawan negara itu sendiri sah dari segi akademik, moral, dan kejujuran intelektual. Jika anda merasakan penjelasan ini berbelit-belit, penuh kontradiksi, tidak mencerminkan hakikat sebenar sastera Melayu, maka anda berada di pihak yang betul. Itulah sifat hakiki sastera Melayu moden dan penilaian yang dibuat trerhadap para sasterawan, yang akhirnya melahirkan sasterawan negara berasaskan penilaian yang salah menurut pendapat Prof. Emeritus Muhamad Haji Salleh. Pendekatan mana yang tidak salah, yang benar-benar mencerminkan (seperti penegasan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh) “sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk melihat diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri”?  Tidak ada, masih juga memerlukan teori Barat; dan ini diakui sendiri oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. 


Semua kekalutan dan keserabutan ini boleh diselesaikan dengan mudah, dan tepat, jika anda menjenguk sejenak apa yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Anda boleh kekal sebagai sasterawan negara dan pemuja sasterawan negara walaupun penilaian terhadap mereka salah, menurut Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, kerana PB memberi anda peluang untuk dinilai kembali dengan lebih saksama, menurut ukuran kita sendiri seperti yang digunakan oleh para pendukung persuratan Melayu. Tetapi ini akan menyakitkan hati anda sendiri, kerana PB akan mencubit dengan keras daging karya anda untuk memastikan daging itu benar-benar segar dan bermanfaat kepada kesihatan mental manusia yang normal. Daging itu belum busuk, hanya tidak berkualiti. Masih boleh dimakan dengan selamat, tetapi mestilah diberi gred yang sesuai seperti yang dilakukan oleh Kementerian Pengguna ketika menggredkan ikan, sayur dan daging di pasar tani (dan pasar-pasar lain). Kalau anda boleh menerima penggredan itu, dan berasa selesa kerana anda yakin anda mendapat kualiti yang terjamin, maka anda juga akan berasa selesa kerana dapat melihat dan merasasakan keselesaan yang penuh keinsfan hasil cetusan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam ucaputamanya yang keramat itu. Ucapan beliau yang penting itu memerlukan penyelesaian yang saksama, kerana jika tidak diberi penyelesaian, maka Muhammad Haji Salleh bukan lagi seorang sasterawan negara dan tidak layak diangkat menjadi sasterawan negara kerana ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah ukuran teori sastera Barat.  Apakah pilihan Muhammad Haji Salleh? Beliau sangat sayang title sasterawan negara itu; kita boleh terima dan beliau boleh kekalkan gelaran itu. Tetapi beliau perlu dinilai kembali dengan tepat dan jitu, memakai segala syarat yang beliau letakkan sendiri. Itulah yang boleh diberikan oleh PB. Beliau perlu dinilai berasaskan PB. Begitu juga para sasterawan negara yang lain. Lebih-lebih lagi kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara yang menghadapi masalah besar kerana ketika mereka membuat penilaian itu, mereka tidak mempunyai altrernatif, selain hanya teori sastera Barat. Perlukah mereka teruskan? Kerana Muhammad Haji Salleh memang anggota Panel yang aktif, maka Panel mesti menghormatinya sebagai seorang sarjana bahawa Panel telah melakukan kesilapan dan kesalahan kerana menilai para sasterawan negara berasaskan teori Barat. Tidak mengapa. Mereka tidak perlu berada dalam ketakutan kerana digniti mereka sebagai Panel telah disebat dengan teruk oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh dalam ucaputamanya itu. Yang perlu mereka lakukan amat mudah: mereka harus menerima PB sebagai alternatif seperti yang diminta oleh Muhammad Haji Salleh, dengan itu kedudukan mereka dan Muhammad Haji Salleh kekal, terus selamat. Hanya terdapat sedikit perubahan, iaitu mereka akan dinilai kembali oleh PB untuk menentukan gred yang layak untuk mereka, ayam kampung atau ayam daging (memakai penggredan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri).  Mana satu gred mereka tidak jadi masalah, kerana kedua jenis ayam ini menelurkan telur yang lengkap, sesuatu yang diharapkan oleh Muhammad Haji Salleh sendiri dalam ucaputamanya itu. Dirgahayu kejujuran intelektual!

No comments:

Post a Comment