Wednesday, December 17, 2014

BEBERAPA CATATAN HUJUNG TAHUN BLOG PERSURATAN BARU: MENGEMBALIKAN MARUAH ILMIAH DALAM PENGAJARAN SASTERA.



Iqbal menulis tentang dirinya begini:

Aku tak hajat pada telinga zaman sekarang
Aku suara penyair dari dunia ‘kan datang
Temanku seusia tak faham maksudku mendalam
Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini.
                   Asrar-I Khudi (Rahsia-rahsia Peribadi)
Terjemahan Bahrum Rangkuti (Bulan Bintang, Jakarta 1976, hal. 14.)

Seterusnya:

Biarlah cinta membakar semua ragu dan syak wasangka
Hanyalah kepada Yang Esa kau tunduk, agar kau menjadi singa. (hal. 37).

Rasanya saya berada dalam kutipan pertama; sedang menuju kepada matlamat dalam kutipan kedua. Atau sudah pun tercapai? Anda sendiri di mana? Sasterawan negara berada di mana?

“Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini”.  Cantik dan mendalam sekali  ayat Iqbal ini. Seluruh sajak yang pernah ditulis oleh sasterawan Melayu selama ini tidak mungkin mencapai makna mendalam dalam satu baris ayat ini. Jika anda faham interteks, mungkin lebih mudah anda faham maksudnya.

Apakah yang anda sibukkan diri dalam pasar anda ini? Anda membawa Machiavelli dan persembahkan kepada khalayak Malaysia, sebagai tokoh besar yang memberi ilham kepada Tuan Presiden dalam Naratif Ogonshoto.  Anda memperkenalkan dengan sombong dan angkuh Mephistopheles sebagai tokoh Iblis yang pintar.  Katamu angkuh: “sepertimu aku terlantar/pada sungai takdir/sekali murung sebagai sarjana/tetapi sering bercermin kaca rusuh/dan memihak pada pintar Mephistopheles.”  (dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau, karya sasterawan negara Muhammad Haji Salleh, hal. 5).

“Yusufku tidak sedia bagi pasarmu ini”.  Tidakkah anda telah melemparkan Yusuf ke dalam  perigi buta? Itulah yang juga dilakukan oleh para sasterawan dan sarjana sastera: melemparkan sastera ke dalam perigi buta budaya pandirisme.

Sekarang yang akan berlagak di pasar anda adalah badut bengis dan jahat yang keluar beramai-ramai sebagai hantu Melayu untuk merasuk pelajar sekolah menengah mulai 2015; membawa masuk Machiavelli ke dalam bilik darjah untuk dibincangkan beramai-ramai dengan para guru yang terlatih dalam kesusasteraan sebagai guru pakar yang mengenal siapa Mephistopheles yang menjadi guru kepada Machiavelli yang terkenal itu. Guru dan para pelajarnya berhempas pulas membicarakan falsafah kejahatan dalam politik dan dalam sastera. Pasarmu memang kau bina untuk itu!

Demikian hebatnya pengajaran sastera di Malaysia: guru, pelajar, sasterawan dan sarjana berada sebaris dengan Machiavelli dan Mephistopheles, membincangkan dengan mendalam “kebijaksanaan” tuan Presiden dan pengikutnya yang setia untuk membunuh lawannya, sambil membiarkan seorang gadis memotong zakar seorang penentang Sang Presiden untuk dicampak kepada burung nasar. Tentulah zakar itu sebesar zakar di depan Muzium Sarawak (kini sudah dibuang atau disimpan di tempat lain!) sehingga boleh mengenyangkan kumpulan burung nasar yang berebut zakar politikus muda. Gadis-gadis Melayu yang belajar sastera mesti bersedia untuk menerima pengajaran nilai-nilai murni dalam negara Ogonshoto yang berada di dunia “separa-nyata dan separa-magis”, iaitu “dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme” itu tetapi masih “berakar pada realiti dunia” Malaysia yang dikenali oleh para sasterawan negara dan penilai mereka.  Dalam pasar inilah anda akan membawa Machiavelli dan gurunya Sang Iblis Mephistopheles itu, untuk ditekuni oleh para guru sastera dan para pelajar sastera. Dalam pengajaran sastera Malaysia, nilai-nilai murni yang dibawa oleh Mephistopheles dan Machiavelli  murid agungnya itu akan memberi dinamika baru kepada pelajar sastera yang akan disuntik dengan semangat ingin maju, tanpa mengira dengan apa cara sekali pun. Sesuai dengan aspirasi mimpi yang akan dicapai dalam Wawasan 2020 nanti.

Pengajaran sastera yang pada mulanya mudah dan boleh menjadi menarik minat jika kaedahnya betul,  kini menjadi sukar dan membosankan serta membebankan setelah dimasukkan beberapa unsur luaran yang tidak kena mengena dengan cara dan gaya sesebuah karya kreatif didekati. Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam tulisannya, “Kesusasteraan Melayu Mutakhir: Antara Realiti dan Harapan” (kertas kerja untuk Seminar Pemikiran 6 Sasterawan Negara II, Dewan Za’ba, UPM 26 April 2014),  menegaskan pengajaran sastera telah diberi nafas baru dengan memperkenalkan “Kesusasteraan Melayu Komunikatif” (KMK) yang menawarkan 4 kertas: (1) penghayatan karya, mengandungi 3 pecahan: puisi (tradisional dan moden), prosa tradisional dan moden (cerpen dan drama); (2) sastera dan pembangunan, mengandungi 3 bahagian: pembangunan insan, pembangunan masyarakat, pembangunan negara; (3) kreativiti, pengurusan dan multimedia, mengandungi 3 bahagian: penulisan kreatif, pengurusan, multimedia dalam sastera; dan (4) kerja kursus. Itulah nafas baru yang dimaksudkan, yang akan membuat para pelajar STPM sesak nafas.  Profesor ini memberikan beberapa statistik yang membuktikan guru-guru suka menghirup nafas baru ini, demikian juga para pelajar walaupun “kesukaannya” kurang daripada guru.  Yang menarik dalam nafas baru ini ialah pembelaan terhadap sajak terindah dalam sastera Melayu moden, satu-satunya sajak intelektual yang bermutu tinggi, “Pulang Si Tenggang” oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara. Kata profesor ini, cerita Si Tenggang ini tidak seluruhnya mengenai anak derhaka; ada nilai positifnya, iaitu kegigihan Si Tenggang untuk memajukan dirinya hingga berjaya menjadi Nakhoda besar dan saudagar besar yang kaya raya hingga dapat memikat puteri raja. Si Tenggang berusaha untuk berjaya dalam kehidupannya. Dengan nafas baru ini, maka matlamat utama cerita ini diceritakan untuk memberi pengajaran moral kepada anak-anak, ditenggelamkan dan yang dibesar-besarkan ialah kejayaan Si Tenggang. Dari sesuatu yang bersifat kerohanian dan nilai murni, ditukar kepada kejayaan kebendaan seluruhnya, dengan itu para pelajar diberi saranan supaya berusaha gigih seperti Si Tenggang sehingga mereka juga berjaya seperti Si Tenggang dan dapat menggelarkan diri mereka Tenggang II, seorang Si Tenggang baru. Sukar untuk difahami bagaimana idea bullshit ini boleh diterima dalam pengajaran sastera. 

Apakah tujuan dan matlamat pengajaran sastera? Mudah saja: untuk mencerdikkan mereka (pelajar dan juga guru sastera) dengan memperkaya pengalaman intelektual  mereka melalui pembacaan karya sastera yang bernilai (bukan jenis Si Tenggang atau Naratif Ogonshoto), bukan karya yang picisan. Untuk itu, mereka perlu diperkenalkan kepada idea falsafah estetik, kritikan sastera dan beberapa pendekatan terpilih yang penting, analisis dan penilaian dalam kritikan, ukuran yang digunakan apabila menilai karya sastera, dengan memberi mereka peluang untuk menilai novel atau cerita pendek mengikut kecenderungan mereka dengan menggunakan pendekatan yang terpilih tadi. Pokoknya, beri mereka peluang berfikir dan merasakan sendiri keindahan karya kreatif yang bermutu melalui apa juga pendekatan yang didedahkan kepada mereka. Baru ada gunanya mengajar sastera kepada mereka. Matlamat kita, supaya yang terbaik di antara mereka akan menjadi pensyarah dan profesor sastera, supaya dapat ditentukan kemajuan dalam bidang ini. Sekarang tidak ada kemajuan. Yang jelas ialah betapa kayanya kekusutan dan pandirisme, kerana para sarjana kita sendiri pada umumnya anti-ilmu, cetek meraba-raba tidak pun mendalam dalam kebudayaan sendiri apatah lagi dalam kefahaman mereka terhadap bidang sastera yang dari Barat sekalipun.  Beri juga mereka baca buku tentang sejarah kritikan sastera di Malaysia yang ditulis oleh Prof. Hashim Awang dan dua orang lagi, walaupun buku tidak sebaik yang kita harapkan. Seperti biasa, sarjana kita suka sangat bercerita, demikian juga buku sejarah kritikan itu menceritakan tentang apa yang disebut sebagai “kritikan sastera”. Bagaimana pun, masih berguna sebagai sumber maklumat yang terbatas yang masih boleh dibaiki lagi jika diterbitkan edisi kedua nanti.

Pada umumnya kita perlukan satu revolusi pemikiran dan pendekatan dalam pengajaran sastera, bukan sekadar memberi nafas baru yang sebenarnya menyesakkan nafas.  Para sarjana sastera kita harus muncul sebagai pemikir, bukan hanya sekadar mampu memberi cadangan yang mengusutkan lagi pengajaran sastera di Malaysia. Untuk menarik minat pelajar kepada subjek sastera ini, beri mereka pendedahan kepada aspek pemikiran seperti yang digariskan secara kasar di atas. Jangan dihalang mereka daripada mendekati pemikiran baru dalam bidang ini, misalnya dengan mendedahkan kepada mereka buku Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid dan memperkenalkan mereka kepada Gagasan Persuratan Baru, supaya mereka juga tahu kini terdapat tiga kategori karya kreatif: karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan lucah. Mereka harus didedahkan kepada konsep ilmu yang benar, bukan disogokkan kepada maklumat separuh matang yang mengusutkan kefahaman mereka tentang pengajaran sastera ini. Maruah akademik dalam bidang ini harus dikembalikan; dan para pelajar serta guru sastera juga perlu mendapat pendedahan baru supaya mereka boleh berfikir secara kritis. Perkenalkan mereka kepada konsep ilmu yang benar itu.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17 Disember 2014.





No comments:

Post a Comment