Kesan banjir besar akhir tahun 2014 yang mengejutkan seluruh rakyat
memberikan kita gambaran yang jelas akan kesan buruk yang lebih hebat dalam
budaya ilmu kita. Akibat banjir besar itu kelihatan di mana-mana di semua
negeri yang ditimpa banjir itu, cukup luar biasa dan amat memilukan. Banyak
rumah runtuh dan hanyut, apatah lagi barang-barang peralatan rumah yang
berlonggok sampai di atas pokok atau di atas bumbung rumah yang masih bertahan
walaupun sudah senget. Semuanya amat jelas, boleh dilihat dengan nyata di depan
mata. Mangsa banjir yang lapar dan yang
lari ke bukit-bukit untuk menyelamatkan diri sehingga tidak sempat membawa apa-apa
bekal, sabar menunggu bantuan berhari-hari, hidup dengan minum air hujan. Semua
boleh dilihat dengan mata kepala, terpampang di depan mata. Apakah yang boleh
kita pelajari dari peristiwa ini?
Kita lihat hanya satu kumpulan manusia saja yang memberi bantuan dan pertolongan,
semuanya dari kumpulan UMNO, yang para pemimpin dan menterinya begitu pemurah
dan sangat mesra dengan rakyat, mendukung anak-anak kecil, mencium mereka,
bermain dengan mereka. Tidak ada manusia lain yang membantu. Hanya satu
kelompok saja. Inilah realiti yang dipaparkan kepada penonton TV, realiti palsu
yang penuh dengan penipuan yang bersumberkan kebencian kepada golongan yang
bukan kumpulan mereka. Apakah yang boleh kita pelajari sepanjang mengenai
perilaku dalam kegiatan sastera? Kita melihat pola yang sama, dengan tumpuan
yang berlebihan diberikan kepada para sasterawan negara untuk menulis di kolum
yang dikhususkan untuk mereka. Satu perbuatan keji yang tidak sepatutnya,
seolah-olah mereka inilah saja yang layak diberi tempat yang begitu istimewa.
Adakah mereka sendiri membicarakan perkara yang istimewa juga? Kita akan lihat
nanti.
Khusus dalam dunia sastera kita, tidak ramai yang dapat melihat sampah
sarap budaya seperti kita dapat melihatnya di merata tempat yang terkena banjir. Kita menghadapi banjir yang lebih besar dalam
budaya ilmu kita, yang membawa sampah sarap berupa nilai-nilai palsu yang
sengaja kita bawa dengan bangga ke dalam kebudayaan kita melalui karya sastera
yang terdapat dalam karya para sasterawan terkenal, termasuk karya para
sasterawan negara. Anda tidak dapat melihatnya kerana anda sudah begitu keliru,
tidak lagi dapat membezakan mana yang palsu dan mana pula yang berharga.
Manusia yang bergelar sarjana dan kumpulan penilai karya yang menentukan
sesebuah karya itu bermutu atau tidak, juga terdiri daripada kumpulan yang
keliru dan tidak lagi dapat melihat kebenaran kerana terlalu terpesona dengan kepalsuan
yang dihias indah dalam kata-kata yang penuh khayalan, yang diberi nama yang
memukau oleh mereka sebagai keindahan bahasa sastera. Mereka tidak mahu perkara
ini dibincangkan, kerana mereka sedar mereka akan menghadapi kenyataan yang
amat memalukan mereka, jika mereka masih ada perasaan malu. Tetapi mereka tidak
mempunyai perasaan malu itu lagi, setelah menghiasi kepalsuan itu melalui
gelaran yang memukau para sarjana ciritan dan para pembaca mereka. Lihat
bagaimana mereka lakukan ini melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara,
melalui tesis MA dan Ph.D. yang mereka
tulis dan yang mereka terbitkan. Kalau anda sendiri tidak lagi peka kepada
konsep ilmu yang benar, mana mungkin anda dapat mengesan kepalsuan yang
dibicarakan di sini. Anda perlukan alat
untuk dapat mengesannya, seperti perlunya alat yang khusus untuk dapat mengesan
bangkai kapal terbang yang jatuh ke dalam laut. Tanpa alat yang sesuai, anda
akan terus berada dalam kekeliruan dan kepalsuan yang anda hiasi dengan retorik
peragaan dalam pretensi intelektual, menggunakan fatamorgana bahasa. Supaya
anda lebih mudah memahaminya, saya turunkan beberapa contoh. Contoh terbaru
kita dapati dalam Dewan Sastera bulan
Disember 2014.
Seorang sasterawan negara yang baru menerima anugerah baru, berbicara
tentang perlunya ilmu dibawa masuk ke dalam tamadun kita. Inilah antara
kata-kata beliau yang menjadi kesimpulan dalam ucapan penerimaan beliau: “Bawalah
kembali sastera kepada bangsa kita, kepada ilmu, nilai dan falsafah kita –
sebelum semuanya terlambat. Supaya kita dapat kembali menjadi manusia yang
bertamadun.” (hal. 37) Tentulah ramai di
antara sarjana ciritan yang terpesona membaca kesimpulan ini, yang seolah-olah
menyatakan sesuatu yang bernas dalam pembinaan tamadun manusia. Tetapi semua
ini hanya retorik peragaan semata, retorik teh tarik yang penuh pretensi
intelektual. Di sinilah terselit kepalsuan besar yang sudah mengelirukan
masyarakat kita sudah sekian lama.
Sasterawan negara ini bercakap tentang ilmu. Apakah konsep ilmu yang
menjadi pegangannya? Jika sasterawan ini seorang pembaca tentang perkembangan
ilmu dalam tamadun Barat, dia akan menemui sekurang-kurangnya satu contoh yang
terkenal antara Voltaire dengan Gottfried Leibniz. Tentu anda tahu siapa
Voltaire, genius yang IQ-nya berjumlah 170, yang tertinggi di antara sasterawan
Barat. Leibniz pula berapa IQ-nya? Anda cari sendiri. Perkara yang saya ingin
sebut di sini ialah perihal seorang Voltaire yang sasterawan (sebenarnya juga
seorang ahli fikir) dan penulis satira terkenal, Candide, mengkritik Leibniz sang failasuf dalam novel satira itu. Satu berasal dari Perancis, yang lama duduk
di Jerman; satu lagi memang asal Jerman. Tetapi perbezaan bangsa ini tidak
timbul. Yang timbul ialah persinggitan idea antara dua orang tokoh besar Eropah.
Yang penting ialah perbezaan idea dan
bagaimana ini dirakam dalam kesusasteraan Barat. Voltaire tidak setuju dengan
falsafah Leibniz yang cenderung kepada nilai-nilai agama, sedangkan Voltaire
lebih selesa dengan kebebasan manusia tanpa ikatan nilai-nilai agama, walaupun
dia sendiri percaya adanya Tuhan. Bagi
Leibniz tamadun telah ditentukan oleh Tuhan sebagai “as the best possible
world” berasaskan ilmu Tuhan yang sempurna dan lengkap; Voltaire yang pragmatis
dan optimis percaya bahawa semuanya ditentukan oleh manusia sendiri. Falsafah
mengusutkan pemikiran manusia dan menjadikan kehidupan mereka dikuasai oleh
khayalan failasuf, padahal yang perlu dilakukan ialah manusia sendiri membentuk
corak hidupnya. Akhirnya Candide dan teman-temannya membuka kebun dan bagi
Voltaire itulah yang sepatutnya dilakukan. Kerana novel ini sebuah satira, maka
di dalamnya penuh dengan unsur humor dan sindir-ejek yang tajam. Mengapa novel
ini sebuah masterpiece sedangkan
karya para sasterawan negara hanya “buih terapung di laut” yang tenggelam tanpa
bekas, hanya sejenis sampah saja seperti yang dapat kita lihat dalam kesan
banjir besar itu. Jawapannya diberikan
oleh seorang sasterawan negara yang lain pula, dalam majalah yang sama.
Katanya: “Pohon Tamadun wajar dipupuk
dan disuburkan melalui kreativiti, kebestarian dalam keredaan Ilahi. Tanpa
tauhidik dan sentuhan angin wahyu, sesebuah karya tidak akan berfaedah untuk
insan dan makhluk di cakerawala Tuhan.” (hal. 40).
Menariknya kesimpulan ini ialah sasterawan negara ini menegaskan semua
sasterawan negara menulis dan menghasilkan karya dalam kerangka “tauhidik dan
sentuhan angin wahyu” yang melayakkan mereka diberi gelaran “sasterawan
negara”. Manisnya retorik fatamorgana bahasa ini, yang juga berselindung di
sebalik pretensi intelektual, sehingga boleh membuat orang yang siuman menjadi
pengsan kerana orang ini yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara
melepasi tujuh petala langit, kini memuji teman-temannya dalam Mutual
Admiration Club sebagai pembina tamadun yang berciri “tauhidik dan sentuhan angin wahyu”! Tidak
perlu komen apa-apa, kerana komen itu telah diberikan oleh sampah sarap yang
bertimbun kesan dari banjir besar 2014.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2/1/2015.
No comments:
Post a Comment