Para
sasterawan negara sangat beruntung kerana mereka mempunyai ramai hamba sastera
untuk memuji dan mengangkat mereka sebagai sasterawan yang tiada tandingannya
setelah dilantik menjadi sasterawan negara. Para sarjana yang menjadi hamba
teori sastera Barat pula berasa sangat bangga kerana dapat menggunakan teori
sastera Barat untuk memuji para sasterawan negara ini, walaupun tulisan mereka
dangkal dan mereka sebenarnya tidak menguasai teori sastera Barat dengan
mendalam. Di Malaysia, menjadi hamba teori sastera Barat adalah satu
keistimewaan yang berprestij, maka dengan itu muncullah kumpulan yang sangat
ghairah memuji para sasterawan negara dalam tulisan dan ucapan mereka. Oleh sebab hampir keseluruhan sarjana sastera
Malaysia adalah hamba teori sastera Barat, maka mereka tidak berasa aneh
menjadi hamba teori sastera Barat kerana dua perkara penting: universiti tempat
mereka mengajar sastera memberi mereka pangkat dengan gaji besar sebagai hamba teori sastera Barat; manakala Dewan
Bahasa dan Pustaka pula memelihara mereka dengan baik, seperti para penggembala
memelihara binatang ternak mereka (dalam bahasa al-Quran dipanggil al-an’am) dengan baik sambil memberi
binatang ternak itu kandang dan makanan yang mencukupi. Dalam dunia akademik,
kandang untuk binatang ternak adalah jabatan yang diwujudkan di universiti
untuk melaksanakan sesuatu tugas tertentu yang dikira penting oleh universiti
berkenaan. Pengajaran sastera adalah penting kerana sastera, dalam konteks
kesarjanaan Barat, sudah menjadi satu disiplin dalam ilmu-ilmu sosial yang
dilihat dari perspektif mereka.
Perspektif itulah yang ditiru dan dipertahankan oleh para hamba teori
sastera Barat. Jika anda sedar akan hal ini, anda akan dapat memahami mengapa
mereka ini sangat anti-ilmu, atau lebih tepat disebut sebagai ingkar ilmu,
kerana tuan-tuan mereka di Barat tidak menjadikan ilmu satu sumber untuk
mencari kebenaran dalam kehidupan manusia, kerana kebenaran bagi mereka adalah
subjektif, milik setiap individu, oleh itu tidak ditentukan oleh Tuhan kerana
mereka memang tidak percaya adanya Tuhan. Mereka, sebagai manusia, lahir dengan
sendirinya dalam teori evolusi yang mereka cipta sendiri untuk menentukan
kedudukan mereka sebagai kejadian yang terjadi dengan sendirinya menurut teori
evolusi mereka. Keadaan ini pun dipercayai oleh para sasterawan dan sarjana
hamba ini, yang memberi mereka “keberanian” untuk menolak peranan ilmu seperti
yang ditentukan sumbernya oleh al-Quran.
Sekarang anda faham mengapa mereka menolak untuk menjadi hamba Yang Maha
Pencipta, Allah SWT, kerana kepercayaan begini tidak wujud dalam teori sastera
Barat yang menjadi ikutan mereka. Demikian kukuhnya ketergantungan mereka kepada
teori sastera Barat. Oleh hal yang demikian, tanpa teori sastera Barat, mereka
akan menjadi bisu, tidak boleh berbicara tentang sastera. Inilah penghinaan
yang mereka timpakan ke atas diri mereka untuk memastikan mereka boleh terus
relevan dalam kepalsuan kepercayaan mereka yang menolak peranan ilmu ini, dengan
bersikap “ingkar ilmu”.
Sikap ingkar
ilmu inilah yang membuat mereka menjadi binatang ternak, golongan yang lalai
yang tidak menerima hakikat kejadiannya sebagai hamba dan khalifah Allah di
dunia. Golongan yang berpegang kepada faham al-ghafilun
ini berusaha kuat untuk menjadikan kekeliruan dan kelalaian mereka sebagai arus
perdana, dengan mewujudkan hegemoni palsu berasaskan kekeliruan dan sikap lalai
mereka kepada kebenaran hakiki mereka sebagai hamba dan khalifah Allah di
dunia. Dengan menggunakan istilah
hegemoni dan arus perdana, mereka ini menjadi begitu berani dan biadab dengan
meletakkan karya sastera sebagai asas negara bangsa, padahal mereka sendiri
tahu sastera yang mereka jadikan teras negara bangsa itu adalah karya kreatif
yang membela kejahatan, yang tidak dapat dinafikan kerana inilah tema utama
karya para sasterawan negara sendiri. Inilah kecelakaan yang paling besar yang
mereka lontarkan kepada masyarakat mereka sendiri hanya kerana mereka ingin
melindungi kegiatan hedonistik mereka dengan menjadikannya arus perdana, yang
diterima oleh majoriti. Saya mengulangi persoalan ini berkali-kali dalam blog
ini kerana kekeliruan dan kejahatan ini tidak boleh dibiarkan berleluasa,
kerana kesannya amat buruk dalam pembinaan tamadun berasaskan ilmu dan adab
yang akan melahirkan nilai-nilai murni yang benar-benar murni, bukan nilai
murni dalam konteks hedonisme seperti yang dianjurkan sekarang oleh golongan
pinggiran dan cetek meraba-raba ini.
Saya jadikan
novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu,
sebagai ukuran untuk menolak karya sastera yang hedonistik dan mengutamakan
kejahatan seperti yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, yang ingin
dijadikan teras negara bangsa oleh golongan al-ghafilun,
yang dikutuk sebagai binatang ternak oleh al-Quran. Golongan ini harus menampilkan hujah dan
pembuktian yang objektif jika mereka tidak menerima ukuran ini, dengan sekali
gus membuktikan karya para sasterawan negara adalah karya yang bersih dari
sifat dan nilai hedonistik dan tidak menjadikan kejahatan sebagai tema utama
para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Tampilkan karya yang tidak
menjadikan kejahatan sebagai tema agung dan yang tidak hedonistik, yang tidak
mempunyai unsur sensasi murahan. Tentu
saja mereka tidak dapat melakukannya, kerana memang sifat karya para sasterawan
negara untuk menjadikan kejahatan, keingkaran dan gaya hidup hedonistik sebagai
tema agung mereka. Tonjolkan sebuah karya yang tidak mempunyai ciri-ciri yang
disebutkan itu. Jika ada, cukupkah hanya sebuah karya boleh dijadikan teras
negara bangsa? Dolak-dalik mereka ini mengalahkan dolak-dalik Yahudi dalam
al-Quran dan yang kini masih dilakukan oleh Zionis Yahudi di Palestin. Ini
hanya satu perbandingan, oleh itu tidak boleh dengan sengaja salah faham. Seperti yang disebut oleh al-Quran, segala
tamsil ibarat yang diberikan dalam al-Quran hanya boleh difahami oleh
orang-orang yang berilmu.
Apakah yang
boleh kita buat untuk membantu para sarjana dan sasterawan ini supaya tidak
terus menerus menjadi hamba teori sastera Barat? Mereka telah menolak Gagasan Persuratan Baru
sebagai bertentangan dengan Islam dan tidak dapat dilaksanakan dalam kegiatan
kreatif, tidak juga dalam bidang akademik. Apakah pilihan lain yang ada pada
mereka? Mereka menyebut beberapa “teori”
tempatan, tetapi masalahnya yang mereka sebut-sebut dan sanjung-sanjung itu
bukan teori, hanya sejenis petua yang sebenarnya tidak boleh membantu sebarang
analisis dan penilaian yang akan dibuat terhadap karya sastera sekali pun.
Walaupun telah disebut beberapa nama “so called” teori yang katanya sudah
dipakai untuk dijadikan asas penyelidikan di peringkat sarjana dan kedoktoran,
namun hasilnya terlalu cetek dan gagal memberikan analisis dan pembuktian yang
kita harapkan jika kita menggunakan sesuatu teori sastera. Sebenarnya kesimpulan
ini tidak terhad kepada penggunaan “teori Melayu” saja; yang pakai teori Barat
pun sama saja, seperti yang kita lihat hasilnya di tangan Dr. Norhayati Ab.
Rahman dan Mawar Shafie, sebagai contoh. Dua orang ini beruntung kerana mereka
diberi hadiah istimewa kerana telah menghasilkan tesis Ph.D. masing-masing
dengan amat cemerlang; tetapi bagi seorang pengguna yang tidak tinggi
pencapaian akademiknya seperti saya, kedua-dua hasil penyelidikan mereka bagi
saya bukan berupa sumbangan kepada ilmu, tetapi hanya sejenis latihan ilmiah
biasa sekadar untuk mendapat Ph.D., tetapi tidak memberi sumbangan kepada
“ilmu” seperti yang kita dapat daripada tesis Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas, Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Dr. Mohd. Zaidi Ismail yang menulis
tentang Imam Ghazali, dan lain-lain yang mendapat bimbingan daripada Prof.
Naquib dan Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Saya menyebut nama-nama mereka dengan
sengaja, untuk mendapat reaksi daripada sesiapa juga yang meragui kesarjanaan
mereka, seperti saya sekarang meragui kesarjanaan Dr. Norhayati Ab. Rahman dan
Dr. Mawar Shafie yang diberi hadiah dan anugerah “berprestij” itu, oleh DBP dan
universiti tempat mereka bekerja. Saya memberi penilaian ini sebagai seorang
pengguna ilmu yang hanya menerima yang terbaik; oleh itu sesiapa juga yang
meragui kemampuan intelektual saya boleh saja menggunakan segala tulisan saya
untuk menilai sumbangan saya dalam dunia ilmu dan dunia kreatif. Saya tidak menjadi hamba mana-mana teori
Barat, malah dengan tuntas mencabar semua teori sastera Barat. Kesimpulan saya bahawa para sarjana sastera
Malaysia akan menjadi bisu tanpa teori sastera Barat adalah satu kesimpulan
yang paling penting dalam dunia kesarjanaan Malaysia, yang anda boleh cabar
jika anda mahu dan berupaya mencabarnya!
Jadi di mana
kita sekarang? Satu-satunya kejayaan besar yang telah kita wujudkan ialah
kemunculan Mutual Admiration Club, yang begitu berpengaruh sehingga berupaya
menjadikan beruk yang suka meniru kepada manusia yang boleh berkata-kata,
walaupun yang mereka perkatakan itu hanya “idle talk” dan “bullshit” saja,
seperti yang saya huraikan dalam buku saya Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia. Sebenarnya
kita memberi peluang dan kebebasan yang terlalu besar kepada kumpulan Mutual
Admiration Club ini, sehingga mereka berjaya merosakkan perkembangan
intelektual dalam kebudayaan Melayu, sehingga kita boleh menerima kelakuan
mereka memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham menulis
sesuatu yang tidak saja cetek, tetapi bertentangan dengan peradaban ilmu yang
kita warisi dalam persuratan Melayu. Tentu saja ramai yang tidak faham dengan
kesimpulan ini. Maka inilah tragedi yang kita warisi apabila kita memberi
kedudukan yang terlalu tinggi kepada kumpulan Mutual Admiration Club ini,
sehingga mereka berjaya memperdaya kita semua dengan Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia yang anti-ilmu itu, yang menjadikan sikap “ingkar ilmu” sebagai apa
yang mereka sebut hegemoni sastera sehingga mereka tanpa segan lagi menjadikan
sastera sebagai teras negara bangsa. Inilah kemuncak kejayaan perhambaan
intelektual dalam sastera Melayu. Inilah juga tragedi yang harus kita lalui
kerana kelalaian kita menerima golongan al-ghafilun
yang dikutuk oleh al-Quran itu.
Sekadar makluman:
Jika anda perhatikan, akhir-akhir ini saya menggunakan perkataan prestij
dan berprestij, dua perkataan yang tidak saya gunakan sebelumnya dan selepas
ini. Perkataan ini saya gunakan dalam konteks kiasan gayang, yang disebut oleh
Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu. Contoh kiasan gayang yang diberikan ialah
bercebok, buang air, melepas dan yang seumpamanya, untuk menjadikan pembuangan
najis itu sedap didengar dan lebih santun daripada disebut berak atau kencing
walaupun itulah maksudnya. Dalam konteks prestij dan berprestij, makna yang
dimaksudkan pengguna ialah keadaan yang istimewa yang diterima atau diberikan
kepada seseorang yang dianggap istimewa. Contoh: mendapat hadiah SEA Write
Award adalah sesuatu yang berprestij; apatah lagi diberi gelaran sasterawan
negara. Tetapi jika kita meneliti sumbangan mereka dengan lebih mendalam dan
lebih objektif, maka kita dapati penggunaan perkataan prestij dan berprestij
itu termasuk dalam fatamorgana bahasa untuk melahirkan sejenis pretensi
intelektual, walaupun kedua-duanya kosong. Semua kepalsuan ini telah saya
huraikan dengan agak mendalam dalam blog ini. Sesiapa juga yang tidak perasan,
pastilah dia seorang yang sudah dilemasi oleh pandirisme yang menjadi
anutannya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24/3/2017.
No comments:
Post a Comment