Tuesday, March 28, 2017

KEHILANGAN MARUAH AKADEMIK YANG MEMBANGGAKAN

Bagi para sarjana sastera, menjadi hamba teori sastera Barat adalah satu keistimewaan yang membanggakan, dalam erti mereka tidak perlu bersusah payah berfikir kerana semuanya telah disediakan kepada mereka oleh para sarjana Barat. Kefahaman mereka kepada pelbagai teori sastera Barat itu tidak perlu mendalam, kerana sebagai pengguna yang mediocre, yang penting ialah menderetkan nama-nama teori dalam satu senarai panjang yang tidak lebih daripada  peragaan untuk bermegah-megah. Tabiat ini saya namakan retorik peragaan, suatu amalan biasa di kalangan sarjana sastera.  Apakah kesannya kepada perkembangan akademik?  Sekurang-kurangnya terdapat dua kesan besar yang mungkin tidak disedari oleh para sarjana ini. Pertama, tidak ada kefahaman yang mendalam tentang teori Barat ini, oleh itu mereka tidak sedar implikasi ilmiah yang mereka hadapi, yang kemudiannya menimbulkan akibat tiadanya kecenderungan untuk menapis dan mengkritik teori-teori itu dari segi epistemologi. Apa yang terjadi hanya sejenis peniruan cetek yang dari segi penggunaannya hanya sekadar menempelkan teori itu kepada sesuatu karya untuk menunjukkan karya tersebut bermutu dan mungkin juga sudah sampai ke taraf antarabangsa! Contoh terbaik, yang boleh dilihat dengan jelas, ialah penggunaan teori feminisme oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan  Dr. Mawar Shafei yang menggunakan konsep intertekstualiti. Kedua-dua mereka berjaya mengelirukan diri mereka sendiri dan pembaca yang tidak kritis. Dari segi akademik, agak lucu apabila kedua-dua mereka diberi hadiah “berprestij” oleh universiti tempat mereka bekerja dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka, padahal dari segi sumbangan kepada ilmu tidak dapat dibanggakan. Saya telah memberikan pendapat saya tentang perkara ini dalam entri di blog ini. Anda mungkin akan berkata, pendapat saya tidak valid kerana kedua-dua mereka mendapat hadiah daripada organisasi yang berprestij. Jawapan saya mudah: jika kedua-dua tesis ini dinilai dari segi kepentingan ilmu, sumbangannya nol!  Tentu saja saya bersedia untuk dikritik sehabis kritis yang anda mahu untuk menolak kesimpulan saya.  Itulah yang anda perlu buat jika anda seorang ahli ilmu, bukan seorang peniru yang mediocre

Kesan kedua lebih buruk lagi, kerana berkaitan dengan kedudukan epistemologi dalam memahami sumber ilmu.  Apabila seorang sarjana tidak sensitif kepada masalah ilmu, maka dia akan tenggelam dalam timbunan maklumat yang sering kali hanya bertaraf sampah tidak berguna. Saya maksudkan sampah tidak berguna ini ialah apa yang dipuji oleh Dr. Mawar Shafei terhadap beberapa “pinjaman” daripada cerita-cerita penglipur lara yang tidak ada mutu ilmunya sama sekali untuk dijadikan sisipan dalam penulisan kreatif, seperti yang dilakukan Anwar Ridhwan dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, yang dihuraikan dengan cetek dan misleading oleh Dr. Mawar Shafei dalam bukunya.  Jika anda tidak berasa hairan bagaimana kesarjanaan sastera Melayu boleh menerima analisis secetek ini, maka anda tentulah tidak mempunyai sifat sensitif seorang sarjana yang tahu makna ilmu dan dapat membezakan dengan jelas perbezaan antara ilmu dan maklumat. Kita tidak dapat perbezaan ini dalam buku-buku yang saya kritik itu.  Saya sedang menyusun sebuah buku mengenai perhambaan ini, diambil daripada tulisan yang disiarkan dalam blog ini.  Saya harap apabila buku ini diterbitkan kelak, sedikit sebanyak akan memberi kesedaran kepada para sarjana (ciritan) yang masih sanggup menjadi hamba teori sastera Barat.

Dalam sebuah tulisan yang disiarkan dalam majalah Mastika (Oktober 1991) saya memberi peringatan ini: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.”  Saya kira peringatan ini munasabah dan wajar, tetapi peringatan ini diremehkan sahaja oleh para sarjana (ciritan) dengan alasan yang paling naif, iaitu kata mereka mempelajari teori sastera Barat adalah satu kewajipan universal yang tidak boleh dielakkan, supaya para sarjana (ciritan) tidak ketinggalan zaman dan boleh berbicara tentang sastera dan teori sastera Barat yang universal.  Sungguh hebat pandangan yang mediocre ini, lebih hebat daripada pandangan dan pendirian para sarjana Barat sendiri yang tidak klaim teori Barat itu universal.  Jiwa hamba begitulah, seperti yang dibanggakan oleh sarjana (ciritan) itu.

Barang siapa yang berkata teori sastera Barat itu universal akan ditertawakan oleh Pak Pandir dan cucunya Polan Cupan.  Yang universal hanya al-Quran dan Islam sebagai sumber ilmu. Adakah ini tidak diketahui oleh para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan)? Yang jelas, tembelang mereka terserlah, kini akan  ditertawakan oleh Pak Kadok yang ayamnya menang tetapi kampung tergadai.  Inilah keadaan sebenar yang dihadapi oleh para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) ini.  Kebanggaan mereka kepada teori sastera Barat melupakan mereka kepada hakikat mereka adalah hamba teori sastera Barat, menjadi bisu dan buntu tanpa teori sastera Barat. Adakah ini keistimewaan yang mereka banggakan? Seperti Pak Kadok yang mempunyai ayam yang baik dan selalu menang, akhirnya kecundang dan baju kertasnya koyak rabak. Siapakah yang memakai baju kertas dalam sastera Melayu?  Berwarna- warni dan cantik, tetapi sekali ditiup angin kuat kertas yang beraneka warna itu koyak rabak, dan pemakai baju kertas telanjang bulat di depan khalayak. Persis inilah yang terjadi kepada para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) yang berada persis dalam peristiwa Pak Kadok ini.  Inilah keistimewaan mereka sebagai penganut teori sastera Barat, akhirnya telanjang bulat apabila kepalsuan teori Barat didedahkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Yang anehnya, setelah kepalsuan teori mereka dibuktikan dan mereka akhirnya tiada seurat benang untuk mempertahankan diri, maka mereka mengutuk kehadiran Gagasan Persuratan Baru hanya untuk, kata mereka dengan tegas dan berani, memalukan mereka. Tidakkah ini satu tuduhan yang aneh dan jahat? Mereka tahu kelemahan mereka, oleh itu mereka mencari helah dan alasan untuk menutup “kemaluan” itu dengan membuat tuduhan ke atas orang lain yang mereka tidak boleh menghadapinya secara akademik, dengan membahaskannya atau mengkritiknya secara saksama, seperti yang mereka sendiri menggesa orang lain untuk berlaku adil kepada mereka.

Jangan lupa satu perkara yang mereka belum sedar implikasinya. Generasi akan datang, malah dalam masa sepuluh tahun ini pun, akan merasa dirugikan oleh kumpulan yang menghalang manusia Melayu berfikir dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar.  Mereka akan dikutuk sebagai kumpulan hamba teori sastera Barat yang tidak bermaruah, tetapi mencari maruah itu dengan menjadi hamba kepada teori sastera Barat.  Adakah ini satu kontradiksi? Tidak.  Sebenarnya mereka sedang menghadapi ambiguiti akademik yang menutup sifat siuman kerana berada dalam pemberontakan ingkar ilmu akibat tidak menerima peranan ilmu yang benar dalam dunia akademik yang mereka masuki.  Dengan menggunakan analogi  dalam bahasa yang mudah, mereka menghadapi sejenis penyakit jiwa yang di dalam kebudayaan Barat mereka panggil angst.  Istilah ini digunakan juga dalam kritikan sastera, walaupun dalam falsafah Barat yang paling mengambil berat perkara ini ialah Martin Heidegger.  Bagaimana wajah angst ini kelihatan dalam sastera Melayu? Contoh terbaik ialah yang ditunjukkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham menulis kertas kerja untuk  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.  Dia seolah-olah tidak percaya bumi yang dipijaknya itu stable untuk menampung keghairahan ilmiahnya, sehingga memaksanya memanjat bumbung kilang besi berkarat. Inilah kelakuan seseorang yang menghadapi angst. Lain-lain contoh di kalangan sarjana terkenal Malaysia ialah Mana Sikana (sekali mahu jadi Islam; tetapi lebih percaya kepada yang anti Islam, yakni  teksdealisme yang memang tiada asas agamanya sama sekali, seratus peratus berwajah sekular);  Prof. Rahman Shaari seperti yang ditunjukkannya dalam syarahan perdananya; Prof. Mohd Mokhtar  Abu Hassan yang menerima Si Tanggang ciptaan Muhammad Haji Salleh sebagai seorang tokoh hebat, seorang yang berjiwa entrepreneur; juga yang amat jelas dalam tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seperti yang boleh kita lihat ketika dia memuji Naratif Ogonshoto dan dalam kertas kerjanya dalam Sastera Teras Negara Bangsa. Semua contoh yang diberikan ini amat jelas bersikap menolak konsep ilmu yang benar, tetapi masih mahu bercakap tentang “pemikiran” yang tidak dijelaskan maksudnya.  Inilah jenis  manusia yang sedang menderita penyakit jiwa yang disebut angst itu.  Dalam kritikan sastera Barat, dua tokoh besar mereka, Derrida dan Barthes, adalah dua contoh sarjana yang amat teruk menghadapi penyakit jiwa angst ini. Baca baik-baik tulisan mereka jika anda ragu-ragu tentang kebenaran kesimpulan saya.  Siapa lagi contoh dari Malaysia yang kita boleh tunjuk? Saya mahu anda cari sendiri, masih ada yang saya tidak sebut. Kehilangan keyakinan kepada kebenaran itulah yang menimbulkan ciri-ciri angst ini. (Untuk rujukan, lihat antara lain The Oxford Companion to Philosophy (1995), hal. 34; Chris Baldick, The Concise Oxford Dictionary of Literary Terms (1990), hal.  10; seterusnya bandingkan dengan konsep aporia yang amat digemari oleh Derrida, tetapi berasal daripada Socrates, Plato, dan Aristotle dalam antara lain The Blackwell Companion to Philosophy  (1996), hal.  743.)

Perbincangan tentang tajuk ini amat menarik untuk difikirkan dengan serius oleh sesiapa juga yang ingin mempertahankan maruah intelektualnya dari terjual atau, lebih buruk lagi, dijual dengan harga murah untuk menjadi hamba dalam belantara ilmu yang menyesatkan, padahal ilmu itu seharusnya membawa seseorang menemui jalan keluar yang jelas dan menyelamatkannya dari menjadi sesat Barat dalam belantara ilmu itu.  Hal ini tidak terjadi kepada para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) kerana mereka tidak mahu dibawa keluar dari belantara itu, sebaliknya mahu terus berada dalam belantara itu kerana mereka berasa aman sambil menikmati keindahan hutan yang telah menyesatkan mereka. Tidakkah ini amat ironik? Itulah hakikatnya dalam sastera Melayu. Yang berada dalam belantara sastera mahu terus disesatkan oleh diri mereka sendiri. Mereka tidak mahu dibimbing keluar oleh PB yang akan membawa mereka bermain di taman persuratan yang penuh dengan haruman bunga beraneka jenis dan warna. Sayang, mereka memilih untuk berada di dalam hutan sastera  daripada berada dalam taman persuratan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 28/3/2017.

No comments:

Post a Comment