Sunday, December 21, 2014

GAGASAN PERSURATAN BARU SEBAGAI UKURAN BAKU DALAM KRITIKAN SASTERA



Gagasan Persuratan Baru telah pergi terlalu jauh untuk diremehkan, telah membuktikan kehadirannya cukup diperlukan pada ketika ini untuk memberi nafas baru kepada perkembangan persuratan Melayu moden. Dua perkara yang amat kita perlukan pada waktu ini untuk memajukan persuratan dan kesusasteraan Melayu. Pertama, kita perlukan ukuran yang baku dalam menganalisis dan menilai karya kreatif kita. Ini tidak bererti kita mengetepikan semua teori sastera Barat, seperti anggapan para sarjana. Saya telah banyak kali menyentuh perkara ini, untuk meredakan ketakutan para sarjana daripada anggapan mereka bahawa mereka akan jadi tidak relevan kerana keterikatan mereka kepada teori sastera Barat. Mereka masih boleh menggunakannya dengan selesa, dengan syarat mereka benar-benar faham implikasinya dalam sistem nilai  yang menjadi asas tamadun kita. Untuk itu, mereka perlu melihat konteks yang betul dalam penggunaan teori sastera Barat itu.  Di sinilah mereka perlukan ukuran yang baku yang berteraskan nilai-nilai tamadun kita sendiri. Kalau tidak, para sarjana kita akan khayal tak tentu arah seperti yang berlaku dalam kajian sastera berasaskan teori Barat yang tidak difahami dengan betul dan mendalam. Saya telah memberikan contohnya, tidak perlu diulang di sini. Dalam konteks inilah perlunya ukuran yang baku itu, yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Ketika itulah baru teori Barat itu boleh diletakkan pada tempatnya yang sesuai, dan dengan itu lebih mudah digunakan untuk menilai karya sastera Melayu. Anda tidak perlu menjadi ekstrem seperti Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dr. Zawiyah Yahya, yang secara tidak bertanggungjawab berkata kita perlu menghumban semua teori Barat, padahal mereka tidak mempunyai apa-apa alternatif. Ini bukan tindakan yang akademik. Sepatutnya mereka cuba memahami pendekatan yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru, menelitinya dengan sehabis kritis, dan memberi keputusan berasaskan ilmu, bukan anggapan dan sangkaan. Itu kerja juru gosip, bukan kerja ahli akademik.

Kedua, yang kita perlukan pada waktu ini ialah mendinamikkan persuratan Melayu (termasuklah juga sastera Melayu) dengan menyuntik unsur ilmu yang benar dalam perbincangan kita. Kita harus belajar kembali menjadi ahli akademik yang beradab, yang mencintai ilmu dan yang tegas mempertahankan kebenaran supaya mereka sendiri tidak khayal dan pengikut mereka juga tidak kesasar dan sesat.  Aspek ini sangat penting pada waktu ini, dengan adanya kebanjiran karya picisan yang berpretensi karya intelektual, yang melibatkan para sasterawan negara sendiri.  Lebih memburukkan lagi apabila Islam dijadikan bahan dagangan dalam penulisan kreatif dengan melimpahnya karya yang dikatakan bersifat Islami, padahal karya itu mempromosi pandirisme, yang memang bertentangan dengan ajaran Islam.  Antara kesilapan besar dalam aspek ini ialah anggapan bahawa konsep ilmu yang benar tidak boleh dipakai dalam kajian dan penulisan kreatif, kerana kata mereka jika ini dijadikan ukuran, sastera Melayu akan terbantut perkembangannya. Jika dibiarkan saja sastera Melayu berkembang dengan bebas dan liar seperti pokok hutan, maka ada kemungkinan kita akan mendapat karya yang baik. Mereka memberi contoh kelahiran sasterawan negara dan karya yang mereka hasilkan. Pendapat ini tidak saja mungkar, tetapi juga tidak berasaskan penilaian yang mantap. Kita telah melihat betapa selekehnya penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, seperti yang saya buktikan dalam beberapa tulisan saya, antara lain yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua) dan dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.  Lagi pula pendapat yang diutarakan oleh para sarjana itu bertentangan dengan perkembangan dalam persuratan Melayu, yang berteraskan Islam. Persuratan Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam itu telah melahirkan tokoh-tokoh besar dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk juga dalam penulisan kreatif berbentuk syair dan sebagainya. Mereka belum lagi dan tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana sasterawan negara yang kita ada. Karya-karya hambar dan dangkal para sasterawan negara tidak mungkin dapat menandingi karya para pujangga kita dan cendekiawan kita yang telah membina kecemerlangan dalam persuratan Melayu.

Di kalangan penulis muda, masih ada orang tua sastera yang memberi harapan palsu dan pendapat dangkal yang hanya berupa retorik belaka, tetapi tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana orang yang menganjurkannya sendiri tidak mahu digugat dan tidak dapat menerima pembaharuan. Saya telah bincangkan aspek ini dalam beberapa entri dalam blog ini, terutama kritikan saya terhadap pandangan cetek dan tidak berasas yang diutarakan oleh Baha Zain dan teman rapatnya Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh.  Kita tidak dapat menerima mediocrity apatah lagi jika diketengahkan oleh sasterawan negara yang dimitoskan sebagai golongan intelektual, padahal pendapat dan pandangan mereka terlalu dangkal dan cetek untuk dapat diterima sebagai hasil pemikiran yang mendalam daripada tokoh-tokoh yang dimitoskan itu. Anda tahu siapa yang saya maksudkan, jika anda mengikuti perbincangan saya dalam blog ini. Anda perlu mempertahankan mereka secara akademik jika kesimpulan ini tidak tepat. Dalam dunia ilmu yang terbuka, tidak patut ada mana-mana manusia yang menganggap dirinya serba sempurna sehingga tidak dapat dikritik, walaupun pendapat mereka cetek dan mengada-ada. Golongan ini selalu berkata, dengan meletakkan diri mereka sebagai golongan beradab, bahawa mereka boleh dikritik, tetapi kritiklah dengan secara sopan dan beradab. Adakah mereka sendiri telah melakukannya?  Saya pernah tanyakan soalan ini kepada Pak Pandir, tetapi dia enggan menjawabnya, hanya tertawa terhinggut-hinggut, seolah-olah soalan itu begitu lucu. Lebai Malang langsung tidak mahu masuk campur; kecuali Wak Long yang dengan bersahaja berkata, kita perlukan orang-orang begini dalam masyarakat kita sebagai penghibur intelektual. Saya fikir Wak Long cerdik dan objektif. Sesuai dengan ketokohannya sebagai watak jenaka yang paling tajam kritikannya dalam Wayang Kulit.  Janganlah anda berkata tokoh belulang kering ini lebih cerdik daripada manusia sasterawan, kerana tidak semua sasterawan mempunyai pemikiran belulang kering. Sengaja bermain dengan interteks supaya mudah difahami.  Kini teori intertekstualiti amat digemari di kalangan sarjana Malaysia, dan disambut baik oleh para sasterawan sendiri.  Kedua-dua golongan ini berasa puas hati dan bijak kerana berada dalam belukar intertekstualiti. Tahniah.

Pendirian saya dalam aspek ini telah saya simpulkan dalam tulisan saya yang tersiar dalam Mastika, Okober 1991, hal. 21-24: “Konsep Ilmu dalam Kritikan Sastera”.  Antara lain saya tegaskan: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu” (hal. 24). Saya fikir kesimpulan itu amat siuman dan boleh dilaksanakan dengan mudah; tetapi ditolak oleh sarjana belulang kering yang begitu setia kepada dalang mereka. Siapakah dalang-dalang itu kita tahu nama-nama mereka yang sering disebut dalam tulisan para sarjana ini; oleh itu pembakuan ukuran dalam kritikan sastera tidak mungkin berlaku dalam dunia akademik yang sarjananya dilindungi dan berlindung di belakang dalang kritikan  Barat. Penulis muda sendiri berasa bangga dan aman berada dan berlindung di belakang para dalang ini, dengan itu perubahan yang kita harapkan sukar terjadi. Tanya Dr. Mawar Shafie, Dr. Nor Hayati Ab. Rahman, Dr. Siti Hajar, Dr. Hanafi Ibrahim, Dr. Shamsuddin Othman, sekadar menyebut beberapa nama yang terlintas. Apa pandangan mereka?  Membaca tulisan mereka, saya fikir pada umumnya  sikap mereka positif. Cuma terdapat sedikit keraguan kerana imej saya sendiri yang kononnya terlalu keras. Kalau benar begitu, saya maafkan mereka. Kata Gore Vidal yang suka berjenaka, “Andy Warhol is the only genius with an IQ of 60.” Sesuai dengan pandangan Jonathan Swift sebagai Raja Satira Irish: “When a true genius appears in the world, you may know him by this sign, that the dunces are all in confederacy against him.”  Tetapi yang paling lucu dan siuman ialah Albert Camus: “I don’t want to be a genius  - I have enough problems just trying to be a man.”  Tetapi hairan juga, apa yang membuat para sasterawan negara yang kenal Albert Camus mahu mereka dianggap golongan genius yang serba tahu. Mungkin jawapannya diketahui oleh Si Luncai: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan!”

Selamat  menerima kedatangan tahun 2015 dengan positif.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21/12/2014.





2 comments:

  1. You are totally genius, Sir!i want to be like you.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih.

    Hanya seorang genius yang kenal genius yang lain.

    Untuk menjadi cerdik, tak perlu jadi genius. Untuk diberi gelaran sasterawan negara, tak perlu jadi cerdik.

    ReplyDelete