Monday, December 1, 2014

SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA 2014



Kalau mengikut pendapat penganjur SKPM, sidang ini penting dan mereka meminta kerajaan menerima semua keputusan mereka untuk dilaksanakan oleh pemerintah. Walaupun hampir semua cadangan adalah kitar semula cadangan yang pernah diputuskan dalam berbagai-bagai seminar yang serupa, dan nampaknya kerajaan tidak berminat untuk melaksanakannya, namun keghairahan mengemukakan cadangan tetap berkobar-kobar. Apakah yang boleh kita pelajari daripada peristiwa seumpama ini?  Pertama, kerajaan berasa bangga kerana mereka mendapat perhatian dan diberi kepercayaan untuk berbakti kepada negara.  Kedua, bagi pihak yang gemar membuat cadangan, mereka berasa dekat dan mungkin juga sangat mesra kerana dibenarkan terus merayu dan memujuk para pemimpin untuk bersetuju dengan mereka dengan melaksanakan permintaan mereka. Pelaksanaan itu penting kerana di situlah mereka boleh mendapat faedah langsung sebagai sasterawan dan pakar kesusasteraan.  Bukan pendidikan sastera sangat yang menjadi kemusykilan mereka. Saya akan jelaskan nanti.

Apa Masalahnya?

Kalau kita lihat rumusan mereka, terlalu jelas mereka tidak pasti apakah yang menjadi masalah. Pertama sekali, masalahnya ialah tentang konsep ilmu. Adakah sastera sejenis ilmu atau hanya kemahiran menulis cerita? Jika sejenis ilmu, kita harus tentukan ilmu yang bagaimana. Di sinilah kita akan berbicara tentang konsep ilmu dalam kesusasteraan. Ini yang perlu dibereskan terlebih dahulu. Apabila ini sudah beres, kita akan melangkah ke tahap lain: apakah kaedah yang sesuai untuk mengajar ilmu sastera? Apakah yang ingin dicapai melalui pendidikan sastera? Dalam keadaan sekarang, terlalu jelas mereka mahu karya mereka digunakan sebagai teks dan mereka dapat faedah langsung daripadanya. Inilah kemahuan utama para sasterawan negara. Mereka andaikan karya mereka adalah yang terbaik dan paling sesuai digunakan untuk dijadikan teks. Sebenarnya tidak, jika kita lihat cerita Si Tenggang dan novel Abdullah Hussein yang ditolak oleh guru dan pelajar.

Satu Kes Yang Pelik

Tahun 1995, novel Jejak Warisan sudah diterima oleh JK Pemilihan untuk dijadikan bacaan di sekolah-sekolah. Tiba-tiba dibatalkan saat akhir dengan alasan lewat dikemukakan, walaupun persetujuan sudah tertulis dalam minit mesyuarat. Ketika itu Kementerian Pelajaran diberi 17 juta oleh Bank Dunia untuk buku-buku ini. Antologi Angin Dari Gunung dikumpulkan oleh Abdullah Tahir, diterbitkan oleh DBP, memang untuk kegunaan teks. Tidak jadi dilaksanakan kerana cerita pendek “Angin Dari Gunung” dikatakan menonjolkan guru yang keras kepala dan melanggar GO. Sebenarnya ada ugutan supaya buku itu tidak dipakai, kerana terdapat cerita pendek Mohd. Affandi Hassan yang mengajar budak-budak sekolah menentang kerajaan. Adakah ini satu masalah dalam pendidikan sastera?  Buku itu digunakan di Singapura, saya diberitahu ketika saya jadi tamu Minggu Sastera Antarabangsa Singapura 1994. Selepas itu sebuah cerita pendek saya terpilih untuk dijadikan teks STPM, tetapi saya tidak ingat berapa sen yang dapat. Tidak pasti sama ada cerita pendek itu masih digunakan atau tidak. Novel Jejak Warisan, walaupun bagus jika digunakan sebagai teks SPM, mendapat tentangan supaya tidak digunakan. Mengapa ditentang saya tidak pasti, lalu dipilih novel-novel remaja yang membekukan pemikiran. Ada tidaknya yang saya dengar, jika novel itu dipilih, maka Gagasan Persuratan Baru akan masuk dalam pendidikan sastera, begitu juga buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.  Kata sumber yang sampai kepada saya, sebelum para pelajar dirosakkan pemikirannya dengan sikap kritis dan berani berhujah, lebih baik disekat sahaja peluang untuk menjadi cerdik dan gigih berdebat tentang ilmu. Inilah pengalaman saya dalam pendidikan sastera ini. Tidak berapa menggalakkan. Sekarang saya ingin mencadangkan Balai Maqamat dijadikan teks sastera untuk SPM, kasi can sama para pelajar berkenalan dengan karya yang sofistikated daripada segi pemikiran dan teknik menulis. Saya diberitahu novel Naratif Ogonshoto telah dipilih. Bagi saya tetap OK, memahami politik sastera di Malaysia di kalangan para sasterawan, sarjana dan kumpulan Mutual Admiration Club yang jujur memperjuangkan kepentingan sastera mereka. Tetapi saya fikir patut juga diberi peluang kepada para pelajar itu melihat aspek yang berbeza bila mereka membaca karya kreatif, dengan menggunakan dua cara atau mod bacaan: mod bacaan intelektual, dan mod bacaan cerita. Ajar mereka berfikir secara kreatif. Kaedahnya telah ada, tinggal hanya melaksanakannya. Adakah tidak persatuan penulis berminat memperjuangkan aspek pemikiran dalam pengajaran sastera? Biar para pelajar kita menikmati sedikit makna pemikiran dalam karya kreatif. Biar mereka berbahas dengan sengit di dalam bilik darjah membincangkan soal pemikiran dalam kesusasteraan. Ini boleh mereka dapat hanya dengan meneliti Balai Maqamat, yang ditulis untuk membuat pembaca berfikir dan memahami konsep stylization of ideas dalam penulisan kreatif. Adakah idea ini termasuk dalam rumusan?  Sepatutnya  begitulah. Salah satu sebab mengapa pengajaran sastera sangat lemah dan tidak diminati para pelajar (adakah termasuk para guru juga?) ialah tidak ditekankan aspek pemikiran ini. Dengan wujudnya kaedah yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru,  maka para pelajar kita berhak mendapat faedahnya dan mereka lebih berhak lagi untuk diberi peluang memahami aspek pemikiran dalam karya kreatif. Kasihan melihat para pelajar kita terus bodoh dan diperbodohkan dengan memberi mereka kaedah yang sudah out-dated, masih bicara tentang tema, teknik, perwatakan dan sebagainya dalam konteks lama yang menjumudkan pemikiran mereka dan menjadikan karya sastera mati. Beri mereka peluang melihat dinamika kreatif dengan mengajar mereka bagaimana karya sastera boleh dinilai daripada perspektif pemikiran dengan menggunakan alat-alat analisis yang lebih canggih yang diberikan dalam Persuratan Baru dan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Beri para pelajar kita peluang untuk mencintai ilmu dengan mendedahkan mereka kepada kaedah analisis dan menilai karya berasaskan konsep ilmu yang benar. Kita mempunyai korpus yang lebih dari mencukupi untuk mencapai matlamat ini. Semoga Allah Ta’ala menimbulkan rasa ikhlas dalam diri kita untuk memperjuangkan kebenaran dalam menyebarkan aspek pemikiran ini. Amin.

Masalah Ilmu Dalam Pengajaran Sastera

Tidak ada seorang pun di antara sarjana dan sasterawan kita, termasuk sasterawan negara, yang sedar bahawa masalah kita adalah masalah ilmu. Walaupun semua orang bercakap tentang kejujuran ilmiah dan kejujuran akademik, tetapi mereka mengkhianati ilmu dan bidang akademik itu dengan menolak wujudnya masalah ilmu ini dalam pengajaran sastera. Jadi kejujuran yang mereka gembar-gemburkan itu pada hakikatnya satu pengkhianatan ilmu dan pengkhianatan akademik, kerana tidak mahu mengaku punca kemerosotan pengajaran sastera adalah kerana wujudnya kekeliruan dalam konsep ilmu ini. Jika ini dibereskan, tujuan pengajaran sastera itu menjadi jelas dan boleh dicapai dan boleh menarik minat pelajar.  Saya letakkan kesalahan ini totok ke atas kepala kumpulan ini, yang berpura-pura kononnya memperjuangkan kesusasteraan dan pembinaan budaya ilmu, padahal yang menjadi matlamat mereka ialah faedah peribadi yang akan mereka perolehi tidak saja dari segi kewangan, tetapi juga dari segi kedudukan dan kuasa.  Semua ini jelas terserlah dalam “resolusi” yang mereka kemukakan, yang semuanya tertumpu pada keuntungan yang akan mereka perolehi sekiranya resolusi itu dilaksanakan.  Tidak secebis pun resolusi itu memperlihatkan keikhlasan para pereka resolusi dan penyokong mereka untuk membina budaya kreatif berteraskan ilmu yang benar, sebaliknya mereka menggunakan istilah nilai sejagat (universal values?) yang dalam pengertiannya merujuk kepada nilai-nilai sekular Barat. Mengapa tidak disebut nilai-nilai kerohanian yang menjadi teras semua agama yang dianuti manusia? Dengan memberi penekanan kepada konsep tauhid dan taklif yang menjadi teras kewujudan manusia seluruhnya. Konsep tauhid dan taklif itu bukan  hanya untuk orang Islam, tetapi untuk semua manusia yang dituntut menyedarinya, walaupun mereka tidak mahu menerimanya. Menekankan wujudnya tauhid dan taklif dalam kehidupan manusia adalah satu tuntutan ilmu yang sudah diterima oleh semua tamadun, walaupun dari segi amalan secara individu ramai  yang menolak aspek tauhid dan taklif itu sebagai prinsip utama kewujudan mereka. Kalau anda jujur dan berani bertanggungjawab, di kalangan sarjana dan sastera Islam di Malaysia sendiri pun ramai yang menolak konsep tauhid dan taklif sebagai panduan mereka dan yang menjadi asas sistem nilai mereka. Semua ini kita boleh lihat dengan jelas dalam karya mereka. Jika anda mahu contoh, bacalah karya para sasterawan negara, anda akan melihat hakikat ini dengan amat jelas. Mungkin mereka akan berkata, sebagai dalihan, bahawa karya mereka tidak mencerminkan  nilai-nilai tauhid dan taklif hanya dalam permulaan kerjaya mereka sebagai sasterawan, yang kemudiannya berubah selepas mereka lebih dewasa dan sedar akan kesilapan mereka. Anda percaya?  Sekiranya anda terlalu naif, anda akan menerima apa saja alasan mereka; tetapi karya mereka yang sebelum dan selepas menerima anugerah sastera menjerit nyaring memberitahu kita bahawa mereka mempersetankan saja aspek tauhid dan taklif itu, hingga ada yang berkata dia amat terpesona dengan kecerdikan Mephistopheles yang mengajar Faust menjadi ahli sihir dan seniman yang anti-Tuhan walaupun percaya wujudnya Tuhan.  Perkara begini nampak seolah-olah remeh-temeh, tetapi amat serius kerana ia menggambarkan watak seseorang dan sikapnya terhadap sesuatu. Apabila seorang sasterawan demikian sikapnya, maka kita dapat membuat kesimpulan yang mudah tentang hasil karyanya yang lain.  Andainya dia seorang sasterawan negara, maka pemilihannya adalah suatu insult kepada masyarakat yang diwakilinya dan kepada kebudayaan yang dianuti mereka. Patutkah kita membiarkan saja tokoh seperti ini bermaharajalela memberi pendapat dan nasihat kepada kita semua?  Demikian perlunya ketegasan ilmiah dan akademik untuk menerima atau menolak sesuatu pendapat berasaskan konsep ilmu yang benar semata-mata. Sekiranya kita menolak prinsip ini, maka kita akan meneruskan kemungkaran ilmiah untuk merosakkan masyarakat dan menyeleweng kefahaman masyarakat tentang sesuatu perkara yang diketahui salahnya.

Ketika Anda Perlu Bersikap Positif, Anda Pilih Sikap Negatif

Dalam preamble kepada resolusi, terdapat kata-kata ini: “Pertemuan yang diisi dengan perbincangan ilmiah serta perbahasan intelektual itu berhasrat mencari gagasan yang diharapkan dapat memantapkan martabat persuratan bangsa.” Matlamat yang dinyatakan itu bagus, tetapi tidak ada “perbincangan ilmiah dan perbahasan intelektual” dalam SIDANG KEMUNCAK yang dihadiri  250 pengarang, sasterawan, budayawan, pengamal media, serta ahli akademik” itu. Tidak seorang pun di antara mereka tahu sudah wujud buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992; ulang cetak 2005); Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM 2008; edisi kedua dengan judul Gagasan Persuratan Baru, terbit 2014); dan buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010; edisi kedua 2014). Kita boleh andaikan ketiga-tiga buah buku itu tidak ilmiah, kabur dan keliru, tidak akademik, cetek dan mengarut, oleh itu tidak perlu dibaca oleh peserta SIDANG KEMUNCAK itu.  Sekurang-kurangnya mereka boleh sebut, :  “Belum ada lagi perbincangan ke arah itu; oleh itu 250 pengarang dan lain-lain itu sedang berbahas tentang persoalan itu.” Mana hasil pemikiran mereka? Di Malaysia “seminar berhabis beras” memang selalu diadakan; hasilnya peserta pulang kenyang. Itulah saja. Gagasan yang dicari tidak bertemu; tindakan yang perlu dibuat dikitar-semula daripada perjumpaan lama yang diulang-ulang. Andainya mereka bincang tiga buah buku yang disenaraikan tadi sudah cukup baik, sekurang-kurangnya mereka boleh berkata sesuatu yang brilliant dan asli dari pemikiran mendalam mereka.  Adakah ini masalah ilmu atau masalah sikap?  Saya fikir kedua-duanya.  Ketika  mereka perlu berfikiran positif, mereka memilih untuk bersikap negatif.  Sikap mereka ini telah saya bincangkan dalam bab 5, Gagasan Persuratan Baru,  edisi 2 (hal. 233-279), di bawah judul, “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-Intelektualisme, Hasad, Pandirisme”.  Kertas ini berasal daripada makalah panjang untuk kuliah DAMAI, anjuran ATMA, UKM, 2004.

Kita diberitahu, tujuan SIDANG KEMUNCAK 250 orang itu ialah untuk “mencari gagasan yang diharapkan dapat memantapkan martabat persuratan bangsa.” Menarik juga jika ditanya, Apakah yang menghalang mereka daripada membincangkan dengan kritis Gagasan Persuratan Baru yang memang itulah matlamatnya? Jangan-jangan sidang kemuncak ini sudah sampai ke tahap klimaks yang dipanggil oleh pengkritik Perancis jouissance (orgasmic pleasure). Sekarang pengaruh Perancis sangat kuat dalam kritikan sastera Melayu, walaupun sarjana dan pengkritik tidak tahu bahasa Perancis, oleh itu tidak membaca dari sumber asal.  Nampaknya Gagasan Persuratan Baru tidak dapat memberikan mereka jouissance itu!

Ketakutan kepada Gagasan Persuratan Baru sampai ke tahap itu, tahap mengerikan mereka, akibat terlalu takut menerima kenyataan bahawa teori dan pendekatan yang mereka pakai sekarang adalah palsu dan tidak dapat dipertahankan secara akademik dan moral. Lebih-lebih lagi apabila PB mempersoalkan kewajaran gelaran sasterawan negara untuk kumpulan yang bernaung di bawah Mutual Admiration Club yang dulunya dikutuk oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, kini berubah menjadi penaung para sasterawan negara.  Perlukah kita kepada sasterawan negara? Tentu saja tidak perlu, kerana untuk menjadi cerdik kita tidak perlukan sasterawan negara; dan untuk membina tamadun ilmu lebih-lebih lagi kita tidak perlukan sasterawan negara yang tidak dapat memberi sumbangan apa-apa.  Mereka adalah para penglipur lara moden yang suka bercerita, dengan bumbu sensasi yang amat kuat. Ini saya bincang dalam entri panjang, “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28/10/2014. Dalam entri itu saya cuba buktikan bahawa memberi gelaran sasterawan negara adalah melanggar kesopanan kebudayaan Melayu yang mengutamakan ilmu, bukan cerita.  Gelaran ini juga berupa satu penghinaan kepada para ulama yang dalam masyarakat Melayu lebih utama kedudukannya, bukan para sasterawan. Para ulama adalah penyebar ilmu dan adab dalam masyarakat Melayu, bukan para sasterawan yang kedudukannya di pinggir dan tidak pernah diterima sebagai setaraf, apatah lagi lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama, seperti yang terjadi apabila mereka dilantik sebagai sasterawan negara.

Betulkan Yang Salah

Kesusasteraan Melayu moden sejak awal lagi sudah berada di garisan yang salah, yakni dengan munculnya Asas 50 yang terang-terang menolak Islam sebagai unsur penting dalam kesusasteraan. Anggota Asas 50 menegaskan, tulisan Jawi adalah punca kemunduran orang Melayu, dengan kesilapan paling besar, menurut mereka, apabila orang Melayu mengaitkan tulisan Jawi dengan Islam. Menurut Asas 50, hanya dengan  pertukaran kepada tulisan Rumi barulah sastera Melayu moden dapat dikembangkan. Apabila DBP ditubuhkan, anggota Asas 50 diberi peluang dan sokongan oleh kerajaan untuk mengubah sistem nilai orang Melayu melalui penghapusan tulisan Jawi. Itulah permulaan merudumnya pengaruh Islam dalam kehidupan moden, apabila tulisan Jawi diasingkan dan dibiarkan buat sementara waktu di pondok-pondok. Ini pun kemudiannya dirobohkan juga, dengan itu kebudayaan Melayu dirumikan sepenuhnya melalui perjanjian ejaan bersama dengan Indonesia 1972. Sepuluh tahun kemudian, dalam tahun 1981, lahirlah sasterawan negara, maka sempurnalah kehancuran kebudayaan Melayu yang dulunya dikaitkan dengan tulisan Jawi. Pada ketika itu juga konsep kesusasteraan bermaharajalela setelah para sasterawan ditabalkan sebagai kumpulan baru yang paling mulia dalam kebudayaan Melayu, yang mengambil alih perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa sekular sepenuhnya.

Penabalan sasterawan negara memberi kesan yang paling buruk dalam sistem nilai masyarakat Melayu.  Karya sastera mengambil tempat utama dalam sistem pendidikan untuk mempopularkan nilai-nilai Barat yang terhunjam di dalam karya sastera, dalam dua arah terbesar. Pertama, dari arah penilaian karya, yang diberi keutamaan sekarang ialah sejauh mana karya itu memancarkan realisme dalam kehidupan manusia yang dijadikan watak dalam karya, yang kini dikaitkan dengan apa yang disebut sebagai nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang tidak lagi kena mengena dengan nilai-nilai agama. Malah nilai-nilai agama dianggap sebagai nilai-nilai yang korup yang membela kezaliman. Perubahan ini sampai ke puncaknya apabila Panel Anugerah Sastera Negara meletakkan novel Salina sebagai novel terbesar pernah ditulis di Malaysia, sebuah novel kemanusiaan yang menentang kezaliman peperangan dunia kedua.  Semua ini tertulis dalam laporan Panel untuk tahun 1985, dan dari gesaan Panel itu, beberapa orang “pengkritik” sastera mendesak kerajaan supaya menjadikan novel Salina sebagai teks wajib dalam subjek kesusasteraan sebagai menghormati pencapaian sasterawan negara yang kini telah meletakkan sastera Melayu di peringkat antara bangsa, apabila seorang sarjana Belanda berkata begitu dan menerimanya sebagai satu-satunya, ketika itu, karya dalam bahasa Melayu yang mencapai taraf sastera dunia. Selepas itu berlakulah huru-hara dalam penilaian sajak Melayu apabila Si Tenggang diterima sebagai wira Melayu kerana kegigihannya mengubah nasib dirinya. Penderhakaan Si Tenggang, yang menjadi motif utama legenda itu, dihilangkan dengan diberi tafsiran baru bahawa Si Tenggang yang mengembara pulang sebagai manusia baru, masih Melayu dan tetap utuh menerima kebudayaan Melayu yang sudah dimodenkan.

Selepas itu, berlakulah yang lain-lain mengikutinya …. (Sila sambung sendiri. Sebagai panduan untuk memahami aspek ini, sila baca dengan teliti, dan kritis, entri bertarikh 28/10/2014, “Keunggulan yang Cacat”).

Bagaimana kita hendak menghadapi keadaan seperti ini? Itulah dicadangkan Gagasan Persuratan Baru untuk dijadikan panduan dalam penilaian karya dan penulisan karya. Kecuali beberapa orang, hampir seluruh sarjana Malaysia menolak gagasan PB itu sebagai tidak berfaedah, malah akan membawa kesusasteraan Melayu ke zaman gelapnya yang menentang kemodenan. Bagi para sasterawan negara, ketegasan ini penting kerana dari segi penilaian, yang kini mengikut prinsip-prinsip Kritikan Baru (New Critics), meletakkan karya sastera sebagai autonomous, dan berhak berada di tempat mana yang dipilihnya. Dinilai dari perspektif teori Barat sepenuhnya, novel-novel Anwar Ridhwan kelihatan begitu hebat; tetapi sebaik saja dikenakan ukuran yang berciri Islam dan berlandaskan ilmu yang benar, maka novel-novel tadi berubah wajah, tidak lagi sehebat sebelumnya; dan dari novel yang berpretensi intelektual, kini bertukar menjadi novel penglipur lara yang hanyut dalam cerita yang penuh sensasi dan dari segi kandungan ilmunya tidak ada lagi. (Rujuk, “Keunggulan Yang Cacat”.) Maka tidak hairanlah jika para sasterawan negara dan para sarjana yang menjadi pengikut mereka tidak menerima Gagasan Persuratan Baru; dengan itu segala kepalsuan penilaian yang digahkan selama ini terus tertutup. Dalam konteks ini, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 memilih untuk menutup kepalsuan itu. Dan dalam konteks inilah mereka bercakap tentang pendidikan sastera yang lesu dan membosankan.  Bagaimana pelajar akan berminat dalam sastera jika sikap mereka lebih cenderung untuk membunuh minat pelajar daripada menghidupkannya? Dalam konteks inilah mereka bercakap tentang kejujuran ilmiah dan kejujuran akademik. Gagasan Persuratan Baru yang memperjuangkan kejujuran ilmiah dan kejujuran akademik itu dengan tiba-tiba menjadi objek yang dibenci, hanya kerana pembohongan dan penipuan dalam penilaian akan terbongkar.

Gagasan Persuratan Baru: Penyelesaian Yang Bermaruah

Sejauh mana Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014  berminat menyelesaikan masalah sastera Malaysia sekarang?  Dari kegigihan mengadakan “sidang kemuncak” itu, yang menghimpunkan begitu ramai pakar dan peminat sastera, kita boleh membuat kesimpulan bahawa memang terdapat hasrat untuk mencari jawapan konkrit dalam mengatasi masalah yang disenaraikan dalam resolusi. Yang diperlukan pada waktu ini ialah keyakinan tentang cara penyelesaian yang telah dikemukakan sejak lama melalui gagasan Persuratan Baru.  Jika ini merupakan masalah keyakinan, maka cara terbaik ialah mengadakan dialog yang serius di antara para sarjana dan para sasterawan untuk melihat apakah yang sebenarnya yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam membina budaya ilmu dan membina persuratan Melayu dalam abad 21 ini.  Walaupun memang terdapat halangan yang kuat dan penentangan yang juga kuat daripada para sasterawan negara sendiri, mereka tidak mewakili golongan majoriti yang mungkin benar-benar ingin melihat perubahan dalam cara kita menganalisis dan menilai karya kreatif, dan juga dalam cara kita menulis karya yang berteraskan konsep ilmu yang benar, sesuai dengan adab yang menjadi amalan kita sejak beratus tahun. Kita tidak boleh membenarkan kumpulan kecil ini menentukan kemajuan yang kita ingin capai dalam bidang ini. Bukan tugas mereka untuk menentang kemajuan setelah diberi kedudukan itu. Apatah lagi apabila mereka sendiri, para sasterawan negara ini, selalu bercakap tentang peri pentingnya dimulai perubahan yang benar-benar berasaskan pertimbangan ilmu, adab, dan nilai-nilai agama yang menjadi pegangan kita. Di kalangan mereka sendiri sudah ada kesedaran akan kesilapan yang kita lakukan selama ini dengan menggunakan teori sastera Barat untuk menilai usaha kreatif kita. Selain dari itu, penerbitan buku Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms oleh Universiti Sains Malaysia, 2012, memberi isyarat bahawa kita memang memerlukan  perubahan ke arah pembebasan dari belenggu intelektual yang kita kenakan ke atas diri kita kerana sukarnya mencari alternatif yang lebih baik. Kini alternatif itu telah tercokol di depan mata, maka apa lagi masalah yang kita hadapi untuk sekurang-kurangnya cuba memahami kaedah yang dicadangkan dan melihat bagaimana kaedah itu boleh membantu kita mencerdikkan bangsa kita. Sekiranya para sasterawan negara yang menjadi penghalang dan penentang perubahan yang kita ingini, maka tentulah tidak masuk akal untuk satu kumpulan kecil yang terdiri daripada 12 orang boleh mempengaruhi perkembangan yang boleh membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat. Walau bagaimanapun, jika Kumpulan 12 ini mempunyai alternatif yang lebih baik, kita harus bersedia mendengarnya dan jika wajar boleh saja dilaksanakan. Yang penting, kemajuan tidak boleh dihalang hanya kerana kita tidak bersetuju dengan sesuatu idea baru.

Bertindak Sekarang Untuk Perubahan Lebih Baik

Tindakan Kumpulan 12 menentang dan menghalang pelaksanaan Persuratan Baru dalam kritikan sastera dan dalam bidang akademik akan hanya merugikan kewujudan mereka sendiri yang bertindak seperti burung kasuari menyembunyikan kepalanya di dalam pasir bila berdepan dengan masalah. Sebagai kumpulan yang paling tinggi IQ nya di kalangan intelektual Malaysia, maka para sasterawan negara ini mempunyai hanya satu pilihan: iaitu membuktikan ketinggian IQ mereka dapat dimanfaatkan dalam perdebatan intelektual untuk menentukan arah perkembangan budaya ilmu di Malaysia, sama ada kedudukan mereka masih boleh dipertahankan atau sebaliknya.  Keistimewaan mereka dikurniai IQ yang tinggi sebagai sasterawan negara, mesti dimanfaatkan secara positif dengan memberi percikan kebijaksanaan mereka sebagai pemikir ulung di Malaysia untuk menyokong perubahan yang dicita-citakan oleh Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 seperti yang terkandung dalam resolusi mereka.  Jika mereka merasa perlu terus menentang dan menghalang pelaksanaan Persuratan Baru dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia, mereka boleh meneruskannya melalui perdebatan intelektual tanpa memonopoli ruang perbincangan di ruang majalah dan akhbar seperti yang pernah dilakukan oleh kumpulan Asas 50 satu masa dahulu. Sejarah hitam seperti ini tidak wajar diteruskan dalam perkembangan ilmu di Malaysia.

Beberapa usaha para sarjana untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara masih boleh diteruskan dalam konteks dan suasana yang dibayangkan di atas. Untuk mencapai maksud itu, gagasan Persuratan Baru boleh saja dijadikan pendekatan alternatif yang pasti akan memperkaya dunia kritikan kita dengan meletakkan Persuratan Baru ke batu ujian akademik yang paling ketat untuk memastikan tidak berlaku lagi penipuan dalam penilaian kreatif di Malaysia. Pencetus PB sendiri bersedia untuk diuji dengan teori sastera dari mana pun juga yang boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya beliau, untuk memberi keadilan kepada sesiapa juga yang dikritik beliau. Kita lihat pula kualiti pemikiran beliau dalam karya kreatif beliau, terutama jika dibandingkan dengan karya para sasterawan negara sendiri yang dikritik beliau dengan keras. Karya kreatif beliau sendiri pun perlu diletakkan di batu ujian yang paling ketat, seperti yang dibuat terhadap karya para sasterawan negara. Beri peluang kepada peneliti sastera dan pembaca yang kritis membuat pertimbangan mereka sendiri pula.

Saya fikir inilah semangat intelektual yang ingin dibangunkan oleh Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tidak ada diskriminasi dalam bentuk apa pun, oleh sesiapa pun. Semua berhak untuk menyatakan persetujuan atau pun perbezaan pendapat.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 Disember 2014.


No comments:

Post a Comment