Wednesday, December 31, 2014

JANGAN BACA KARYA SASTERAWAN NEGARA, TETAPI BACA BUKU-BUKU INI



Saya senaraikan beberapa buah buku yang berguna untuk dibaca dan ulang baca. Jangan membuang masa membaca karya sasterawan negara. Tidak ada manfaatnya. Bacalah dengan serius buku-buku yang disenaraikan. Kalau boleh, beli sendiri. Atau minta saja Perpustakaan belikan, jika belum ada. Sesiapa yang meminati buku-buku Indonesia yang berkualiti, sila hubungi tokeh buku terkenal di kalangan pembaca serius, Wan Mohd. Said Wan Seman, H/P 017-3126 211. Harga boleh runding. Kalau tidak terlalu jauh, dia boleh hantarkan.  Silap-silap dia hadiahkan saja jika pembaca itu betul-betul cintakan buku dan ilmu, terutama ilmu agama. Dia boleh tolong anda mendapatkan buku-buku berkualiti. Peluang baik bagi pencinta buku dan pencinta ilmu. Tolong dia untuk membantu anda mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti. Wallahu a’lam.

Kita mulai dengan buku, Thinking, Fast and Slow (Penguin 2011), oleh Daniel Kahneman (penerima Hadiah Nobel ekonomi). Agak sukar, tetapi boleh diikuti dan difahami jika sabar menekuninya.  Semua persoalan kehidupan manusia dibincangkan secara saintifik. Tidak rugi jika dibeli dan tidak membuang masa jika membacanya.  Saya mulai dengan buku ini untuk memberi sedikit gambaran hasil penyelidikan moden tentang bagaimana otak manusia berfikir. Anda boleh bandingkannya dengan bagaimana otak beriman berfikir, seperti bacaan di bawah.

Sebuah buku yang menyeronokkan, susunan Ali Audah, Nama dan Kata dalam Quran: Pembahasan dan Perbandingan (Pustaka Nasional, 2011).  Mahu tahu tentang al-Quran inilah bukunya. Beli untuk diri dan untuk dihadiahkan.  Sebuah lagi buku yang juga menarik ialah karangan M. Quraish Shihab, Kaidah Tafsir (judul ejaan asal; Jakarta 2013). Buku ini adalah pelengkap tafsir Quran ulama  ini, Tafsir al-Mishbah (15 jilid, edisi baru 2009).  Waktu saya beli harganya RM1200.00; kini sudah naik jadi RM1500.00.  Sebelum naik lagi, bolehlah beli sekarang. Harga di Jakarta lebih murah, jika anda ke sana atau ada teman-teman yang ke Jakarta, kirim saja.  Ustaz Abd. Razak Mahmud (bekas pengarang Pengasuh 10 tahun) pernah komen, jika ada sebuah karya bahasa Melayu yang layak diterjemahkan ke bahasa Arab, inilah kitab tafsir itu. Kamus al-Quran terbaik bagi yang tak tahu bahasa Arab saya kira ialah susunan Elsaid M. Badawi dan Muhammad Abdel Haleem, Arabic-English Dictionary of Qur’anic Usage  (Leiden: Brill, 2008). Buku Mustansir Mir, Verbal Idioms of the Qur’an (Michigan Series on the Middle East, No. 1, 1989) juga bagus dan banyak membantu untuk memahami al-Quran.  Sebuah buku lama,  John Penrice: A Dictionary and Glossary of the Koran (London: Curzon Press, new edition 1971; first published London 1873), masih berguna dan masih boleh dipakai.  Buku Prof. M. Dawam Rahardjo, Ensiklopedi al-Quran: Tafsir Sosial Berdasarkan Konsep-konsep Kunci  (Jakarta, cetakan 2, September 2002) kritis dan mendalam huraiannya. Sangat bermanfaat.  Sebuah lagi karangan Ali Audah, Konkordansi Qu’ran: Panduan Kata dalam Mencari Ayat Qur’an  (Jakarta, 1991) mudah digunakan oleh pembaca yang tidak ada pengetahuan bahasa Arab sekali pun. Sebuah buku penting yang perlu dibaca/telaah, Fazlur Rahman: Major Themes of the Qur’an  (Chicago: Bibliotheca Islamica, 1980).  Antara yang penting dalam buku ini ialah huraian tentang makna/pengertian taqwa. Sangat penting. Saya mahu kutip bahagian ini yang saya fikir perlu difikirkan dengan mendalam: “Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33).  Jelas?

Para pengarang, sasterawan dan penulis Melayu selalu berbangga mengetahui sedikit sebanyak (tentunya agak cetek!) psikologi Freud, Lacan, dua orang yang selalu disebut-sebut, tetapi pengetahuan mereka tentang psikologi Islam kosong. Elok baca pemikiran Imam Ghazali tentang manusia. Buku terbaik saya kira ialah tesis Ph.D. Dr. Abul Quasem yang diterbitkannya sendiri, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (Petaling Jaya, 1975; Central Printing Sdn. Bhd.). Semua sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera perlu baca buku ini dan faham isinya.  Sebuah buku terjemahan karya dalam bahasa Inggeris karangan Ali Issa Othman mengenai pemikiran Imam Ghazali,  Manusia Menurut al-Ghazali  Bandung: Perpustakaan Salman Institut Teknologi Bandung, 1981 (H 1401). Buku asal dalam bahasa Inggeris, The Concept of Man in Islam in the Writings of al-Ghazali   (Cairo: Dar al-Maaref, 1960).  Sebuah lagi buku tentang Imam Ghazali ialah karangan Dr. H. Saeful Anwar, M.A., Filsafat Ilmu al-Ghazali: Dimensi Ontologi dan Aksiologi  (Pustaka Setia Bandung, 2007). Buku ini pasti akan membantu anda melihat kepalsuan penilaian yang digunakan selama ini untuk menilai karya para sasterawan negara. Kalau ada di antara anda mempertahankan idea Machiavelli sebagai asas penilaian anda, maka tidak ada alasan untuk anda menolak idea Imam Ghazali sebelum anda mengkajinya terlebih dahulu. Buku ini membincangkan aspek aksiologi yang penting itu, yang menjadi asas penilaian dalam apa juga usaha ilmiah dan kreatif manusia yang mengaku diri mereka beragama. Malah jika ada di antara mereka yang mempertahankan kepalsuan kreatif mereka berasaskan prinsip-prinsip sastera yang difahamkan dalam teori sastera Barat, kita dapat melihat kepalsuan mereka dengan lebih jelas berasaskan konsep aksiologi dalam Islam.  Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Izinkan saya menurunkan satu kutipan panjang daripada buku ini, untuk memberi sedikit gambaran tentang maksud saya:

“Menurutnya, perbuatan manusia berpangkal pada ilmu yang membangkitkan iradah.  Iradah ini menggerakkan kudrah yang memaksa adanya gerak fisik.  Proses sistematik ini terjadi secara komplusif (mekanik-deterministik), sebagai jabr (paksaan) Allah sesuai dengan hukum kausalitas-Nya.  ini dilukiskan dengan kasus munculnya tulisan pada kertas. Ia muncul kerana tinta, kerana pena, yang digerakkan oleh tangan.  Semua ini, yang terjadi di alam Syahadah, berakar di alam Jabarut, iaitu qudrah yang memaksa gerak tangan yang dipaksa oleh iradah yang dipaksa oleh ilmu. Ini berakar di alam Malakut, iaitu Qalam yang menuliskan ilmu pada qalbu manusia. Qalam digerakkan dari Hadrah al-Rububiyyah, iaitu oleh Yamin (“Tangan Kanan”) yang digerakkan oleh Qudrah Allah, sedangkan Qudrah hanyalah sifat dari al-Qadir.  Dengan demikian, satu-satunya Penguasa tunggal terhadap ketiga alam itu adalah al-Wahid al-Qahhar  (Yang Esa Yang Pemaksa), yang semuanya berada dalam “genggaman-Nya”, sesuai prinsip: La Haula wa la Quwwata Illa bi Allah  (Tiada gerak dan potensi, kecuali dengan Allah). … Mengenai iradah dan ikhtiar (pilihan), al-Ghazali menjelaskan bahawa seseorang melakukan apa yang ia kehendaki, baik ia berkehendak  mahupun tidak.  Jadi, iradah atau masyi’ah (kehendak) bukan dari manusia, sebab bila dari manusia, pasti ia membutuhkan masy’ah lain sampai berantai tak berujung. Untuk itu, dibahaginya perbuatan manusia menjadi tiga macam. (1) Fi’il Tabi’i (perbuatan natural-mekanik), seperti jatuhnya orang yang berdiri tanpa alas. (2) Fi’il Iradi (perbuatan inisiatif) seperti bernafas dan (3) Fi’il Ikhtiayari (perbuatan alternatif) seperti menulis.” (hal. 169-170, semua huruf condong dalam asal). Kutipan ini masih panjang, oleh itu  anda perlu membacanya sendiri supaya tidak keliru. Oleh itu, dapatkan buku ini.

Diperlukan sedikit penjelasan mengenai “seseorang melakukan apa yang ia kehendaki, baik ia berkehendak mahupun tidak”.  Di dalam al-Quran, 4: 115, terdapat frasa, nuwallihi ma tawwala.  John Penrice memberi makna  begini: We will put it into his power to follow the bent of his inclination” (hal. 163; We  di situ merujuk kepada Allah SWT.)  Muhammad Asad menulis begini dalam The Message of the Quran, nota 139: “him We shall (cause to) turn to that to which he (himself) has turned”  -  a stress on man’s freedom of choice.”  Manakala M. Quraish Shihab menterjemahkan begini: “Kami arahkan dia ke arah yang dipilih” (jilid.2, hal. 718).  Pengarang Arabic-English Dictionary of Qur’anic Usage  memberi makna begini: “We will leave him to his own devices (lit. turn him towards his chosen path, hal. 1047).  Apakah maknanya? Inilah terjemahan ayat sepenuhnya oleh M. Quraish Shihab: “Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan  jalan orang-orang mukmin, Kami arahkan dia ke arah yang dipilih dan kami masukkan dia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” Cantik!

Dengan kutipan panjang daripada buku Dr. H. Saeful Anwar, M.A., dan keterangan tentang ayat 4:115 itu, sudah jelas, bagi orang Islam, makna taklif dalam seni mengarang.  Sekarang anda faham mengapa saya menolak sasterawan negara dan karya mereka yang berbau hanyir itu. Saya lakukan ini sejak permulaan lagi, sejak 1981. Jadi jangan anda anggap saya main-main.

Akhirnya, jangan lupa tafsir Qur’an yang unik oleh Bediuzzaman Said Nursi, ulama dan pejuang jihad Turki, dalam tiga jilid terjemahan dari buku beliau yang tebal, Risale-I Nur:  (1) The Words; (2) Letters; (3)The Flashes Collection.

Buku-buku Lain

Buku-buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sudah mula dibaca, setelah sekian lama diketepikan tanpa sebab, kecuali kerana hasad dan prasangka. Anak-anak muda mula mendekati beliau, dan ada di antara mereka yang begitu cekap menangkap pemikiran beliau. Satu perkembangan yang sangat baik dan menggalakkan.

Di kalangan sarjana sastera Melayu beliau masih diketepikan, malah ada yang mengatakan beliau mengajar pengikut dan anak-anak muda menjadi biadab dan tidak hormatkan orang yang berbeza pendapat dengan beliau.  Sebenarnya merekalah yang biadab dan tidak hormatkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang tidak dapat membezakan mana yang benar dengan yang palsu. Siapakah ketua mereka? Mereka ini berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club, saling memuji satu sama lain, tenggelam dalam pretensi intelektual dan fatamorgana bahasa, lemas dalam retorik peragaan, bangga menyemburkan retorik teh tarik yang kini mengambil tempat borak di kedai kopi. Inilah kumpulan  yang membawa nilai-nilai songsang dan budaya pandirisme dalam kebudayaan Melayu. Inilah kumpulan yang menjulang para sasterawan negara melepasi ke langit ke tujuh, tenggelam dalam awan gelap kejahilan yang meletakkan Machiavelli sebagai ikon intelektual mereka, duduk berdampingan dengan Si Tenggang yang disumpah oleh ibunya sendiri kerana derhaka. Apa jenis budaya yang dibawa oleh mereka ini? Pak Pandir pun akan malu untuk duduk bersama mereka, walaupun falsafah pandirisme mereka jadikan pegangan.

Pada pandangan saya, satu sebab utama mengapa perbincangan tentang kesusasteraan  begitu hambar dan penuh pretensi akademik yang sebenarnya tidak akademik, ialah kerana para penggiat dalam bidang ini tidak saja keliru dalam konsep ilmu, malah begitu angkuh berada dalam kejahilan dengan menolak pendapat bernas hanya kerana mereka tidak sukakan seseorang yang berilmu. Sekiranya kumpulan ini membaca dengan tekun  buku-buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, kita sudah jauh maju dalam bidang ini. Tetapi oleh sebab mereka berpusing-pusing dalam Mutual Admiration Club menyanjung tokoh-tokoh yang cetek ilmunya, maka dunia akademik dalam bidang ini dan kualiti analisis dalam kritikan sastera menjadi beku, penuh dengan rambu-rambu teori Barat yang tidak pun dikuasai sebaiknya dan tidak dapat menempatkannya di tempat yang layak. Saya telah memberi contoh bagaimana kumpulan Mutual Admiration Club ini dengan bombastik memuji sesebuah karya yang hanya picisan dari segi pemikiran, sesuai dengan tingkat ilmu mereka yang juga picisan. Sila lihat contoh-contohnya dalam entri bulan Disember, Oktober dan September 2014.

Saya  cadangkan kepada kumpulan ini supaya membaca dengan serius  buku-buku Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk mendapat tidak saja ilmu, tetapi juga kaedah akademik yang unggul. Antara buku beliau yang wajar menjadi bacaan wajib termasuk Islam and Secularism,  Prolegomena to the Metaphysics of Islam,  syarahan pengukuhan beliau yang terkenal, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu,  juga Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, dan dua buah buku penting, The Origin of the Malay Shair  dan Concluding Postscript to the Origin of the Malay Shair.  Buku beliau tentang Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri juga perlu dibaca.  Ada dua buah buku yang memuat makalah penghormatan terhadap Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang amat berguna jika dijadikan rujukan. Bahasa Inggeris bertajuk, Knowledge, Language, Thought and Civilization of Islam: Essays in Honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas (UTM, 2010;  566 pp.) memuat makalah yang membicarakan berbagai aspek pemikiran al-Attas, sumbangan daripada para sarjana dunia.  Bahasa Melayu berjudul, Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas  (MPH 2012;  722 hal.), antara lain memuat satu makalah penting tentang tragedi nukilan Dr. Che Razi Jusoh, “Tragedi Sebagai Salah Satu Watak Kebudayaan Barat”, satu-satunya makalah tentang tragedi yang tertulis dalam bahasa Melayu. Belum ada sarjana Melayu, pakar sastera Melayu, menulis secara khusus tentang tragedi. Saya harap saya silap dan ada orang yang akan membetulkan fakta ini.  Kalau anda seorang pembaca yang tajam daya inteleknya, anda akan dapati semua karya sasterawan negara tepu dengan unsur tragedi yang dibuat-buat, menjadikan kebodohan sebagai sifat tragedi sastera Melayu. Sila nafikan kesimpulan ini supaya anda dapat melihat kesilapan anda jika anda tidak bersetuju.  Dalam buku ini terdapat tulisan saya sendiri mengenai keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan, yang saya fikir cocok dengan pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang saya kutip di bawah ketika membicarakan Pendeta Za’ba.

Hanya seorang genius yang kenal genius yang lain.   Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas  dalam pidato umum untuk menghormati Pendeta Za’ba yang dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan  oleh UKM, 23 Jun 1973,  memuji Pendeta Za’ba dalam kata-kata berikut: “Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini” (dalam Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Esei-esei Penghormatan  kepada Pendita Za’ba, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1976; hal. 7).  Kehadiran mesin cetak dan kemunculan para penulis yang tidak ahli dan tidak mempunyai kepandaian sebagai penulis, menghasilkan “tulisan yang bersifat bahasa percakapan, iaitu bahasa yang tiada mengandungi adab tertib dan susila pertuturan yang tinggi.”  Seterusnya beliau menegaskan, “Bahasa percakapan yang saya maksudkan  itu dengan sendirinya menayangkan   pula fikiran yang tiada mengandung adab tertib dan tatasusila ilmiah yang tinggi, kerana betapakan dapat sebarang unggas menjulang ke angkasa rajawali!” (hal. 6).  Dalam konteks inilah , antara lain, Pendeta Za’ba menjadi “pemukul rebana kalbu masyarakat”, seperti yang dijelaskan oleh Prof. al-Attas sebagai berikut:  “Akhirnya, perkenankanlah saya menyentuh sedikit perihal ‘keadilan’, yang sebenarnya berkaitan dengan perjuangan Zainal  Abidin  bin Ahmad dalam bidang bahasa dan nasib masyarakat Melayu. Ketahuilah bahawa lama sebelum pakar-pakar ekonomi muncul melaungkan peri kemiskinan Melayu, lama sebelum golongan-golongan sosialis memalu gendang anti-feudalisme, Zainal Abidin bin Ahmad yang bukan pakar ekonomi atau sosialis, telah dengan beraninya mengulas, membidas dan melaberak punca-punca dan akar umbi masalah ini, dalam sebuah rencana Kitab Hadiah Kebangsaan yang ditulisnya pada tahun 1933.”   (hal. 9).  Prof. al-Attas memberi makna keadailan itu seperti yang difahami oleh para ulama Islam, iaitu “suatu keadaan di mana sesuatu itu berada tepat pada tempatnya – suatu keadaan harmonis yang membawa kepada ketenteraman jiwa.”

Seterusnya beliau memberi makna zulm  (zalim): “Keadaan di mana sesuatu itu bukan pada tempatnya membawa kepada ketegangan jiwa. Keadaan-keadaan yang saling bertentangan ini sebanyak-sedikit menepatilah makna-makna ‘adl  berlawanan dengan zulm  dan kosmos berlawanan dengan khaos.  Dari segi faham agama dan falsafah maka berertilah bahawa keadilan itu harus merangkumi  seluruh kehidupan dan usaha insan serta keadaan sekelilingnya, termasuk sikapnya terhadap Tuhan. Apabila kita berkata bahawa kita harus menggunakan sesuatu bahasa ‘dengan baik’, ini bererti bahawa kita harus meletakkan perkataan serta istilah-istilahnya mengikut gaya bawaan asli bahasa itu, dan segala cara dan peri gambarannya pun haruslah ditempatkan pada tempatnya yang wajar.  Apabila dikenakan faham ini kepada segala segi kehidupan insan, maka bererti juga bahawa tiap-tiap manusia itu pun harus ditempatkan masing-masing pada kelayakannya mengikut bawaan asasinya. Kakak tua tiada layak ditempatkan pada singgahsana merak, dan murai pun harus tiada dipandang sama dengan merbuk.  Apabila terdapat keadaan di mana manusia diberikan tempat oleh manusia lain bukan pada keadaannya yang layak baginya masing-masing, maka ini menunjukkan kezaliman yang mengabuti masyarakat; dan kezaliman ini pun ternyata terbayang dalam pertuturan, sebab keadaan tiada adil itu timbulnya dari fikiran yang kusut yang tiada dapat membezakan nilaian berlian dan kaca. Justeru fikiran yang kusut ini pun akan mengeluarkan percakapan serta pertuturan persuratan yang kusut jua. Demikianlah tabiat insan itu, sejauhmana dapat direnungkan dalam Sejarah.  Jami pernah berkata bahawa seseorang itu bukan dia mulia kerana kedudukannya;  bahkan kedudukannya menjadi mulia kerana kemuliaan dirinya: dan Sa’di juga berkata bahawa emas, walaupun dilontarkan ke dalam cemar-cemar kotoran busuk tetap emas; dan debu, walaupun ditiup  tinggi ke langit biru tetap debu. Zainal Abidin bin Ahmad sering merujuk kepada Kitab Suci a-Qur’anu’l-Karim, di antaranya Surat ‘Al-Ra’ad’, Ayat 17, di mana terdapat: Maksudnya: ‘Adapun yang buih itu maka akan hilang sebagai hampas yang tiada berguna jua, akan tetapi sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia maka ia akan tinggal kekal di dalam dunia.’  (hal. 9-10).

Seterusnya Prof. al-Attas mendoakan: “Semoga Zainal Abidin bin Ahmad tinggal kekal dalam penghargaan jiwa masyarakat kita, dan semoga jalan yang telah ditunjukkan olehnya itu terus memberi tauladan kepada penulis-penulis dan pengarang-pengarang kita yang layak dan faham akan tugasnya terhadap kebudayaan dan masyarakat.”

Antara karya Za’ba yang penting yang perlu dibaca kembali oleh masyarakat kita ialah Ilmu Mengarang Melayu (edisi Jawi mula terbit 1934; edisi Rumi diterbitkan oleh DBP 1962; edisi kedua 2002). Sebuah kitab Za’ba yang jarang disebut (terbit 1958) yang penting dalam etik dan adab Islam, terutama dari perspektif beramal kerana Allah, ialah kitab Asohan Budi.  Lain-lain tulisan beliau yang penting ialah: Pelita Bahasa Melayu (dalam 3 jilid, dihimpun dalam satu jilid oleh DBP,  2000, 809 hal.);  empat buah kitab Za’ba yang diterbitkan oleh DBP: Falsafah Takdir (1980);  Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (1982); Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat  (1989); Mencapai Keluhuran Budi  (1989). Buku yang mengandungi esei-esei penghormatan kepada Pendeta Za’ba saya selenggarakan ketika bekerja di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (1973-1975),yang saya kira itulah buku pertama dalam bentuk itu, yakni kumpulan karangan untuk menghormati seorang cendekiawan Melayu. Sebagai catatan kecil, saya menyalin seluruh kitab Ilmu Mengarang Melayu ketika berusia 12 tahun; sayangnya tiga jilid buku latihan yang saya guna hilang dari simpanan setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur.

Ada lagi beberapa buah buku yang wajar diberi perhatian, antaranya yang saya anggap berguna ialah seperti yang disenaraikan di sini:  Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam (edited and annotated by  M. Saeed Sheikh, 1986);  Marcia K. Hermansen, The Conclusive Argument from God  (Shah Wali Allah of Delhi’s Hujjat Allah al-Baligha (E.J.Brill, 1996);  Peter Watson, Ideas: A History of Thought and Invention, From Fire to Freud (Harper, 2005);  Andrew Marr, A History of the World (berasal daripada dokumentari BBC, Macmillan, 2012); Michael Foley, The Age of Absurdity  (Simon & Schuster, 2010);  John Lloyd & John Mitchinson, The Book of the Dead (Faber and Faber, 2009).

KARYA PARA SASTERAWAN NEGARA TIDAK PERLU DIBACA

Karya para sasterawan negara tidak seharusnya dibaca kecuali oleh penyelidik, pengkaji, pengkritik sastera, tetapi tidak untuk umum. Karya itu berbau hancing, masam, hanyir, dan busuk bagai bangkai. Ini metafora, bahasa sastera yang difahami oleh para sasterawan, bukan cacian, dan harus dibaca dalam konteks itu. Anwar Ridhwan menggunakan unsur bau (busuk) ini dalam novelnya; mungkin ketika itu dia tidak sedar bahawa karya sasterawan negara  sendiri mempunyai unsur bau yang saya sebut itu.  Saya sudah acap kali menarik perhatian para sarjana dan pengkritik supaya dibincangkan dengan mendalam aspek pembakuan penilaian dalam kritikan sastera, supaya kita dengan mudah dapat membuat kesimpulan sama ada secara intrinsic sesebuah karya itu betul bernilai atau sebenarnya tidak. Ini penting kerana pengalaman kita dalam  perkara ini meyakinkan saya kita tidak mempunyai ukuran yang mantap ketika membuat penilaian itu. Panel Anugerah Sastera Negara sendiri tidak jelas apakah ukuran yang mereka gunakan untuk membuat sesuatu kesimpulan bahawa seseorang itu layak diberi gelaran sasterawan negara. 

Saya telah dapat “mencium” bau busuk ini sejak 1981, dan terus mengkritik projek sasterawan negara ini. Para sarjana dan pengkritik sastera bolehlah berkumpul beramai-ramai untuk mempertahankan para sasterawan negara  ini; kerana mereka sendiri memang tidak lagi mempunyai indera bau yang sensitif, kerana itu sesuatu yang tidak berharga mereka kata berharga, tetapi hujah mereka terlalu lemah, malah boleh dikatakan tidak ada hujah sama sekali. Saya telah tunjukkan beberapa bukti ketika mengkritik penilaian para sarjana ciritan ini. Saya pertahankan penilaian saya dengan mempertaruhkan karya kreatif saya dan karya kritikan sebagai bukti, untuk anda kritik sehabis kritis yang anda mahu, asal saja anda juga berani mengkritik karya para sasterawan negara ini seperti itu juga. Lepaskan juara di tengah gelanggang dan kita lihat siapa di antara mereka adalah “juara” palsu.  Akademi Fantasia pun menggunakan kaedah ini. Mengapa tidak boleh digunakan untuk melihat keunggulan sebenar para sasterawan negara ini? Buku-buku yang saya cadangkan itu boleh membantu anda untuk melihat mengapa persoalan ini penting dan perlu dibincangkan dengan kritis.  Sebagai sarjana dan pengkritik, anda tidak harus bangga melambakkan barang palsu di pasaran ilmu di negara kita yang sejak dulu telah kenal makna ilmu yang benar dan dapat membezakannya dengan yang palsu.

Dalam kutipan panjang yang saya salin daripada pidato umum Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, anda dapat melihat makna keadilan dan kezaliman dalam budaya ilmu, yang tepat sekali mengenai projek  sasterawan negara ini sebagai satu kezaliman ilmiah apabila pemilihan para sasterawan negara ini tidak diasaskan kepada maksud keadilan seperti yang difahami dalam Islam, sehingga gagak yang bising disetarafkan dengan merbuk yang merdu suaranya. Pemilihan mereka dilakukan oleh mereka yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, oleh itu meletakkan setaraf gagak yang bising dan kotor dengan merbuk yang merdu suaranya.  Tepat sekali kutipan Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas  daripada al-Qur’an tentang buih terapung “sebagai hampas yang tiada berguna” untuk mencirikan karya para sasterawan negara ini.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31/12/2014.


1 comment:

  1. Terima kasih Tuan. Saya baru jumpa blog Tuan dan baca artikel ini, apabila ada somebody cadangkan dalam perbincangan mengenai buku terbaru Tuan, Pandirisme.

    Oleh kerana terlebih masa terluang, saya buat kompilasi senarai buku-buku di atas dalam bentuk yang lebih mudah untuk akses. Boleh Tuan lihat di sini: https://www.academia.edu/25099459/Jangan_BACA_Sasterawan_Negara_Senarai_Buku-Buku_Pilihan

    Terima kasih atas cadangan buku-buku di atas.

    ReplyDelete