Monday, March 13, 2017

SAMAKAH ADAB DAN KURANG AJAR?

Pertanyaan ini timbul, tidak dapat dielakkan, kerana sastera Melayu, melalui sasterawan negaranya, telah menetapkan dengan tegas, dan diterima oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera, bahawa dari segi sastera yang kurang ajar itulah yang dimaksudkan dengan adab. Kurang ajar yang sebenar, kata mereka, ialah apabila seseorang menolak sifat kurang ajar menurut definisi sastera itu sebagai kurang ajar sebenarnya. Menurut para sarjana dan pengkritik sastera, tidak ada yang kurang ajar dalam sastera. Semuanya dibenarkan. Ini, kata mereka, amat disedari oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara yang memilih mereka. Bagi orang yang tidak biasa dengan bahasa sastera yang indah-indah, yang tidak melanggar tatasusila asalkan dijadikan bahasa sastera, maka tentulah pendapat ini amat tidak siuman. Tentulah orang yang siuman akan bertanya, bagaimana bahasa yang biadab dan kurang ajar itu dianggap sebagai bahasa sastera yang indah-indah? Dalam konteks ini, seperti yang ditekankan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sastera mempunyai hegemoni tersendiri, yakni sastera boleh memaksa masyarakat untuk menerima sasterawan dan karya mereka bukan dalam konteks moral, iaitu dalam konteks sifat kurang ajar. Sasterawan dan karya sastera mementingkan realiti dalam masyarakat, oleh itu apa juga yang dianggap kurang ajar tidak menjejaskan hegemoni sastera sebagai penentu nilai-nilai baru dalam masyarakat. Termasuk dalam kategori ini ialah menerima sifat kurang ajar itu, dalam konteks sasteranya, sebagai nilai baru yang mulia, yang menunjukkan perubhan kepada sifat dan sikap yang lebih baik. Itulah makna cerita Si Tanggang sekarang, yang amat ditekankan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang menyuruh para pelajar menjadikan Si Tanggang sebagai teladan yang wajar diikuti jika mereka juga ingin berjaya seperti Si Tanggang.

Dalam kritikan sastera, sifat kurang ajar ini mendapat pujian tinggi seorang profesor sastera yang dikemukakannya dalam syarahan perdana beliau, berjudul  Kemantapan Puisi  Melayu Moden: Satu Tinjauan  (Universiti Malaya, 29 Disember 2004).  Apakah ukuran yang digunakan untuk menentukan sesebuah sajak itu mantap atau tidak? Lebih penting, mantap dari segi apa? Dengan tidak memberi takrif yang jelas, Prof. Rahman Shaari (kini seorang Dato’) bebas memberi pandangannya yang tidak mempunyai ukuran yang membolehkan beliau “menangkap” sajak-sajak yang mantap.  Ini menjadi masalah besar kepada beliau dan kita yang membaca analisisnya. Oleh sebab sajak bukan lembu atau biri-biri, yang boleh dilihat gemuk kurusnya dan ditentukan berat ringannya dan dengan itu berapa pula harganya, maka Prof. Rahman Shaari tidak dapat membezakan mana satu sajak yang gemuk mana pula yang kurus kering. Berasaskan pemerhatian beliau sendiri yang tidak mantap, beliau membahagikan sajak yang dikatakan mantap itu kepada beberapa kategori:  yang menggoncang fikiran (contoh: Kassim Ahmad dan Muhammad Haji Salleh); sajak konfesional (contoh: Baha Zain dan T. Alias Taib); sajak protes dan sajak sinis (contoh: Dinsman); sajak moral dan pendidikan (contoh: Shafie Abu Bakar, Zurinah Hassan);  dan macam-macam lagi yang remeh-temeh.  Kemantapan sajak-sajak yang terpilih boleh dipersoalkan, menunjukkan cara yang dipilih Prof. Rahman Shaari tidak bercerita tentang sajak, tetapi tentang pensajak dan tema sajak mereka. Ini cara budak-budak sekolah, atau cara pelajar tahun satu universiti.  Apakah yang ingin kita tahu tentang sajak-sajak yang dikatakan mantap itu? Pertama sekali pemikiran, atau idea yang menjadi pilihan pensajak. Ini tidak ada. Kering. Kurus. Kedua, penggunaan bahasa yang boleh dikatakan bahasa sajak, kerana kita ada bahasa syair, bahasa pantun, bahasa seloka dan sebagainya. Bagaimana sajak itu dibahasakan? Apakah ciri utama dalam perbahasaan itu? Sejauh mana bahasa itu mencerminkan kedalaman berfikir si pensajak? Tidak ada dalam syarahan perdana ini. Supaya anda mudah faham, anda perlu baca sajak-sajak T.S.Eliot (Inggeris), Iqbal, atau Rumi (Islam) dan para penyair besar dunia. Di mana pensajak kita berada?  Kalau kita tidak berani meletak mereka dalam komuniti penyair dunia, maka bagaimana kita akan melihat kelebihan mereka? Kita dapat lihat ini dalam karya Amir Hamzah dan Chairil Anwar; dan kita pun tidak ragu-ragu berkata tanpa Amir Hamzah, tidak akan lahir Chairil Anwar, walaupun terdapat perbezaan yang jelas dalam penggunaan bahasa dan pemikiran. Saya telah bahaskan serba ringkas tentang perkara ini dalam blog ini.  Di Malaysia yang menulis sajak bukan pemikir, yakni orang yang berfikir; mereka adalah pemerhati yang dangkal, maka lahirlah sajak-sajak peristiwa yang dangkal, sekadar bercerita dengan segala kepura-puraan kononnya mereka ini perihatin kepada masalah di sekeliling mereka. Sajak serupa ini saya kategorikan sebagai sajak peristiwa, sajak topikal. Pada umumnya inilah sajak yang ditulis dalam sastera Melayu. Panel Anugerah Sastera Negara memberi beberapa contoh daripada karya Kemala dalam laporan mereka. Lihat di sana untuk menilai kualiti sajak-sajak kategori ini. Dalam pemerhatian saya, terdapat dua jenis sajak yang dominan dalam persajakan Melayu, yang saya namakan sajak-sajak mantera dan sajak-sajak celoteh. Pandangan saya tentangnya telah dijadikan entri dalam blog ini. Untuk sajak mantra lihat entri bertarikh 30/10/2010.

Ada satu persoalan penting yang kita dapat buat kesimpulan daripada syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini. Cukup jelas bahawa beliau sewenang-sewenang memberikan pembahagian (kategori)  tanpa sebarang asas ilmiah, tidak berasaskan konsep ilmu. Ini membuktikan dengan jelas bahawa sastera Melayu memang hanyut dalam kekeliruan tentang konsep ilmu, dan akibatnya berada dalam kehilangan adab yang jelas. Oleh itu apa yang disebut sebagai kemantapan sajak-sajak Melayu sebenarnya adalah penyerlahan kehilangan adab dalam persuratan Melayu. Contoh terbaik ialah tentang sajak mengenai Si Tanggang. Menurut profesor ini, makna dan tafsiran boleh berubah bila-bila masa jika keadaan memerlukan, dengan memberi contoh Hang Jebat tidak lagi menderhaka dalam tangan Usman Awang dan lain-lain; semua cerita legenda boleh diubah maknanya mengikut kamahuan semasa, tanpa memberi bekas kepada inti sari cerita itu. Profesor ini tidak sedar bahawa beliau sebenarnya membenarkan hakikat bahawa sastera Melayu adalah cetusan sasterawan yang keliru dan cetek meraba-raba, yang tidak kenal tradisi bangsa sendiri dan cetek pula pengetahuannya tentang sastera Barat. Pendeknya, kehilangan adab dalam dua tradisi. Tepat sekali pencirian yang dibuat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Di situ beliau berkata betapa yang disebut sasterawan (istilah yang beliau gunakan pujangga) adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba... (hal.  54-55). Tidak seorang pun di antara sarjana dan sasterawan menolak pandangan beliau. Mengapa hal ini terjadi? Mereka tidak menerimanya, tetapi tidak dapat pula menyanggahnya; oleh itu benar-benar menjadi duri dalam daging para sasterawan, lebih-lebih lagi apabila gelaran sasterawan negara diberikan pula kepada para sasterawan yang keliru ilmunya dan cetek meraba-raba pengalaman intelektualnya. Satu lakonan komedi yang menjadi bahan tertawa sepanjang masa, atau dalam bahasa yang digunakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA  , telah dikanunkan sebagai hegemoni sastera dalam masyarakat, walaupun palsu. Tanpa dimaksudkan olehnya, “kemantapan” sajak-sajak  Melayu yang cetek dan bertentangan dengan warisan persuratan membuktikan kepalsuan hegemoni yang dimaksudkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Tetapi “kemantapan” dan hegemoni palsu itu membuktikan dengan tegas dan jelas akan kemewahan sifat kehilangan adab dan betapa sifat “kurang ajar” itulah yang diangkat menjadi adab dalam konteks sastera Melayu yang dipertahankan oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Inilah kedudukan para sasterawan negara dan peranan Panel Anugerah Sastera Negara memperkukuh sifat-sifat kehilangan adab dalam kebudayaan Melayu moden. Bagi mereka, adab yang mereka klaim untuk kumpulan mereka adalah sifat kurang ajar yang menjadi teras sastera Melayu moden terutama yang menjadi pegangan para sasterawan negara, yang akhirnya dijadikan teras negara bangsa oleh PENA dan ITBM. Inilah matlamat hegemoni yang dimaksudkan oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam buku ITBM itu.  Authoriti mereka Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang mengajar para sasterawan dan sarjana betapa pentingnya menjadi kurang ajar untuk “memeluk kenyataan dengan logika baru/berdebat dengan hujah-hujah pejal dan nyaring”.  Inilah makna adab dalam konteks kebiadaban baru yang didukung sepenuhnya oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Kita lihat bagaimana Prof. Rahman Shaari menghujahkan persoalan ini. Seperti Panel Anugerah Sastera Negara menerima Muhammad Haji Salleh sebagai satu-satunya pensajak intelektual kerana telah menghasilkan sajak terbesar dalam sastera Melayu, “Pulang Si Tanggang”, maka demikianlah juga Prof. Rahman Shaari  dengan selesa dan penuh hormat berkata, “Pengalihan perwatakan daripada antagonis kepada protagonis dalam karya Muhammad Haji Salleh telah menggoncang fikiran. ... Jika kita membaca skrip drama Usman Awang yang berjudul “Matinya Seorang Pahlawan”, kita juga menemukan anjakan perwatakan, apabila Jebat diberi nilai yang baik dan murni. Ternyata dalam kesusasteraaan Melayu sesekali sasterawan meghasilkan karya yang sebegini menggoncang.” (hal. 38).  Apakah yang dimaksudkan oleh Prof. Rahman Shaari dengan “menggoncang”?  Inilah ulasan beliau: “Sama ada pembaca menyenangi goncangan seumpama yang dilakukan oleh Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh dan Usman Awang ... atau tidak adalah hal lain. Yang penting dalam kupasan ini, perkembangan perpuisian telah berlangsung ke arah trersebut.” (hal. 38).  Maksudnya, persajakan Melayu memang mengarah kepada budaya kurang ajar yang diajarkan oleh Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya “Pulang Si Tanggang”.  Sekiranya kita terima bahawa mereka yang mengajak ke arah sikap kurang ajar itu dan menerimannya dengan selesa adalah tokoh-tokoh utama dalam sastera Melayu, maka kita dengan selesa boleh berkata memang sastera Melayu yang dikembangkan oleh mereka, para sasterawan dan sarjana, adalah sastera yang anti-ilmu dan yang menyokong sifat kurang ajar. Inilah yang dimaksudkan dengan adab baru yang melahirkan slogan baru “sastera teras negara bangsa”. Bagi mereka, adab dan kurang ajar adalah sama, satu rumpun dalam perkembangan menuju ke arah kecemerlangan sastera Melayu moden. Yang beradab dan yang kurang ajar adalah setaraf, sama-sama penting, sama-sama memberikan sumbangan besar kepada perkembangan sastera Melayu.

Kesimpulan ini akan bertaburan seperti manik gadis Iban yang putus tali jika kita melihat perkembangan ini dalam konteks yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Kita akan melihat dengan jelas akan kepalsuan perkembangan  yang dibanggakan oleh kumpulan yang keliru dan cetek meraba-meraba ini.

Nampaknya kemunculan sasterawan negara untuk memperkukuh kepalsuan ini supaya dapat diterima sebagai perkembangan yang berharga, tidak dapat dipertahankan. Mereka juga berada dalam kelompok yang biadab dan kurang ajar itu, seperti yang kita lihat dalam karya mereka. Oleh itu, dari hujah yang bagaimana mereka ini kita perlukan? Inilah persoalan besar yang membuat mereka lesu tidak boleh berkata apa-apa untuk menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu. Demikianlah situasi sebenanrya dalam sastera Melayu.

Bagaimana sikap Prof. Rahman Shaari sendiri terhadap ilmu? Negatif. Amat negatif dan agak liar, ganas seperti serigala membaham bangkai. Sekiranya anda mengikuti gerak-geri sarjana ini, anda akan bertemu dengan sikap ganas dan liar itu sewaktu beliau mengulas syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir.  Sebagai seorang sarjana yang ganas dan liar, beliau tidak saja memperkecilkan syarahan perdana itu sebagai tak lebih daripada “copy cat”, tidak original dan tidak berfaedah kerana yang menjadi subjek syarahan itu ialah Gagasan Persuratan Baru.  Kebencian beliau terhadap Persuratan Baru sampai ke peringkat schizophrenia,  apabila beliau menolak bulat-bulat apa juga tulisan dan buku yang membicarakan PB sebagai omong kosong tentang ilmu untuk menunjuk-nunjuk dan mengada-ada. Novel Pujangga Melayu terbit 1997, syarahan perdana beliau 2004 berbicara tentang sajak dan kemantapan sajak. Di dalam Pujangga Melayu anda akan bertemu banyak sajak yang dari segi kualiti pemikirannya jauh mengatasi dan meninggalkan mana-mana sajak yang telah ditulis oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Jika Panel Anugerah Sastrera Negara bercakap tentang sajak intelektual, dengan menamakan Muhammad Haji Salleh sebagai pelopor sajak intelektual melalui sajak “Pulang Si Tanggang”, Prof. Rahman Shaari bersetuju dengan Panel dan meletakkan sajak itu sebagai satu-satunya sajak intelektual yang terdapat di Malaysia. Bagaimana dengan sajak-sajak di dalam Pujangga Melayu? Saya sudah mencabar sesiapa juga yang memperkecilkan kualiti pemikiran sajak-sajak dalam Pujangga Melayu tampil membicarakan sajak “Al-Andalus” dan lain-lain sajak dengan sajak “Pulang Si Tanggang” dan buktikan sajak-sajak dalam Pujangga Melayu tidak bermutu. Jika anda seorang sarjana yang worth your salt, prestij anda akan bertambah sekiranya anda dapat membuktikan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh adalah yang paling berkualiti dan tidak boleh ditandingi oleh mana-mana sajak dalam Pujangga Melayu. Perbincangan serupa ini tidak ada, suatu keadaan yang amat memalukan dunia akademik kita, lebih-lebih lagi jika anda betul-betul serius ingin berbicara tentang “kemantapan” puisi Melayu. Meninggalkan sajak yang jauh lebih berkualiti dari segi pemikiran dan teknik seperti sajak-sajak dalam Pujangga Melayu adalah tidak akademik, menandakan pembicara tentang kemantapan sajak-sajak Melayu tidak membaca dan meneliti dengan cermat karya yang jauh lebih bermutu daripada mana-mana karya yang dimuat dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini. Kita bercakap tentang pemikiran, bukan tentang populariti yang dibuat-buat. Cabaran kreatif dan cabaran akademik ini tidak boleh didiamkan, dengan sikap “lembu kenyang” seperti dalam ungkapan orang Kelantan.  Tetapi yang bagusnya pula, sikap “lembu kenyang” ini membenarkan dan membuktikan kebenaran pemerhatian saya bahawa dalam sastera Melayu konsep adab dan kurang ajar memang disetarakan, sehingga yang mencermin adab dalam konteks ilmu seperti sajak-sajak dalam Pujangga Melayu ditinggalkan, tidak disentuh langsung. Keangkuhan akademik seumpama ini merugikan dunia intelektual kita, kerana usaha orang lain yang jauh lebih maju dan mengatasi sajak-sajak mantap yang tidak mantap itu kelihatan seperti kucing dibandingkan dengan harimau!  Orang biasa pun tahu membezakan kucing dengan harimau; maka menjadi tanggungjawab seorang ahli akademik tidak meletak kucing lebih tinggi daripada kedudukan harimau.  Perilaku yang tidak akademik, tetapi angkuh dengan lagak akademik, sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Kita mahu para sarjana mempunyai sedikit “humility” untuk menerima hakikat bahawa terdapat karya yang benar-benar mantap bukan saja dari segi pemikiran, tetapi juga dari segi kreatif yang anda  akan dianggap tidak mempunyai etika akademik jika meninggalkannya, seperti yang dilakukan oleh Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau. Bagi saya ini suatu perkara yang serius, yang tidak sepatutnya diremehkan oleh para sarjana kita. Sekiranya taraf kesarjanaan mereka tinggi, mereka akan dengan mudah dapat membezakan sesuatu karya yang benar-benar bermutu dengan yang hanya dianggap bermutu tetapi pada hakikatnya tidak.  Tentu saja kritikan saya agak keras, tetapi itulah yang wajar apabila kita menghadapi siatuasi yang boleh mencemarkan dan merendahkan kedudukan dunia akademik kita. Saya tidak dapat menerima syarahan perdana Prof. Rahman Shaari ini sebagai suatu sumbangan yang bererti, yang sebenarnya kita tunggu-tunggu daripada hasil pemikiran dan penyelidikan para sarjana kita. Sungguh Sayang!  Kalau tidak silap, saya pernah mencadangkan dalam blog ini supaya diizinkan dikemukakan syarahan perdana yang kedua, yang lebih mantap yang benar-benar membuat kita bangga. Contoh? Syarahan pengkukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972, yang belum dapat diatasi hingga kini dari segi perkembangan ilmu.  Lekeh sangatkah sarjana sastera kita?

Saya sudah sampai kepada kesimpulan yang tentu saja tidak dapat diterima oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan. Saya ingin menegaskan untuk kesekian kalinya, jalan keluar yang dihadapi oleh para sarjana dan sasterawan yang sedang berada dalam kegelapan ambiguiti ilmu ini sudah disediakan oleh Gagasan Persuratan Baru. Tunggu apa lagi? Anda diberi dua pilihan yang tegas jelas: menerima PB atau menolaknya secara akademik. Pilihan ketiga sentiasa terbuka, dan sebagai seorang sarjana anda tahu maksud saya. Dalam konteks inilah konsep pandirisme dan buku tentangnya akan memberikan anda ruang akademik dan ruang intelektual untuk memberi sumbangan yang benar-benar mengangkat kualiti akademik dan kualiti ilmu dalam sastera. Sesungguhnya adab dan kurang ajar tidak sama. Tidak mungkin lahir hegemoni daripada sikap dan sifat kurang ajar yang diajarkan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  12/3/2017





No comments:

Post a Comment