Wednesday, March 1, 2017

ANTARA ANGKA DAN KATA, MANA YANG LEBIH BERKUASA?

Manusia yang paling cekap menggunakan angka dan kata ialah ahli politik. Mereka perlu angka untuk mengira undi yang mereka dapat, jika diadakan pilihan raya. Mereka perlu bermain dengan kata-kata untuk mempropagandakan apa saja yang mereka mahu dipercayai.  Di kalangan para sasterawan, angka juga penting, dari segi jumlah wang yang akan mereka terima jika diberi hadiah. Misalnya, dari 30,000.00 kini menjadi 60,000.00 untuk para sasterawan negara. Jika buku mereka dijadikan teks di sekolah, angka itu akan meningkat menjadi tidak kurang daripada 500,000.00. Jumlah dari segi  angka yang akan mereka terima bertambah, adakah kualiti dan mutu karya mereka juga bertambah?  Angka boleh berubah dan diubah dengan mudah; tetapi bagaimana dengan kata-kata yang sudah menjadi karya sastera? Masih juga boleh berubah, jika dilakukan terjemahan. Ini telah ditunjukkan dengan amat baik dan jelas oleh Muhammad Haji  Salleh, seorang sasterawan negara yang sangat terkenal dengan ucapan yang paling agung dalam sastera Melayu: Aku sudah belajar/ Jadi kurang ajar.  Bila diterjemahkan, menjadi: I’ve learnt/the ways of the rude. Dalam sastera Nusantara, terdapat dua ucapan yang “menggugurkan langit angkasa”.  Daripada Chairil Anwar, kita dapat: Aku ini binatang jalang/dari kumpulannya terbuang.  Apa bezanya dengan ucapan Muhammad Haji Salleh. Sama. Dari segi makna, sama saja. Masing-masing mengaku menjadi kurang ajar, dan diterima dengan bangga oleh masyarakat mereka.  Dari perspektif ini, apakah yang membuat ucapan Chairil Anwar lebih “murni”?  Dia tidak terpelajar seperti yang seorang lagi, yang sengaja belajar menjadi kurang ajar.  Hanya dalam budaya Barat saja hal ini boleh terjadi secara normal; tetapi tidak dalam budaya Melayu. Adakah Muhammad Haji Salleh tidak tahu? Sebenarnya dia tidak tahu; atau ... dia tahu, tetapi kerana kurang ajarnya, dia menjadikan Si Tanggang seorang wira “baru” dengan mengubah makna dan kedudukannya dalam budaya Melayu. Menurutnya, itulah tugas seorang sasterawan, iaitu mengubah nilai-nilai lama dan membawa masuk nilai-nilai Barat sebagai nilai-nilai baru yang sesuai dengan kemajuan sejagat.  Inilah tugas para sasterawan negara, seperti yang disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.

Satu rahsia yang perlu saya dedah: Muhammad Haji Salleh sebenarnya tidak tahu membaca sajaknya sendiri. Bukti? Dalam bahasa Melayu “aku sudah belajar jadi kurang ajar” itu dia membahasakan dirinya yang ... Dalam terjemahan olehnya sendiri, dia belajar dari Barat macam mana mahu jadi kurang ajar (rude). Jadi, dari segi itu, penguasaan bahasa Melayunya lemah. Lihat juga sajak yang memuja Raja Iblis ketika dia bertemu Goethe (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5).

Nampaknya kata-kata lebih berkuasa daripada angka kerana kata-kata boleh dipesongkan maknanya bila-bila saja dan oleh sesiapa pun juga. Ini telah dilakukan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan (lihat di bawah). Seorang atau beberapa orang yang terpilih atau dipilih, boleh mengubah nilai-nilai murni kepada nilai-nilai pragmatik, seperti yang dibincangkan dengan selesa dan yakin oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam kertasnya yang diterbitkan dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Profesor ini tidak melihat ini sebagai perubahan nilai dan kekeliruan dalam konsep ilmu, sebaliknya beliau melihatnya sebagai perubahan tafsiran yang menguntungkan masyarakat moden yang global, yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar. Beliau tidak sedar bahawa inilah nilai-nilai palsu yang berasaskan hawa nafsu manusia, terutama sifat tamak dan hasad yang kini sudah diterima sebagai nilai-nilai positif yang mendorong seseorang untuk terus maju dan berjaya. Kekeliruan dalam konsep ilmu ini menjadi amat parah apabila dipromosikan oleh seorang profesor sastera. Semua ini adalah kesan kemunculan Si Tanggang dalam sastera Melayu moden, yang diterima sebagai kelainan seorang sasterawan negara. Kalau ini bukan sejenis kecelakaan budaya, maka apakah yang kita ingin panggil? Seperti yang saya tegaskan dalam blog ini, apabila sarjana dan sasterawan menerima Machiavelli korup sebagai panduan mereka, maka mereka tidak peduli lagi kepada konsep ilmu yang benar dan pentingnya memahami sumber ilmu dalam Islam.  Dalam hal ini, kata telah membawa mereka ke gaung kekeliruan yang akhirnya melahirkan  manusia yang cetek meraba-raba, yang keliru konsep ilmunya dan akibatnya mereka adalah golongan yang kehilangan adab.  Maka lahirlah pemimpin palsu dalam masyarakat, dan sarjana palsu dalam bidang akademik. Dalam sastera Melayu inilah golongan sarjana ciritan.  Dalam bidang kreatif mereka adalah sasterawan picisan, yang di dalamnya tergolong juga para sasterawan negara yang terang-terang menolak konsep ilmu yang benar dan tidak menerima sumber ilmu itu mutlak daripada al-Quran.  Kesimpulan ini diambil daripada karya mereka dan juga daripada sikap mereka terhadap ilmu. Perbincangan mengenai kesimpulan ini dibuat dalam beberapa entri yang boleh dirujuk dengan senang. Sebagai pembaca yang kritis, anda harus meneliti semua hujah dan bukti yang dikemukakan dengan cermat dan objektif.

Bagi golongan yang keliru dan cetek meraba-raba ini, mereka menggunakan angka untuk menegakkan kepalsuan mereka, dengan membuat penegasan bahawa mereka adalah golongan majoriti yang mewakili arus perdana dalam sastera Melayu. Dalam konteks mereka, “sastera” seperti yang mereka fahami dan praktikkan, memberi mereka hegemoni dalam perkembangan budaya, seperti yang mereka tegaskan dalam judul buku mereka, Sastera Teras Negara Bangsa. Secara khusus, tetapi dilihat dalam konteks teori Barat sepenuhnya,  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah menulis tentang hegemoni seperti yang difahami oleh Foucault yang menurutnya itulah juga yang perlu dilakukan dalam budaya intelektual Malaysia. Semua penghujahan beliau adalah keliru dan palsu, tidak berasaskan konsep ilmu yang sudah lama dikenali oleh para ulama dan cendekiawan Melayu sejak beratus tahun, dalam tulisan-tulisan mereka ketika membina persuratan Melayu berasaskan ilmu yang benar menurut al-Quran. Apakah yang mendorong beliau tidak menyebut hakikat ini hanya boleh difahami dalam konteks kekeliruan dalam konsep ilmu, yang akhirnya membawa beliau dan rakan-rakannya dalam kumpulan yang cetek meraba-raba, yang kehilangan adab.  Bagi mereka kehilangan adab adalah satu keistimewaan, sebagai bukti bahawa mereka tidak lagi berfikiran cara lama, malah sebaliknya anggota zaman global yang universal. Itulah yang ingin dicapai oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Menurut mereka, yang universal dan global itu ialah dengan menjadi pengikut setia teori sastera Barat dan tidak ketakutan berada dalam dunia pascamodern.

Tentulah sangat aneh, dan biadab, jika budaya kehilangan adab ini mahu dijadikan teras negara bangsa.

Dalam penjelasan ringkas tentang peranan angka dan kata ini kita sudah melihat bagaimana korupsi intelektual, jenis Machiavelli korup yang menjadi pegangan para sarjana sastera yang ciritan dan para sasterawan yang picisan, diseleweng begitu rupa untuk menolak persuratan Melayu yang berasaskan ilmu itu daripada dijadikan teras negara bangsa, yakni teras yang sebenarnya, yang memang telah sedia ada.  Tentulah anda akan tertanya-tanya, mengapa kumpulan yang keliru dan cetek meraba-raba ini anti-ilmu dan anti-Melayu. Jawapannya diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara: “Aku sudah belajar/jadi kurang ajar”. 

Sebagai perbandingan, saya tutup dengan kata-kata Machiavelli ini:

“Men are infamous and detestable who are destroyers of religion, squanderers of kingdoms and republics, and enemies of the virtues.” (Dikutip oleh Maurizio Viroli (2008) di kulit belakang  bukunya,  Machiavelli.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 1 Mac 2017.

No comments:

Post a Comment