Wednesday, December 10, 2014

DI MANA TEMPATNYA SASTERAWAN NEGARA DALAM BUDAYA ILMU?



Kemunculan sasterawan negara dalam Malaysia adalah bukti betapa kuatnya pengaruh sastera Barat dalam sastera Melayu; dan pada waktu yang sama para sasterawan menjadi dan menerima peranan sebagai “bangsawan feudal” dalam masyarakat Melayu moden. Inilah kesan kehadiran politik UMNO yang mewarisi Mitos Malayan Union bikinan British untuk memusnahkan perjuangan rakyat merebut kemerdekaan. Mungkin anda akan berasa janggal sekali untuk memanggil para sasterawan negara ini golongan bangsawan baru dalam sistem feudal ciptaan UMNO. Di Indonesia tidak ada sasterawan negara sebagai satu kumpulan tersendiri yang mesti diberi kedudukan istimewa dalam masyarakat; tidak juga di Brunei  walaupun Brunei mengukuhkan sistem feudalnya. Mengapa perubahan ini terjadi di Malaysia?  Inilah kejayaan Asas 50 untuk mempengaruhi Tun Razak supaya para sasterawan Asas 50 ini diterima sebagai golongan elit budaya Melayu yang menjadi penyokong kuat UMNO dan para pemimpinnya. Inilah kemenangan peribadi Keris Mas yang berasal dari Pahang. Kuatnya pengaruh dan mentaliti feudal ini dapat dilihat dalam peristiwa tertutup melibatkan seorang sasterawan negara yang memaksa Sekretariat Anugerah supaya beliau diberi kesempatan untuk duduk bersama Yang di Pertuan Agong kerana beliau adalah simbol feudalisme dalam kebudayaan. Kalau tidak dibenarkan, menurut cerita itu, beliau akan lari dan tidak mahu menerima Anugerah itu. Hasrat beliau diperkenan. Alhamdulillah.  Satu keputusan wajar dan bijak Sekretariat Anugerah. Tahniah.  Selepas munculnya gelaran sasterawan negara ini, maka muncullah satu jenis protokol baru dalam budaya Melayu apabila setiap kali nama si sasterawan negara disebut atau ditulis, maka gelaran itu mestilah disebut terlebih dahulu. Apa guna diberi gelaran kalau tidak dipakai setiap masa secara rasmi, kata mereka. Tahniah.  Walaupun sebutan itu kadang-kadang menjijikkan setengah orang, namun dijadikan praktik rasmi di kalangan sasterawan bahawa  gelaran itu mesti disebut walaupun ketika menyiarkan tulisan mereka: sajak ini nukilan sasterawan negara …. (misalnya).  Mereka juga diberi ruangan khas, sehingga majalah sastera terbitan kerajaan diwajibkan menampung tulisan mereka yang sering kali hanya berupa ocehan, idle talk, saja.  Sebarang kritikan terhadap mereka diharamkan sama sekali. Itulah budaya feudalisme sastera yang berleluasa sebaik saja kumpulan ini diwujudkan. Masyarakat dipaksa menerima pandirisme setelah kebijaksanaan dilenyapkan oleh golongan ini.

Kesan negatif terbesar yang kedua ialah berkaitan dengan pengaruh teori sastera Barat dalam analisis dan penilaian karya kreatif.  Berikut itu ialah munculnya nilai-nilai baru yang negatif dalam sistem nilai kebudayaan Melayu. Sebagai contoh (yang sering disebut), sebuah karya sastera tidak perlu menekankan aspek moral dalam penilaian dan penulisannya; tidak juga menampakkan unsur didaktik, oleh itu apa juga nasihat atau pandangan kritis yang diberi nama khutbah, yang tidak diterima kerana tidak sesuai dengan sifat sastera itu sendiri  yang a-moral. Sebarang teknik yang dapat digolongkan sebagai khutbah, adalah unsur yang sangat  buruk dalam karya kreatif. Dari aspek lain, inilah unsur pandirisme yang paling ketara dalam sastera Melayu moden. Bagi para sarjana dan penilai sastera, pandirisme adalah lebih baik daripada unsur didaktik yang sering dikaitkan dengan teknik khutbah. Kerana ditekankan sifat anti-nilai, maka perwatakan dalam karya kreatif tidak perlu dijadikan contoh dalam kehidupan, cukup hanya diberi  wajah sebagai watak yang bertindak mengikut kemahuan mereka. Inilah yang terjadi dalam karya-karya Anwar Ridhwan. Novel beliau yang mendapat pujian tinggi, Naratif Ogonshoto, adalah sebuah karya a-moral yang mendapat pujian tinggi daripada para penilai kerana menurut mereka, novel itu menggambarkan daya intelek yang tinggi. Daya intelek siapa? Bukan watak di dalam novel itu; tidak juga penulisnya. Daya intelek itu berada di dalam novel itu sebagai pretensi intelek yang kaya dengan perlakuan penuh sensasi. Misalnya, zakar seorang penjahat yang dibunuh dimakan burung nasar;  sebuah bahtera dibuat setelah seekor penyu keluar dari pertapaan di dalam gua, yang memberi alamat tsunami akan berlaku (ini dikaitkan dengan cerita Nabi Nuh yang terdapat di dalam al-Quran, satu penyelewengan yang sangat berat dari segi agama Islam);  pembunuhan demi pembunuhan dijelmakan dalam naratif untuk menampung idea bahawa watak yang mempunyai kuasa politik perlu melakukannya untuk  menjamin kuasanya tidak dirampas oleh musuh politiknya.  Pada hakikatnya novel ini adalah sebuah novel picisan, sebuah karya yang ditulis hanya untuk mencari kelainan dan  menjadikan sensasi sebagai teknik dalam mencari kelainan itu. Novel ini diterima dengan baik kerana sesuai dengan teori sastera Barat, antaranya dengan apa yang disebut “intertekstualiti” (baca tesis Ph.D. Dr. Mawar Shafie, Novel Intertekstual Melayu).

Novel ini dipuji kerana banyak menciplak dan memasukkan idea/karya orang lain sebagai unsur naratif yang menyerlahkan kelainan. Menurut Mawar Shafie, novel ini ditulis berdasarkan idea Machiavelli dalam bukunya The Prince (hal. 168 dan seterusnya).  Apakah idea besar yang ditonjolkan oleh novel ini? Ada sarjana mengatakan novel ini mengkritik korupsi dalam cara yang beradab, sopan, dan dapat diterima kerana disampaikan dalam bentuk satira. Caranya tidak ofensif, kata sang sarjana.  Bagaimana jika cara itu cukup ofensif bagi pembaca biasa seperti saya? Maksudnya, cara novel ini ditulis terlalu naif untuk dapat diterima sebagai satu penerokaan falsafah yang mendalam tentang tabiat manusia politik. Dalam keadaan yang ada, ceritanya terlalu dibuat-buat, penuh dengan pretensi yang kononnya bersifat intelektual, padahal hanya biasa saja. Tidakkah ini cukup ofensif bagi pembaca yang serius? Hanya pembaca, atau sarjana yang naif saja yang boleh menerima novel ini sebagai sebuah novel istimewa. Belum ada ulasan atau kritikan yang saya baca yang meyakinkan saya bahawa pembicaranya tidak naif. Anda boleh sebut siapa juga penulis itu, termasuk Panel Anugerah Sastera Negara.  Dikatakan novel ini boleh diberi tafsiran yang berbagai-bagai, tetapi tidak sebuah analisis pun yang saya baca memberikan penjelasan yang munasabah.  Apakah tafsiran yang berlapis-lapis itu? Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan seperti berikut: “Dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme itu masih berakar pada realiti dunia.  Apa yang digambarkan ialah sebuah negara yang multi budaya, multi ras dan multi suku.  Budaya digaul, direncamkan dan berselirat, seolah-olah ruangnya wujud di bumi nyata. Kesannya ialah ciptaan sebuah dunia yang separa-nyata dan separa-magis” (hal. 33, Laporan 2009).  Satu kesimpulan yang amat aneh, oleh itu terlalu naif untuk dipaparkan dalam satu laporan yang bercorak penilaian akademik. Kalau itulah “dunia” Ogonshoto itu, maka apakah yang boleh dijadikan iktibar darinya? Kita masih ingat betapa Panel menegaskan perlunya kebijaksanaan dalam karya sastera, walaupun tidak bermoral dan tidak didaktik.  Ternyata kebijaksanaan itu tidak ada dalam karya ini, yang ada hanya cerita sensasi yang melampau, yang tidak sedikit pun memperlihatkan kecanggihan berfikir penulisnya. Hanya sejenis permainan teknik yang crude (semua episod kaya dengan sifat crude ini), dengan perwatakan crook yang juga crude!  Kritikan ini agak keras kerana kita diberitahu inilah contoh karya intelektual yang terbaik, yang kaya alusi agama (Islam),  sebuah “karya eksperimen yang matang” (hal. 31).  Ini lagi kesimpulan Panel yang tidak berasas, hanya berupa retorik teh tarik saja (omongan kedai kopi, istilah kampung):  “Keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan bukan saja terletak pada pemilihan tema tetapi juga pada cara pengolahannya, yang menggunakan teknik naratif yang dapat dianggap sebagai unik dan luar biasa” (hal. 30). Kesimpulan ini saya tolak bulat-bulat dalam “Keunggulan yang Cacat”. Baca di sana. Sungguh tepat pencirian yang dibuat oleh Prof. Frankfurt tentang cara “berfikir” begini, yang hanya sejenis bullshit saja.

Tanpa landasan ilmu yang benar, semua penilaian akan hanya menjadi andaian dan tidak dapat dijadikan hujah, tidak dapat dijadikan pegangan untuk dijadikan panduan.  Karya-karya sasterawan negara menjadi masalah apabila over rated, seperti sasterawan negara sendiri. Contoh-contoh yang saya berikan daripada laporan Panel Anugerah Sastera Negara semuanya berciri over rated itu, dan ini menimbulkan masalah apabila karya itu dinilai dengan lebih objektif, yang menyerlahkan kualiti yang bertentangan dengan yang diberikan oleh Panel. Kita terpaksa membuat pilihan antara dua jenis penilaian ini; dan ini hanya dapat kita pastikan jika kita mengasaskan penilaian kita kepada konsep ilmu yang benar. Demikianlah penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara akan kelihatan terlalu naif dan sukar dipertahankan, sehingga menimbulkan kemarahan apabila penilai tidak dapat mempertahankan penilaian mereka secara akademik. Tetapi kita tidak boleh membiarkan kesilapan berterusan, oleh itu pihak yang berada dalam keadaan defensif akan mencari helah untuk mempertahankan kesilapan itu dengan menambah kesilapan baru. Contoh terbaik ialah apabila kita bandingkan penilaian yang diajukan oleh Panel dengan kritikan para sarjana yang juga memuji secara berlebihan. Dari perspektif intertekstualiti, seperti yang dibicarakan oleh Dr. Mawar Shafie dalam bukunya, kita diberitahu kehebatan Anwar Ridhwan ialah kerana kepandaiannya menggunakan teks orang lain untuk dijadikan teks beliau sendiri dengan penyesuaian (pembaikan, kata Dr. Mawar Shafie) yang serasi dalam karya beliau sendiri. Masalah paling menonjol dalam konteks ini ialah apa yang dinamakan “pembaikan” itu berada di dalam konteks yang sama. Misalnya, Anwar Ridhwan dikatakan mengambil idea Machiavelli dan membuat penyesuaian sendiri. Pada hakikatnya tidak ada perubahan atau tafsiran baru, kerana dari segi  konteks masih sama: matlamat menghalalkan cara. Apakah keistimewaannya jika “ajaran” Machiavelli dijadikan panduan watak-watak dalam novel Anwar Ridhwan? Tanpa Machiavelli pun manusia yang berperangai jahat, akan melakukannya juga. Perkara ini hanya akan menjadi agak berbeza jika watak yang ditonjolkan adalah watak jahat yang “baik”, tiba-tiba melakukan sesuatu yang sama dengan prinsip Machiavelli untuk mencapai matlamatnya yang didakwanya untuk mencari keadilan, seperti yang dilakukan oleh Robin Hood atau Botak  Chin yang merompak dan menyamun untuk diberikan kepada orang miskin.  Sekarang sudah jadi terbalik: melakukan kejahatan untuk mencapai kebaikan. Antara dua kedudukan ini, mana satu yang lebih bersifat kemanusiaan? Ini sudah ada dalam sastera Melayu: Salina yang pelacur tetapi berhati “mulia”. Dari segi makna kezaliman, adakah kedua-duanya sama? Seorang pengarang besar yang juga berbakat besar tentu akan meneroka aspek ini, tidak hanya meniru yang sudah ada. Dalam hal ini, sebagai perbandingan,  ada satu cerita hadis yang sangat terkenal. Seorang Arab yang melakukan semua jenis kejahatan di zamannya (anda boleh bayangkan sendiri) menemui Rasulullah SAW, sambil bersenda berkata dia ingin masuk Islam, tetapi mahu meneruskan semua kejahatan yang dilakukannya setiap hari.  Rasulullah SAW menjawab boleh, hanya dengan satu syarat berupa suatu janji: setiap kali bertemu, Rasulullah SAW akan bertanya, Apakah yang kamu lakukan hari ini? Jawablah dengan jujur. Kata Arab itu sambil tertawa, boleh saja. Maka dia pun diislamkan. Maka terjadilah dialog kecil, selepas Nabi SAW memberi salam, baginda bertanyakan soalan tadi. Dan Arab itu menjawab dengan bangga menyatakan semua kejahatannya. “Alhamdulillah”, sabda Nabi SAW, lalu mereka berpisah. Demikianlah seterusnya terjadi, hingga beberapa bulan.  Akhirnya terlintas di kepala si Arab, takkanlah setiap kali bertemu Rasulullah aku memberitahu kejahatanku saja. Dari masa ke masa, makin lama makin sedikit kejahatannya disebut, hingga tidak ada lagi.  Bagaimana anda menggunakan pengajaran ini dalam karya kreatif anda? Percubaan kecil saya termuat dalam episod “Kembali” (hal. 205 dst.), perihal seorang budak sekolah lari dari rumah. Bacalah sendiri kalau hendak tahu mengapa saya tulis episod itu. Mengapa saya beri judul “Kembali” bolehlah anda fikirkan sendiri selepas membaca  dan mengkritik episod ini.  Pertanyaan kecil: Adakah ini yang dimaksudkan dengan interteks? Bagaimana dua peristiwa ini, satu cerita hadis tadi, satu lagi interpretasi saya, menyerlahkan makna kebijaksanaan?  Bila saya mengkritik seorang sasterawan, saya terlebih dahulu melakukannya (menulis karya saya sendiri untuk dikritik), supaya hasilnya boleh dijadikan perbandingan, untuk memberi keadilan kepada sasterawan yang saya kritik.  Saya pun  tahu maksud interteks, tetapi tidak seperti yang difahami oleh Dr. Mawar Shafie dan para sarjana sastera. Saya memahaminya sebagai seorang pemikir sastera yang juga menulis karya kreatif.

Di mana hendak ditempatkan sasterawan negara ini? Tidak mungkin mereka lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan. Di mana tempat mereka yang paling layak?  Tempat yang mereka duduki sekarang bukan tempat yang layak bagi sasterawan. Di mana tempat yang layak bagi para sasterawan?  Pilihan itu harus disandarkan kepada konsep ilmu yang benar. Tetapi para sasterawan negara ini tidak mempunyai tempat dalam perkembangan budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 8/12/2014



No comments:

Post a Comment