Monday, December 22, 2014

NILAI SEBENAR (INTRINSIC VALUE) KARYA VS. NILAI FATAMORGANA



Apakah nilai sebenar sajak “Pulang si Tenggang”?  Apakah pula nilai sebenar novel Naratif Ogonshoto?  Perkara ini menjadi persoalan besar kerana nilai sebenar karya sastera sukar dikesan jika yang menilainya tidak menggunakan kaedah yang betul untuk mengukur apakah kandungan sebenar karya yang dinilai. Dua perkara diperlukan: (1) kaedah yang betul; dan (2) ukuran yang digunakan untuk menilai dan bagaimana digunakan. Bagaimana kita tahu sesuatu kaedah itu betul atau tidak? Kita kembali kepada matlamat sesuatu kaedah itu digunakan. Katalah anak anda demam, kita hendak tahu betulkah dia demam. Secara orang kampung, anda pegang dahi, kalau panas demamlah budak itu. Tapi demam jenis apa? Itu orang kampung tak boleh jawab berasaskan kaedah yang dipakainya. Dia perlu gunakan alat mengukur suhu badan, thermometer. Tak cukup, dia kena tahu berapa darjah kepanasannya yang membolehkan kita tentukan budak itu demam. Katalah lebih dari 38 C darjah. Demam panas? Ubatnya jaram kepala. Boleh digunakan, tetapi tidak selalunya berkesan. Ada tanda-tanda lain, kalau demam itu demam denggi. Dan seterusnya. Contoh ini mudah dan dipermudahkan sekadar untuk mendapat apa yang dimaksudkan dengan nilai sebenar (intrinsic value) dalam karya sastera. Kita perhatikan contoh penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Adakah cara yang mereka gunakan boleh mengesan dan memastikan intrinsic value sebuah novel seperti Naratif Ogonshoto? Menurut analisis saya dalam beberapa entri dalam blog ini, kaedah yang dipakai oleh Panel tidak dapat mengesan nilai sebenar novel itu. Ini terjadi kerana Panel tidak mempunyai ukuran/kriteria seperti kita mengesan budak demam tadi. Ukuran Panel terlalu umum, yang saya panggil “fatamorgana bahasa” (entri 9/9/2014; sila rujuk di situ.)  Kerana tidak ada ukuran yang tepat, Panel meraba-raba dalam membuat penilaian. Anda perlu baca laporan mereka jika hendak memahami maksud saya. Sarjana kita juga meraba-raba dalam membuat penilaian mereka. Contoh terbaik ialah buku Dr. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu  (UKM. 2010). Buku Dr. Mawar ini memberi pujian tinggi, malah sangat melampau, terhadap novel Naratif Ogonshoto, tetapi “ukuran” yang digunakan itu tidak mencerminkan intrinsic value novel itu, hanya sekadar menampilkan beberapa andaian yang tidak dihuraikan dengan jelas. Misalnya, yang paling utama, sarjana ini memuji Anwar Ridhwan kerana “pandai” dan kreatif menggunakan idea Machiavelli (hal. 171; baca seluruhnya hal. 162-183 untuk melihat pujian sarjana ini melepasi langit ketujuh!). Tetapi jika anda membaca dengan kritis, dengan sensitiviti seorang sarjana yang profesional, anda akan dapati bahagian yang saya tunjukkan itu tidak lebih daripada sejenis bullshit sahaja, tidak ada kualiti akademiknya sama sekali, hanya pujian yang tidak dibuktikan, sejenis fatamorgana bahasa yang lunak tetapi kosong dari segi nilai akademiknya. Kritikan saya adalah keras, sesuai dengan pujian yang begitu melampau oleh sarjana ini yang sama sekali bertentangan dengan intrinsic value novel ini.

Dalam hal ini, anda akan dapat memahami maksud saya jika anda membaca makalah Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua, 2014) yang membicarakan novel Fatimah Busu, Salam Maria. (Dalam bab 9). Novel ini mendapat pujian tinggi dari para sarjana yang tidak membaca buku ini dengan kritis, dan tidak menggunakan ukuran yang objektif dan tepat. Kesimpulan sebaliknya dibuktikan dalam penghujahan yang teliti oleh Prof. Ungku Maimunah.  Anda dijemput untuk menolak hujah beliau jika anda benar-benar mempunyai hujah yang berbeza. Untuk makluman, Fatimah Busu sendiri telah menulis sebuah buku menghamun Prof. Ungku Maimunah, tetapi tidak memberikan penghujahan balik yang kritis. Bacalah bukunya, yang bagi saya hanya sejenis bullshit,  Nyanyi Sunyi Salam Maria vs. Sarjana Nasi Dingin (Univision Press Sdn Bhd, K.L. 2007). Dalam pembicaraan kita tentang maksud ilmu dalam karya kreatif, kita bezakan ilmu daripada maklumat, Fatimah Busu borong semua kerana tidak membezakan maklumat dan ilmu seperti yang dipakai dalam Persuratan Baru, tidak hairanlah dia bingung meraba-raba dalam analisisnya. Bagus sekali jika dia dapat menolak mengapa tidak perlu dibezakan antara ilmu dengan maklumat dalam perbincangan akademik. Kita mahu belajar daripada beliau. Kita mahu dia lihat kesan berbezaan ini dan apa pula kesannya jika disamakan. Itulah cara orang akademik berfikir. Cara yang dia buat masih bertaraf budak sekolah, tidak boleh dipakai dalam perbincangan akademik. Cara yang dicadangkan dalam Persuratan Baru membolehkan kita memastikan dengan meyakinkan nilai sebenar (intrinsic value) novel Salam Maria dan lain-lain novel. Jika anda benar-benar profesional dan cekap menggunakan akal fikiran anda, anda boleh saja menolak kaedah PB itu dengan mengatakan kaedah itu tidak boleh dipakai untuk mengenal-pasti intrinsic value sesebuah novel. Beritahu kaedah yang bagaimana yang boleh mengenal-pasti nilai sebenar itu? Atau memang tidak perlu kita tahu nilai sebenar sesebuah karya kreatif, seperti sikap Panel Anugerah Sastera Negara. Ini pun perlukan penjelasan, supaya anda tidak mengemukakan pendapat dalam bentuk bullshit saja. Supaya anda faham mengapa saya kerap mengulang istilah bullshit ini, bacalah buku Prof. Harry G. Frankfurt, On Bullshit.

Mengapa pentingnya kita tahu nilai sebenar sesebuah karya kreatif, seperti novel, saya bincangkan dalam entri “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28 Oktober 2014.  Lain-lain entri yang anda boleh rujuk ialah yang bertarikh 10 Oktober 2014; entri 14 September 2014; entri 9 September 2014; lihat juga entri bertarikh 8 September 2014, dan lain-lain. Tetapi rujukan yang lebih menyeluruh terdapat dalam buku saya, Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua), 2014.  Sudilah mengkritiknya jika anda mempunyai pendapat yang lebih baik untuk mengenal pasti intrinsic value sesebuah karya kreatif.

Akhirnya saya ingin mencadangkan kepada DBP supaya menganjurkan satu seminar untuk membincangkan mengapa kita perlu menentukan ukuran yang tepat dalam pembakuan ukuran dalam kritikan sastera Melayu. Kita mempunyai ramai profesor yang bertaraf emeritus, yang tinggi kedudukannya dalam dunia ilmu, yang saya yakin boleh membantu kita untuk mencapai maksud ini. Atau, jika memang tidak diperlukan apa-apa bentuk pembakuan ukuran dalam kritikan, kita boleh saja membincangkannya mengapa kita perlu terus meraba-raba dalam mengemukakan kritikan sastera. Adakah ini bermakna kita gunakan saja pendekatan dan teori sastera Barat? Tak marah nanti Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (sasterawan negara) dan Prof. Zawiah Yahya?  Kedua-duanya telah menolak teori sastera Barat. Atau mereka hanya pura-pura?

Catatan: "There is only one thing more powerful than all the armies of the world, and that is an idea whose time has come."   Victor Hugo

Mohd. Affandi Hassan,
22 Disember 2014.


1 comment:

  1. Assalamualaikum.

    Trend untuk jadi sarjana sekarang adalah seperti ini. Tulis karya yang tak seberapa kemudian ambik masters dan seterusnya. Tergopoh gapah siapkan tesis yang diri sendiri tak faham natijahnya. Sambil tu ampu tokoh kanan dan kiri dengan memuji dan membuat kuotasi yg langsung tak masuk akal. Kalau ditanya balik sarjana ni tak ingat pun apa yg ditulis. Dia sekadar nak dapatkan Drnya pada zaman itu. Sekarang dia sudah jadi tokoh. Yg dulunya penulus kecil dah jadi dokter. Pelajar di bawah sibuk cari jurnalnya dan dia disebut2 sedang jelas tulisannya dahulu bukan sesuatu ygvdifikirkan dgn dalam dan matang. Sekarang dia sudah terkenal dengan tulisan2 yg tiada ilmu copy dan paste teori sana sini. Budak2 universiti juga mempersoalkan kerana masing2 sibuk main sosial media sampai berjalan pun tak nampak lubang dan tiang. Jadi dunia persuratan kita tersekat dalam kejahilan.

    Allah lebih mengetahui.

    ReplyDelete