Baru-baru
ini saya dilontarkan soalan yang pelik seperti di atas. Mengapa pertanyaan itu
ditujukan kepada saya? Tidak adil dan tidak wajar. Memang saya mengkritik
sasterawan negara agak keras, tetapi itu cara saya, kerana saya mempunyai
ukuran tertentu yang tidak semestinya anda bersetuju, tetapi memberikan saya
kejelasan dalam menilai karya para sasterawan negara ini apabila saya
menggunakan ukuran itu. Ukuran itu telah saya huraian dengan terperinci dalam
buku-buku saya dan sekali-sekala dalam blog ini. Orang yang bertanya pastilah tidak
membacanya, atau jika pun membacanya tidak memahaminya.
Jika anda
benar-benar berminat hendak mengetahui sejauh mana cerdiknya para sasterawan
negara ini, anda harus membaca karyanya, dan menilainya berpandukan ukuran yang
diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru.
Penegasan ini penting kerana dari penelitian saya terhadap kertas kerja
yang memuji para sasterawan negara, yang dilontarkan oleh para sarjana ketika
berseminar tentang “Pemikiran Sasterawan Negara”, saya dapati tidak kemas
penghujahannya, malah tidak ada hujah-hujah konkrit yang dikemukakan oleh para
sarjana ini. Hal ini terjadi kerana mereka tidak dibenarkan untuk berlaku
kritis, kerana tujuan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar itu ialah
untuk memuji para sasterawan negara dan meletakkan mereka di atas takhta
keunggulan yang paling istimewa yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana penulis
kecuali para sasterawan negara. Saya teringat pandangan seorang sarjana yang
mengatakan jika para sasterawan negara dikritik, apa gunanya kita melantik
mereka menjadi sasterawan negara jika untuk dikritik? Walaupun pandangan ini
sangat aneh, lebih-lebih lagi apabila diutarakan oleh seorang sarjana terkenal,
saya bersetuju dengan beliau bahawa setiap sarjana sastera mempunyai kewajipan
untuk memuji para sasterawan negara. Saya sendiri tidak perlu memuji mereka,
kerana saya bukan sarjana dan tidak ada jawatan rasmi sebagai seorang pensyarah
di universiti yang mempunyai tempat untuk meletakkan beberapa jabatan sastera
untuk tempat para sarjana ini berkecimpung dan melahirkan pujian mereka
terhadap para sasterawan negara atau teman-teman mereka. (Contohnya telah saya berikan, tidak perlu
diulang di sini. Yang membacanya tentulah tahu jika mereka betul-betul
membacanya.) Saya terlepas dari beban
makan gaji untuk memuji, tetapi tidak terlepas dari beban intelektual untuk
memberikan pendapat yang kritis berasaskan ukuran yang dapat diuji dengan mudah
dan objektif berasaskan prinsip-prinsip yang saya kemukakan. Inilah keistimewaan
orang yang tidak makan gaji untuk memuji, tetapi mempunyai tanggungjawab ilmiah
yang berat untuk mencerdikkan masyarakat dengan memberikan mereka cara-cara
yang akan membolehkan mereka menjadi cerdik, dengan mengemukakan Gagasan
Persuratan Baru sebagai asas penilaian. Sesiapa juga yang berani menggunakan PB
dalam analisis mereka, kita akan dapati mereka lebih teliti menulis dan
memberikan kita satu alternatif yang sering kali amat mencabar, seperti yang
ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah ketika membicarakan novel besar Fatimah
Busu, Salam Maria, yang mendapat
pujian yang amat mewah daripada teman-teman beliau dan para sarjana yang kagum
dengan cara Fatimah Busu menonjolkan segala macam teknik sensasi dalam
novelnya, termasuk H. B. Jassin sendiri yang menyatakan kekagumannya (seperti
yang diceritakan oleh Fatimah Busu sendiri). Saya tidak perlu memberikan
contoh, kerana contoh itu berlambak di dalam novel ini sehingga membuat kita
bertanya, “Beginikah sasterawan menulis novel?”
Tetapi contoh yang paling baik ialah pujian istimewa kepada sebuah novel
sensasi yang lebih mendekati picisan, bukan berupa penerokaan pemikiran yang
bernas dan original. Saya rujuk novel-novel Anwar Ridhwan, terutama sekali Naratif Ogonshoto. Anda yang telah membaca kritikan saya tahu
apa yang saya maksudkan, tak perlu diulang di sini.
Saya cuma
ingin menegaskan bahawa jika anda percaya dengan mudah, dan percaya bulat-bulat
pula, segala pujian para penulis kertas kerja tentang “pemikiran” para
sasterawan negara ini, anda akan tertipu dengan mudah. Yang tragisnya ialah
anda percaya dan berterima kasih kerana telah tertipu oleh pretensi intelektual
yang disogok oleh para sarjana ciritan ini, dengan itu mengutuk orang-orang
seperti saya yang lebih kritis dan serius dalam kritikan sastera, yang menolak
segala pujian tidak berasas oleh para sarjana ciritan ini. Dalam konteks inilah
jawapan kepada pertanyaan tadi perlu dilihat. Adakah anda mengasaskan penilaian
anda terhadap para sasterawan negara ini kepada pujian para sarjana ciritan ini;
atau anda sendiri membacanya dengan kritis dengan misalnya menggunakan ukuran
yang dikemukakan oleh Gagasan Persuratan Baru?
Tidak semestinya begitu; asal saja anda berfikir dengan kritis dan tahu
menggunakan segala teori kritikan Barat dengan kritis pula, anda akan dapati
kemewahan pujian berasaskan pretensi intelektual itu adalah palsu dan tidak
berasas. Ini telah saya huraikan banyak kali dalam blog ini, terutama sekali
antaranya yang bertajuk “Keunggulan Yang Cacat”.
Jadi, yang
akan menentukan kecerdikan para sasterawan negara ini adalah karya mereka
sendiri, bukan pujian terhadap mereka, apatah lagi jika dilontarkan oleh
puak-puak mereka sendiri yang berada dalam Mutual Admiration Club. Saya telah
memberi contoh yang banyak, saya persilakan anda menyangkal contoh-contoh itu
sebagai tidak betul dan tidak berasas. Itu kerja anda yang paling mudah. Jadi
itulah jawapan saya yang paling ringkas.
Bukan hanya kecerdikan para sasterawan negara yang teruji; kecerdikan
anda sendiri pun akan teruji. Oleh itu anda tidak main-main bertanyakan sesuatu
sekadar untuk bertanya. Memberi jawapan jauh lebih mudah daripada mengemukakan
pertanyaan yang cerdik. Inilah hakikat kecerdikan yang dipersetujui oleh para
genius dan manusia cerdik dari dulu hingga kini. Adakah anda termasuk dalam
golongan ini? Nasib baik saya tidak
termasuk dalam golongan ini, jadi saya lebih bebas, tidak seperti orang-orang
yang terikat kepada keistimewaan tertentu yang menyusahkan mereka sendiri
kerana yang mereka ingin dengar hanya keistimewaan mereka yang sebenarnya tidak
ada. Orang-orang yang tidak istimewa seperti saya mempunyai keistimewaan yang
tidak terdapat di kalangan golongan istimewa yang memang diistimewakan. Itulah rahsia motto yang menjadi slogan di
blog ini; yang memudahkan peranan saya sebagai seorang penulis. Orang-orang istimewa seperti Prof. Emeritus
Muhammad Haji Salleh terpaksa memanjat
bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham, walaupun hasil tulisannya
tidak sehebat keberaniannya mencari sensasi yang begitu istimewa. Dalam konteks
ini, yang istimewa itu rupanya hanya sejenis sensasi. Bagaimana dengan nilai
sebenar karya para sasterawan negara? Di situlah terletak kecerdikan mereka.
Novel Pujangga Melayu (terbit 1997 oleh Fajar Bakti) ini saya panggil novel mini ensiklopedia. Tepat tidak gelaran ini
anda lebih berhak menentukannya sebagai pembaca yang kritis dan kreatif. Saya
selalu bergurau, jika anda pembaca yang cerdik, novel mini ensiklopedia ini
tidak menghampakan. Ini sesuai dengan motto blog ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23/3/2017.
No comments:
Post a Comment