Saturday, March 4, 2017

INGKAR ILMU DAN KEHILANGAN ADAB DALAM SASTERA MELAYU

“Tentulah sangat aneh, dan biadab, jika budaya kehilangan adab ini mahu dijadikan teras negara bangsa.”

Itulah antara kesimpulan penting saya dalam entri yang lepas (bertarikh 1/3/2017). Bagaimanakah budaya kehilangan adab ini muncul dalam sastera Melayu?  Segala-galanya bermula dengan kemunculan Asas 50, sebuah persatuan penulis yang ditubuhkan di Singapura ketika akhbar Melayu mula mendapat tempat di kalangan pembaca Melayu. Itulah Utusan Melayu, yang dikendalikan oleh para wartawan muda yang berfaham kiri. Asas 50 memakai slogan “sastera untuk rakyat”, sesuai dengan gerakan kiri dalam politik Melayu. Hampir semua sarjana sastera dan pengkritik sastera menerima Asas 50 sebagai pelopor sastera Melayu moden, yang memberi wajah baru kepada bentuk cereka sama ada dalam novel mahu pun dalam cerita pendek.  Apa yang disebut “wajah baru” itu tidaklah baru, kecuali terdapat sedikit perubahan dalam gaya, hasil dari peniruan penulis Asas 50 dari para pengarang “moden” di Indonesia, bermula dari Angkatan Baru hingga ke Angkatan 45. Pengaruh Angkatan 45 itulah yang terkuat dari segi penggunaan bahasa yang lebih berani, misalnya banyak menggunakan perbandingan dan kiasan (metafor).  Ungkapan yang kasar dan sumpah seranah mula menjadi kegemaran para penulis Melayu. Itulah sebenarnya yang boleh dikatakan “kelainan” yang dibawa oleh penulis Asas 50 dan para pengikut mereka.

Ketika itu kesedaran terhadap ilmu tidak ada; yang menonjol ialah kegemaran kepada sensasi dalam mengemukakan karya dan juga dalam penggunaan bahasa. Tidaklah aneh jika di kalangan para sasterawan negara di Malaysia kegemaran itu masih bertapak kuat, kerana mereka menerima perubahan itu sebagai kemajuan dalam penulisan kreatif.  Saya ingin membuat penegasan sekali lagi di sini bahawa kemunculan sekumpulan sasterawan negara di Malaysia adalah pengaruh langsung daripada gerakan Asas 50, seperti yang telah banyak kali saya sebut dalam blog ini. Mereka adalah kumpulan yang keliru tentang konsep ilmu dan cetek meraba-raba dalam penampilan mereka sebagai “pemikir”  kreatif walaupun setelah diangkat menjadi sasterawan negara. Hal ini tidak dapat dielakkan, kerana para sasterawan negara sesungguhnya menulis dalam gaya dan cara penulis Asas 50. Mereka sendiri  adalah pediri Asas 50 dan pengikut Asas 50. Inilah permulaan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu, yang pada mulanya dikritik oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973, tetapi kemudiannya beliau sendirilah yang menjadi pembela dan penggiat Mutual Admiration Club selepas dilantik menjadi sasterawan negara.

Dengan latar belakang ini, kita akan lebih mudah memahami bagaimana akhirnya mereka inilah yang mengemukakan idea “sastera teras negara bangsa”, lanjutan daripada slogan lama “sastera untuk masyarakat”.  Perubahan ini kemudiannya melahirkan perkembangan yang tragis dalam sastera Melayu, apabila pengaruh Machiavelli korup dijadikan asas penulisan dan penilaian karya sastera, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam tulisan Anwar Ridhwan dan Dr. Mawar Shafie. Kita boleh  membuat kesimpulan yang selamat dan tepat bahawa perkembangan ini menjadi bukti yang amat jelas akan kemunculan golongan yang kehilangan adab dalam sastera Melayu, yang keliru dari segi ilmu dan cetek meraba-raba dari segi matlamat. Inilah kumpulan yang melancarkan slogan baru “sastera teras negara bangsa”, satu manifestasi kehilangan adab yang amat jelas.  Hujah ini disimpai dengan kemas dengan kutipan daripada amaran Machiavelli yang saya kutip dalam entri lepas.  Anda tidak perlu berasa pelik jika Machiavelli seolah-olah berbicara tentang kehilangan adab di zamannya. Anda perlu baca tentang Machiavelli yang saya sebut dalam entri lepas.

Sekiranya anda berasa sukar hendak memahami penghujahan ini,  anda harus mendalami pengetahuan anda tentang konsep ilmu dalam Islam dan bagaimana konsep ilmu itu difahami di Barat, terutama di kalangan ahli falsafah mereka. Masalahnya ialah, jika anda memahami dua perkara ini, anda akan menolak teori sastera Barat. Nampaknya fikiran anda semakin kusut. Tidak mengapa, cara menyembuhkan penyakit intelektual yang anda alami ini sangat mudah, seperti yang saya sarankan tadi.  Memang sukar untuk seseorang yang sudah lama kehilangan adab untuk memahami masalah ini, kerana dia tidak mahu memahaminya, dan bangga menjadi seolah-olah binatang ternak (yang disebut di dalam al-Quran, lihat Surah al-A’raf (7: 179). Huraian yang diberikan oleh M. Quraish Shihab dalam kitab tafsirnya,  Tafsir al-Misbah (jilid4, hal. 378-379) adalah penting dalam konteks kehilangan adab ini. Antara lain kata beliau, “Hati, mata dan telinga orang-orang yang memilih kesesatan dipersamakan dengan binatang kerana binatang tidak dapat menganalogikan apa yang ia dengar dan lihat dengan sesuatu yang lain. Binatang tidak memiliki akal seperti manusia. Bahkan, manusia yang tidak menggunakan potensi yang dianugerahkan Allah lebih buruk sebab binatang dengan instinknya akan selalu mencari kebaikan dan menghindarkan bahaya, sementara manusia derhaka justeru menolak kebaikan dan kebenaran serta mengarah kepada bahaya yang tiada taranya.”  Apakah bahaya yang tiada taranya itu? Ialah yang disebut al-ghafilun   dalam ayat ini, “yakni lalai, tidak mengetahui atau menyedari apa yang seharusnya diketahui dan disedari.”  Sekiranya anda memilih untuk menjadi binatang ternak untuk tidak memahami konsep ilmu dan kehilangan adab ini, maka anda tidak sekali-kali akan mendekati PB. Mengapa tiba-tiba PB berada dalam perbincangan ini? Anda harus ulang membaca penjelasan yang diberikan oleh M. Quraish Shihab tentang “hati, mata dan telinga” ... dan seterusnya sehingga sampai kepada huraian tentang konsep al-ghafilun tadi.  Jika anda mendapati sukar untuk memahaminya, maka anda benar-benar sudah berada dalam kelompok binatang ternak yang dimaksudkan oleh ayat ini. Jika anda dapat memahaminya, maka anda akan dapat memahami mengapa PB memberikan anda jalan keluar yang terbaik kepada anda dalam usaha anda membina “negara bangsa berteraskan konsep ilmu yang benar”.  Dengan itu anda akan faham mengapa saya menolak dengan keras sebarang usaha untuk membina negara bangsa dengan menjadikan “sastera teras negara bangsa.”

Adab berkait rapat dengan konsep ilmu.  Tulisan ini bertujuan untuk memberi amaran kepada sesiapa juga yang ingin menulis sejarah perkembangan sastera Melayu supaya memahami perkembangan ini dan tidak memandai-mandai menyelewengkan sejarah dengan memberi tafsiran palsu tanpa memahami susur galur perkembangannya.  Adakah buku Sastera Teras Negara Bangsa terbitan ITBM 2014 itu terhindar dari penyelewengan sejarah yang dimaksudkan?  Ini bukan masalah saya lagi; sebaliknya inilah masalah besar yang anda hadapi akibat menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran, dengan memilih untuk berada dalam kelompok binatang ternak yang dihuraikan oleh M. Quraish Shihab tadi. Ulangi membaca huraian beliau untuk mendapat sedikit pencerahan yang sangat anda perlukan.

Mengapa kita menghadapi masalah kehilangan adab yang sedang dipertahankan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka kumpulan arus perdana?  Jawapannya diberikan oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud melalui konsep “ingkar ilmu” yang dikemukakan beliau. Lihat entri bertarikh 17/10/2016 mengenai “ingkar ilmu” untuk memberi sedikit gambaran kepada anda mengenai masalah “ingkar ilmu” ini. Dalam entri ini terdapat sedikit maklumat tentang burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam pasir untuk mendengar dari mana bahaya akan datang; sebaliknya para sasterawan dan sarjana sastera menyembunyikan kepala dalam lumpur pandirisme kerana takut menghadapi kenyataan. Siapa lebih cerdik antara burung unta dengan mereka? Tentu ramai yang pilih burung unta kerana setiap gerak gerinya mempunyai makna, tidak seperti para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) yang tenggelam dalam sensasi kreatif dan sensasi kritikan (contoh terbaik ialah pembelaan Prof. Mohd. Mokhtar Hassan terhadap Si Tanggang).  Konsep hegemoni yang diperkenalkan oleh golongan Marxist sebenarnya telah dimulai oleh Iblis ketika memberi nama pokok yang terlarang di dalam syurga sebagai “khuldi”, bermakna kekal abadi di dalam syurga sekiranya larangan Allah dilanggar!  Penerimaan konsep hegemoni dalam sastera Melayu moden, dalam erti sastera itu mempunyai hegemoni tersendiri seperti yang ditafsirkan dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, adalah lanjutan daripada logik yang dipakai Iblis ketika menolak perintah Allah supaya sujud hormat kepada Nabi Adam ‘a.s. dengan memberi alasannya sendiri bahawa dia lebih mulia kerana dijadikan daripada api. Inilah logik yang dipakai untuk membicarakan konsep hegemoni dalam sastera, dalam erti sasteralah yang menentukan bagaimana pembangunan bangsa, atau tamadun, harus dibangunkan.  Jika anda sukar memahaminya, apabila anda menolak konsep ilmu yang benar, seperti yang dilakukan Iblis yang terang-terang menolak konsep ilmu itu ketika membantah perintah Allah, maka keputusan anda untuk tidak menerima konsep ilmu dalam sastera Melayu tepat dengan tafsiran yang diberikan oleh Iblis tadi.  Sekiranya anda menerima hujah mereka ini, maka anda berada dalam jalur “pemikiran logik” yang dianjurkan oleh Iblis. Mungkin tanpa sedar, dan jika ini sebabnya, nyatalah anda dari kumpulan yang paling keliru. Bagaimana kumpulan yang keliru boleh menentukan corak tamadun bangsa? Perhatikan bagaimana konsep “ingkar ilmu” memberi anda pencerahan yang anda perlukan, sekiranya anda sedar anda berada dalam golongan yang keliru dan cetek meraba-raba itu.

Penjelasan tentang konsep “khuldi” yang dipakai Iblis boleh dilihat dalam kitab Tafsir al-Misbah, jilid 7, hal. 691-695.  Lihat juga jilid 4, hal. 57-59. Jilid 1, hal. 188-190.  Hujah-hujah Iblis untuk menegakkan hegemoni logiknya adalah hujah-hujah palsu, kerana Iblis tidak mempunyai apa-apa authoriti untuk menentukan kedudukan dan makna sesuatu. Mengapa terdapat manusia bersetuju dengan Iblis? Inilah kehebatan kuasa kata yang dibisikkan Iblis kepada manusia untuk melalaikannya, dan selepas itu Iblis tanpa rasa tanggungjawab menjahanamkan manusia yang diperdayanya. Inilah maksud hegemoni yang dipakai di Barat, yang kemudiannya ditiru dalam sastera Melayu. Anda tidak mungkin faham aspek ini sekiranya anda menerima konsep “ingkar ilmu” sebagai hujah untuk mengelak daripada menerima konsep ilmu yang benar.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 4/3/2017.

No comments:

Post a Comment