[Tujuan saya menyiarkan semula entri
bertarikh 1 September 2015 ialah untuk memudahkan anda memahami entri ini. Saya
harap anda membaca dengan kritis kedua-duanya.]
Pujangga Melayu diterbitkan pertama kali
1997 oleh Syarikat Fajar Bakti.
Pujangga Melayu sukar didapat ketika
mula-mula diterbitkan, dan harganya agak mahal (Ringgit 75.00, kulit keras
sahaja.) Hanya 750 naskhah diterbitkan
oleh Fajar Bakti. Saya tidak ragu-ragu menamakannya novel ilmu. Ketika menulisnya pun itulah yang menjadi
matlamat saya, menghuraikan konsep ilmu dan bagaimana ini boleh dijadikan asas
penulisan kreatif. Inilah yang membuat
novel ini unik dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana novel yang telah
diterbitkan, termasuk yang ditulis oleh para sasterawan negara. Kesimpulan ini belum lagi dicabar oleh
mana-mana sarjana sastera; oleh itu saya menunggu kemunculan mereka untuk
mengemukakan hujah mereka dengan menonjolkan mana-mana karya sasterawan negara yang mereka anggap unik dan yang terbaik. Anda
tidak mungkin mengatakan sesuatu karya itu terbaik jika tidak dibuat kajian
perbandingan yang teliti dan benar-benar akademik. Saya tunggu kemunculan
sarjana yang mampu menyahut cabaran saya. Andainya tidak ada yang mampu, atau
yang menganggap itu kerja sia-sia, maka anda tidak berhak dan tidak wajar untuk
menyodorkan sebuah karya sasterawan negara sebagai karya terbaik ketika karya
itu sedang dicabar oleh Pujangga Melayu.
Anda selalu bercakap tentang dialogic
imagination; maka inilah peluangnya anda menunjukkan anda faham konsep
Bakhtin yang anda sering sebut-sebut itu.
Dalam
entri yang lepas (saya rujuk yang bertarikh 13/3/2017), saya telah membayangkan
aspek novel ini sebagai sebuah novel mini ensiklopedia ketika menebas belukar
Prof. Rahman Shaari di dalam syarahan perdana beliau yang hanya layak
dipanggil belukar akademik yang belum
ditebas dan dibersihkan. Profesor
sastera ini tidak pun tahu Pujangga
Melayu telah diterbitkan sejak 1997, oleh itu beliau membiarkan begitu saja
sajak-sajak yang banyak terdapat di dalam novel ini. Saya telah membuat
kesimpulan, setelah meneliti sajak-sajak para sasterawan negara, bahawa tidak sebuah pun karya mereka yang
dapat menandingi, dari segi pemikiran dan idea, sajak “al-Andalus” dan
lain-lain sajak yang terdapat dalam novel itu.
Memang amat memalukan bagi seorang sarjana yang berbicara tentang sajak,
sekiranya dia tidak dapat menilai kualiti sebenar sajak-sajak yang
dicontohkannya dalam syarahannya, dengan meninggalkan begitu saja sajak-sajak
dalam Pujangga Melayu. Cabaran ini
akan terus terbuka untuk disanggah. Saya dan orang lain juga yang berminat
ingin melihat kehebatan sebenar karya para sasterawan negara ini jika
dibandingkan dengan sajak-sajak dalam Pujangga
Melayu. Satu permintaan yang wajar dan merendah diri oleh seorang penulis
kerdil yang menulis Pujangga Melayu
yang tidak diketahui wujudnya oleh para sarjana sastera. Adakah mereka, dari
segi akademik, kumpulan manusia yang jujur dari segi akademik? Saya tidak fikir
mereka dari kumpulan yang mempunyai maruah akademik yang tinggi. Maka dengan
itu kedudukan mereka sebagai ahli akademik diukur maruahnya sejauh mana mereka
kenal Pujangga Melayu dan
mengkritiknya dengan sehabis kritis, untuk menayangkan keterampilan ilmu mereka
dalam kesusasteraan. Mereka dengan mudah
akan dianggap sarjana yang bacul jika tidak berupaya menolak secara akademik
kemunculan Pujangga Melayu dan
kehebatannya sebagai sebuah novel mini ensiklopedia. Mereka boleh saja menolak ungkapan novel mini
ensiklopedia itu sebagai omong kosong, dengan menghujahkan konsep itu tidak
penting dalam penilaian karya kreatif. Mereka mempunyai tidak kurang dari 20-30
teori sastera Barat yang mereka boleh gunakan untuk memperkecil kualiti
pemikiran dalam Pujangga Melayu,
dengan berkata (misalnya) bahawa itu bukan novel, kerana novel hanya cerita,
tidak dicampur-aduk dengan aspek ilmu. Siapakah mereka yang diberi authoriti
untuk menentukan bagaimana novel harus ditulis? Lagi pula mereka selalu
bercakap tentang perlunya perubahan dan kelainan, dan anjakan paradigma. Sudah
lupa? Kita pun mahu tahu sama ada mereka masih percayakan idea (?) yang mereka
pernah lontarkan itu masih boleh dipakai atau tidak, masih siuman atau sudah
nanar dari segi intelektual. Adakah idea-idea mereka sendiri yang tidak matang
telah membuat mereka berada dalam dunia schizophrenic
atau sasau? Macam-macam boleh berlaku
kepada para sasterawan kerana kedegilan mereka tidak mahu tunduk kepada
kebenaran, malah menghina kebenaran jika tidak sesuai dengan kehendak mereka. Inilah
punca mereka menjadi sasau sehingga bagi mereka menolak kebenaran taklif adalah
satu kemegahan kerana ini akan membolehkan mereka menulis karya sensasi yang
tidak tersekat dengan sebarang larangan walaupun larangan itu untuk kebaikan
dan kebajikan mereka sendiri. Inilah
golongan yang keliru dan cetek meraba-raba yang dimaksudkan oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas.
Sebagai
sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga
Melayu membicarakan kehidupan manusia secara keseluruhan, meliputi aspek
kerohanian, intelektual, dan beberapa persoalan penting dalam penulisan kreatif
dan akademik. Inilah satu-satunya novel
Melayu yang mempunyai ciri-ciri sebuah
ensiklopedia kecil. Walaun pun begitu, novel ini tidak popular, tidak dibaca
oleh para sarjana tidak pula dikenali para sasterawan. Adakah mereka menjauhkan
diri kerana novel ini tidak mempunyai sensasi yang memang menarik minat pembaca
Melayu dari dulu hingga sekarang?. Sikap dan sifat ini terbawa-bawa dalam
novel yang digunakan untuk dibaca oeh
budak-budak sekolah, yang mesti penuh dengan sensasi untuk menarik minat
pembaca muda. Barangkali yang paling lucu, yang akhirnya menjadi lucah dari
segi intelektual, ialah sikap anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan panel
pemilih hadiah dan anugerah lain yang juga amat terpikat kepada sensasi, baik
dalam karya kreatif mahupun dalam the so
called karya akademik. Ingat saja bagaimana juri yang menjadi panel Hadiah
Sastera Nasional memilih buku picisan karangan Dr. Norhayati Ab. Rahman (Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia:
Satu Bacaan Ginokritik, USM2012) sebagai karya akademik terbaik, sementara
Prof. Hashim Awang pula kehilangan kata-kata untuk memuji buku ini yang baginya
begitu istimewa. (Saya terbaca dalam Dewan
Sastera, tetapi lupa tarikhnya.) Kepalsuan seumpama ini sudah dibudayakan,
sudah menjadi sejenis hegemoni min Iblis
yang mendapat sokongan para peserta Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.
Sebagai
sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga
Melayu boleh dinilai dari pelbagai perspektif yang anda mahu. Contoh: jika
anda seorang peminat sajak, anda boleh saja menilai sajak-sajak dalam Pujangga Melayu dibanding dengan
sajak-sajak para sasterawan negara misalnya. Siapakah di antara sasterawan
negara itu yang telah membuktikan sajaknya lebih bermutu dari segi pemikiran
dan teknik jika dibandingkan dengan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu? Tiada siapa
pun yang berani melakukan perbandingan ini, kerana mereka tahu sajak-sajak para
sasterawan negara akan muncul sebagai sajak-sajak kerdil tidak bermaya jika
dibandingkan sajak-sajak dalam Pujangga
Melayu. Inilah salah satu sebab
Prof. Rahman Shaari tidak merujuk kepada sajak-sajak dalam Pujangga Melayu, kerana
beliau tahu sekiranya itu dilakukan, maka yang akan terserlah tidak lagi karya
Muhammad Haji Salleh tentang Si Tanggang, atau mana-mana sajak Baha Zain atau
sajak-sajak Kemala. Sebagai contoh,
ambil saja sajak “al-Andalus” atau “Kuala Lumpur Kota Gila” atau “Pendekar
Palsu”, atau “Anugerah Yang Tercuri”.
Sejauh mana sajak-sajak ini gagal untuk menandingi sajak-sajak para
sasterawan negara; atau lebih baik dari itu, manakah karya para sasterawan
negara ini yang lebih menonjol dari segi pemikiran dan teknik daripada
sajak-sajak yang disebutkan itu? Yang
boleh melakukan ini hanya Prof. Rahman Shaari, kerana beliaulah satu-satunya
pakar sajak di Malaysia yang diberi authoriti oleh para pensajak untuk menilai
karya mereka dan memberi mereka kedudukan yang tinggi dalam persajakan
Melayu. Walaupun saya sendiri tidak
mengiktiraf beliau sebagai pakar sajak Melayu, kerana belum bertemu sebuah
tulisan beliau tentang sajak yang boleh mengatasi makalah saya tentang sajak-sajak mantera dalam sastera
Melayu, namun sebagai menghormati kedudukan beliau sebagai seorang profesor
sastera, saya dengan senang hati memberi beliau sepenuh kebebasan untuk mengkritik
atau menilai sajak-sajak dalam Pujangga
Melayu, dibandingkan dengan karya para sasterawan negara yang menulis
sajak. Saya juga menulis tentang sajak celoteh dalam blog ini, dan saya
kira Prof. Rahman Shaari banyak menghasilkan sajak-sajak celoteh ini, yang
tidak boleh disetarafkan dengan sajak pemikiran. Sejauh mana para pensajak
Malaysia bersetuju dengan beliau hanya boleh kita ketahui sekiranya beliau
membuat penilaian itu sebagai satu-satunya pakar sajak Melayu yang telah
disepakati oleh penulis sajak Melayu. Saya tidak fikir beliau akan
melakukannya, kerana jika beliau jujur dari segi akademik, dia akan memberi
kedudukan yang tinggi kepada sajak-sajak Pujangga
Melayu dari segi pemikiran dan teknik. Tentu saja ini membahayakan
kedudukan para sasterawan negara, termasuk beliau sendiri, yang kini sedang
melobi untuk dilantik menjadi sasterawan negara dengan sokongan para sasterawan
negara yang ada. Rahsia ini boleh kita dapati dalam Internet dengan mudah, dan
saya fikir tidak ada sasterawan yang tidak tahu bahawa beliau, Prof. Rahman
Shaari, amat berharap beliau dilantik menjadi sasterawan negara sebagai seorang
pensajak ulung antara beberapa orang pensajak ulung dalam sastera Melayu. Walaupun sejak tahun 1981 lagi saya menolak
kewujudan sasterawan negara dan menulis cerita pendek tentangnya (disiarkan
dalam Pura Bujangga, terbitan DBP,
dengan judul “Orang Yang Berdiri”), namun saya tidak akan membantah sekiranya
sesiapa pun hendak dilantik menjadi sasterawan negara, seperti yang pernah
dilakukan Shahnon Ahmad yang membantah pelantikan Baha Zain (yang menurut
Shahnon hanya menulis sajak-sajak kontot).
Saya hanya memberi pendapat saya yang bebas dan kritis (seperti yang
anda boleh baca dalam blog ini) bahawa pelantikan sasterawan negara adalah satu
jenayah intelektual, kerana ini merupakan satu perbuatan songsang yang mesti
ditolak apabila para sasterawan negara ini diberi kedudukan lebih tinggi dan
mulia daripada para ulama dan cendekiawa, dengan menyebut gelaran mereka setiap
kali nama mereka disebut. What kind of
joke is this?
Itulah
kedudukannya Pujangga Melayu sebagai
sebuah karya persuratan yang hingga kini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana
karya para sasterawan negara. Tentu saja
saya amat gembira jika tampil seorang (atau beberapa orang) sarjana dan
pengkritik sastera yang dengan tuntas menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang tidak bermutu dari segi
pemikiran dan teknik kreatif. Hanya yang
kita minta, berikan kepada kita karya manakah yang telah mengatasi Pujangga Melayu dari segi pemikiran dan
teknik kreatif? Tidak guna melantik sasterawan negara jika karya mereka pada
umumnya adalah karya picisan jika dinilai dari perspektif ilmu dan keterampilan
kreatif. Ini bukan lagi cabaran, tetapi
satu kenyataan yang begitu jelas di depan mata orang yang dapat melihat dengan
terang makna kedudukan ilmu dalam karya kreatif dan segi-segi yang menarik
dalam teknik mengarang, yang hanya anda boleh dapati dalam Pujangga Melayu.
Pujangga Melayu diharapkan dapat membantu
pembaca yang cerdik mengapa novel mini ensiklopedia ini sebuah karya istimewa
yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana karya para sasterawan negara. Saya
tidak ragu-ragu untuk mengulangi keyakinan saya bahawa sesiapa juga yang
membaca novel mini ensiklopedia ini akan menjadi cerdik jika dia membacanya
dengan kritis dan jujur untuk mencari kebaikan.
[Catatan: Saya adalah seorang penulis yang paling terbuka untuk dikritik dan paling mudah dikritik kerana saya menulis karya
kreatif dan kritikan sastera, di samping mengemukakan Gagasan Persuratan Baru
sebagai sebuah teori yang satu-satunya boleh mencabar teori sastera Barat. Oleh
yang demikian, anda sendiri perlu pula terbuka untuk memberi pendapat kritis
anda yang objektif dan jujur dari segi akademik dan adil dari segi intelektual.
Kita perlukan dialog, tidak hanya menyebut dialogic
imagination tanpa memahaminya. Mesti ada maruah akademik dan maruah
intelektual untuk tidak menghampakan
pembaca apabila menulis, yang boleh saja anda lakukan di atas bumbung
kilang berkarat untuk mendapat ilham jika anda rasa selesa memanjatnya!)
Catatan
Tambahan: Mahu tidak mahu, kemunculan novel mini ensiklopedia Pujangga
Melayu telah mengubah sama sekali persepsi anda tentang sastera dan
persuratan. Anda akan dianggap ketinggalan zaman, mahu terus berada dalam dunia
yang pinggiran, yang kehilangan adab dan keliru dari segi ilmu serta cetek
meraba-raba dalam dunia intelektual
sebagai kumpulan pinggiran yang tidak mengenal warisan sendiri dan cetek pula
pengetahuannya tentang teori sastera Barat yang menjadi ikutan anda, sekiranya
anda masih meremehkan Gagasan Persuratan Baru yang kini mempunyai sekumpulan
dokumen bernilai ilmu yang boleh anda telaah dan bahaskan secara akademik jika anda seorang sarjana
yang tidak ciritan. Cabaran ini tidak
dapat dielakkan oleh sesiapa sekalipun, apatah lagi jika anda seorang profesor
atau pensyarah yang mengajar sastera di universiti. Sikap antagonis anda untuk
meremehkan PB dan mengharamkannya daripada memasuki universiti untuk terus
melindungi pandirisme yang anda sendiri menjadi anggota dan penyokongnya, akan
meletakkan anda sebagai kumpulan yang tidak mempunyai maruah ilmu (intellectual integrity), lebih-lebih
lagi apabila anda dengan riuh rendah mengajak orang lain (bukan diri anda
sendiri) untuk menghargai pemikiran baru yang anda namakan eksperimen dan
kelainan dan inovasi (atau entah apa-apa yang anda lebih tahu), padahal anda
sendiri bersikap anti ilmu, atau dalam istilah yang diperkenalkan oleh Prof.
Wan Mohd. Nor Wan Daud, sebagai kumpulan “ingkar ilmu” yang mendapat pengaruh min Iblis seperti yang ditegaskan dalam al-Quran. Jika anda seorang Islam yang komited, anda
tidak mempunyai pilihan melainkan membetulkan persepsi anda tentang ilmu dengan
menerima, tanpa syarat, hakikat bahawa sumber ilmu yang sebenar ialah al-Quran,
bukan teori sastera Barat seperti yang menjadi pegangan anda sekarang. Dengan
membaca novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu, anda pasti akan mengembalikan maruah
intelektual anda sebagai seorang sarjana yang mempunyai integriti. Selamat membaca Pujangga Melayu sebagai
pembaca yang kritis dan kreatif.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9/3/2017.
No comments:
Post a Comment