Para
sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan benar-benar tercabar dengan
kemunculan Gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) yang mengajak mereka
berfikir dalam konteks ilmu yang benar, sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh
mereka selama ini. Lucu juga apabila terdapat sarjana ciritan dan sasterawan
picisan berkata PB adalah sejenis ajaran sesat dalam kesusasteraan Melayu
moden, yang kita TIDAK perlukan sama sekali. Kata mereka, kita telah ada Asas
50, yang menjadi pelopor sastera Melayu moden, yang kemudiannya melahirkan para
sasterawan negara. Mereka sebenarnya tidak tahu sejarah, dan tidak dapat
membaca dengan cerdik gerakan Asas 50 yang seratus peratus berkiblatkan Barat,
terutama puak sosialis dan dengan itu mereka memperkenalkan realisme sosialis
dengan slogan yang mengelirukan, Seni untuk masyarakat. Inilah pembohongan Asas
50 yang tidak disedari oleh peneliti sastera Melayu yang pada umumnya cetek
meraba-raba, terputus dari tradisi mereka sendiri. Slogan Asas 50 bukan untuk
masyarakat, tetapi untuk mereka sendiri dan untuk menegakkan realisme sosialis
yang bertentangan dengan tradisi Melayu dan tradisi Islam. Golongan yang cetek
meraba-raba ini seterusnya dengan angkuh melontarkan pertanyaan yang mereka
sendiri tidak mengerti bahawa dengan pertanyaan itulah juga mereka membuktikan
kepalsuan mereka sendiri. Sergah mereka, apa yang boleh dibuat oleh PB? Kata
mereka, PB telah menjatuhkan hukuman yang lebih kejam daripada pedang guillotine revolusi Perancis. Semua
sasterawan dipancungnya, bergelempangan dalam raga PB yang di dalamnya terdapat
ular berbisa. Sedap juga kias ibarat mereka, sesuai dengan kedudukan mereka
sebagai penglipur lara. Raja Penglipur Lara ini muncul dalam Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014 yang mengemukakan sebuah tulisan yang penuh dengan angan-angan
penglipur lara, ditulis pula di atas bumbung kilang berkarat. Sekiranya Pawang
Ana kembali ke dunia, dia akan pengsan melihat jenis penglipur lara baru ini,
yang terputus dari tradisi sendiri. Saya kira Pawang Ana akan gembira sekali
melihat Awang Batil dari Perlis duduk bersimpuh di majlis syarahan perdana 1989
di UKM, yang menerima tabik hormat tertinggi daripada sang profesor yang
memberikan ucapan itu. Satu sejarah yang pelik dalam dunia ilmu, tetapi sesuatu
yang istimewa dalam dunia penglipur lara.
Inilah kumpulan manusia yang terkejut dengan kemunculan PB, sehingga mendorong mereka dalam kumpulan
mereka ini memanggil PB sebagai ajaran sesat kerana menolak dengan tegas
sastera penglipur lara yang mereka perjuangkan.
Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa para sasterawan negara yang
mereka megahkan itu hanya kumpulan penglipur lara semata-mata, jika dinilai
dengan kritis dan jitu dengan menggunakan ukuran Gagasan Persuratan Baru. Sekarang kita boleh lihat konflik budaya yang
begitu tajam antara para sasterawan dan Gagasan Persuratan Baru. Mujurlah semuanya memilih gerakan penglipur
lara baru. Hanya sebahagian kecil saja yang boleh menerima PB setelah mereka
mengkajinya. Kumpulan kecil inilah yang nantinya akan menentukan perkembangan
persuratan Melayu abad 21 ini, kerana mereka tidak saja mewarisi dunia
intelektual yang beratus tahun yang mencetuskan persuratan Melayu; mereka juga
mempunyai komitmen yang tinggi untuk meneruskan tradisi itu dalam Abad 21 ini.
Hendak ke mana sastera Melayu moden? Inilah soalan yang benar-benar membingungkan
para sasterawan, sarjana (ciritan) dan pengkritik sastera yang cetek
meraba-raba. Pertanyaan itu tidak perlu sama
sekali, kerana arahnya telah ditunjukkan oleh PB. Mengapa golongan cetek
meraba-raba ini menolak arah yang dicadangkan oleh PB, iaitu menjadikan konsep
ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif dan penilaian karya seni. Di
mana silapnya? Jawapannya terdapat dalam konsep pandirisme yang telah
dihuraikan dengan teperinci dalam buku Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia. Masalahnya golongan cetek meraba-raba ini tidak
membaca buku itu, yang sepatunya mereka sanggah dengan seluruh kejahilan
intelektual yang mereka kuasai (baca kambali entri bertarikh 21 Januari 2017
berjudul, “Arah dan Matlamat Masih Kabur?”).
Mereka sepatutnya memberi reaksi sehabis keras yang mereka mahu kerana
buku itu mengenai kepalsuan intelektual mereka; dan kepalsuan ini akan menjadi
lebih ketara, terutama di kalangan anak muda yang celik ilmu, apabila mereka yang menjadi
penentang dan bersikap anti-ilmu ini bersikap seperti “lembu kenyang” (lihat
entri mengenai aspek ini dalam blog ini) dengan terus mengunyah kebaculan
intrelektual mereka dan terus berbangga menjadi golongan anti-ilmu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Januari 2017.
No comments:
Post a Comment