Thursday, March 9, 2017

LAYAKKAH SASTERA MENJADI TERAS NEGARA BANGSA?

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM 2014) telah melakukan satu kesilapan besar yang amat memalukan kita apabila sekumpulan sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera yang menghadiri persidangan itu telah menetapkan sastera adalah teras negara bangsa, dan menjadikanya tajuk buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Siapakah yang memberi mereka authoriti untuk menjadikan sastera teras negara bangsa?  Apakah maksud slogan baru ini?  Saya telah menjelaskan dalam entri 4/3/2017 bahawa slogan baru ini adalah lanjutan slogan Asas 50 “seni untuk masyarakat/sastera untuk masyarakat”.  Saya telah menjelaskan bahawa slogan Asas 50 itu adalah slogan golongan Marxist dalam sastera Melayu dan slogan itu memberi gambaran palsu kepada sejarah persuratan Melayu yang beratus tahun dikembangkan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu berteraskan ilmu. Apabila ITBM menghidupkan semula slogan ini dengan lebih khusus seperti judul buku mereka, maka apakah alasan mereka melakukannya demikian? Jelaslah mereka tidak mempunyai kesedaran sejarah persuratan Melayu, tidak juga kesedaran ilmu dan peranan ilmu dalam pembinaan tamadun. Ini memberi gambaran bahawa tidak ada kemajuan berfikir di kalangan para penulis dan sarjana sastera; di samping itu pengaruh teori sastera Barat terlalu kuat mencengkam mereka sehingga seluruh kesedaran akademik  mereka dibelenggu oleh pengaruh Barat. Adakah ini satu keistimewaan mereka yang membuat mereka begitu berani menjadikan sastera berimej Barat itu asas tamadun moden Malaysia? Apabila ITBM, melalui Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua Satu PENA, menggunakan istilah Marxist “hegemoni” untuk menggambarkan “kehebatan” sastera, maka jelaslah kumpulan ini tidak memberikan kita idea baru atau pendekatan baru yang lebih canggih, tetapi hanya melanjutkan kepalsuan slogan Asas 50.  Mengapa kita harus menerima perkembangan yang membawa kita ke belakang ini? Kita boleh menggunakan tradisi persuratan yang beratus tahun menjadi warisan kita; tetapi Asas 50 tidak meninggalkan apa-apa warisan sehebat warisan persuratan itu. Mengapa kita perlu mengikut mereka, seperti yang dipaksakan oleh ITBM dan PENA ke atas kita? Ini merupakan satu pengkhianatan intelektual yang sangat hina, yang mesti ditolak dan dihumban ke dalam longkang sejarah yang busuk hanyir dengan sikap anti-ilmu dan anti-Islam yang menolak tulisan Jawi dan peranan Islam dalam pembangunan tamadun negara kita.  Inilah tinggalan sebenar Asas 50 untuk dihidu oleh para sasterawan dan sarjana sastera.  Tentulah tidak wajar jika ITBM dan PENA melanjutkan gerakan anti-ilmu dan anti-agama ini dalam sastera Melayu.  Mereka tidak boleh menafikannya kerana kenyataan ini terkedang jelas dalam tulisan/kertas kerja yang dimuat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa.

Inilah realiti yang kita hadapi. Adakah kita akan membiarkannya saja merosakkan sistem nilai yang kini sudah parah diceroboh oleh sastera yang kononnya menjadi teras negara bangsa itu. Persoalan ini akan diberi kupasan dan penjelasan yang jitu dalam buku saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi, membicarakan dengan tuntas pengaruh teori sastera Barat ke atas sastera Melayu. Jalan keluarnya sudah pun berada di depan mata anda dalam Gagasan Persuratan Baru yang secara keseluruhannya mengemukakan dua penyelasaian: pertama, memperkasa lorong akademik dan lorong kreatif supaya boleh dilalui dengan selamat berasaskan konsep ilmu yang benar. Kedua, mencabar keseluruhan teori sastera Barat dari akar umbi dan falsafahnya dengan mencabar kesahihan pendekatan yang disediakan sama ada benar-benar memenuhi keperluan akal dan rohani manusia yang berfikir. Kalau ini tidak boleh dianggap teori sastera yang lengkap, maka Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh harus tampil dengan penuh tanggungjawab seorang sarjana ulung untuk menyediakan teori lengkap yang diminta dan (diejeknya) itu. ITBM dan PENA perlu membantunya dengan memberitahunya terlebih dahulu bahawa dia tidak mungkin menemui teori yang lengkap itu dengan memanjat bumbung kilang berkarat seperti yang dibuatnya ketika menyediakan kertas kerja untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Ejekan meminta teori sastera yang lengkap ini sepatutnya tidak timbul, jika para sarjana kita tidak mengidap serangan saraf yang disebut schizophrenia, atau sasau dalam bahasa Melayu.  Di dalam dunia ini tidak ada yang lengkap; malah orang gila pun tidak gila sepenuhnya, sebab itu orang gila masih boleh dipulihkan jika kena caranya. Tetapi gila sastera ini menjadi masalah besar apabila penganut sastera dengan angkuhnya, yang tidak ada pada orang gila yang tulen, menetapkan bahawa sastera adalah teras negara bangsa. Ini sejenis kegilaan yang tidak tulen lagi, yang dibuat-buat untuk mendapat pengaruh yang palsu. Pengaruh palsu itu mereka namakan hegemoni, satu konsep Marxist. Mengapa kita perlukan hegemoni untuk membina negara bangsa yang bertamadun berasaskan ilmu? Untuk kembali siuman, tidak lagi mengidap penyakit saraf schizophrenia, maka anda perlu membiasakan diri mengenal konsep ilmu yang benar, seperti yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Ditakuti jika anda terlibat dalam keinginan yang terlalu memuncak untuk mencari kelainan, lalu memanjat bumbung kilang berkarat; bagaimana jika yang mencari kelainan itu seorang tokoh besar yang ulung yang dihormati, tiba-tiba tergelincir, dan terus kong off. Tidakah kita semua rugi besar? Fikirkanlah.

Catatan: Dalam beberapa entri terakhir mengenai persoalan yang sedang kita bincang, saya banyak sekali menggunakan tamsil ibarat.  Perhatikan terjemahan ayat 29:43 ini:  “Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.”

Betul, tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.  Adakah panjat bumbung  kilang berkarat satu tamsil ibarat? Mungkin... Tapi tentulah bukan dari kalangan orang berilmu!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Mac 2017.



No comments:

Post a Comment