“Keunggulan yang cacat”, itulah
kesimpulan saya terhadap sasterawan negara yang menjadi kemegahan para
sasterawan dan sebahagian sarjana sastera. Saya boleh berbicara dengan kritis
tentang para sasterawan negara tanpa gangguan (?) dari sesiapa pun
(sekurang-kurangnya hingga kini) kerana saya telah mempersoalkan projek
sasterawan negara ini sejak awal lagi, sejak Keris Mas dipilih sebagai
sasterawan negara pertama. Jadi mereka
tidak boleh menuduh saya mempunyai niat jahat atau apa-apa maksud tidak baik.
Gelaran sasterawan negara itu sendiri adalah satu perbuatan biadab jika dilihat
dalam konteks kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam, yang meletakkan orang
berilmu, seperti para ulama, sebagai kumpulan yang layak dihormati. Sasterawan
tidak termasuk di dalam golongan orang berilmu itu. Kedudukan mereka dalam kebudayaan yang
mengutamakan ilmu adalah di pinggiran, setaraf dengan para penglipur lara.
Malah mereka adalah golongan penglipur bentuk atau corak baru. Dilihat dari segi
ini, sudah wajar jika Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh duduk bertempoh di hadapan
Penglipur Lara Pak Mahmud Wahid dari Perlis. Tetapi perbuatannya itu menjadi
biadab apabila diletak di dalam majlis ilmu, padahal tempat penglipur lara
bukan di situ, tetapi di bangsal-bangsal yang dibangunkan khas untuk mereka
bercerita.
Walaupun sudah terdapat
“penyelidikan” tentang beberapa orang sasterawan negara yang dilakukan di
peringkat kedoktoran falsafah dalam kesusasteraan, namun hasilnya lebih
merupakan penceritaan semula tentang karya
para sasterawan negara yang dipilih, yang dituang ke dalam tempurung yang disebut teori sastera
Barat; misalnya, antara lain, Semiotik (Anwar
Ridhwan), Intertekstualiti (Anwar Ridhwan), Pascakolonial (Keris Mas dan Muhammad
Haji Salleh). Prof. Madya Arbak Othman cuba menggunakan tempurung teori semiotik untuk membaca sajak-sajak Muhammad Haji
Salleh, tapi nampaknya tidak berjaya, malah lebih banyak menimbulkan persoalan
daripada menjawabnya. (Lihat entri bertarikh 14 September 2014). Mengapa hal ini terjadi? Adakah karya para
sasterawan negara ini terlalu kebal, tidak dapat ditembusi oleh teori sastera
Barat? Atau sebaliknya, karya itu begitu
simple tetapi penuh pretensi
intelektual, oleh itu sebaik saja dianalisis karya itu pecah bertaburan
menyerlahkan kontradiksi yang begitu cemerlang dari segi kelemahannya dilihat
dari perspektif “pemikirannya.” Semua
seminar tentang sasterawan negara diberi judul, “Seminar Pemikiran Sasterawan
Negara”. Mungkin tajuk itu terlalu besar
untuk menampung kemiskinan pemikiran dalam karya sasterawan negara, dengan itu
memaksa para sarjana mencari-cari helah untuk membuktikan wujud “pemikiran”
dalam karya sasterawan negara. Tetapi dari sejumlah lebih dari 200 kertas
kerja, tidak satu pun berjaya membuktikan mana-mana sasterawan negara adalah
seorang pemikir. Yang kelihatan dengan jelas ialah mereka adalah pencatat
peristiwa yang rajin, terutama kisah-kisah perjalanan di luar negara sebagai
pelancong atau tourist yang
kehairanan melihat sesuatu yang tidak ditemuinya di negara sendiri. Saya sudah lama menunggu penafian para
sarjana terhadap kesimpulan ini, kerana saya sendiri ingin mengetahui bagaimana
mereka memberi takrif “pemikiran” itu dan bagaimana pemikiran itu diserlahkan
dalam karya para sasterawan negara ini. Siapakah di antara mereka “pemikir”
paling ulung? Tentu saja, secara logik, apabila seseorang sasterawan negara
sebagai seorang pemikir ulung, maka karyanya akan menyerlahkan keulungan
pemikirannya itu. Inilah yang kita masih
tunggu-tunggu dengan sabar untuk diperlihatkan dalam kertas atau makalah yang
membicarakan tentang aspek “pemikiran” ini. Saya tidak bertemu apa-apa yang
boleh dikategori sebagai “pemikiran” dalam tesis Ph.D. yang menulis tentang
sasterawan negara. Yang jelas, penulisnya
menurunkan kembali cerita-cerita para sasterawan negara, sehingga jadilah
kritikan mereka itu kritikan cerita, hanya sekadar menceritakan kembali bacaan
mereka. Saya juga menunggu seseorang boleh memberikan sanggahan konkrit tentang
kesimpulan ini. Untuk memudahkan mereka
memahami maksud saya, saya pernah memberi contoh Iqbal, yang pemikirannya
berlegar di sekitar pembinaan peribadi Muslim yang kuat, berasaskan Cinta
Ilahi. Kata para sarjana, contoh itu tidak tepat dan tidak adil, kerana tidak
seorang pun sasterawan negara yang boleh dibandingkan dengan Iqbal. Mengapa
terlalu merendah diri? Anda telah membina mitos yang begitu agung di kalangan
para sasterawan negara ini, maka sudah wajar anda mempertahankan mereka, bukan
memperlekehkan mereka. Siapa tahu Muhammad Haji Salleh lebih besar daripada
Iqbal? Lagi pula sudah wujud seorang sarjana, murid beliau sendiri, yang
menggelarkan beliau Raja Penyair Malaysia! Tidak munasabah seorang Raja Penyair
se-lekeh itu! Kalau semuanya dilihat dalam konteks Malaysia saja, maka sudah
jelas Pak Pandir yang universal “pemikirannya” itu jauh lebih berhak digelar
pemikir daripada para sasterawan negara sendiri. Tidakkah ini sangat
pelik? Pak Pandir sekurang-kurangnya
dapat melontarkan konsep pandirisme
dalam kebudayaan Melayu, yang juga terdapat di kalangan para sasterawan. Semua ini mengarah kepada perlunya penjelasan
yang konkrit dibahaskan tentang aspek pemikiran ini di kalangan para sasterawan
negara.
Sekarang telah muncul novel
terbaik Malaysia, Naratif Ogonshoto,
yang telah disepakati oleh sebahagian besar sarjana sastera Malaysia. Tetapi
kehebatan novel ini tidak menyerlah dalam tesis Ph.D. Mawar Shafie dan Tengku
Intan Marlina tidak pun menyentuhnya di dalam tesisnya tentang novel Anwar
Ridhwan, malah kedua-dua tesis ini membuktikan sebaliknya. Untuk muncul sebagai
sebuah novel yang kuat, apatah lagi yang terbaik di Malaysia, penjelasan yang
lebih mantap diperlukan untuk menilai aspek “pemikiran” di dalam novel ini,
tidak sekadar penjelasan tentang ambilan di sana sini yang ditunjukkan oleh Dr.
Mawar Shafie. Bagi saya, Naratif
Ogonshoto adalah sebuah penglipur lara moden, yang tidak menampilkan
apa-apa “pemikiran” besar yang boleh dikira asli yang lahir daripada sang
sasterawan sebagai seorang pemikir.
Novel ini penuh sensasi, dengan pretensi intelektual yang terlalu naif,
oleh itu amatlah menghairankan apabila Panel Anugerah Sastera Negara begitu
terpesona dengan novel yang dari segi “pemikiran” lebih dekat kepada sebuah
karya picisan intelektual. (Aspek ini telah saya sentuh di sana sini dalam blog
ini.) Walau bagaimana pun, untuk
memuaskan para sarjana sastera, saya fikir novel terbaik Malaysia ini wajar
dibaca bersama novel terburuk Malaysia, Aligupit
(1973) dan karya terbaru Mohd. Affandi Hassan, Balai Maqamat (tertulis 2004, terbit 2014), mengenai segala aspek
korupsi di Malaysia, termasuk dalam kesusasteraan dan kritikan sastera, dalam penilaian sastera, dalam pendidikan,
dalam politik, dalam penerbitan, dalam kepemimpinan, dan sebagainya. Dalam
penilaian dan kritikan sastera, perbandingan begini penting untuk menolak yang
terburuk dan menaikkan yang terbaik, supaya semua aspek kegemilangan karya
terbaik itu dapat dilihat dengan mudah dan jelas, yang tidak akan kelihatan
jika karya terbaik itu hanya diulit bersendirian tanpa sebarang perbandingan
dengan karya lain. Inilah kaedah kritikan yang betul, tetapi di Malaysia kaedah
ini tidak disukai kerana pengkritik perlu membaca lebih banyak dan perlu
berhempas pulas membuat penilaian yang objektif. Penilai sastera Malaysia tidak
suka dan tidak mahu bersikap objektif, kerana itu menuntut kewibawaan akademik
yang tinggi, yang bagi mereka tidak diperlukan di Malaysia. Dalam budaya
pandirisme, tuntutan intelektual tidak perlu dibuktikan, hanya perlu
diperagakan dalam retorik peragaan seperti yang sering dilakukan oleh penjual
ubat di kaki lima atau di bawah pokok rendang di Kuala Lumpur. Anda mungkin tidak terasa pengaruh penglipur
lara dalam sastera Melayu moden, kerana anda sendiri berada dalam dunia
penglipur lara akademik; maka tentulah anda tidak dapat menerima pengaruh
penjual ubat dalam bidang akademik dan kritikan sastera. Tetapi jika anda
membaca dengan kritis tulisan para sarjana
ciritan ini, anda akan terasa betapa kuatnya pengaruh penjual ubat itu
dalam penilaian sastera. Pernahkah anda dengar penjual ubat mengatakan ubatnya
tidak bagus? Begitu juga tidak mungkin seorang sarjana bersikap kritis jika
dengan berbuat demikian dia tidak lagi akan diterima dalam Mutual Admiration
Club yang menjadi ciri utama kritikan dan penilaian sastera di Malaysia.
Perkara ini telah disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973
lagi, bukan perkara baru. Kini Mutual Admiration Club sudah dijadikan arus
perdana, oleh itu anda tidak berasa geli geman lagi seperti ketika mula-mula
disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 itu. Dalam budaya
Mutual Admiration Club, anda tidak perlu berlaku kritis. Anda hanya perlu
memuji dan memberikan sanjungan yang berlebihan. Walaupun ada di antara kumpulan anda yang
pandai menyebut nama Gramsci dan konsep hegemoni, tetapi anda tidak boleh
terima anda sendiri berada dalam sejenis hegemoni palsu melalui Mutual
Admiration Club ini. Dari segi mana
terdapat perbezaan hegemoni Mutual Admiration Club dengan Presiden Negara
Ogonshoto? Mutual Admiration Club sastera Melayu juga menggunakan idea
Machiavelli. Sangat aneh jika anda tidak sedar wujudnya perkara ini. Anda hanya perlu meneliti bagaimana penilaian
Hadiah Sastera Perdana Malaysia dinilai dan siapa yang dilantik menjadi penilai
dan siapa pula yang mendapat hadiahnya.
Anda tidak akan dapat memahami apa yang berlaku jika anda tidak melihatnya
daripada perspektif pandirisme yang kini sudah diterima sebagai unsur penting
dalam budaya ilmu di Malaysia, diberi kedudukan yang setaraf dengan idea
Machiavelli di Barat, “matlamat menghalalkan cara”. Kalau anda berasa pelik kesimpulan ini, saya
persilakan anda membaca balik Machiavelli dan melihat keseluruhan sumbangan
intelektual tokoh ini yang lebih dikenali kerana bukunya The Prince, padahal beliau lebih dari itu, misalnya sebagai penulis
drama komedi.
Katalah betul Anwar Ridhwan
mendapat ilham daripada karya Machiavelli, The
Prince. Mengapa fakta itu begitu
penting, padahal dia hanya seorang peniru idea yang bersumber daripada
“pemikiran” orang lain yang tidak kena mengena pula dengan kita dari segi nilai
yang menjadi asas tamadun kita? Mawar Shafie berhujah, sasterawan negara ini
mempunyai daya kreatif yang begitu tinggi dan kaya sehingga dia dapat mencipta
sebuah karya besar berasaskan idea Machiavelli itu. (Lihat bukunya, Novel Intertekstual Melayu, hal.
162-174. Asal tesis Ph.D.) Kata Mawar
Shafie: “Apa yang jelas, daripada kenyataan yang diajukan, falsafah Nicollo
Machiavelli ‘matlamat menghalalkan cara’, jelas dipindahkan pengarang dalam
novel ini” (hal. 168). Jika itulah kerja
Anwar Ridhwan, adakah ini asas yang utama yang membolehkan penulis ini menulis
novel terbaiknya untuk Malaysia? Bolehkah kita berkata, tanpa idea daripada
Machiavelli itu, tidak mungkin Anwar Ridhwan menulis novel terbesar Malaysia
ini? Jika itulah maksud Mawar Shafie, maka dia melakukan dua perkara: pertama,
sebarang idea dari Barat akan memungkinkan pengarang Melayu menulis karya besar
kerana idea Barat itu sendiri adalah idea besar; kedua, penulis Melayu tidak
mempunyai kreativiti yang tinggi tanpa bantuan teknik dan bantuan idea dari
teori sastera Barat. Kalau betullah andaian ini, yang dimaksudkan oleh Mawar
Shafie, maka di manakah letaknya kemampuan intelektual penulis Melayu jika
mereka hanya pandai menjadi peniru sahaja? Mungkin bukan ini yang dimaksudkan
oleh Mawar Shafie, dengan berkata dia sebenarnya ingin membuktikan teori
intertekstualiti itu boleh dipakai di Malaysia dan boleh menghasilkan novel
yang besar seperti novel Anwar Ridhwan ini.
Sekarang kita bantah pendapat ini yang sebenarnya hanya sejenis bullshit sahaja. Apa yang disebut
sebagai idea besar Machiavelli itu samalah dengan pendirian Muhammad Haji
Salleh yang memuji kepintaran Mephistopheles dalam sajaknya ketika melawat Muzium
Goethe itu. Apakah kesimpulan yang boleh
kita buat? Saya biarkan anda sendiri membuat kesimpulannya. Yang ingin saya
tegaskan, andaian Mawar Shafie bahawa intertekstualiti itu berguna dalam
penulisan, ternyata tidak ada gunanya sama sekali dalam kes yang special ini. Jelas sekali diperlukan penapisan, sebagai
penulis Islam, yang hanya boleh dilakukan dengan berasaskan konsep ilmu yang
benar. Itu tidak ada dalam karya Naratif
Ogonshoto ini, oleh itu adalah satu kesilapan besar untuk mengatakan karya
ini karya terbaik dan karya terbesar Malaysia. Hanya sejenis bullshit saja! (Baca lagi “Keunggulan
yang Cacat”). Saya tidak perlu ulang hujah-hujah saya di sini.
Sekarang sudah jelas kepada anda
mengapa saya menentang kewujudan sasterawan negara ini sejak awal, sejak 1981,
dan menulis cerita pendek “Orang Yang Berdiri”, dan seterusnya menulis rencana
menolak kehadiran sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu yang sejak mula
bergelar kebudayaan Melayu adalah berasaskan konsep ilmu yang benar yang
diajarkan oleh Islam, yang melahirkan para ulama dan tokoh-tokoh persuratan
yang handalan dan bijaksana. Sebaik saja Asas 50 mengambil alih kegiatan
kreatif yang tidak berasaskan ilmu, maka terjadilah huru-hara dalam
perkembangan ilmu dalam negara kita, apabila para sarjana tidak lagi peka
kepada konsep ilmu yang benar dan mempersetankan begitu saja peranan Islam
dalam pembinaan tamadun negara kita. Kita
tidak perlukan sasterawan negara untuk menjadi cerdik dan untuk menjadi
bijaksana. Kita harus kembali menjadi manusia beragama yang berilmu dan
menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kita, jika kita
benar-benar mahu menjadi manusia seperti yang kita semua saksikan sebelum kita
dicipta dan dilahirkan ke dunia. Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13 Disember 2014.
No comments:
Post a Comment